Skip to main content

The German Connection


MUQADDIMAH
The German Connection bukanlah misi terbaru agen perisik British 007 - James Bond untuk menyelamatkan dunia di dalam filem akan datang, tetapi sepertimana yang telah saya jelaskan tempohari, saya bersama beberapa ahli Parlimen PR telah ke Germany di atas satu misi yang tidak kurang pentingnya, iaitu bagi meneliti cara bagaimana kerajaan pakatan (coalition) telah berjaya dipertahankan sekian lama di negara tersebut.

Ziarah kami bermula pada malam 26 Jun apabila kami menaiki penerbangan dari KLIA ke Germany dan berakhir pada 5 Julai apabila kami tiba di tanahair pada jam 3 petang bagi membolehkan saya bertolak ke Manek Urai pada malam yang sama untuk bersama dengan penyokong PAS dan PR dalam penamaan calon DUN Manek Urai selama 3 hari. Perjalanan kami selama 9 hari itu telah mendedahkan kami kepada banyak perkara yang akan saya jelaskan di bawah ini.

LATAR BELAKANG
Menganjurkan program lawatan sambil belajar ke Germany merupakan perkara biasa bagi persatuan dan NGO di negara itu yang ingin memaklumkan kepada dunia akan kecanggihan sistem demokrasi amalan mereka. Mereka cukup bangga dengan sistem yang di amalkan dan mereka ingin berkongsi pengalaman mereka dengan dunia umum.

Kerajaan Germany memberi ‘grant’ ataupun peruntukan budget kepada Yayasan milik parti-parti politik Germany yang mendapat undi melebihi 5% dari jumlah undi di dalam Pilihan Raya Umum negara itu. Jumlah grant yang diberi bergantung kepada jumlah undi yang diperolehi oleh parti berkenaan. Yayasan tersebut membiayai perbelanjaan parti dan di antara kegiatan yang digalakkan adalah kegiatan peringkat antarabangsa di mana parti berkenaan menjemput kenalan politik mereka dari luar negara untuk menziarah Germany bagi menyaksikan perjalanan sistem demokrasi mereka.

Ini, bagi pandangan mereka, adalah salah satu cara negara Germany menyumbang kepada tersebarluasnya fahaman, budaya dan amalan demokrasi ke seluruh dunia.

Malaysia masih belum mampu lagi untuk menyumbang ke arah ini. Secara mudah, dengan melihat kepada perjalanan SPR, SPRM dan peranan institusi media dan PDRM, seseorang boleh menilai sejauhmana kehebatan amalan demokrasi di Malaysia! Ianya merupakan keadaan yang kurang membanggakan dan oleh itu perubahan amat diperlukan, supaya Malaysia dapat juga merasa bangga dengan tradisi politiknya. Begitu bangga sehingga akan sanggup, satu hari kelak, menjemput manusia dari seluruh pelusuk dunia untuk menziarahinya untuk melihat dan mengkaji sistem politiknya. Satu hari kelak insyaAllah, apabila Malaysia bebas dari pengaruh yang meruntuh dan merosakkan dari UMNO/BN.

OBJEKTIF
Walaupun mereka mempunyai matlamat mereka dengan menjemput dan membiayai perbelanjaan kami ke sana, sememangnya kami juga mempunyai matlamat tersendiri untuk menerima jemputan mereka ini.

Di antaranya:-
  1. Kami ingin memahami sistem Pilihan Raya Germany kerana ianya merupakan satu hybrid atau gandingan sistem pertandingan ‘calon lawan calon’ dan juga ‘proportionate representation’ atau jumlah perwakilan mengikut jumlah peratusan undi yang diperolehi sesebuah parti. Manalah tahu, kalau kita membentuk kerajaan Pusat kelak, sekiranya sistem mereka lebih adil, insyaAllah kita boleh gunapakai dan laksanakan di sini!

  2. Memahami kaedah pembentukan kerajaan pakatan yang diamalkan oleh ahli politik Germany demi menjamin kejayaan kerajaan yang terdiri dari parti-parti politik yang begitu berbeza fahaman mereka di antara satu sama lain. Menyedari betapa baru dan ‘mudanya’ Pakatan Rakyat, yang mana mungkin kita akan perolehi ‘tips’ yang bernas dari rakan kita di Germany.

