Skip to main content

Menghadapi Kemenangan PRK Kuala Terengganu

Pilihanraya Kecil KT telah selesai dan AlhamduliLlah, calon PAS/PR telah muncul sebagai pemenang. Maka bertambahlah kerusi Parlimen PAS dan PR dan agenda perubahan di peringkat pusat terus hidup!

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada calon, PAS, DAP dan PKR. Usaha-usaha para pemimpin, serta ahli dan penyokong yang seolah-olah tidak kenal penat-lelah telah mencapai hasil yang diinginkan. Tidak dilupai juga peranan ahli Kelab Penyokong PAS yang telah turun beramai-ramai membantu calon PAS di KT.

Saya ingin juga menyatakan tahniah kepada pengundi kerana membuat pilihan yang tepat. Semoga Allah memberi kami kemampuan untuk menunaikan tanggung jawab kami terhadap pengundi dengan sebaik yang mungkin.

Dalam pada keghairahan kita menyambut kemenangan ini, perlu juga kita akui bahawa PR kecil ini telah mendedahkan beberapa kelemahan yang perlu diatasi sebelum datangnya PRU ke 13. Ini adalah kerana pada PRU ke 13 kelak, PAS tidak akan lagi dapat dibantu oleh DAP dan PKR sepertimana kita dibantu pada masa ini. Ini adalah kerana pada masa itu, masing-masing akan sibuk dengan kawasan dan negeri masing-masing. Kita tidak akan mampu mengadakan program demi program, hari demi hari, malam demi malam bersama pemimpin-pemimpin PR sepertimana di Kuala Terengganu.

Walaupun analisa mendalam atau ‘post-mortem’ belum lagi siap dilakukan PAS Pusat, saya ingin mengenengahkan beberapa perkara untuk kita berfikir bersama. Sebelum itu, perlu saya sebut, mereka yang sensitif dan tidak mahu dengar teguran dan hanya ingin pujian, harap berhenti membaca di sini sahaja. Terima kasih.

Di antara perkara-perkara yang saya fikir perlu diberikan tumpuan oleh pimpinan PAS khususnya adalah seperti berikut:-

1. Senjata utama BN adalah tindakan dan dasar-dasar tertentu yang telah dilaksanakan oleh PAS semasa ia memerintah Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004
Ini jelas dari strategi BN menyebar buku kecil berjudul ‘masihkah kau ingat’ yang mengandungi gambar-gambar dan ulasan-ulasan yang mengingatkan pengundi Terengganu akan dasar-dasar dan tindakan-tindakan PAS yang tidak popular semasa PAS memerintah Terengganu satu masa dahulu. Saya difahamkan bahawa buku kecil yang sama telah diedarkan semasa PRU ke 12 bulan Mac 2008 yang lalu dan ini adalah di antara sebab kekalahan kita di Terengganu.

2. Kegagalan kita mendapat sokongan yang lebih meluas dari kalangan masyarakat Tiong Hua di KT
Di antara yang paling ketara adalah kegagalan kita mendapat sokongan yang lebih meluas dari masyarakat Tiong Hua. Kita gagal melakukan ini walaupun kita dibantu oleh pemimpin-pemimpin masyarakat Tiong Hua yang masyhur di Negara kita seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Tian Chua dan seluruh kepimpinan DAP dan PKR! Ini membuktikan wujudnya satu tahap ketidak-yakinan yang begitu menggunung terhadap PAS di kalangan masyarakat Tiong Hua di KT. Ini merupakan masalah yang perlu dikaji dan ditangani.

Saya faham ada beberapa penjelasan dan tafsiran yang telah dan sedang dikemukakan oleh berbagai pihak berhubung persoalan undi masyarakat Tiong Hua ini. Walau apa sekalipun penjelasan dan tafsiran, hakikatnya sokongan mereka adalah jauh kurang dari apa yang diharapkan.

3. Jentera dan perancangan kegiatan kempen yang perlu dipertingkatkan
Satu lagi aspek yang didapati menghairankan adalah pengurusan kempen yang kelihatan agak lemah. Risalah-risalah adalah begitu terhad dan program ceramah yang saya hadiri pun tidak jelas samada disusun oleh AMK atau PAS. PAS seolah-olah lebih cenderung kepada corak kempen senyap-senyap, melalui lawatan ke rumah-rumah dan tidak begitu berminat untuk mengadakan program ceramah besar-besaran.

4. Masalah dalaman PAS yang tidak di atasi
Masalah dalaman ini biasanya dapat diatasi dalam kehangatan suasana PR kecil. Malangnya didapati ini tidak berlaku dengan sepenuhnya semasa di KT. Masih kedengaran tuduhan golongan “Erdogan tidak turun” sedangkan semua yang dituduh sebagai ahli golongan Erdogan ini, termasuk diri saya, sibuk berkempen. Yang paling gigih yang saya lihat adalah YB Syed Azman sendiri yang walaupun tidak lekat sebagai calon, tetapi terus berceramah dan berkempen seperti biasanya.


