Skip to main content

Perbahasan Berhubung GST

Pada hari isnin 7 April, lebih kurang jam 7.10 malam undian ‘belah-bagi’ berhubung RUU GST telah diadakan. Pengundian diadakan selepas Timbalan Menteri Kewangan ‘bull-doze’ sahaja sesi perbahasan dan enggan melayan semua soalan yang dibangkitkan. Sedangkan ianya sesi untuk Menteri menjawab segala isu yang telah dibangkitkan dalam perbahasan awal oleh ahli Parlimen! Jawapan yang diberi menimbulkan banyak lagi soalan dan soalan tambahan yang terhasil tiidak ingin dilayani beliau secara profesional. Malang sekali taraf Parlimen yang ada di Negara ini. Isu seperti GST yang akan menjejaskan kehidupan rakyat keseluruhannya dibahas secara pantas dan ringkas sedangkan banyak lagi persoalan yang tidak dijawab dengan sepenuhnya.

Pada keesokannya harinya diadakan pula perbahasan berhubung RUU persaraan hakim. Cukup lama masa yang diberikan dan sidang pun tamat pada jam 5.30 petang. Perbahasan RUU persaraan hakim diteruskan untuk hari keduanya. Apalah masalahnya sekiranya perbahasan RUU GST dipanjangkan sehingga hari Selasa juga dan RUU persaraan hakim dilakukan pada waktu malamnya?

Mungkin jawapannya terletak pada hakikat bahawa keputusan sudah dibuat. Dalam pembentangan bajet pun sudah dijanjikan. Maka dalam ‘membahas’ RUU GST, Parlimen menjadi bagaikan hanya proses ‘rubber-stamp’.

Banyak yang telah dihujjahkan berhubung GST. Hakikatnya pihak kerajaan mengelirukan rakyat dengan hanya menyatakan sebahagian dari fakta berkaitan dengan GST. Dalam bahasa Inggeris ini dinamakan ‘half-truths’ atau separa benar. Saya tidak mahu menulis mengenai GST secara panjang lebar. Hanya sekadar isu utama sahaja akan saya kemukakan di sini.

MENGAPA GST INGIN DIKENAKAN
BN menyatakan bahawa GST dikenakan untuk menyelaras sistem pencukaian dan GST adalah satu sistem percukaian yang lebih telus, berkesan dan adil.

Hakikatnya GST ingin dikenakan kerana kerajaan ingin menambahkan pendapatannya. Kerajaan UMNO/BN tidak perlu mengelirukan rakyat dengan berbagai alasan yang kedengaran sedap dan manis. Tujuan perlaksanaan GST adalah untuk menambahkan pendapatan kerajaan dengan menambahkan kutipan cukai dari rakyat.

Penambahan pendapatan amat sangat diperlukan lebih-lebih lagi apabila pendapatan dari minyak dan gas diketahui akan menurun tahun demi tahun dan sumber cukai lain tidak juga begitu kukuh. Oleh itu GST diperkenalkan untuk menambah pendapatan kerajaan. Dari manakah sumber cukai GST ini? Dari rakyat.

Ini bererti cukai GST akan mampu mengutip lebih banyak cukai dari rakyat. Dalam soal ini, Dato’ Idris Jala pernah menganggarkan bahawa pendapatan dari GST akan mencapai sehingga RM 25 Billion.

Sebagai gambaran betapa pentingnya penambahan pendapatan bagi kerajaan BN, PM pernah menyebut “samada GST atau bankrupsi”. Ini menggambarkan betapa meruncingnya keadaan ekonomi negara dan ketidak mampuan BN mengawal perbelanjaan dan keborosan mereka. Ini adalah kerana keborosan telah menjadi budaya intrinsik politik BN.

APA KESAN PERLAKSANAAN GST?
BN menyatakan GST adalah lebih baik untuk rakyat kerana menggantikan SST yang setinggi 16% dengan GST yang hanya 6%. SST adalah terdiri dari 10% Sales Tax (Cukai Jualan) dan 6% Service Tax (Cukai Perkhidmatan). Maka ini bererti kadar cukai akan turun dan rakyat akan mendapat manfaat.

Tetapi pada masa sama BN juga mengaku bahawa 6% dari GST menghasilkan pendapatan yang lebih tinggi berbanding 16% dari SST! Bagaimana boleh kadar cukai diturunkan tetapi pendapatan bertambah? Ianya boleh berlaku atas dua sebab utama.

