Skip to main content

Rayu Atau Tidak Rayu: Bersalah Mengajar Tanpa Tauliah

Saya telah didapati bersalah ‘mengajar sesuatu berhubung agama Islam’ tanpa tauliah apabila menceritakan pengalaman saya di Gaza tempoh hari. Asalanya saya dikenakan hukuman denda sebanyak RM 2,900. Hukuman sebesar itu boleh menyebabkan saya hilang kelayakan untuk menjadi Ahli Parlimen dan bertanding dalam PRU ke 14. Saya telah membuat rayuan dan pada 24hb November 2017 mahkamah Tinggi Syariah telah memutuskan denda yang dikenakan diturunkan kepada RM 1,900 sahaja. Dengan itu kelayakan saya untuk kekal sebagai Ahli Parlimen dan bertanding pada PRU ke 14 tidak lagi terjejas. Ini adalah kerana had denda yang ditetapkan undang-undang yang boleh menyebabkan kehilangan kelayakan itu adalah RM 2,000.

DIDESAK TERUS MERAYU

Hasil dari itu saya telah memutuskan supaya tidak lagi merayu. Ini adalah kerana walaupun saya yakin saya tidak melakukan kesalahan ‘mengajar’ tanpa tauliah, tetapi masalah utama ia itu hilang kelayakan telah berjaya diatasi. Ada yang tidak berpuas hati dengan sikap saya. Mereka beranggapan saya wajar terus merayu sehingga dilepaskan dari tuduhan tersebut.

Saya hormati pandangan mereka. Namun saya pohon berbeza pandangan dalam persoalan ini. Sebenarnya masalahnya bukan terletak pada keputusan yang dibuat oleh yang arif hakim. Masalahnya terletak pada undang-undang atau enakmen pentadbiran agama islam itu sendiri. Mahkamah dan hakim mesti memutuskan berdasarkan undang-undang yang telah diluluskan untuk dikuat-kuasakan.

MASALAH SEBENARNYA

Masalahnya adalah istilah ‘mengajar’ itu telah diberikan satu takrif yang terlalu luas oleh enakmen berkenaan. Ianya merangkumi ceramah motivasi, ceramah umum, pengisahan dan nasihat sehingga boleh dirumuskan bahawa tauliah diperlukan untuk ‘bercakap mengenai sesuatu berhubung dengan agama Islam’ bukan ‘mengajar’. Amat malang apabila istilah mengajar disamakan maksudnya dengan bercakap. Ini menjadikan ummat islam terkunci mulut mereka dan tidak boleh memenuhi tugasan mereka sebagai ummat yang menyeru kepada agama Alllah.

Saya telah menyatakan dalam mahkamah bahawa Al-Quran dan Hadis Rasulullah (SAW) telah membezakan maksud kalimah ‘allama’ atau mengajar dari kalimah lain seperti ‘balighu’ (sampaikan), ‘ad’u’(menyeru), ‘zakikiru’(memberi peringatan) dan sebagainya. Oleh itu sepatutnya mahkamah dan undang-undang yang digubalkan oleh mana-mana pihak perlu juga mengambil kira perbezaan makna dan maksud perkataan-perkataan tersebut. Semestinya ada sebab mengapa kalimah-kalimah ini kesemuanya digunakan di dalam Al-Quran dan Hadis Nabi (SAW) dan ada perbezaan antara mereka.

MAKSUD ‘MENGAJAR’

Sememangnya kerja ‘mengajar’ semestinya dilakukan oleh yang berilmu di dalam bidang yang diajar itu. Kuliah tafsir sebagai contoh mesti diberikan oleh seseorang yang berilmu dalam bidang tafsir. Dia mesti kupas ayat-ayat dari sudut sebab turunnya (ababun-nuzul), bahasanya dan dikaitkan juga ayat-ayat dan hadis yang berkenaan dengannya. Maka barulah dikatakan ‘mengajar’ mengenai pengertian dan pengajaran yang terkandung dalam ayat-ayat tersebut.

Tetapi sekadar membaca sesuatu ayat dan menjelaskan maksudnya secara umum adalah lebih bersesuaian dengan maksud sekadar menyampaikan atau ‘ballighu’. Pengertian dan pemehaman yang lebih mendalam perlu dicari melalui kuliah yang yang bersifat ‘mengajar’ oleh yang berkelayakan.