CADANGAN-CADANGAN

Dalam menangani isu pertama, yang pasti akan tetap menjadi senjata BN menjelang PRU ke-13, mungkin PAS Terengganu perlu mengakui kesilapan dan keterlanjuran sekiranya telah berlaku kesilapan dan keterlanjuran ini. Jangan kita menganggap pengakuan sebegini merugikan. Sebaliknya ia akan menyebabkan rakyat kagum akan keikhlasan dan ketelusan kita. Mungkin kita boleh mengaku kita tersilap kerana dulu kita pun baru dan bergerak bersendirian dan oleh itu melakukan kesilapan-kesilapan ini. Kesilapan seperti menutup Tadika KEMAS, melantik isteri menjadi Ahli Lembaga Anak Syarikat Kerajaan Negeri (GLC), menaja pengajian anak exco kerajaan negeri dengan duit zakat dan sebagainya seperti yang dijaja UMNO melalui buku kecilnya. Kesilapan yang pada dasarnya boleh dikatakan ‘tidak salah’ dari sudut syara’ bila dikaji sepintas lalu, tetapi amat dangkal dari sudut kebijaksanaan politik, hikmah perjuangan dan dasar ‘anti-kronisma’ yang ingin dibawa.

Walau apa pun yang diputuskan, hakikatnya, ‘stigma’ yang lama akan sentiasa bersama PAS di Negeri Terengganu ini. Sekiranya kita ingin mempertahankan dasar-dasar yang jelas merugikan kita dulu sehingga menyebabkan kita diturunkan pada 2004 dan tidak dipilih kembali pada 2008, maka kita akan tersilap langkah. Ego kita membutakan kita. PAS Terengganu perlu membersihkan imejnya yang malangnya telah terpalit dengan kes-kes seperti yang disebutkan tadi, menyatakan kita telah belajar dari pengalaman lepas dan akan mentadbir dengan jauh lebih baik dari dahulu. Dalam erti kata lain, PAS di Terengganu perlu melakukan sedikit ‘rebranding’.

Kemunculan saf pimpinan baru di Terengganu yang terdiri dari golongan muda boleh membantu ke arah ini. Individu-individu seperti YB Abdul Wahid Endut dan YB Syed Azman perlu diberi ruang untuk mengasaskan hubungan yang lebih mesra di antara PAS dengan masyarakat awam. Ianya boleh membawa kepada kesedaran bahawa sudah berlaku perubahan yang lebih positif di dalam PAS itu sendiri dan kesilapan lama tidak akan diulang lagi.

Di kalangan masyarakat Tiong Hua, dikatakan isu yang paling sensitif ialah soal kuil yang kononnya ingin dirampas PAS semasa PAS memerintah dahulu. Isu ini, seperti isu-isu yang ditonjolkan melalui buku kecil BN perlu diperjelaskan. Mungkin ada yang akan berkata, “telahpun dijelaskan!”. Namun, yang jelas bahawa penjelasan yang telahpun dibuat tidak memadai, maka kena jelaskan lagi.

Sekiranya benar dakwaan MCA bahawa masyarakat Tiong Hua tetap bersama BN, ini bererti tugas kita semakin sukar kerana ia membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin Tiong Hua seluruh Negara, bersama ahli-ahli Kelab Penyokong PAS kita, semuanya tidak mampu mengatasi penolakan masyarakat Tiong Hua Terengganu terhadap PAS Terengganu! Saya sebenarnya telah mendengar keluhan orang Tiong Hua sendiri semasa berkempen di Batas Baru. Dia menyebut pimpinan PAS Terengganu tidak mesra terhadap mereka. Kiranya begitu, sambutan Tahun Baru Cina ini, PAS Terengganu perlu membuat sesuatu untuk mendampingi dan bermesra dengan mereka. Hakikat kita membela semua golongan masyarakat perlu dibukti melalui amalan dan bukan sekadar retorika! Ini cadangan saya berhubung isu kedua.

Dalam isu ketiga saya ingin menyebut, program senyap-senyap sesuai untuk pengundi saluran 1 dan 2 tetapi tidak untuk yang lebih muda. Mungkin saya tersilap dan tidak mendapat maklumat sepenuhnya. Mungkin perancangan program kempen tersusun rapi tetapi kami dari Selangor yang berada di rumah Selangor tidak dimaklumkan. Saya hanya cerita apa yang saya lihat dan kalau silap, maafkan sahajalah. Saya membandingkan dengan suasana kempen di Permatang Pauh, bagaimana risalah-risalah bertimbun dan tuduhan-tuduhan BN dijawab secara tersusun dan terperinci. Semua yang hadir, samada petugas atau pengundi merasai diri mereka terlibat dalam satu peristiwa yang besar dan hebat. Di KT suasana jauh lebih dingin.

