Skip to main content

Perbahasan Dengan Fathul Bari: Parti Islam dan Bukan Parti Islam

Sebelum ini saya telah kemukakan hujjah saya terhadap 3 persoalan yang menjadi perbahasan di antara saya dan Fathul Bari beberapa ketika dahulu. Ketiga-tiga persoalan yang telah saya kupas tidak mendatangkan sebarang respon darinya sepertimana yang telah diduga. Walaupun begitu saya akan teruskan kupasan saya terhadap isu-isu yang telah saya senaraikan dahulu. Samada beliau menjawab atau tidak, itu tidak penting kerana sebenarnya bukan dirinya yang menjadi sasaran saya tetapi semua yang mengunjungi blog saya ini. Walaubagaimanapun, ketandusan hujjah dari pihak beliau menyerlahkan lagi sifat keperibadiannya yang sudah mula diketahui umum.

Saya sering jelaskan bahawa PAS sahaja adalah parti Islam di Malaysia. Ini sering diserang dan dipertikaikan oleh orang-orang seperti Fathul. Mereka mempertikaikan kenyataan ini dan menuduh bahawa saya seperti juga pimpinan PAS yang lain, mengkafirkan parti lain melalui kenyataan sebegitu. Mereka mengeluarkan tuduhan ‘takfir’ ini kerana mereka sengaja ingin mengelirukan ummat Islam supaya ummat Islam terus menyokong UMNO dan menolak PAS. Sedangkan PAS tidak pernah menimbulkan persoalan pihak lain adalah kafir. Itu adalah fakta.

Saya membuat dakwaan bahawa hanya PAS adalah parti Islam kerana takrif parti Islam bagi saya adalah sebuah parti yang menyatakan secara jelas bahawa dasarnya adalah Islam dan panduannya adalah Al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas. Ia mesti juga menyatakan matlamat perjuangan politiknya secara jelas dengan mengaitkannya kepada Islam. PAS telah melakukan semua ini melalui perlembagaannya dengan menyebut bahawa matlamat perjuangan politiknya adalah untuk mewujudkan sebuah Negara dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai Islam dan undang-undangnya menuju kereDhaan Allah.

Sememangnya kalau dikaji, tiada parti lain yang menyatakan perjuangannya adalah berasaskan Islam sejelas mana yang dilakukan PAS. Maka itulah sebabnya mengapa saya katakana bahawa hanya PAS sahaja adalah parti Islam di Malaysia.

Ini bererti Parti lain, yang mempunyai keahlian orang Islam, seperti UMNO, PKR malahan DAP tidak merupakan parti Islam mengikut definasi saya. Mereka memperjuangkan politik kefahaman mereka dan inilah sebabnya mengapa Dato Harun Din sendiri pernah menyatakan “politik Anwar bukan politik Islam” dan “parti Anwar bukan parti Islam”. Itu adalah atas sebab definasi yang diguna-pakai PAS berhubung apa itu ‘politik Islam’ dan ‘parti Islam’.

Pada masa yang sama ini tidak bermakna mereka yang bersama parti-parti selain PAS adalah kafir. Seseorang tidak mungkin jatuh kafir atas sebab penyertaannya atau tidak penyertaannya di dalam sebuah parti politik. Dia boleh jatuh kafir hanya atas sebab aqeedah, amalan atau kata-kata yang bercanggah dengan asas Islam. Ada kemungkinan seseorang menyertai parti yang tidak memperjuangkan ‘politik Islam’ oleh kerana kekeliruannya terhadap persoalan politik Islam, bukan kerana dia menolaknya. Ada juga atas sebab pendekatan yang dipilih dalam memperjuangkan politik Islam iaitu ianya tidak perlu ditonjolkan sepertimana yang dilakukan PAS tetapi tetap diusahakan dari sudut nilai-nilai dan pengajarannya. Dan mungkin ada juga alasan yang lain. Oleh itu, dalam soal sebegini tidak mungkin dijatuhkan hukum secara borong. Dan sememangnya bukan tujuannya untuk menjatuhkan hukum pun. Yang diinginkan PAS ialah untuk memperjuangkan wawasan politiknya dan menyeru manusia, khususnya ummat Islam, untuk bersama dalam usaha menjadikan Islam sebagai asas politik Negara dan masyarakat. Pada masa yang sama menerima takrif ‘politik Islam’ dan ‘parti Islam’ yang diperjuangkan PAS.

Kenyataan bahawa parti lain bukan ‘parti Islam’ tidak juga bererti bahawa mereka semestinya memusuhi atau dimusuhi PAS. Hubungan PAS dengan mereka bergantung kepada sejauh mana penentangan mereka terhadap apa yang diperjuangkan PAS. Ia bergantung kepada sejauh mana cita-cita dan wawasan perjuangan mereka selari dengan apa yang diperjuangkan PAS. Pendekata, ianya bergantung kepada sejauhmana kerjasama dengan mereka mendatangkan maslahah (kebaikan) atau mafsadah (keburukan) kepada perjuangan politik Islam yang dibawa PAS.

Bersambung...

Perbahasan lalu:
1. Fathul bela CSL
2. Kenyataan Karpal berbanding CSL
3. Sejarah latar belakang kenyataan Karpal

WaLlahu 'Alam

KHALID SAMAD

Comments

Unknown said…
YB, izinkan saya nyatakan bahawa di dalam sidang DUN ke 12 Perak pada 23 Jun 2008, DS Nizar Jamaluddin telah bertanya kepada Tajul,

"di manakah dalam mana-mana..dalam manifesto ke, perlembagaan PAS ke yang menyebut bahawa PAS ingin menubuhkan negara Islam?"

apakah maksudnya beliau berkata demikian? adakah disebabkan di dalam Perlembagaan PAS tidak langsung menyebut tentang penubuhan negara Islam?

hairan.

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.