Skip to main content

Perbahasan Dengan Fathul Bari: Bersatu Atas Dasar Apa? Kenapa Tidak Dengan UMNO?

Sering PAS diminta bersatu dengan UMNO. Lebih-lebih lagi mutakhir ini apabila UMNO semakin tersepit, termasuklah Fathul Bari yang turut melontarkan perkara yang sama. Sebelum ini UMNO hanya mentertawakan dan memperlekehkan PAS, memenjarakan para pemimpin PAS dan mendera siapa sahaja yang menyokongnya dengan segala bentuk cara yang boleh difikirkan. Sekarang mereka ingin bersatu. Namun, sikap benci dan dendam di atas layanan buruk tempoh hari BUKAN merupakan sebab mengapa PAS menolak pelawaan untuk bersatu.

Di sini saya akan cuba mengupaskan persoalan ini sebaik mungkin mengikut kefahaman dan kemampuan saya.

Sebenarnya PAS juga bersetuju untuk bersatu, tetapi UMNO mesti terima perjuangan politik Islam sepertimana yang ditakrifkan di sebelum ini: Parti Islam dan Bukan Parti Islam. Bersatu ini bererti menjadi satu. Bubar salah satu atau kedua-duanya dan jadi satu. PAS setuju atas syarat bahawa dasar, sumber hukum dan matlamat perjuangan parti yang satu ini adalah seperti yang telah dijelaskan, iaitu berdasarkan Islam. Untuk memudahkannya, maka bubarkan sahaja UMNO dan masuk PAS, kerana perlembagaan PAS sudah cantik dan menepati kehendak Islam.

Masalahnya, UMNO tidak bersetuju dengan dasar dan matlamat PAS serta sumber hukum yang digunapakai PAS. Oleh itu kedua parti ini tidak boleh menjadi satu atau bersatu. Begitu juga dengan PKR dan DAP. Walaupun ada ramai juga individu dalam PKR yang mungkin secara peribadinya boleh bersetuju dengan prinsip yang dinyatakan, namun pendekatan politik mereka menyebabkan mereka terpaksa menolak untuk bersatu dengan PAS.

Dan sebenarnya bukan ini yang dimaksudkan oleh mereka yang meminta PAS bersatu dengan UMNO pun! Sebenarnya apa yang diinginkan bukan penyatuan tetapi bersama dalam gabungan atau kerjasama dan bukannya penyatuan dalam sebuah parti. Namun, dengan UMNO, kerjasama pun adalah amat sukar kecuali dalam keadaan tertentu.

Dalam soal kerjasama, PAS boleh berkerjasama dengan mana-mana parti politik lain, iaitu parti yang tidak membawa dasar politik Islam (seperti UMNO), selagimana ianya sebuah kerjasama ke arah kebaikan dan ketaqwaan (bukan seperti UMNO) dan PAS menolak kerjasama atas dasar kejahatan dan adu domba (seperti UMNO).

Banyak dalil mengharuskan kerjasama yang tidak perlu saya kemukakan di sini. Dalam soal kupasan berhubung hukum kerjasama politik atau Tahalluf Siyaasi, TGHH telahpun menjelaskannya dengan cukup baik di dalam tulisan beliau yang bertajuk Tahaluf siyasi PAS bersama Pakatan Rakyat.

Dalam mengamalkan prinsip yang dibenarkan ini, PAS mesti melihat pada suasana politik dewasa ini untuk mengenal pasti pihak manakah yang mengekalkan kejahatan dan adu domba. Hakikatnya, dewasa ini BN, yang dipimpini UMNO, merupakan pihak yang mempertahankan pemerintahan sediada. Pemerintahan ini telah gagal melaksanakan tuntutan Islam dan sebaliknya melakukan fasad dan kerosakan. Mereka mengelirukan ummat Islam dalam soal Aqeedah dan hukum. Rasuah pula berleluasa lebih-lebih lagi di peringkat kepimpinan. Akhlak manusia menjadi rosak hasil dari kurangnya contoh tauladan dari pemimpin dan ketidak berkesanan sistem pendidikan khususnya bagi orang Islam. Pemimpin mencengkam masyarakat dengan menguasai media massa dan berkerja keras menutup kemungkaran mereka. Fitnah memfitnah berleluasa dengan tujuan adu-domba di antara kaum dan kumpulan dan hari demi hari ekonomi negara bertambah parah.

Maka PAS menentang kepimpinan UMNO/BN di atas sebab ini dan menawarkan dirinya sebagai pengganti kepada UMNO kepada pengundi Melayu/Islam. PAS menentang BN pula bersama PKR dan DAP dengan terbentuknya Pakatan Rakyat. PAS bersama PKR dan DAP dalam PR setelah bersetuju atas dasar pemerintahan yang telus, adil dan bertanggung-jawab kerana ini semua selari dengan persoalan ‘kebaikan dan keTaqwaan’. Ianya merupakan dasar pemerintahan yang sudah pasti akan menguntungkan perjuangan PAS yang berasaskan politik Islam.

KeTaqwaan yang dimaksudkan di sini ialah ketaatan kepada perintah agama. Bagi orang Islam ianya bermaksud melakukan apa yang diperintah Allah dan menjauhkan diri dari apa yang dilarangNya. Bagi orang bukan Islam, ianya membawa erti ‘God Fearing’. Ini akan menghasilkan ketaatan mereka kepada persoalan akhlak yang baik, termasuk menjauhkan diri dari rasuah dan perkauman yang turut merupakan sebahagian dari tuntutan agama mereka.

PAS tidak berkerjasama dengan UMNO bukan kerana dendam serta benci terhadap UMNO, tetapi kerana UMNO adalah punca masalah Negara dan PAS berhasrat menggantikan UMNO. Mereka mengusahakan politik kejahatan dan adu-domba dan itulah sebab mengapa PAS perlu menggantikan UMNO. Hakikatnya, semua kerusi yang ditandingi PAS ditandingi UMNO. Maka UMNO menghalang PAS dari menduduki kedudukan yang memungkinkan matlamat dan dasar PAS boleh dicapai.

Bersambung...

WaLlahu 'Alam

KHALID SAMAD

Comments

Carlos Santiago said…
hermmmm...sampai bila agaknya mahu berterusan begini..islam semakin berpuak-puak...yang ditindas langsung tidak diendah. BANkami

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-