Ada yang berpuas hati kerana kita menang. “Dah menang cukuplah! Apa hendak lagi?” Inilah sebenarnya masalah kita, mudah berpuas hati dan tidak mahu memperbaiki kelemahan yang wujud, untuk masa depan. Ada pula yang membawa pendekatan yang lebih klassik, “Kita menang berkat wala’ dan istikharah pimpinan”, apa dulu tak wala’ dan tak istikharah ke? Semua persoalan ingin dipermudahkan. Memang betul, wala’ dan istikharah penting, tetapi penting juga usaha, perancangan dan kesungguhan mematah serangan musuh.

Perlu kita putuskan mana yang lebih relevan bagi diri kita dalam berhadapan dengan Pilihan Raya, kaedah Isra’ dan Mi’raj atau kaedah Hijrah? Kalau Isra’ dan Mi’raj kita serah sahaja kepada Allah, bertawakkal dan berserah bulat. Tiada yang perlu kita lakukan kerana dalam peristiwa ini semua telah Allah tetapkan ke atas Nabi besar kita Muhammad (SAW). Tetapi kalau kaedah Hijrah, maka banyak yang perlu dikaji, disusun serta di atur dan sambil berusaha, bertawakkal kepadaNya.

Bagi isu ke-empat dan yang terakhir, pimpinan PAS, khususnya pimpinan PAS Terengganu perlu menamatkan dan mematikan buat selama-lamanya isu ‘golongan Erdogan’ yang kononnya wujud di dalam PAS. Semua usaha untuk memecah-belahkan PAS perlu ditangani dengan tegas. Perbezaan pendapat tidak semestinya dilihat dari sudut berpuak-puak atau berkumpulan. Sebaliknya ia perlu dibincang dengan ikhlas dan terbuka. Amat malang bagi PAS kerana wujudnya kecenderungan untuk ‘melabel’ orang-orang tertentu dengan label2 tertentu. Ini merupakan penyakit semenjak tahun 80an lagi dengan label2 seperti ‘IRC’, ‘JIM’ dan sebagainya dan kini timbul pula ‘Erdogan’.

Pendapat saya berhubung dengan persoalan ini ialah bahawa puncanya adalah kelemahan keperibadian dan ketidak-mampuan berhujjah orang yang memulakan pertuduhan ini. Oleh kerana dia tidak mampu berhujjah, maka dia mencari kaedah yang paling mudah untuk menghalang sesuatu pendapat atau seseorang dari berpengaruh di dalam PAS. Dia menggunakan istilah-istilah yang dianggap akan menimbulkan kesangsian ahli biasa terhadap pendapat atau peribadi berkenaan. Dia menggunakan juga networkingnya yang sedia ada oleh kerana dia ‘orang lama’ dan dikenali ramai dan dengan itu mewujudkan satu ‘mental block’ terhadap ide-ide dan cadangan-cadangan baru yang dianggap berlainan.

Keadaan ini sekiranya tidak ditangani dengan baik dan segera oleh pimpinan PAS akan mendatangkan masalah besar bagi PAS dalam tahun-tahun akan datang. Semua masalah akan menjadi lebih besar dan lebih dahsyat menjelang PRU ke-13. Ini adalah kerana PRU ke-13 dilihat sebagai PRU yang berpotensi untuk membawa perubahan di peringkat Pusat. Pada masa itu tuduhan ‘Erdogan’ dan ‘penyokong Erdogan’ akan berterbangan dengan begitu ghairah sekali, kecuali ianya dihentikan sekarang!

WalLahu 'Alam

Comments

Al-Bakistani said…
ana sokong analisa ini...

pada ana, rajab Taib Erdogan seorang ahli politik yang bertindak menterjemahkan siyasah syariyyah di turki dengan tepat...

ada sesuatu yang wajib kita belajar dari beliau...

analisa ana tentang erdogan;
http://g-82.blogspot.com/2009/01/kagum-cara-erdogan-dan-dr-burhanuddin.html
Ikemen said…
assalamulaikum YB,
saya menyukai artikel ini,ia telus mengatakan kelemahan PAS.

bagi yang sensitif, mungkin agak sukar menerimanya.

tapi bagi saya, berkata benar walau pun pahit adalah jalan terbaik untuk kita muhasabah kesilapan diri kita.

jazakallah.
abdrahim kassim said…
YB,
Inilah penyakit besar yang ada dalam PAS terutama bagi bahagian akhir tulisan YB.

YB tahu, saya tahu dan ramai lagi yang tahu siapa kalangan pemimpin PAS yang berperangai seperti YB sebutkan itu.