  3. Bagi PAS pula, dengan adanya 4 juta rakyat Islam di Germany, kami ingin memberikan satu imej kepada pimpinan politik Germany bahawa ummat Islam juga mampu menjadi rakan politik yang membina dengan kredibilitinya yang tersendiri, walaupun di Germany.

PENEMUAN UTAMA
Di sini, secara ringkas, saya ingin berkongsi beberapa penemuan yang telah saya rumuskan hasil pemergian kami ke Germany. Kesimpulan atau pengajaran ini dikemukakan secara umum di mana satu laporan yang lebih terperinci akan dikemukakan kepada pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat kelak.
  1. Pengalaman Germany membuktikan bahawa sebuah kerajaan jenis ‘Pakatan’ boleh berjaya walaupun ianya terdiri dari beberapa parti politik yang berbeza fahamannya. ‘Kejayaan’ dalam arti-kata tertegaknya sebuah negara yang aman damai yang menikmati kemajuan material dan masyarakat yang saling menghormati perbezaan pendapat dan latar belakang.

  2. Perbezaan tidak semestinya menghalang kerjasama politik asalkan perbezaan itu hanya merupakan perbezaan cara ke arah mencapai matlamat umum yang diinginkan bersama. Sekiranya kedua-dua pihak inginkan kebaikan untuk rakyat, maka walaupun konsep kebaikan itu secara zahirnya berbeza, kerjasama mampu terjalin. Yang penting perlu ada mekanisma untuk menyelaras dan menangani perbezaan ini dengan cara terbaik supaya fungsi pemerintahan tidak terjejas disebabkan perbezaan ini.

    Namun, sekiranya perbezaan adalah berhubung tujuan pemerintahan itu sendiri, iaitu satu pihak ingin berkhidmat untuk rakyat sambil satu pihak lagi hanya ingin mengayakan diri dan keluarga mereka sendiri, maka kerjasama politik menjadi perkara yang mustahil. Begitu juga sekiranya satu pihak ingin membela rakyat dan satu pihak lagi sebagai Tuan yang ingin memperhambakan rakyat, maka kerjasama juga menjadi perkara yang mustahil. Ini mungkin menjawab mengapa kerjasama dengan DAP adalah lebih mudah dari kerjasama dengan UMNO – bagi yang ingin tahu sahajalah.

  3. Pakatan tidak bererti mengorbankan dasar ataupun prinsip perjuangan sesebuah parti. Ini merupakan satu aspek yang penting untuk difahami semua. Seboleh-bolehnya semua persoalan diputuskan secara konsensus di kalangan semua parti. Namun kadangkala, ‘kompromi’ diperlukan dari semua pihak. Latar belakang dan sebab berlakunya kompromi ini perlu dijelaskan kepada umum dan setiap parti boleh terus berusaha untuk mendapatkan sokongan untuk pendirian dan pandangannya dari semua pihak. Dasar tidak dikorbankan kerana terus diusahakan tetapi tidak dapat dilaksanakan dalam situasi tertentu.

    Kadangkala ada pula apa yang diinginkan oleh satu pihak tidak tercapai. Pihak tersebut dibenarkan menyatakan sikap tersendiri dalam isu berkenaan dan menjelaskan kepada ahli dan penyokong mengapa kehendak mereka tidak dapat dilaksanakan pada waktu itu. Sebagai contoh, satu pihak boleh menyatakan ketidak persetujuan mereka terhadap sesuatu dasar yang dilaksanakan kerajaan Pakatan secara jelas tanpa semestinya meninggalkan kerajaan Pakatan tersebut.

    Ini semua bergantung kepada betapa pentingnya kompromi dan ketidak persetujuan itu serta samada meninggalkan Pakatan akan menghasilkan kebaikan ataupun sebaliknya. Inilah yang dinamakan ‘Akhafu Dhararain’ atau yang lebih ringan dari dua kemudaratan.

