Skip to main content

Gunting Penyatuan

Alhamdulillah, ini merupakan kali ke 3 saya berpeluang menunaikan umrah pada tahun ini. Bak kata orang, sambil menyelam meminum air. Sepertimana yang telah dimaklumkan, saya kerap ke Saudi kerana isteri saya sedang bertugas di sebuah Universiti di Saudi dan setiap kali saya menziarahinya, walaupun untuk tempoh lawatan singkat yang hanya 10 hari, kami tidak melepaskan peluang untuk ke Masjidil Haram. Malah, isteri saya lebih gembira kerana hampir setiap hujung minggu dia berpeluang ke Makkah.

Walaupun begitu, setiap kali saya ke sini, saya begitu takjub dengan suasana ibadah yang berterusan di dalam Masjidil Haram, walau pada waktu apa sekalipun. Pada kali ini, kami bertolak dari Jazan pada hari Rabu pada jam 2.30 tengah hari dan tiba di Yalamlam iaitu Miqat bagi yang datang dari Jazan, pada jam 12 tengah malam. Setelah berihram, kami bertolak kembali dan sampai di Makkah pada jam 1.30 pagi. Setelah menguruskan penginapan di hotel, kami menuju ke Masjidil Haram pada jam 2.30 pagi dan seterusnya melakukan tawaf dan diikuti dengan Saei.

Selepas menunaikan Saei, semasa ingin bertahalul, saya tiba-tiba didatangi dua orang pemuda Cina yang turut ingin bertahalul. Mereka ternampak gunting di tangan saya dan dalam bahasa Arab yang jelas, mereka bertanya saya samada mereka boleh mengunakan gunting tersebut. Tanpa berlengah, saya membenarkan mereka menggunakannya, seorang menggunting rambut seorang yang lain. Setelah selesai, saya meminta salah seorang dari mereka mengguntingkan rambut saya pula. Apabila selesai, tiba-tiba datang pula empat orang pemuda India yang turut ingin meminjam gunting saya. Saya membenarkan dan hanya memandang mereka sambil mereka saling menggunting rambut seorang demi seorang.

Dalam pada itu, datang urang rumah saya sambil menyebut bagaimana pada ketika itu Melayu, Cina dan India disatukan dalam usaha mencari kereDhaan Illahi. Saya hanya tersenyum memikirkan ironinya keadaan tersebut, sedangkan di Malaysia ada yang giat berusaha memecah-belahkan masyarakat mengikut kaum ‘atas nama Islam dan Melayu’. Padahal Islam datang untuk menyatukan manusia atas dasar Taqwa dan ketundukan kepada Tuhan yang Esa. Isteri saya menambah bahawa betapa menyesalnya dia kerana tidak sempat mengambil gambar pada ketika itu. Ini kerana kalau saya ceritakan nanti, pasti terdapat mereka akan berkata saya mengada-ngadakan cerita. Saya hanya menjawab, kalau ada gambar pun, saya agak yakin bahawa mereka akan tetap mengatakan saya ‘mengedit’ gambar tersebut, tidak berada di "ruang solat utama" Masjidil Haram dan sebagainya.

Seterusnya kami menunaikan salat Sunnat sementara menunggu masuknya waktu Subuh dan dalam masa yang sama manusia terus datang tidak putus-putus. Yang mengagumkan ialah suasana peribadatan yang berterusan sepanjang kami berada di situ. Para jemaah umrah berterusan tiba, bertawaf dan bersaei. Dari semenjak kami tiba, sehingga selepas kami selesai dan bertolak balik ke hotel selepas Subuh, tidak terhenti-henti orang tiba. Ada yang berihram, ada yang tidak, bergantung kepada kedudukan mereka, iaitu samada sudah umrah atau belum atau samada melakukan umrah atau pun tidak.

Pada waktu salat Zohor kami turun kembali ke Masjidil Haram dan walaupun panas agak terik pada hari tersebut, tetapi terdapat ramai juga yang sedang bertawaf dan bersaei. Kami pulang ke hotel selepas Zohor sebelum kembali semula untuk Asar, begitu juga keadaan dan suasananya. Berjalan bertemu dengan manusia Muslim dari seluruh dunia. Yang putih, yang kuning, yang coklat dan yang hitam. Yang hijau je tak ada!

Hari itu ialah hari Khamis, maka ramailah yang tiba dari kalangan orang tempatan. Mereka membawa bersama mereka buah tamar dan makanan untuk berbuka. Tikar plastik dibentangkan dan makanan berbuka diletak di atasnya. Ada yang membawa teh dan kopi Arab dalam flask dan suasana menjadi begitu riang sambil menunggu Maghrib. Apabila masuk waktu Maghrib maka berbuka mereka yang berpuasa. Yang tidak berpuasa pun turut sama tumpang sekaki.

Begitu juga pada hari kedua kami di sana. Walaupun turun dari hotel pada jam 3.30 pada pagi Jumaat tersebut, sudah ramai di Masjidil Haram dan pada masa yang sama masih ramai pengunjung yang masih terus tiba. Melihat suasana dan keadaan yang berpanjangan sebegini, saya yakin bahawa tidak ada walaupun sesaat, yang mana tidak terdapat mereka yang bertawaf di Kaabah atau yang sedang bersaei. Lebih-lebih lagi yang sedang bersalat atau berzikir di Masjidil Haram.

