Skip to main content

Kejayaan Mempertahankan Manek Urai

Saya telah membaca beberapa analisa berhubung keputusan Pilihan Raya kecil Manek Urai, namun tiada kesempatan untuk menulis hingga petang ini. Ada yang menzahirkan kehairanan atas kemenangan yang tipis. Ada yang memberi bermacam-macam alasan dan penjelasan. Bagi pihak BN dan pro-BN, ianya merupakan keputusan yang kononnya menunjukkan kemerosotan sokongan terhadap PAS, khususnya PAS Kelantan. Timbalan Perdana Menteri dengan bangganya mengistiharkan bahawa ianya merupakan bukti kemaraan PAS telah berjaya dibendung BN hasil kepimpinan dinamik DS Najib! Hebatnya mengampu! Bagi saya, kenyataan beliau merupakan bukti bahawa manusia hanya nampak apa yang dia ingin melihat!

Yang pasti Kelantan bukan seperti negeri-negeri yang lain. Ianya telah berada di bawah PAS sejak 19 tahun yang lalu. Dalam istilah pemasaran, ianya boleh digelar pasaran yang telah tepu dengan produk ‘PAS’. Dalam keadaan sebegini, pertambahan undi secara melonjak tidak mungkin diperolehi mana-mana parti politik. Seperti produk yang telah lama dalam pasaran, yang mahu membeli sudah lama beli, yang tak nak tetap tak nak. Kalau ada perubahan sekalipun, hanyalah sedikit.

Keadaannya lain sepertimana yang telah berlaku di Pulau Pinang dan Perak. Di situ, PR merupakan produk baru. Selepas kemenangan melalui PRU ke-12, pilihan raya kecil menghasilkan lonjakan yang membanggakan kerana rakyat yang selama ini terpengaruh dengan propaganda BN tiba tiba menyedari kelebihan ‘produk baru’ yang bernama ‘PR’ itu. Maka yang tidak mengundi PR dalam PRU ke-12 mengundinya dalam PR kecil yang berikutnya.

Hakikat ini disedari BN apabila mereka menyusun strategi untuk memenangi Manek Urai. Pada PRU ke-12, seluruh Negara menumpukan perhatian kepada pilihan raya umum. Pengundi dan penyokong PAS di luar Kelantan telah kembali ke tempat masing-masing untuk mengundi PAS termasuklah mereka yang mengundi di Manek Urai. Undi sebanyak 5,746 yang diperolehi PAS pada masa itu sedikit sebanyak menggambarkan undi maksima yang mungkin PAS perolehi di Manek Urai dalam kelompok pengundi berdaftar yang sedia ada. Undi ini terdiri dari penyokong PAS tegar dan juga pengundi atas pagar yang condong pada PAS.

BN sedar bahawa untuk mencapai kemenangan mereka perlu lakukan dua perkara. Pertama mereka perlu kurangkan undi yang akan diperolehi PAS. Ini dilakukan dengan menentukan pengundi Manek Urai yang menyokong PAS yang berada di luar Kelantan sukar untuk kembali. Ini tercapai dengan menetapkan hari mengundi pada hari Selasa. Mereka sedar kebanyakan pengundi luar adalah penyokong PAS kerana selain dari mengenali kebaikan PAS di Kelantan mereka juga terdedah kepada kejahatan BN di luar Kelantan! Teknik kedua untuk mengurangkan undi PAS ialah dengan memujuk pengundi PAS dengan menjelaskan bahawa sekiranya Manek Urai jatuh pada BN sekalipun, Kelantan tetap berada di bawah PAS. Maka kemenangan di Manek Urai tidak kritikal bagi PAS. Sambil itu kemenangan BN akan menghasilkan ‘jambatan baru’! Hujjah seperti ini dituju kepada penyokong PAS yang belum boleh lagi dikelaskan sebagai penyokong ‘tegar’.

Usaha BN walaupun dilakukan dengan begitu gigih tetapi hanya berjaya menghasilkan penurunan undi bagi PAS dari 5,746 ke 5,348 sahaja. Ini merupakan penurunan sebanyak 398 undi sahaja! Sekiranya 100 adalah disebabkan kesukaran kembali untuk mengundi, maka ‘rasuah politik’ BN hanya mampu menarik 298 undi ‘atas pagar’ rakyat Kelantan. Ini bagi saya membuktikan keberkesanan ‘tarbiyyah politik’ yang dilaksanakan di Kelantan.

Kedua, BN sedar selain dari mengurangkan undi PAS, mereka perlu menambah undi untuk BN. Bukan dengan mengusahakan perubahan undi dari PAS ke BN, kerana ini sukar, tetapi dengan mengadakan pengundi tambahan. Ini dilakukan dengan mengesan pengundi yang tidak mengundi semasa PRU ke-12 dahulu. Mereka yang tidak keluar mengundi merupakan jenis yang tidak ambil kisah. Mereka ini boleh digerakkan untuk keluar mengundi sekiranya ‘tarikan’ dan ‘tawaran’ memadai ataupun berbaloi. Maka pada PRU ke-12, semasa satu negara menumpukan perhatian kepada hari mengundi dan hari mengundi di adakan pada hari Sabtu, hari cuti, hanya 83.4% keluar mengundi. Tetapi, pada pilihan raya kecil yang diadakan pada hari Selasa, hari kerja, 87% keluar mengundi! Ini membuktikan kejayaan BN dalam menggerakkan golongan yang sebelum ini tidak mengundi kerana tawaran dan tarikan yang diadakan. Namun kejayaan mereka tidak mencapai tahap sepertimana yang diharapkan. BN hanya berjaya menambahkan undi mereka dari 4,394 kepada 5,283, yang masih 65 undi kurang dari apa yang diperolehi PAS.