Bagi saya kehadiran mereka itu dalam pas tidak lebih sebagai agen (dibayar atau tidak dibayar)imperialis yang mahu menggagalkan gerakan Islam.

Benar kata YB, sejak tahun 80an mereka ini dilihat cuba menimbulkan konflik dalaman PAS bagi menimbulkan kecurigaan sesama ahli.

Samada mereka ini merancang atau tidak, dibayar atau tidak, yang jelasnya PAS berhadapan konfik yang ditimbulkan.

Sebab itu dari awal saya menyatakan, usaha YB ini bagus untuk membersihkan PAS dari susupan pengaruh-pengaruh negatif ini.
Anonymous said…
assalamualaikum YB

ana setuju pandangan ni. dan muhasabah ni tapi jgnlah tulis dalam ni, sebab ia berkaitan dengan masalah dalaman.

YB ada kapasiti sebagai YDP kawasan Shah Alam, YB ada Kapasiti sebagai ajk Lajnah Politik PAS Pusat.kenapa YB tak salurkan melalui saluran tersebut.

YB memang hebat..tapi tolong jaga benda2 dan lobang2 yang boleh mendedahkan serangan musuh..

contohnya...tidak pelik selepas ini media akan mainkan isu erdogan ini betul.. sedangkan di dalam kenyataan pimpinan sebelum ini ia di nafikan.

malah YB husam sendiri menafikan..

ana cuma ahli PAS biasa..
zaydlekhair said…
1.saya fikir kelemahan2 ini adalah 'rahsia' dalam pengetahuan umum. pula ia bersifat terdedah kepada kepentingan umum kerana berlaku di peringkat tinggi spt pelantikan isteri, penutupan tadika kemas, penggunaan biaya zakat. justeru ia adalah kesilapan yg berlaku secara 'terang' dan perlu dipernyatakan secara terang juga kerana ia berkepentingan umum, sebagaimana kata imam Ghazzali tentang pembaikian kesilapan "al-'alaaniyyatu bil'alaaniyyati, wassirru bissirri".
2. tentang isu erdogan, ia adalah pengalaman dakwah gerakan islam yg berlaku dalam masyarakat yg berbeza, tetapi perlu dimanfaatkan. PAS mesti berusaha memastikan bahawa perbezaan pandangan tentang manhaj dan metodologi dakwah di Malaysia tidak perlu sampai ke tahap "pembahagian@perpecahan" spt yg berlaku pada AKP dan Sa'adet.
3. pernyataan komen "sebagai agen imperialis" berbunyi begitu melukakan bagi sahabat dlm dakwah. barangkaliada perkataan lain lebih sesuai kot.
ALI MAIDIN said…
Makluman : SABTU 7 Mac 2009 Tarikh Perhimpunan Raksasa Menentang PPSMI oleh GMP
Abu Razeen 2 said…
saluran undi mesti betul.

tegur jemaah pun mesti betul saluran.
Abu Razeen 2 said…
1. Pas perlu analisa kenapa 30252 makhluk masih undi umno dan bn yg makin terserlah zalim.

zalim dari sudut aqidah( tolak hudud), dari segi ekonomi ( perompak berlesen khazanah negara ) dan sosial (ISA, tindas negeri2 pr) dll.

Sbg du'at kpd mad'u, persoalan ini mesti dikaji.

Sbg parti politik kpd voters, isu ini perlu dirungkai bagi hadapi pru akan dtg.

2. utk mengundi, saluran perlu betul.

utk perbetul jemaah, perlu ikut saluran.

sy setuju dgn ahli Pas , masalah dalaman parti perlu diselesaikan dgn cara lebih adil (dgn bukti), dan lebih bijaksana dan elak beri bullet pd umno dan media jelek mrk.
( lihat teguran sy dlm blog al bakistani dlm isu dr Hasan Ali).

Contoh bila bro. sebut Pas T'ganu dgn indirect insinuation ia jadi bahan spekulasi yg tak sihat dan sebenarnya untungkan puak2 yg suka melabel ini yg sy sendiri pun tak faham .......mrk ini tak pernah baca surah al hujuraat ke?

So, sy rasa rujukan bro. kpd Pas T'ganu perlu lebih adil dan berfakta. Dan paling baik, klu pun ada kes, bentang dan bincang secara ukhuwwah islamiyyah dlm mesyuarat parti.

klu bro. tak suka cara geng anti erdogan ini berperangai, pls don't fall in their trap and become just like them.
shahirMarang said…
bravo YB..satu analisis dan pendapat yang bagus dan bernas untuk sama2 kita fikirkan...memang tidak dapat dinafikan banyak isu berlaku semasa zaman pemerintahan PAS 1999-2004. Kebanyakkan isu2 ini telah memburukkan nama PAS itu sendiri..Saya percaya post mortem yang mengakui kesilapan sendiri boleh membantu menaikkan semula PAS di terengganu.
Anonymous said…
Saya jugak sebagai ahli parti tetapi ingin memperjuangkan 'kebebasan memberi pendapat' dalam PAS.