Oleh itu mengajar semestinya membawa pengertian penyampaian ilmu secara lebih mendalam dan kupasan yang lebih menyeluruh.

TUJUAN PERATURAN TAULIAH

Sebenarnya undang-undang ini digubalkan dengan tujuan menghalang ajaran sesat dan kuliah yang bersifat adu-domba. Maka untuk menghalangnya maka digunakan kaedah pemberian ‘tauliah’ kepada yang diyakini tidak membawa ajaran sesat atau risalah adu-domba dan perpecahan dalam masyarakat.

Malangnya oleh kerana tiada ketelusan dalam proses ini maka tauliah tidak semestinya diberi pada yang layak. Begitu juga ianya boleh juga dinafikan kepada yang layak. Ada yang memohon tetapi dinafikan semata-mata dirinya tidak disukai oleh pihak pemberi tauliah. Dengan itu didapati ada Mufti-mufti yang tidak diberi tauliah sepertimana juga pensyarah-pensyarah Universiti yang mengajar bidang syariah di Universiti yang dinafikan tauliah!

Maka didapati anak muridnya berkerja sebagai pegawai Jabatan Agama dan bertauliah tetapi gurunya sendiri dinafikan tauliah.

Pada masa yang sama ada juga mereka yang bercakap mengenai pembelaan Jin dan sebagainya yang diberikan tauliah. Sedangkan ilmu sedemikian dipertikaikan dan bukan itu yang ingin diajarkan kepada masyarakat umum.

CARA PENYELESAIAN

Untuk mengatasi keadaan yang lucu dan songsang seperti ini maka perlu ditentukan proses pemberian tauliah itu telus dan boleh ada proses rayuannya. Ini adalah untuk menentukan tiada salah guna kuasa dan penyelewengan akan berlaku.

Pada masa sama kategori tauliah perlu dibezakan antara tauliah ‘mengajar’ dan tauliah ‘ceramah umum dan motivasi’. Bagi kategori pertama mesti ditunjukkan kelayakan akademiknya serta ditemu-bual sambil untuk kategori kedua akhlak dan kefahaman serta tasawwur keislaman yang dikenal pasti melalui temu-bual adalah memadai. Namun tauliah boleh ditarik balik bila-bila masa sekiranya didapati membawa ajaran sesat atau membawa risalah adu-domba.

KENAPA PERLU DIPERBETULKAN?

Ada yang berkata apa perlunya saya timbulkan isu ini? Bagi saya soal keterlibatan setiap ummat islam dalam usaha menyampaikan risalah Islam adalah wajib. Tidak semestinya mengajar tetapi memberi kesedaran dan keinsafan. Ini berdasarkan ayat 108 Surah Yusof yang bermaksud -

Katakan (Wahai Muhammad):”Ini dia jalan saya. Saya menyeru kepada Allah berdasarkan bukti-bukti yang nyata; Saya dan mereka yang mengikuti saya. Maha suci Allah dan saya bukan dari golongan musyrikiin”.

Amat jelas dari maksud ayat ini bahawa yang mengikut Nabi (SAW) semestinya menyeru kepada Allah. Oleh itu ruang membenarkannya mesti dibuka kepada semua yang sanggup dan mampu. Bukan untuk ‘allama’ tetapi untuk ‘ballighu’ dan ‘ad’u’.

Bagi saya persoalan ini mesti ditangani oleh penggubal undang-undang. Dalam kes ini anggota Dewan Undangan Negeri. Undang-undang perlu diubah-suai supaya tidak lagi terlalu sempit dan menyempitkan sehingga golongan yang mampu dan bersedia memberi khidmat untuk agama akhirnya terhalang dan terpinggir.

Apabila undang-undang itu telah dipinda sehingga lebih menepati semangat dan kehendak Islam, maka hakim-hakim tidak akan lagi terikat dengan takrifan perkataan ‘mengajar’ yang tidak tepat. Dalam keadaan itu mahkamah syariah akan mampu menjatuhkan hukuman yang kelihatan lebih adil dan munasabah. Hakikatnya sehingga hari ini saya ditanya Muslim dan Bukan Muslim, “kamu didapati melakukan satu kesalahan jenayah kerana bercakap tentang Gaza?” Bila saya jawab ya, mereka hanya menggeleng kepala. Bagaimana imej mahkamah syariah dapat dipertahankan kalau terpaksa menghukum sebegitu?