Yang pertama, dalam sistem SST, Sales Tax 10% dikenankan berdasarkan harga kilang. Maka sekiranya harga kilang adalah RM 400, cukai adalah RM 40. Cukai Perkhidmatan pula tidak dikenakan ke atas barangan tetapi perkhidmatan seperti hotel, restoran dan sebagainya.

Cukai GST dikenakan bukan atas harga kilang tetapi harga runcit!. Oleh itu, sekiranya harga dikilang dulu adalah RM 400, harga baru setelah semua barangan yang dibeli kilang dikenakan GST, termasuk api dan air, maka harga kilang baru adalah RM 450. Harga runcit pula, setelah mengambil kira kos (termasuk pengangkutan, buruh dan lain-lain) dan keuntungan (mungkin 30 – 50%) pemborong dan peruncit adalah paling kurang RM 800! Maka cukai 6% atas RM 800 adalah RM 48, iaitu RM 8 lebih tinggi dari cukai SST.


Yang kedua, di bawah sistem SST, cukai perkhidmatan hanya dikenakan atas kedai dan tempat perniagaan bercorak perkhidmatan yang mempunyai pendapatan RM 3 Juta ke atas setahun. Dalam sistem GST, ianya dikenakan atas kedai dan tempat perniagaan perkhidmatan yang mempunyai pendapatan RM 500 ribu setahun. Maka tempat perniagaan bercorak perkhidmatan yang akan dikenakan cukai bertambah dari 60,000 ke 150,000 apabila GST menggantikan SST. Dalam erti-kata lain, kalau dulu restoran mamak tidak dikenakan SST, sekarang ia dikenakan GST. Inilah yang dimaksudkan dengan istilah ‘melebarkan tax base’, iaitu menambah banyak golongan yang dikutip cukai. Termasuk di dalam kategori ini ialah bengkel kereta, hotel bajet dan lain-lain.

Yang membayar cukai adalah pelanggan iaitu rakyat biasa, sambil kedai serta restoran dan bengkel menjadi agen pengutipnya.

GST TIDAK DIKENAKAN KEPADA BARANGAN DAN PERKHIDMATAN ASAS
BN mengatakan bahawa barangan dan perkhidmatan asas tidak akan dikenakan GST.

Kenyataan ini mungkin benar tetapi mengelirukan. Hakikatnya, walaupun ianya tidak dikenakan GST, tiada jaminan bahawa harganya sendiri tidak akan naik hasil dari perlaksanaan GST. Ini adalah kerana pembekal dan pemberi khidmat dikenakan GST apabila membeli barangan dan perkhidmatan keperluan mereka. Oleh itu kos mereka akan naik dan sekiranya harga barangan dan perkhidmatan mereka tidak dimasukkan di bawah harga kawalan, harga barangan dan perkhidmatan asas akan turut naik atas sebab kenaikan kos.

Sebagai contoh harga tambang pengangkutan awam seperti bas. Syarikat bas akan menanggung kos yang semakin tinggi atas sebab dikenakan GST pada kos elektrik dan air serta perkhidmatan bengkel. Apabila kos mereka naik, sudah pasti tambang akan juga naik walaupun ia tidak dikenakan GST secara langsung.

Begitu juga dengan harga barangan asas yang lain, termasuk beras dan gula. Kos pengilangan naik maka semestinya harga barangan akan turut dinaikkan walaupun tidak dikenakan GST.

Pada masa yang sama perlu diingat. Walaupun beras tidak dikenakan GST, apabila seseorang makan nasi di kedai mamak, kedai itu akan mengenakan bayaran GST di atas makanan yang dibeli. Ini termasuk nasi yang dimakan, samada nasi putih, goreng atau sebagainya.
Semasa perbahasan tempoh hari, saya telah bertanya kepada Menteri samada kerajaan memberi jaminan tidak akan berlaku kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang tidak dikenakan GST seperti tambang pengangkutan awam. Menteri tidak jawab soalan saya.

KESAN INFLASI HASIL PERLAKSANAAN GST
BN mengatakan bahawa kesan inflasi yang berlaku adalah untuk tahun pertama sahaja dan selepas itu ianya akan turun menjadi seperti biasa.

Kata-kata UMNO/BN sekali lagi boleh mengelirukan rakyat. Ianya seolah-olah memberikan gambaran bahawa pada tahun kedua, harga barang akan kembali seperti asal sebelum GST dilaksanakan. Sebenarnya apa yang dimaksudkan ialah kadar inflasi akan kembali seperti biasa pada tahun kedua, bukan harga barang.