  4. Pakatan tidak menghalang usaha mana-mana pihak mencapai matlamat perjuangannya. Pengalaman kami di Germany menunjukkan bahawa sambil dalam Pakatan, setiap parti terus mengadakan program parti masing-masing bagi mengutarakan pandangan dan dasar perjuangan parti masing-masing. Tiada usaha untuk parti terbesar ‘menelan’ parti-parti kecil atau menyekat usaha mereka. Jauh sekali cuba ‘menikam’ rakan-rakan mereka dari belakang. Akhirnya ianya semua bergantung kepada kekuatan hujjah dan kemampuan mana-mana parti meyakinkan anggota masyarakat untuk menyokong perjuangan mereka.

  5. Berdasarkan kefahaman yang dinyatakan di atas, maka amalan di Germany adalah seperti berikut: sebaik sahaja kerajaan pakatan dibentuk, perbincangan diadakan di antara semua parti komponen yang telah bersetuju dan satu persetujuan berhubung apa yang ingin dilaksanakan dan dicapai dalam tempoh 4 atau 5 tahun pemerintahan bersama akan dimeterai. Persetujuan ini digunakan sebagai asas kerjasama dan rujukan bersama untuk mengurangkan atau mengelakkan perbalahan dalam tempoh tersebut. Persetujuan ini juga mengandungi persoalan mekanisma membuat keputusan dan mekanisma menyelesaikan percanggahan pendapat di antara parti komponen.

KESIMPULAN
Hasil dari tinjauan kami ke Germany, saya bertambah yakin bahawa melalui PR, insyaAllah PAS boleh mencapai matlamat perjuangannya. Namun PAS haruslah mempunyai konsep bagi mencorak proses perubahan masyarakat yang jelas yang bersesuaian dan boleh dipraktikkan melalui kaedah dan pendekatan yang ingin dibawa. PAS mestilah sanggup dan mampu berhujjah untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat dan parti rakan di dalam PR sehingga diterima sebagai peneraju dan pemimpin oleh seluruh rakyat di negara ini.



WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

*Imej bangunan Parlimen Reichstag di Berlin dari Wikimedia Commons

Comments

Anonymous said…
YB, it is about sincerity and the desire to lead honestly for the ummah as propagated By Rasulullah SAW.Peace be upon him.
There are no secret and nobody can deny the way the prophet led the nation.
Leading the nation is not for personal glory neither to enrich families and cronies but as a responsibility that ALLAH wants the individual to fulfill as and when a person feels he/she no longer capable, it is about time to withdraw.
But sometime we wonder the western community has a better outlook and perception as leaders in this world, surely you know what I mean.
It is time to push harder so that BN/UMNO will be thrown out and we have a new politics in this nation.
GOD willing, people are banging on people like you and the likes, Insya'ALLAH, semoga berjaya. as I can only pray.
milestone said…
Salam YB, kerana itu saya amat berharap PAS dapat memimpin masyarakat untuk 'bergerak' dan mampu membimbing masyarakat 'bergerak' ikut cara ISLAM. Saya tak ingin utk melebelkan lebih 'liberal' atau apa saje label yg diberikan, kerana sebagai 'agama' yg kita laung2 sempurna, syumul, utk semua; saya amat yakin & pasti ada solusi utk berhadapan dgn 'wajah' zaman mutakhir ini. Kami berharap pemimpin2 perlu benar2 bersedia dr segi ilmu, rohani dan fizikal dlm mengharungi cabaran 'terbuka' ini ke arah melaksana strategi dan gerak kerja.
Bagi pengikut pula, perlu bersedia membantu dr segi apa yg termampu disumbangkan baik tenaga/masa/fikiran/pendapat/komen/$$RM$$, yg paling penting utk mencapai 'matlamat' ini, istiqamah dan ikhlas amat diperlukan utk; iman perlu 'dipasak' kuat dihati.
-wallahu'alam-
Anonymous said…
Satu lawatan yang membuka mata. Kalau rencana ini boleh ditulis dalam bahasa Inggeris, lebih baik untuk sebaran yang lebih luas.
Anonymous said…
Salam...