Pada saya jika PAS ingin mendapat tempat di arus perdana, PAS perlu bertindak sebagai parti arus perdana.

Perkara yang penting yang perlu dibuat pada saya ialah PAS perlu menyuburkan budaya memberi pendapat secara terbuka dan bebas.

Pada saya tidak ada apa yang perlu ditakutkan jika masalah dalaman diketahui umum, kerana jika sudah menjadi isu maka semestinya jalan penyelesian dan tindakan SEGERA perlu diambil. Jika masalah selesai dengan sendirinya nama buruk boleh terpadam.

Cumanya masalah utama dsini adalah saluran penerangan. PAS perlu memikirkan satu kaedah dnamik untuk menyelesaikan kemelut ini. PAS tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah ceramah umum semata-mata dalam menyalurkan maklumat. Kaedah yang lebih berkesan perlu dicari untuk memastikan semua maklumat sapai kepada semua.
Anonymous said…
Askm...saya cadangkan YB agar dedahkan perkara ni kat TV3 atau RTM ( diorang dah tahu pun dgn disclose ni)...pasti lebih gempak...
Unknown said…
senang sekali membaca analisis ini. tapi saya menjangkakan wabak denial syndrome akan terus menebal.

saya masih berpegang bahawa di alam politik, kebaikan dan ilmu yang banyak masih tidak mencukupi. selebihnya dan yang utama adalah kelincahan bertindak. dah nama ahli politik, maka kena lincahlah berpolitik. ada gagasan yang berlangkah2 lebih jauh (saya terkenang almarhum ust fadzil...)

ketiga - menganggap bahawa bantuan orang luar kurang penting adalah kesilapan besar di kuala terengganu. banyak rungutan didengar daripada rombongan luar.

tak percaya? ya, itulah denial syndrome yang saya katakan tadi.

akhirnya, hujah bahawa 'teguran mesti melalui saluran yang betul' adalah skrip umno/bn dalam usaha menguruskan krisis sesama sendiri. takkan nak tiru kot?
Anonymous said…
Satu pandangan buruk lagi dengki....saya ingatkan Khalid seorang yang di anggap sebagai pemimpin oleh orang bawahan bersikap pandai menilai serta menyelidiki dahulu segala apa yang berlaku.

Rupanya Khalid mempunyai pandangan seperti UMNO terhadap PAS di Terengganu, mempercayai 100% apa yang di dakyahkan oleh UMNO lantas menuding jari kepada pimpinan PAS di Trg dengan meletakkan mereka di kandang yang salah dan di paksa meminta maaf kepada apa yang mereka tidak lakukan.

Halau pelajar TADIKA! Apa kamu khalid pernah bertanya kepada pimpinan PAS Trg cerita sebenar?!! apa yang perlu PAS minta maaf, apabila KEMAS hanya memindahkan pelajarnya ke BANGUNAN LAIN YANG TELAH SIAP DI BINA dengan memaksa budak-budak tadika menjunjung kerusi pada pukul 12 tengahari...PAS terengganu kena minta maaf ke? mu ni khalid kalau nak gila-gila la sorang diri jangan dok babitkan orang lain.

Syed Azman kerja keras...jangan sembunyikan bangkai gajah dengan daun keladi...malu ke orang...aku sejak 24 Disember 2008 sehingga 17 Januari 2009 bertugas di dun Batu Buruk jangan ke tubuh batang hidung budak Syed Tu pun tak nampak...aku hadir mesyuarat DUN Batu Buruk...pun tak ada...aku hadir mesyuarat JPN Negeri pun tak ada...kerja kat mana? KL...dah la jangan dok berlagak

kalau tak puas hati
aku907@yahoo.com.my
Anonymous said…
ekelleeh aku907@yahoo.com.my. Kalau tak puas hati kasi email konon! Macam la bagus sgt bagi email dia yg pun anonymous. Bagi la nama penuh, alamat dan no telefon kalau betul2 terer... Ini la masalahnya kalau tak boleh nk kena tegur, semua benda kata dia je betul. YB Khalid dah kata, kalau mmg tak bleh nk di tegur, nk kena puji je, pegi la baca blog lain atau baca kamus dewan bahasa je
Anonymous said…
Bukan masalah tak leh tegur..bro..tapi kalau dah wakil Rakyat PAS dok terikut dengan fitnah UMNO tanpa soal siasat..kemudian dok kata PAS Terengganu tak buat apa...kenapa tak sebut counter yang PAS Terengganu Buat??...ni pasti ada niat jahat..sekarang sapa yang tak leh di tegur?? ingat jadi MP kawasan elit macam Shah Alam tu bagus sangat, belajar la reti nilai politik orang, jangan dok rasa pandai sanagat...asal komen kamau tak perlekeh PAS terengganu tak leh ke...menang pun perlekeh lagi...kalau kalah baru ni SAH aku jamin khalid suruh Presiden letak jawatan....

