Skip to main content

Gunting Penyatuan

Alhamdulillah, ini merupakan kali ke 3 saya berpeluang menunaikan umrah pada tahun ini. Bak kata orang, sambil menyelam meminum air. Sepertimana yang telah dimaklumkan, saya kerap ke Saudi kerana isteri saya sedang bertugas di sebuah Universiti di Saudi dan setiap kali saya menziarahinya, walaupun untuk tempoh lawatan singkat yang hanya 10 hari, kami tidak melepaskan peluang untuk ke Masjidil Haram. Malah, isteri saya lebih gembira kerana hampir setiap hujung minggu dia berpeluang ke Makkah.

Walaupun begitu, setiap kali saya ke sini, saya begitu takjub dengan suasana ibadah yang berterusan di dalam Masjidil Haram, walau pada waktu apa sekalipun. Pada kali ini, kami bertolak dari Jazan pada hari Rabu pada jam 2.30 tengah hari dan tiba di Yalamlam iaitu Miqat bagi yang datang dari Jazan, pada jam 12 tengah malam. Setelah berihram, kami bertolak kembali dan sampai di Makkah pada jam 1.30 pagi. Setelah menguruskan penginapan di hotel, kami menuju ke Masjidil Haram pada jam 2.30 pagi dan seterusnya melakukan tawaf dan diikuti dengan Saei.

Selepas menunaikan Saei, semasa ingin bertahalul, saya tiba-tiba didatangi dua orang pemuda Cina yang turut ingin bertahalul. Mereka ternampak gunting di tangan saya dan dalam bahasa Arab yang jelas, mereka bertanya saya samada mereka boleh mengunakan gunting tersebut. Tanpa berlengah, saya membenarkan mereka menggunakannya, seorang menggunting rambut seorang yang lain. Setelah selesai, saya meminta salah seorang dari mereka mengguntingkan rambut saya pula. Apabila selesai, tiba-tiba datang pula empat orang pemuda India yang turut ingin meminjam gunting saya. Saya membenarkan dan hanya memandang mereka sambil mereka saling menggunting rambut seorang demi seorang.

Dalam pada itu, datang urang rumah saya sambil menyebut bagaimana pada ketika itu Melayu, Cina dan India disatukan dalam usaha mencari kereDhaan Illahi. Saya hanya tersenyum memikirkan ironinya keadaan tersebut, sedangkan di Malaysia ada yang giat berusaha memecah-belahkan masyarakat mengikut kaum ‘atas nama Islam dan Melayu’. Padahal Islam datang untuk menyatukan manusia atas dasar Taqwa dan ketundukan kepada Tuhan yang Esa. Isteri saya menambah bahawa betapa menyesalnya dia kerana tidak sempat mengambil gambar pada ketika itu. Ini kerana kalau saya ceritakan nanti, pasti terdapat mereka akan berkata saya mengada-ngadakan cerita. Saya hanya menjawab, kalau ada gambar pun, saya agak yakin bahawa mereka akan tetap mengatakan saya ‘mengedit’ gambar tersebut, tidak berada di "ruang solat utama" Masjidil Haram dan sebagainya.

Seterusnya kami menunaikan salat Sunnat sementara menunggu masuknya waktu Subuh dan dalam masa yang sama manusia terus datang tidak putus-putus. Yang mengagumkan ialah suasana peribadatan yang berterusan sepanjang kami berada di situ. Para jemaah umrah berterusan tiba, bertawaf dan bersaei. Dari semenjak kami tiba, sehingga selepas kami selesai dan bertolak balik ke hotel selepas Subuh, tidak terhenti-henti orang tiba. Ada yang berihram, ada yang tidak, bergantung kepada kedudukan mereka, iaitu samada sudah umrah atau belum atau samada melakukan umrah atau pun tidak.

Pada waktu salat Zohor kami turun kembali ke Masjidil Haram dan walaupun panas agak terik pada hari tersebut, tetapi terdapat ramai juga yang sedang bertawaf dan bersaei. Kami pulang ke hotel selepas Zohor sebelum kembali semula untuk Asar, begitu juga keadaan dan suasananya. Berjalan bertemu dengan manusia Muslim dari seluruh dunia. Yang putih, yang kuning, yang coklat dan yang hitam. Yang hijau je tak ada!

Hari itu ialah hari Khamis, maka ramailah yang tiba dari kalangan orang tempatan. Mereka membawa bersama mereka buah tamar dan makanan untuk berbuka. Tikar plastik dibentangkan dan makanan berbuka diletak di atasnya. Ada yang membawa teh dan kopi Arab dalam flask dan suasana menjadi begitu riang sambil menunggu Maghrib. Apabila masuk waktu Maghrib maka berbuka mereka yang berpuasa. Yang tidak berpuasa pun turut sama tumpang sekaki.

Begitu juga pada hari kedua kami di sana. Walaupun turun dari hotel pada jam 3.30 pada pagi Jumaat tersebut, sudah ramai di Masjidil Haram dan pada masa yang sama masih ramai pengunjung yang masih terus tiba. Melihat suasana dan keadaan yang berpanjangan sebegini, saya yakin bahawa tidak ada walaupun sesaat, yang mana tidak terdapat mereka yang bertawaf di Kaabah atau yang sedang bersaei. Lebih-lebih lagi yang sedang bersalat atau berzikir di Masjidil Haram.

Maka mungkin inilah apa yang disebut sebagai ‘The City that never sleeps’ yang sebenarnya. Bukan tidak tidur kerana sibuk berseronok atau oleh kerana bermaksiat tidak tentu punca, tetapi tidak tidur kerana asyik mencari kereDhaan Illahi.

Saya kongsikan dengan tuan-tuan semua beberapa keping gambar yang sempat diambil semasa di Masjidil Haram. Ada gambar yang berlatar-belakangkan Menara Jam Besar Makkah (Abraj Al Bait Tower - Mecca Royal Clock Hotel Tower) yang baru siap dibina. Dulu apabila saya ke sini pada bulan Mei, ianya masih dalam proses pembinaan, sekarang telah menjadi salah satu mercu tanda di sini. Terdapat juga beberapa gambar pemandang semasa dalam perjalanan ke Makkah. Banyaknya pasir! Tiada pula yang ingin mencurinya!



WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Borhan said…
Tahniah YB...teruskan berjuang dengan keikhlasan. Ramai org boleh berjuang tapi tidak ramai yg berjuang dgn ikhlas.
Anonymous said…
Ikhlas tu diukur oleh Allah SWT . Bukan boleh diukur oleh sesiapa. Hati manusia, tuhan je tau. Bawak2 lah, pegi mekah muhasabah lah diri depan kaabah. Semuga kau dan kita semua dapat petunjuk ke jalan yang benar.

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.