Rasanya tak perlu gi jauh2 utk belajar kerajaan Pakatan. Pimpinan PAS i.e. Presiden dll sudah mendahului memahami konsep ini. Cuma ada segelintir yg tak nampak...atau buat2 tak nampak.
Anonymous said…
Anon July 30, 2009 9:37 PM,kata " Presiden dll sudah mendahului memahami konsep ini. "

Yg diorang ni faham lain bro!

pada diorang kerajaan Pakatan tu maknnnya: -
5 Negeri PAS punya.
MB T'ganu - TGHH
MB Kedah - PAS jugak
MB Perak - PAS jugak
MB Selangor - Hassan Ali
KM Penang - sukati lah

TPM - Nasha woiii...

3-4 menteri penuh PAS lagi...

Jgn lepaskan peluang ini....

Tu dia!!! Menarik ke tidak?

Mana nak dapat peluang ini.

Hmmm UG, UG, UG!

Piiirahh!!!
Anonymous said…
Baguih la kalu camtu....5 negeri PAS dapat perintah daripada bagi kat BN, DAP & PKR. Dengki ke?

Salah ke kalau jadi menteri KDN boleh mansuh ISA? Salah ke kalau jadi menteri boleh menjadikan SPR, KEHAKIMAN, POLIS menjadi lebih bebas & adil?

PAS pun dah meletakkan syarat utk UG iaitu buat dulu sperti di atas..??

Masih tak leh pikir lagi ka?

Kalau orang UMNO dan DAP mati, mayat sapa yg kita kena sembahyangkan ikut Islam?
Anonymous said…
Tak sudah-sudah nak bergaduh dan membesarkan perbezaan pendapat.Bodoh.Macam budak2.
nasir said…
tapi YB masyarakat Islam di Jerman tidaklah begitu bebas . Terutama tentang kes pembunuhan penganut Islam dalam mahkamah ketika perbicaraan . Kes ini ditenggelamkan dan sunyi dari pengetahuan dunia dan pembunuhnya bebas .

Tidakkah YB membaca kes ini .
nasir said…
KISAH MUSLIMAH MARWA SHERBINI DIBUNUH DI GERMANY


marwa.jpg


Gambar : Al-Marhumah Marwa, suami dan anaknya

Pada masa yang sama, saya lebih amat tersentak lagi marah dengan pembunuhan Dr Marwa el-Sherbini. Si pembunuh manusia celaka bernama Alex W, penganggur dan penyokong parti pro Nazi German, dia yang berasal dari Russia sebelum itu didapati bersalah mengucapkan kata-kata kurang sopan serta maki hamun kepada Dr Marwa di khalayak ramai pada bulan November yang lalu. Si celaka menjerit melolong kepada Marwa, melaungkan kata "terrorist" dan "Islamist whore" sewaktu berada di Dresden park. Ketika itu, Marwa meminta izin untuk meletakkan anaknya di buaian di taman berkenaan, tetapi si celaka tersebut tidak membenarkan, lalu pertengkaran terjadi.

Si celaka itu diheret oleh Marwa ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman Euro 780. Namun si celaka ini membuat rayuan yang menyebabkan ia bertemu wajah sekali lagi dengan Marwa di mahkamah. Dengan pisau di tangannya si celaka ini menyerbu Marwa yang sedang mengandung tiga bulan lalu menikamnya sebanyak 18 kali di dalam mahkamah di hadapan hakim!.Peristiwa ini berlaku pada 1 Julai 2009 yang llau.

Satu susana yang tidak masuk dek aqal, bagaimana boleh si celaka ini membawa pisau di dalam sebuah mahkamah? Dan bagaimana ia boleh menikam sebanyak 18 kali tanpa gangguan segera dari pengawal dan orang sekelilingnya. Suami Marwa tangkas menerpa untuk membantu namun rupanya mereka terlupa sedang berada di ‘medan perang'. Suaminya ditembak oleh pihak polis semasa ingin membantu isterinya, sedangkan si celaka pembunuh dibiar hidup. Polis menggunakan alas an murahan apabila berkata ‘tersilap sangka', mereka sangkakan suaminya adalah pembunuh. Syeikh al-Azhar Syeikh Muhammad Tantawy mendesak pihak Germany untuk mengenakan tindakan berat kepada si pembunuh. Namun sejauh manakah seriusnya mahkamah akan bertindak terhadap si pembunuh, tidak dapat dipastikan?

