Skip to main content

Golongan 'Erdogan'?

Ada yang meminta saya menjelaskan isu golongan 'Erdogan' yang disebut-sebut di dalam blog tertentu (rujuk Malaysiakini 1 dan Malaysiakini 2). Saya sebenarnya tidak tahu apa yang ingin dimaksudkan oleh penulis blog berkenaan kerana perumpamaan yang digunakan bukanlah satu perumpamaan universal. Bagi beliau mungkin ‘Erdogan’ merupakan nama yang ingin digunakan untuk memaksudkan orang jahat, oppurtunis, pengkhianat atau modernist. Saya tak tahu. Mungkin juga beliau, seperti bagi sebahagian yang lain ‘Erdogan’ adalah nama yang digunakan untuk memaksudkan seorang yang bijak lagi pintar, pakar strategi, Islamist dan sebagainya. Saya pun malas nak baca sangat tulisan-tulisan yang ingin mengkategorikan orang kerana ianya menggambarkan sikap angkuh seolah-olah kita ni hebat sangat dan mampu menghukum orang lain dan melabelkan mereka.

Yang saya tahu, Tuan Erdogan adalah Perdana Menteri Turkey. Beliau pada asalnya merupakan ahli kepada parti politik ‘Islamik’ yang dipimpin oleh seorang pemikir Islam bernama ‘Erbakan’. Parti yang dipimpin oleh Tuan Erbakan kerap kali diharamkan oleh kerajaan lama Turkey atas sebab ianya merupakan parti Islamik. Perlembagaan Turkey tidak membenarkan politik yang berasaskan agama, khususnya Islam. Ini adalah peninggalan AttaTurk yang bertanggung jawab menjatuhkan Khalifah Othmaniah.

Oleh kerana kerap diharamkan maka Tuan Erbakan kerap juga menubuhkan parti baru sebagai tindakan untuk memungkinkan terus aktif dalam arena politik. Dulu partinya ‘Milli Selamat’, kemudian parti ‘Rafah’ dan mutakhir ini parti Sa’adat. Tuan Erbakan pernah menjadi Perdana Menteri Turkey untuk beberapa hari kerana beliau menjadi ‘Kingmaker’ dan selepas itu beliau ditahan oleh tentera Turkey yang menganggap diri mereka sebagai institusi pelindung perlembagaan Sekular Turkey.

Memandangkan pergolakan politik yang sedemikian, Tuan Erdogan dan beberapa sahabat meninggalkan Erbakan dan menubuhkan parti AK yang merupakan sengkatan kepada ‘Keadilan Sosial’ mengikut bahasa Turkey (jangan tanya saya apa sebutannya dalam bahasa Turkey!). Beliau memimpin parti AK dan melalui AK yang membawa mesej keadilan sosial dan anti rasuah (Turkey pada ketika itu dilanda wabak rasuah) parti AK muncul sebagai pemenang Pilihan Raya Turkey pada penghujung 90an. Dengan kemenangan AK, masalah rasuah dapat ditangani secara berperingkat dan masalah ekonomi Negara Turkey yang mengalami inflasi ‘double digit’ pada satu ketika dahulu dapat dikurangkan.

Malangnya isu politik Islam masih dihalang oleh Perlembagaan Turkey. Pihak tentera sentiasa memantau apa yang diusahakan oleh Tuan Erdogan. Ini adalah kerana mereka tahu latar-belakang Tuan Erdogan. Masalah kebenaran untuk mahasiswi Universiti memakai tudung turut menjadi perdebatan hangat kerana ianya diharamkan selama ini sedangkan kerajaan AK ingin membenarkannya. Tuan Erdogan juga tidak dibenarkan membawa isterinya ke majlis resmi kerajaan kerana isterinya bertudung. Tuan2 mungkin ingat lagi kisah ahli Parlimen wanita Turkey yang ingin dilucutkan kewarga-negaraannya oleh kerajaan lama kerana memakai tudung ke Parlimen!

Saya bukan pakar politik dan masyarakat Turkey. Mungkin maklumat saya di atas tadi pun ada salah-silapnya. Saya tulis mengikut ingatan semata-mata. Oleh itu saya tak berani nak kata samada tindakan Erdogan betul atau sebaliknya. Dari sudut maslahah atau kebaikan sememangnya lebih baik dari yang dulu. Paling kurang masyarakat Turkey dapat melihat bagaimana golongan ‘muSalli’, iaitu yang sembahyang atau ‘alim mengikut perkiraan mereka, dapat mentadbir Negara dengan baik. Tiada rasuah dan tiada penyelewengan.