Bagi saya kemampuan PAS Kelantan mempertahankan kemenangan di Manek Urai dengan kemerosotan undi sebanyak 398 undi itu dalam keadaan sedemikian adalah amat menakjubkan. Walaupun dikatakan oleh BN bahawa ini merupakan bukti bahawa rakyat telah kembali menyokong BN, bagi saya ianya adalah sebaliknya. Keputusan ini membuktikan kemampuan PAS mempertahankan kerusinya yang sedang di‘serang’ habis-habisan oleh BN dengan segala kekuatannya. Hakikatnya sokongan terhadap PAS dari segi jumlah undi yang diperolehi tidak terjejas! 5,348 pengundi tidak goyah atau tergugat keyakinan mereka walaupun berhadapan dengan tawaran-tawaran BN.

Sekiranya BN ingin menyedapkan hati mereka dengan mengatakan bahawa rakyat telah kembali menyokong mereka, maka terpulanglah. Walaupun itu merupakan satu kesimpulan yang jelas meleset yang akan membawa padah pada diri mereka sendiri semasa PRU atau PR kecil yang akan datang dan insyaAllah akan membawa kejayaan yang lebih besar kepada PR.

WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD

Comments

Abuzar said…
YB. K,
Biarkan Luncai UMNO terjun dengan "Labu-labunya" .... biarkan! ....biarkan! ......

Yang penting adalah keimanan, keyakinan dan semangat juang kita untuk ISlam!
Biarlah merosot undi, jangan merosot iman.
Biarlah kalah undi, jangan kalah parti.
Biarlah lemah marais undi, jangan lemah semangat pengundi.

Pemimpin mesti kobar semangat jihad ahli. Pemimpin mesti gerakan parti. Pemimpin mesti mendepani rakyat. Pemimpin mesti bijak dan berani. Pemimpin mesti langkau segala kerenah peribadi, halangan pendengki, mengorak langkah gagah mara tanpa ragu menjunjung panji2 Illahi. Allahu akbar!
Abang Ily said…
Salam YB,

Ada penjelasan bagaimana jumlah keluar mengundi paling tinggi dalam sejarah PRK? walhal hujah YB pengundi luar ada kesukaran untuk pulang.
milestone said…
Dari segenap sudut kehidupan; ISLAM tidak memerlukan 'melayu' untuk menghidupkan bumi, TETAPI 'melayu' memerlukan 'ISLAM' untuk hidup bahagia di bumi.
Maka, dgn itu, hujah 'jambatan baru', ekonomi agropolitan :-) dan wang emas semata-mata tidak akan dapat menjadi penentu dipenghujung matlamat, sekiranya hujah itu berjaya juga merentasi garisan matlamat itu, percayalah!! IANYA sesuatu yg 'fragile' dan tidak bertahan lama..

Kepada Melayu sekalian, ayuh kuatkan pecutan 'ISLAM',tinggalkan kayuhan 'Melayu'!
Ahli PAS Hulu Langat said…
Salam,

Sdra E2-3A,
kan YB dah sebut, BN menggerakkan golongan yg tidak keluar mengundi pada PRU12. Diorang check kat daftar pemilih, tengok siapa yg tak keluar mengundi pada PRU12 dulu. Orang2 ini menjadi sasaran mereka untuk di 'ajak' mengundi BN. Itulah sebabnya jumlah yg keluar mengundi bertambah.

Camtulah yg aku fahamkan.

Mula2 aku pun tak faham apa itu, pasaran yg tlh tepu. Tapi setelah baca banyak kali baru faham.

Analisa YB ini lain dari analisa orang lain.

Tima kasi Yb kerana berkongsi pandangan kami.


Forever PAS.
Anonymous said…
biasalah YB...kalaulah kat Trengganu kita kurang majoriti, mesti YB dah cakap PAS Trengganu tak pandai berstrategi...ataupun PAS Trenganu tak ada pemimpin bijak kerana semuanya dah obsolete ataupun pimpinan PAS Trengganu dah mula ditolak pengundi.

bila kena kat Kelantan ja semuanya salah musuh...kah..kah..kah..

tak payah nak pening2 buat analisa keputusan pilihanraya MU... yg jelasnya rakyat dah mula muak dgn mainan politik berterusan dan mereka juga dah mula bosan dgn kepimpinan tok guru nik aziz..
Anonymous said…
semasa muktamar, ahli pas menolak kepimpinan tok guru..

semasa prk manik urai, rakyat pula menolak kepimpinan tok guru...

signal telah diberi..
so it's high time...

drpd suara islam.

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.