Maka mungkin inilah apa yang disebut sebagai ‘The City that never sleeps’ yang sebenarnya. Bukan tidak tidur kerana sibuk berseronok atau oleh kerana bermaksiat tidak tentu punca, tetapi tidak tidur kerana asyik mencari kereDhaan Illahi.

Saya kongsikan dengan tuan-tuan semua beberapa keping gambar yang sempat diambil semasa di Masjidil Haram. Ada gambar yang berlatar-belakangkan Menara Jam Besar Makkah (Abraj Al Bait Tower - Mecca Royal Clock Hotel Tower) yang baru siap dibina. Dulu apabila saya ke sini pada bulan Mei, ianya masih dalam proses pembinaan, sekarang telah menjadi salah satu mercu tanda di sini. Terdapat juga beberapa gambar pemandang semasa dalam perjalanan ke Makkah. Banyaknya pasir! Tiada pula yang ingin mencurinya!



WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

borhan said…
Tahniah YB...teruskan berjuang dengan keikhlasan. Ramai org boleh berjuang tapi tidak ramai yg berjuang dgn ikhlas.
Anonymous said…
Ikhlas tu diukur oleh Allah SWT . Bukan boleh diukur oleh sesiapa. Hati manusia, tuhan je tau. Bawak2 lah, pegi mekah muhasabah lah diri depan kaabah. Semuga kau dan kita semua dapat petunjuk ke jalan yang benar.

Popular posts from this blog

Berakhirnya Drama RUU 355?

Drama perlaksanaan sistem perundangan Islam yang mengambil bentuk usul persendirian YB Marang berhubung Akta 355 kelihatan menghampiri adegan penamatnya. Pada peringkat kesudahannya UMNO/BN kelihatan sebagai pihak yang meraih keuntungan terbesar dengan pembangkang berada dalam keadaan berpecah dan tidak bersepakat. Keutuhan Pakatan Rakyat yang telah mewarnai pilihan raya ke 13 pada 2013 sudah jelas hilang. Yang sepatutnya mengambil tempatnya, iaitu Pakatan Harapan, masih dalam keadaan sedikit terumbang-ambing, khususnya berhubung hubungan dengan PAS.

Tindakan UMNO/BN untuk mensasarkan PAS melalui isu perundangan Islam adalah satu ‘master-stroke’ yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak. Melaluinya bukan sahaja PR berpecah, namun ketidak-tentuan sikap terhadap PAS menyebabkan apa-apa tindakbalas untuk menyelamatkan keadaan menjadi tidak padu dan kurang bersungguh-sungguh. Kebergantungan terhadap PAS oleh pihak tertentu menyebabkan mereka tidak sanggup memutuskan hubungan dengan PAS s…

Kapal Perang Tariq Ibn Ziyad dan Isu Bai’ah Taklik – Kata Penutup

Pada 8 Ramadhan tahun ke-92 Hijrah, tentera-tentera Islam di bawah pimpinan Tariq Ibn Ziyad telah mendarat di bumi Sepanyol selepas merentasi lautan Mediterranean. Sebaik sahaja mendarat, Tariq mengarahkan supaya kapal-kapal tentera Islam ini dibakar. Beliau melakukan ini dengan tujuan supaya tentera-tenteranya menyedari bahawa mereka tiada pilihan lain selain dari meneruskan perjuangan, samada gugur atau mencapai kemenangan.

Bagi yang tidak faham, tindakan Tariq Ibn Ziyad merupakan tindakan yang tidak bertanggung jawab, mencampakkan nyawa tentera-tenteranya dalam bahaya, kejam dan zalim! Bagi yang tidak berilmu, mereka akan pantas menyatakan tindakan itu adalah haram kerana cuba membunuh diri!

Dari sudut strategi peperangan ianya menzahirkan satu tekad yang teramat tinggi agar berjuang berhabis-habisan agar mencapai kemenangan. Tindakan membakar kapal-kapal ini adalah bertujuan untuk menghalang tentera Islam dari memikirkan pilihan untuk berpatah balik, berundur dan lari dari pertempur…

Penjelasan atas Fitnah yang Disebar Kononnya Ahli Parlimen Shah Alam, YBKS 'Sembah Ayam'

1. PAS untuk sekian kali sudah bertukar menjadi parti fitnah dan maki hamun. Tiada selain memunafikkan, mengkafirkan atau dituduhnya syirik kepada orang lain termasuklah dalam gambar saat akhir video CNY yang dibuat DAP.



2. Perlu faham bahawa mengikut bahasa Cina, perkataan Na (itu) Ji (Ayam) yang kebetulan bunyinya sama macam Najib.

3. Video tersebut adalah berkaitan Kisah Ayam itu (Na Ji) yang jahat dan selalu merugikan tuannya.

4. Tuannya serah ayam itu kepada YB Teresa kerana sudah tidak mampu lagi membela ayam itu. Tiba-tiba semasa menerima ayam itu, ia terlepas lari, mereka semua mengejarnya dan berjaya ditangkapnya semula.

5. YBKS telah memasukkan ayam itu (na ji) dalam sangkar (penjara) dan ucap Selamat Tahun Baharu Cina.

6. Photo terakhir itu menunjukkan mereka semua mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina pada Na Ji yang sudah berada dlm sangkar (penjara).


7. Tiada upacara atau scene sembahan di situ. Gong Xi Faa Chai yang disebut bukanlah penyembahan.

Seronokkah buat dan se…