Adalah wajar jika dapat pelajar Islam di Germany bergabung tenaga dengan umat Islam di tempat masing-masing menghantar memorandum mendesak tindakan keras ke atas si pembunuh.!

Malangnya, berita ini langusng tidak dihebahkan dan disneypakan dari media barat khususnya. BBC senyap sunyi, sedangkan berita mahkamah Dubai yang menjatuhakn hukuman kepada dua warga British yang mengadakan hubungan seks terbuka di pantai Dubai, dihebohkan, mahkamah dubai dikritik seolah melakukan satu tindakan jahat.

Namun, kisah wanita Islam yang mengandung di tikam di dalam sebuah mahkamah di hadapan hakim di sebuah Negara yang membangun kononnya tidak langsung diambil endah. Teringat saya kepada pengalaman bertamu di beberapa daerah di Germany, tidak disangka begitu hodoh wajah sebenar negara tersebut

Popular posts from this blog

Berakhirnya Drama RUU 355?

Drama perlaksanaan sistem perundangan Islam yang mengambil bentuk usul persendirian YB Marang berhubung Akta 355 kelihatan menghampiri adegan penamatnya. Pada peringkat kesudahannya UMNO/BN kelihatan sebagai pihak yang meraih keuntungan terbesar dengan pembangkang berada dalam keadaan berpecah dan tidak bersepakat. Keutuhan Pakatan Rakyat yang telah mewarnai pilihan raya ke 13 pada 2013 sudah jelas hilang. Yang sepatutnya mengambil tempatnya, iaitu Pakatan Harapan, masih dalam keadaan sedikit terumbang-ambing, khususnya berhubung hubungan dengan PAS.

Tindakan UMNO/BN untuk mensasarkan PAS melalui isu perundangan Islam adalah satu ‘master-stroke’ yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak. Melaluinya bukan sahaja PR berpecah, namun ketidak-tentuan sikap terhadap PAS menyebabkan apa-apa tindakbalas untuk menyelamatkan keadaan menjadi tidak padu dan kurang bersungguh-sungguh. Kebergantungan terhadap PAS oleh pihak tertentu menyebabkan mereka tidak sanggup memutuskan hubungan dengan PAS s…

Kenyataan Media Amanah Mengenai RUU 355

Muqaddimah

Amanah menganggap mahkamah syariah sebagai institusi penting dalam usaha menzahirkan kebenaran dan keadilan Islam. Oleh itu imejnya sebagai institusi yang cekap dan berwibawa perlu sentiasa dijaga. Amanah bersetuju bahawa segala usaha ke arah memperkasakan mahkamah syariah, dari segi kecekapan perlaksanaan undang-undang Islam, perlu disokong dan dibantu.

Kenyataan Berhubung Usul Persendirian Marang: Cadangan Pindaan ke Atas Akta 355

MUQADDIMAH

1. AMANAH ingin menegaskan bahawa Mahkamah Syariah adalah institusi keadilan Islam dan oleh itu apa jua usaha ke arah menperkasakannya adalah disokong. Bidang kuasanya berhubung kesalahan jenayah syariah dijelaskan dalam Akta 355 sediada. Akta 355 ini perlu dijaga dengan baik dan apa jua usaha pembaik-pulihan serta pindaan terhadapnya perlu diperhalusi secara teliti supaya tidak menjejas kedudukan mahkamah syariah.

2. Akta 355 sediada telah digubal mengambil kira kedudukan dan peranan Mahkamah Syariah di dalam kerangka struktur kenegaraan Malaysia yang di dalamnya wujud Mahkamah Sivil dan juga Mahkamah Syariah. Sepertimana diketahui umum, bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah terhad kepada orang Islam dan kesalahan-kesalahan tertentu seperti terkandung dalam Senarai II Senarai Negeri Jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Selainnya adalah di bawah Mahkamah Sivil.

3. Apa jua pindaan yang ingin dibawa semestinya selari dengan kedudukan dan peranan ini supaya tidak berlaku…