WaLlahu 'Alam
KHALID ABD SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Kerana Tidak Istiqamah Maka Akhirnya Terpinggir

Keputusan PRU14 sekarang telah diketahui umum. Pakatan Harapan (PH) berjaya mengambil alih Putrajaya dan negeri-negeri di seluruh Negara kecuali Perlis, Pahang dan Sarawak yang kekal bawah BN sambil Kelantan dan Terengganu jatuh pada PAS.

Walaupun akan ada yang berkata bahawa PAS telah berjaya dengan keputusan anatara yang paling cemerlang dalam sejarahnya, hakikatnya ianya sebenarnya boleh jauh lebih baik dari itu. Malangnya, sifat gopoh dan kurang yakin kepada pendekatan yang diikutinya sejak zaman reformasi telah menyebabkan PAS semakin terpinggir dari arus perdana politik negara. Ia kembali sebagai parti pantai timur dan kawasan kampung Melayu setelah beraksi cergas di pantai barat dan kawasan bandar pada tahun-tahun pasca reformasi. Cogan kata “PAS for all” kian tidak kedengaran dan PAS kembali sebagai parti bersifat eksklusif memperjuangkan agenda khas bagi masyarakat Muslim dan Melayu.

Dakwaan Kosong Hj Hadi: Antara Kebenaran dan Khayalan

Pada 14hb April Hj. Hadi membuat satu 'pendedahan' mengenai sebab sebenar AMANAH ditolak. Kononnya ianya adalah kerana pimpinan AMANAH semasa menjawat jawatan dalam PAS ingin meminda perlembagaan PAS sehingga dikurangkan kuasa Majlis Syura Ulama. Tuduhan tersebut merupakan satu pembohongan yang nyata yang dibuat dengan penuh kesedaran bahawa ianya satu pembohongan! Saya tidak tahu mengapa Hj Hadi kebelakangan ini kerap berbohong.

Sekiranya ianya dianggap bukan satu pembohongan oleh beliau dan beliau benar yakin akan kebenarannya maka ahli-ahli PAS haruslah berwaspada. Kerana ini bermakna bahawa beliau sudah mula mengalami satu keadaan yang tidak dapat membezakan di antara kebenaran dari khayalan. Situasi 'delusional' ini menyebabkan beliau sentiasa dalam keadaan cemas dan menganggap dirinya dan Islam dimusuhi oleh semua, kecuali oleh PAS dan UMNO.

Tuduhan ini sebenarnya bukanlah baharu maka yang dikatakan sebagai 'pendedahan' selepas 3 tahun ini adalah dakwaan …

Kapal Perang Tariq Ibn Ziyad dan Isu Bai’ah Taklik – Kata Penutup

Pada 8 Ramadhan tahun ke-92 Hijrah, tentera-tentera Islam di bawah pimpinan Tariq Ibn Ziyad telah mendarat di bumi Sepanyol selepas merentasi lautan Mediterranean. Sebaik sahaja mendarat, Tariq mengarahkan supaya kapal-kapal tentera Islam ini dibakar. Beliau melakukan ini dengan tujuan supaya tentera-tenteranya menyedari bahawa mereka tiada pilihan lain selain dari meneruskan perjuangan, samada gugur atau mencapai kemenangan.

Bagi yang tidak faham, tindakan Tariq Ibn Ziyad merupakan tindakan yang tidak bertanggung jawab, mencampakkan nyawa tentera-tenteranya dalam bahaya, kejam dan zalim! Bagi yang tidak berilmu, mereka akan pantas menyatakan tindakan itu adalah haram kerana cuba membunuh diri!

Dari sudut strategi peperangan ianya menzahirkan satu tekad yang teramat tinggi agar berjuang berhabis-habisan agar mencapai kemenangan. Tindakan membakar kapal-kapal ini adalah bertujuan untuk menghalang tentera Islam dari memikirkan pilihan untuk berpatah balik, berundur dan lari dari pertempur…