lepas ni suruh la juak-juak balas reply aku ni.

bukan takut kalau takt kau tu..send la no fonkau ikut emai aku tu..nak tahu
Anonymous said…
salam,

1. sedih dan malu lak tengok adab dan disiplin pemimpin gerakan yang mengaku memperjuangkan Islam macam ni.. dari tulisan tu kita dah boleh baca sikap dan pendirian pak khalid.. malu rasanya.

pd awalnya nampak mmg mcm satu analisa yang ikhlas dan jujur tp akhirnya pak khalid terperangkap dgn ayat sendiri.. sedih lak.

2. Konsep "Qulil haqq walau kana murran" tu mmg betul, tp nampak gayanya Pak Khalid kurang bijak dari sudut aplikasi.. level pimpinan pusat dah ni!

"Mungkinkah punca kpd semua ni adalah kerana PAS dah terlebih sgt fokus kpd politik dari dakwah dan tarbiah sekarang ni?"

Wallahul Musta'aan.
Anonymous said…
salam,

Patutlah pak Khalid kebelakangan ni banyak tulis dalam BI sebab bila tulis dalam BM, ada jer yg tak faham.

Pak Khalid sebut, isu2 yg digunakan oleh BN yg terbukti berkesan pada 2004 dan 2008, Isu2 ini akan terus digunakan mereka pada PRU13.

Pak Khalid sebut "Dalam menangani isu pertama, yang pasti akan tetap menjadi senjata BN menjelang PRU ke-13, mungkin PAS Terengganu perlu mengakui kesilapan dan keterlanjuran sekiranya telah berlaku kesilapan dan keterlanjuran ini."

Point Pak Khalid ialah- PAS mesti berani mengakui kesilapan sekiranya telah berlaku kesilapan. Kalau tidak silap maka isu tu perlu diperjelaskan. Ini telah dinyatakan dalam tulisan beliau seperti berikut:

"seperti isu-isu yang ditonjolkan melalui buku kecil BN perlu diperjelaskan. Mungkin ada yang akan berkata, “telahpun dijelaskan!”. Namun, yang jelas bahawa penjelasan yang telahpun dibuat tidak memadai, maka kena jelaskan lagi."

Ini lah masalah orang sensitif. Saya rasa banyak teguran yg berguna yg telah disampaikan. Hanya nak dengar atau tidak. Seperti cadangan mengadakan program tahun baru cina.

Satu lagi yg saya pelik, anon aku907@yahoo.com kata dia berada dari 24 Disember 2008 hingga 17 Jan 2009 di KT dan tak nampak "budak Syed tu". Tidok ke? Memenag sah tidok! Hari pengistiharan calon satu Malaysia nampak dia hadir. Hari penamaan calon dia berada disisi Wahid Endut. Program Pak kahlid pun yg hanya dari 13-15 Jan beliau sempat berceramah dengan "budak Syed tu" di Kubang Ikan.

Bila perasaan benci menguasai seseorang, penialaiannya kabur dan tidak adil.

Kalau tak boleh terima teguran dan nasihat, pegi lah baca blog lain yg hanya memuji2 sehingga tenggelam dgn pujian....
Anonymous said…
YB ana pun cadang dedahkan terus kat TV3.TV2..ke Astro Awani atau RTM..

mesti TV2 ni bagi laluan..tajuknya "Diskusi Kelemahan-kelemahan PAS dalam PRK Kuala Terengganu..

baru lah betul2 terbuka.. PAS kan parti yang sangat terbukaaaaa.

apa barang main dalam internet jerrr..

Lepas ni baru UMNO mudah nak hemtam PAS
Anonymous said…
YB,

Ana dah lama nak cakap. Kali ni ana mesti cakap jugak.

YB, tak payah lah nak susah payah menegur atau mencadangkan apa2 pada diorang ni. Biarkanlah saja mereka dengan fahaman mereka.

Orang Cina tak mengundi PAS pada PRK KT pada kali ini. Walaupun setelah DAP dan PKR berusaha bersungguh2.

