Skip to main content

Khalid Samad Mengaku Tidak Bersalah

Oleh: Haji Subky Abdul Latif (The Malaysian Insider)

14 MEI — Anggota Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad mengaku tidak bersalah di mahkamah syariah atas dakwaan mengajar agama tanpa tauliah di sebuah surau di kawasan pilihanrayanya di negeri Selangor.

Memang ada peraturan di Selangor, seorang yang hendak mengajar agama diwajibkan mengambil tauliah. Tanpa tauliah yang dituduh boleh dihukum — denda atau penjara.

Khalid memang bukan pemegang tauliah. Dia pernah diberi tauliah sementera tetapi telah ditarik balik.

Apa sebenarnya tujuan peraturan itu?

Adakah hendak menyenaraikan ahli ilmu Islam yang layak memberi kuliah agama? Atau mahu memastikan orang layak saja boleh bercakap tentang agama Islam? Atau hendak memastikan apa yang diajar tidak lari dari ajaran Islam?

Matlamat umumnya ialah bagi mencegah penyebaran agama salah dan bagi mengawal apa yang diajar tidak bersalahan dengan agama.

Zaman dulu lulusan pondok tidak memegang sijil. Tempoh mengaji di pondokpun tidak ditentukan. Setahun, dua tahun atau sepuluh tahun. Belajar setakat terdaya. Sukatan pelajaranpun tidak seragam malah tidak ada.

Hak mana ilmu seorang yang belajar lima tahun di pondok tidak diketahui. Adakah cukup ilmunya untuk mengajar. Maka dibimbangi tahap ilmunya.

Bagi menentu lebai dan haji itu layak mengajar, maka diadakan tauliah.

Kedua, sejarah tauliah diperkenalkan oleh Kamal Ataturk yang memusnahkan khilafah Islamiyah di Turki. Diktator itu adalah anti Islam dan anti Turki. Dia cuba musnahkan kebudayaan dan adat orang Turki bagi digantikan dengan budaya Eropah yang latar belakangnya adalah ajaran Yahudi dan Turki.

Tauliah dikeluarkan kepada Hoja — tok guru — yang mengajar Islam yang dikehendak oleh Ataturk saja. Islam yang dikehendakinya ialah Islam sekular. Sekular umumnya tidak mencampurkan urusan agama dalam pemerintahan. Ajarlah agama tetapi pisahkan dengan pemerintahan dan politik. Tetapi sekular di Turki ialah anti Islam.

Pada ketika kita tidak tahu keupayaan pak lebai mengajar agama, maka pemberian tauliah adalah munasabah. Tetapi sesudah diketahui seseorang itu lulusan institut pengajian tinggi Islam termasuk Mesir, Makah, Madinah dan lain-lain maka tauliah itu tidak lagi dikira mustahak.

Bagaimanapun peraturan tauliah itu wajar diteruskan, tetapi penggunaannya perlu disesuaikan dengan keadaan. Ia perlu bagi mengelakkan penyebaran agama salah tetapi jangan jadi ia penghalang bagi menyebarkan Islam.

Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang tidak diragukan sebagai ulama besar. Tetapi mereka tidak ada tauliah di Selangor. Maka mereka boleh didakwa kalau memberi kuliah di Selangor.

Atas pelaksanaan peraturan yang kekat inilah bekas Mufti Perlis, Dr Mohamad Asri didakwa. Hingga ini kesnya belum selesai. Dari segi ilmu tidak orang dalam jabatan Islam Selangor selain dari Mufti Selangor boleh menandingi Dr Asri. Tetapi dia didakwa.

Khalid Samad tidak sealim tok-tok guru di Selangor, tetapi dia adalah seorang yang mempelajari Islam. Dia boleh bercakap dan berhujah tentang agama.

Dia adalah salah seorang pemimpin PAS, punya pengalaman lebih dari 20 tahun bergaul dengan pimpinan ulama dalam PAS dan terlibat dalam membuat keputusan besar bersama pemimpin PAS yang lain. Walau pun dia bukan ulama tetapi tidaklah boleh dikira orang jahil.

Orang seperti Khalid yang sudah termasuk dalam golongan jurubicara ummah peringkat sederhana, tidak bijak mengadilinya sekadar tidak bertauliah.

Apa yang wajar diperhatikan bukan tauliahnya tetapi apa yanag dicakapkannya. Adakah dia menyampaikan kuliah yang boleh menyesatkan orang Islam atau memberi pandangan salah tentang Islam kepada orang bukan Islam?

Munkar dan Nakir akan tanya penguatkuasa agama negeri Selangor kalau tindakan mendakwa Khalid dikira menyekat penyebaran Islam yang betul. Khalid dengan kedudukannya dalam masyarakat sekarang wajar didakwa kiranya kuliah yang disampaikannya bercanggah dengan Islam dan bercanggah dengan fahaman Mazhab Syafie.

Jangan hukum Khalid kerana dia tidak ada tauliah tetapi yang disampaikannya adalah termasuk dalam ajaran sesat. Bagaimana kalau selepas PRU 13 nanti Khalid menjadi Exco Selangor yang menjaga agama Islam?

Artikel berkaitan: Pendakwaan JAIS
-Pejabat YB Khalid Samad-

Comments

Unknown said…
Hehe...artikel ni lucu la YB
Sape yg karang ni? Budak baru grad ke?
Anonymous said…
engko tu lah yg lelocon.Tidak tahu menghormati penulis veteran yang begitu kaya pengalaman.bangang betul ko nih!

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.