Turkey satu Negara yang cukup kronik ‘Islam-phobianya’. Generasi muda diajar memperlekehkan golongan agama semenjak kecil lagi dan istilah ‘Mad Mullah’ (Ustaz Gila) adalah istillah masyarakat Turkey. ‘Badut’ yang digelakkan di dalam buku komik mereka adalah seorang yang berjubah dan berserban. Rakyat Turkey diwajibkan menghormati Mustaffa Kamal AttaTurk (bapa Turkey moden) dan dia digambarkan sebagai wira penyelamat masyarakat Turkey dari kebinasaan yang dibawa oleh Khalifah Othmaniah.

Saya tak tahu apa kena-mengena ‘Erdogan’ dengan perjuangan kita di Malaysia. Kita tidak menghadapi kekangan yang sama dan soal ‘Good Governance dan Social Justice’ tidak perlu kita asingkan dari persoalan perjuangan Islam. Sebenarnya inilah apa yang diperjuangkan oleh Islam yang dipaksikan ketaqwaan dan akidah Islam. Dan inilah apa yang perlu kita zahirkan sekiranya kita ingin mengarusperdanakan politik Islam. Kita mahu masyarakat melihat Islam memperjuangkan keperluan mereka semua, bukan sahaja isu-isu yang eksklusif berhubung kepentingan ummat Islam semata-mata.

Saya mencadangkan kita serahkan politik Turkey kepada pejuang Islam Turkey untuk memikirkannya. Mereka lebih arif insyaAllah. Jangan kita pula nak masuk campur dalam isu khilaf (perbezaan pendapat) di kalangan mereka dan hendak menghakimi mereka. Saya khuatir orang yang kita hakimi jauh lebih baik dan lebih disayangi Allah dari diri kita sendiri.

Wallahu ‘Alam.
(Sila rujuk juga posting berkaitan - Menggempur Pemikiran Assobiyyah)

Comments

Anonymous said…
salam YB. memang dok agak dah penulis blog yg mengaitkan denga tuan erdogan tu tidak berapa memahami pilitik di negara tuan erdogan sendiri.
beliau menyelar beberapa pemimpin PAS bersifat 'erdoganism'.mengkategori dan menuduh macam2 kepada beberapa org pemimpin jemaah/parti islam terunggul di malaysia kini, menandakan penulis itu sangat senget /bias tanpa maaf. kasar.tidak bijaksana.tanpa sifat pengajaran yang. padahal Allah menyatakan jika perlu berbincang, berbincanglah dengan cara yg terbaik.bukan mencela dan semacam mengkhianati jemaah!

Popular posts from this blog

Surat Terbuka Untuk Penduduk Seksyen 23

2hb September 2009 M 13 Ramadan 1430 H السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Kehadapan penduduk Seksyen 23 yang dihormati, Semoga surat ini menemui tuan-tuan dalam keadaan sihat wal afiat serta keimanan yang teguh dan jitu berkat bulan Ramadhan ini. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan diri saya serta tuan-tuan akan Firman Allah, Surah Al Maaidah ayat 8 yang bermaksud; “Bertindak adil! Ianya lebih rapat dengan keTaqwaan.” Semoga dalam usaha kita membina keTaqwaan dalam bulan Ramadhan ini, kita mengingati hakikat bahawa ‘keTaqwaan’ yang diusahakan itu mempunyai hubungan rapat dengan keadilan. Keadilan ini pula perlu dilaksanakan terhadap semua, walaupun terhadap yang tidak disenangi. Ini ditegaskan di dalam ayat yang sama yang bermaksud, “dan jangan oleh kerana kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil…” Kalau terhadap kaum yang dibenci sekalipun dituntut keadilan, apatah lagi terhadap jiran sekampung dan warga sekota? Walaupun mereka tidak seba

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadan

Tapak Kuil Seksyen 23 Shah Alam

Baru-baru ini, banyak betul yang kita dengar berhubung isu tapak kuil yang dicadangkan di Seksyen 23, Shah Alam. Yang tahu, yang tak tahu dan yang buat-buat tahu, semuanya turut sama mengemukakan pandangan masing-masing. Di antaranya, pandangan Noh Omar yang menyatakan bagaimana kerajaan PR tidak peka terhadap sensitiviti umat Islam. Oleh itu, bagi mereka yang ingin tahu, izinkan saya menceritakan serba sedikit perkara sebenar berkenaan isu ini. Tapak Kuil yang dicadangkan adalah di kawasan Industri, lebih 200 meter dari kawasan perumahan. Sebuah Kuil yang sekarang ini berada di Seksyen 19 akan dipindahkan ke tapak baru yang dicadangkan ini. Di Seksyen 19, kuil berkenaan hanya berjarak 20 kaki dari kawasan perumahan! Buka pintu rumah, seberang jalan terdapat kuil. Sebenarnya, kuil Seksyen 19 telah berada di situ sejak zaman sebelum wujudnya Shah Alam lagi. Pada masa itu kawasan di mana kuil tersebut dibina dinamakan Ladang Sungai Renggam. Apabila PKNS ambil-alih, maka dijadikan kaw