Nanti PRU13, PR menang di negeri2 lain, Terengganu takkan nak tengok jer! Nanti nak gabung dengan UMNO pulak...

parah, parah...
Anonymous said…
Salam. Kalau tak leh label kumpulan Erdogen, ngape duk ulang label PAS Trg tak habis-habis. Nak juzukkan PAS ikut negeri2 pulak ke atau memang anti ke Presiden yang kbtulan orang Trg..
Anonymous said…
YB...saya bukanlah hebat tahap Ir macam YB.tahap YDP PAS Shah Alam mcm YB.tahap ahli lajnah politik pas pusat mcm YB..

tapi saya rasa YB ni pening sebab dah memerintah kerajaan kot.. tak tau nk beza antara kerajaan negeri dengan Jamaah..

saya setuju dalam kerajaan negeri kita perlu telus, supaya rakyat nampak apa yg kita buat...supaya rakyat tahu menilai pemimpin mereka..

tapi dalam Jamaah ada benda yg perlu telus dan dirahsiakan...bukan main semborono je..

ataupun saya YB ni dah ketagih main blog...tu yg main masuk je dalam blog..nak popular supaya orang nak angkat YB..

YB dalam Jamaah PAS ni kalu teringin sangat ke popular nak jawatan insyaAllah tak lama..paling kurang masuk PKR pas ni..paling teruk masuk MIC...

dalam PRK Kuala Terengganu dah terbukti..org yg nak sgt ke Jawatan akan tak dapat..last2 org yg x nk terpilih..menang pulak tu..

YB...insaflah sebelum terlambat
Anonymous said…
Saya bersetuju dengan al-Bakistani. Pemikiran dan strategi Erdogan harus diteliti dan dikaji.

Anyway, apa salahnya dalam merangka strategi ke putrajaya dengan menggunapakai strategi dan pendekatan Erdogan?

Apa salahnya pendekatan itu dan kumpulan yang menggunapakai pendekatan itu dipanggil kumpulan erdogan?

Marilah sama2 kitra "Merangka strategi ke Putrajaya!"
Anonymous said…
Pak Khalid ni nampak macam sour grape ...kalau boleh agaknya dia nak Hj wahid kalah supaya dapat ditempelaknya Tn Guru Presiden dan Pas trengganu sekuat-kuatnya.

tapi kan..kita merancang, dan Allah juga merancang. Perancangan Allah lah yang sebaik-baiknya.
granddaddy said…
Maafkan saya kalau saya komen dalam Bahasa Inggeris.

I write as a friend of PAS.

On balance, I think PAS did very well to defeat UMNO despite all the money, projects, threats, machinery and media advantage. PAS deserve to be proud of their achievement and DAP and PKR are, I am sure, very happy with PAS's success.

It is good that weaknesses are highlighted in the open so that we are also aware and can make adjustments to accommodate PAS's special situation.

Regarding the Chinese voters, we were very surprised that BN still managed to hold on to them. From our daily rounds in Kg Cina, we thought that PAS would have got at least 70%. It will be interesting to study who are the voters during the last one hour to see whether we can get some answers from there.

Erdogan label: To us, this is not important. We judge on the basis of actions, not words.

Overall, good article. It is important that proper lessons are drawn to prepare for the next general elections.

pywong
Anonymous said…
Salam kpd semua,
Mungkin kita semakin lupa basic seorang hamba, istighfar. InsyAllh akan diberi ketenangan. Bila dah tenang, insyAllh tahap pembacaan kita terhadap sesbuah penulisan akan lebih objektif dan jauh dari emosi. Islam itu amat luas nikmatnya. Keluasan Islam itu seharusnya menjadi 'sifat' kepada sahabt-sahabat yang memberi komen agar lebih terbuka minda dalam menerima teguran. jika benar harap diperbetul, jika tidak, harapannya menjadi sempadan agar tidak berlaku. PAS wujud atas kesedaran ilmu, maka seharusnya ahli2nya juga bernada ilmuan. Norma alam, lebih berilmu, lebih tunduk kebumi ibarat si padi di petak2 sawah. Emosi tidak pernah menjadi perkara pertama yang diangkat dalam bermuzakkarah. MUHASABAH, PAS parti Islam. Dalam Islam penuh adab sopan. Erdogan atau tidak, tidak menghalalkan kita MENGHAKIM, kerana kita ini jauh sangat dr sifat 'hakim'nya. Yang baik, kita ambil. Jika buruk jangan dibuang tanpa kita ambil iktibar. Keyword, MUHASABAH.

Wallahua'lam
Anonymous said…
YB khalid cukup perihatin dengan sesama jemaah. Saya puji sikap beliau yang sanggup menegur sesama jemaah, saya yakin niatnya kerana Allah.

Tapi satu sahaja perkara yang asyik tak kena. Yb khalid sentiasa menegur perkara yang hampir sama isunya, sedangkan pihak Pas terengganu telahpun menjawab dan menafikan beberapa dakwaan YB Khalid yang bagi mereka tidak setepat yang dalam sangkaan YB.

Lepas ni masih nak menegur isu sama ker?

