Skip to main content

Tertubuhnya Parti Kita (PH) Hari Ini Adalah Kerana AMANAH

Kata-kata yang dikeluarkan Tun M, seperti diatas, masih saya kedengaran hingga ke hari ini. Dan ianya menjadi di antara kebanggaan semua ahli AMANAH walaupun dikatakan sebaliknya oleh golongan yang tidak memahami.

Ada yang cuba mendakwa bahawa agihan itu bukti bahawa AMANAH diakui lemah dan tidak berpengaruh. Sedangkan agihan itu bukannya berdasarkan siapa kuat dan siapa lebih berpengaruh. Ianya berdasarkan strategi kemenangan atau “a winning strategy” yang dipersetujui bersama. Ianya juga berdasarkan usaha kerjasama di mana kita tidak melihat masing-masing sebagai lawan dan saingan tetapi kawan dan rakan yang berkerjasama ke arah mencapai matlamat yang sama. Mungkin ianya sukar difahami oleh sesetengah pihak, tetapi inilah yang dinamakan kerjasama.

Oleh itu, tidak keterlaluan sekiranya saya katakan bahawa pendekatan kerjasama yang jujur adalah trademark pimpinan yang menubuhkan AMANAH. Ini kerana kami faham betapa pentingnya ia dan telah cuba memperjuangkannya sejak dahulu lagi.

Ianya bermula pada tahun 1990 apabila wujudnya Semangat 46 dan ada yang mengkritik almarhum TGNA kerana mengadakan kerjasama dengan ‘parti nyamuk’, kami yang sekarang bersama AMANAH inilah di antara yang membela almarhum.

Pada 1998 pula, apabila DSAI dipecat dan almarhum Ust Fadhil pergi ke rumah DSAI, beliau terus dikutuk. Golongan yang sekarang ini bersama AMNAH jugalah di antara mereka yang membela dan mempertahankan almarhum pada ketika itu.

Pada 1999 apabila DSAI tubuhkan ADIL dan ingin bertanding, ramai pimpinan PAS kata jangan diberi mereka kerusi-kerusi ‘tradisi’ PAS! Almarhum Ust Fadhil dan Almarhum TGNA menyerahkan sebahagian juga dan oleh itu dikutuk oleh sebahagian ahli. Kami berdiri bersama mereka. Sehinggakan Dr. Hatta digelar ‘pengkhianat’ kerana dituduh menjual kerusi-kerusi PAS!

Pada 2008 sebelum tertubuhnya PR, apabila 5 negeri dimenangi Barisan Alternatif dengan bantuan DAP, dan pimpinan tertentu menimbangkan kemungkinan menubuhkan kerajaan di Selangor dan Perak bersama BN, pimpinan yang bersama AMANAH sekarang ini jugalah yang membantahnya. Mungkin jika tidak kerana bantahan itu, Pakatan Rakyat tidak mampu dibentuk sama sekali! Sekiranya PAS membentuk kerajaan di Selangor dan Perak bersama BN, adakah mungkin Keadilan dan DAP akan berdiam-diri dan membentuk PR bersama PAS? Sudah pasti tidak!

Maka tidak keterlaluan juga jika dikatakan bahawa Pakatan Rakyat itu juga dimungkinkan oleh mereka yang merupakan pimpinan AMANAH pada hari ini. Maka hari ini mereka juga menjadi sebahagian dari penyebab yang memungkinkan terbentuknya Pakatan Harapan.

Pada ketika krisis MB Selangor apabila ADUN-ADUN PAS diminta tandatangan SD menyokong TSKI supaya kekal sebagai MB, sedangkan Keadilan dan DAP bersetuju untuk beliau digantikan dengan DSWA, dua ADUN PAS menolak! Kedua-dua mereka sekarang bersama AMANAH.

Siapa boleh nafikan bahawa sekiranya mereka berdua tidak bertindak sedemikian rupa, Selangor kini mungkin di bawah kerajaan gabungan PAS-UMNO?