Sekiranya kadar inflasi yang biasa adalah 4%, maka pada tahun GST dilaksanakan ia mungkin melambung menjadi 8 atau 10%! Pada tahun kedua, kadar inflasi kembali ke kadar 4% berbanding dengan tahun sebelumnya. Ini tidak bererti harga barang turun kembali seperti asal. Ia hanya bermaksud bahawa kenaikan harga barang tidak setinggi seperti pada tahun pertama GST dilaksanakan. Namun harga tetap tinggi dan bertambah dengan kadar ‘biasa’ pada tahun kedua.

Oleh itu, kesan perlaksanaan GST adalah kenaikan kos barangan dan perkhidmatan secara menyeluruh. Dalam erti kata lain, inflasi akan berlaku dengan kadar yang tinggi pada tahun GST dilaksanakan. Kenaikan harga ini tidak diundurkan atau dibatalkan pada tahun seterusnya tetapi sebaliknya akan terus naik dengan kadar yang rendah berbanding tahun GST dilaksanakan.

PEMBAYAR CUKAI SEMAKIN RAMAI MELALUI GST
Apa yang tidak dinyatakan oleh BN ialah bahawa selama ini mereka yang berpendapatan rendah tidak membayar cukai pendapatan. Hanya yang mendapat pendapatan melebihi RM 3,000 sebulan sahaja yang membayar cukai pendapatan. Semakin tinggi pendapatan mereka, semakin tinggi kadar cukai pendapatan yang mereka bayar.

Apabila dilaksanakan sistem cukai GST, kadar cukai pendapatan akan diturunkan sebanyak 2 ke 3 %. Ini bererti yang membayar cukai pendapatan, iaitu mereka yang dianggap agak baik status ekonomi mereka, akan mendapat manfaat dari perlaksanaan GST. Bagi yang berpendapatan puluhan ribu sebulan, pengurangan kadar cukai sebanyak 2 ke 3 % akan menyamai penjimatan beribu-ribu setahun.

Pengurangan ini diatasi pula dengan pengenaan cukai atas perbelanjaan ke atas semua di dalam masyarakat, iaitu melalui GST. Mereka yang tidak pernah membayar cukai pendapatan, oleh kerana pendapatan mereka adalah kurang, akan membayar cukai bagi setiap perbelanjaan yang mereka lakukan. Walaupun jumlahnya mungkin hanya ratusan setahun, tetapi apabila dibayar oleh jutaan rakyat maka jumlahnya adalah melebihi pengurangan yang dinikmati golongan kaya.

Pada masa yang sama, ratusan yang dibayar oleh yang berpendatan rendah adalah ratusan yang teramat berharga dan bernilai bagi mereka. Walaupun hanya ratusan, ianya merupakan sebahagian besar dari seluruh pendapatan mereka. Ini akan menjadi faktor yang menekan keadaan ekonomi mereka sambil ribuan yang dijimatkan oleh yang kaya bagaikan tiada nilai bagi yang sudah kaya. Inilah ketidak-adilan yang ditentang PAS dan PR.

Rakyat Malaysia sudah dibebani dengan hutang seisi rumah yang antara tertinggi di dunia. Perlaksanaan GST, dalam keadaan ketidak-adilan ekonomi dewasa ini akan hanya menyebabkan semakin ramai berhutang dengan kadar yang semakin tinggi. Dasar kerajaan BN sama sekali tidak membantu menyelesaikan masalah ekonomi rakyat sebaliknya semakin merumitkannya.

KESIMPULAN
Masih banyak lagi yang boleh dituliskan berhubung GST dan sebab mengapa ianya tidak patut dilaksanakan dalam keadaan ekonomi rakyat dewasa ini. Termasuklah sebagai contoh, persoalan perbelanjaan RM 365 Juta untuk memperkenalkan sistem GST itu sahaja! Begitu juga persoalan peranan syarikat swasta dalam pengandalian sistem cukai GST dan pengongsian kutipan dengan mereka seperti yang digembar-gemburkan dewasa ini!

Namun saya rasa memadai dengan persoalan di atas untuk meyakinkan mereka yang ingin mencari kebenaran, bahawa GST tidak wajar dilaksanakan sekarang. Biar ekonomi rakyat ditingkatkan. Biar lebih 70% rakyat layak membayar cukai pendapatan. Biar kadar kemiskinan dikurangkan. Barulah difikirkan mengenai persoalan perlaksanaan GST.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-