Satu perkara, YB Khalid ada betulka dapat sumber yang sahih tentang pihak Pas terengganu yang asyik mengkelaskan kumpulan erdogan tak erdogan tu?

Pasal Pas terengganu tak mesyuarat sekali dengan Pas Selangorkan?
Anonymous said…
Salam,

Bunyi keciwa je Pak Khalid, orang lain biasanya menghadapi kekalahan, bukan menghadapi kemenangan.
Anonymous said…
Salaam Semua,

Nampaknya benda yang sama cuba ditonjolkan ole YB Khalid. Saya harap YB Khalid tak cepat buat conclusion. Sinario politik Shah Alam dan Trengganu berbeza. Kita berhujah dan bimbang bilamana dikatakan undi Cina merosot TETAPI tidakkah kita bersyukur apabila undi Melayu Islam meningkat di KT disebalik peratusan keluar mengundi yang rendah dan menang dengan majoriti 2631 ! Apa yang kita kejar. Undi Melayu Islam atau Undi Cina ? Kena letakkan priority. Pandangan saya ialah adalah lebih baik Undi Melayu meningkat daripada Undi Cina meningkat kerana Undi Cina adalah sokongan sementara dan berdasarkan sentimen dan kepentingan (minta maaf)Nampaknya orang Melayu Islam telah mula sedar yang UMNO bukan lagi tempat mereka untuk bertenduh. Ada sesiapa mengikuti Astro 502 pada mlm hari keputusan PRU KT diumumkan ? Rata-rata orang pemanggil melayu menyatakan kesangsian dengan UMNO. Adakah ini perkembangan yang tidak baik pada PAS. Saya berharap juga YB bukan sekadar mengharap sokongan orang Cina dan India di Shah Alam.

Haqqul Mubin
Anonymous said…
SAlam,

SAya amat tertarik dgn pandangan ramai didalam ini.Rata2 bersetuju dgn pendekatan dakwah atau penerangan daripada pendekatan menyerang/menghukum yang banyak digunakan oleh ramai ahli biasa PAS (yang mungkin tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk berbicara tentang hukum hakam).

Sekiranya diteliti,PRK kuala Terengganu telah membuka mata kepada golongan keras PAS ini tentang kejayaan kaedah lembut dan tidak ekstrem untuk menarik undi org melayu. Sehingga saya ada mendengar cerita ada penyokong UMNO yang kuat mengundi calon PAS di Batu Burok.

Ini perlu dijadikan iktibar kepada pimpinan PAS.

Soal undi masyarakat CIna.Saya amat setuju dgn reply Anonymous yang terakhir.Kita tidak boleh bergantung harap kepada mereka ini.
Anonymous said…
Sekadar melontarkan pandangan peribadi. Pada saya, Pas bukan saja perlu meningkatkan sokongan orang Melayu Muslim pada mereka bahkan perlu memperkuatkan sokongan bukan Melayu dan bukan Muslim.

Firman Allah s.w.t. mafhumnya, "Tidak Kami utus kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat buat sekalian alam." Titik tolak dari ayat ini dapat kita faham bahawa Islam itu bersifat universal. Ianya bersifat inklusif dan tidak eksklusif.

Bagaimana dapat ditonjolkan keindahan Islam jika umatnya sekadar menjadi juara kepada isu yang melibatkan Muslim sahaja? Kaum bukan Muslim sudah tentu akan berasa terpinggir dan ini sudah tentu akan membawa mereka lebih jauh kepada Islam. Bagi mereka, Islam bukanlah agama yang indah sama ada untuk dianuti ataupun untuk dipayungi.

Oleh itu saya berasakan perlunya sokongan bukan Muslim ditarik melalui sifat kesejagatan Islam. Tugas berat ini, mahu atau tak, perlu dipikul oleh Pas. Pas satu-satunya parti yang memperjuangkan kesyumulan Islam di negara ini perlu sedar bahawa bumi Allah ini bukan untuk orang Muslim sahaja bahkan turut dikongsi bersama orang bukan Muslim.

Keluarlah dari kepompong politik lama Pas yang jumud dulu. Tonjolkan kekuatan Pas melalui keuniversalan dan kesejagatan Islam.
Anonymous said…
Salam Yb dan juga para pembaca sekalian.

Saya rasa bangga apabila membaca hujah2 yang diutarakan oleh sahabat2 diatas.

Ada yang memberikan pandangan2 yg tinggi nilainya dan saya harap mereka2 ini akan menjadi barisan pimpinan pelapis PAS. Ada juga yg merapu / meroyan ! hmmm... Tak faham2! Main tembak jer!

Sebenarnya saya ternanti-nanti akan maklumbalas dari YB mengenai komen2 yg telah diberikan.

Cepatlah sikit YB. nanti parlimen start YB sibuk lagi...

salam hormat.

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.