Dan atas sebab itu didoakan doa laknat ke atas mereka oleh pimpinan PAS secara terbuka semasa Muktamar 2014 di Johor! Kerana melawan arahan songsang Presiden untuk khinati PR Selangor demi membela TSKI. Boleh dibayangkan perasaan pimpinan-pimpinan ini semasa didengari isi kandungan doa tersebut? Parti Islam yang sepatutnya berpaksikan ukhuwwah atau persaudaraan dan kasih sayang telah begitu terpesong sehingga sanggup melaknat Timbalan Presidennya sendiri!

Seorang wartawan berbangsa Cina datang bertanya saya, “Waah you all like this ke? Beza pandangan sikit pun sudah panggil Tuhan melaknat?”. Saya jawab, apa mahu buat, ada yang rasa Tuhan itu dia sahaja yang punya.

Dan oleh kerana PAS tidak lagi ingin mewujudkan kerjasama mantap antaranya dengan parti-parti pembangkang lain, kecuali di bawah dominasinya, maka akhirnya mereka ini dijatuhkan di Muktamar PAS pada 2015 melalui ‘cai’ dewan ulama. Sesudah Muktamar itu maka proses pembinasaan Pakatan Rakyat dimulakan.

Selepas hanya beberapa bulan maka ditubuhkan AMANAH oleh golongan yang dijatuhkan ini, bukan untuk kepentingan diri, tetapi supaya politik gabungan antara parti politik pembangkang dapat ditubuhkan dan BN tetap mampu dijatuhkan. Hasil usaha ini maka Pakatan Harapan ditubuhkan yang dianggotai Keadilan, DAP dan AMANAH. Walaupun usaha ini ditentang oleh sebahagian yang bersama yang masih mengharapkan PAS, kami terus istiqamah dengan perjuangan membina dan memantapkan PH.

Apabila Tun Mahathir menubuhkan PPBM dan ingin menyertainya, AMANAH dengan penuh yakin dan berwawasan jelas mengalu-alukannya. Dan apabila Tun Mahathir ingin diangkat sebagai Pengerusi PH, AMANAH turut menyokong sambil disambut oleh Timbalan Presiden AMANAH yang berkata “only diamond can cut diamond”.

Maka apabila Tun Mahathir berkata di Konvensyen tersebut, “tertubuhnya parti kita hari ini adalah kerana AMANAH..”, saya tidaklah hairan seperti sesetengah pihak. Ini kerana sejak dari zaman PAS lagi, pimpinan yang bersama AMANAH inilah juga yang berusaha membina hubungan antara parti-parti pembangkang supaya satu gabungan yang kuat dan mantap dapat dihasilkan. Kata-kata Tun, sepertimana kata-kata DSWA semasa berucap di Konvensyen AMANAH di Kedah, merupakan pengiktirafan terhadap jasa pimpinan AMANAH ini dalam usaha membina gabungan parti pembangkang yang kuat di arena politik Malaysia.

Ramai yang berwawasan dengan wawasan seperti yang dimiliki AMANAH. Maka di atas kesedaran itu maka AMANAH sanggup berkorban supaya wawasan itu tercapai dan menjadi realiti atau kenyataan. Kami juga menyeru semua pihak yang mempunyai wawasan yang sama agar turut berjuang bersama kami. Semoga AMANAH terus dikenali sebagai sebuah parti jujur yang berteraskan perpaduan serta kerjasama demi menentang kezaliman dan membebaskan rakyat dari kezaliman Kleptokrasi.

WaLlahu 'Alam
KHALID ABD SAMAD

Comments

MomTom said…
PH ditubuhkan di atas FITNAH, bukan AMANAH. Ingat Langkah Kajang, yang memfitnah Tan Sri Khalid Ibrahim?
Minan said…
Terbaik dan teruskan perjuangan,
Hope for the best, expect the unexpected.
Hidup AMANAH!!

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.