Skip to main content

Dr. Zakir Naik

Kebelakangan ini banyak yang disebutkan, khususnya oleh wakil rakyat DAP, mengenai Dr Zakir Naik. Secara umumnya mereka yakin bahawa Dr Zakir Naik adalah seorang yang menyokong dan menggalakkan tindakan keganasan di kalangan masyarakat Muslim melalui kegiatan-kegiatan beliau. Ini mereka sandarkan kepada laporan kerajaan India serta media dan tulisan media sosial masyarakat India.

PANDANGAN MASYARAKAT MELAYU

Majoriti dari masyarakat Melayu Islam di Malaysia sememangnya menolak tindakan pengganas. Secara umumnya ummat Islam Malaysia tidak setuju dengan pendekatan pengganas dan menganggapnya sebagai sesuatu yang merosakkan imej Islam. Oleh itu kalau ada pengganas yang dikenakan tindakan, tiada yang akan membantah.

Akan tetapi kes Dr Zakir Naik ini agak berbeza. Hakikatnya ramai dari masyarakat Melayu Islam yang mengikuti ceramah Dr Zakir Naik melalui video-video di alam siber dan tidak ada walaupun satu ucapan beliau yang boleh dikatakan menyokong keganasan. Walaupun kata-katanya yang bersifat ‘terus terang’ dan tidak berlapik boleh menyakiti hati sebahagian pendengarnya, khususnya orang bukan islam, namun tiada kata-katanya yang menyokong keganasan.

Dan walaupun ada di kalangan masyarakat Islam yang tidak senang dengan pendekatan ‘terus terang’ dan tidak berlapik Dr Zakir Naik, ianya bukan alasan untuk mendakwa beliau menyokong keganasan. Ini adalah pendirian hampir keseluruhan masyarakat Melayu Islam Malaysia, termasuk pimpinan dan ahli AMANAH. Pertuduhan menyokong atau mendorong keganasan mesti dibuktikan berasaskan kata-kata dan tindakan yang jelas berorientasikan kegiatan keganasan dan bukan sekadar kata-kata yang tidak disenangi atau menyakitkan hati.

Malahan bagi ramai, tuduhan menyebarkan kebencian juga tidak terbukti. Sekadar mengatakan sesuatu kepercayaan adalah silap tidak sama dengan menyebarkan kebencian terhadap penganut kepercayaan tersebut.

TUDUHAN ‘PENGGANAS’

Bagi kebanyakan masyarakat Melayu Islam, termasuk pimpinan dan ahli AMANAH, tuduhan ‘pengganas’ merupakan tuduhan yang sering digunakan terhadap orang Islam sebagai alasan untuk dikenakan tindakan ke atas mereka. Keseluruhan rakyat Palestine dituduh ‘pengganas’ walaupun satu dunia tahu mereka sebenarnya adalah mangsa keganasan Yahudi Zionis. Begitu juga dengan masyarakat Rohingiya. Mereka juga turut dituduh ‘pengganas’ sambil mereka ‘disembelih’ golongan pelampau Myanmar.

Malahan beberapa pemimpin pembangkang juga pernah turut dituduh sebegitu tetapi terbukti sebaliknya. Tuduhan sebegini digunakan juga terhadap pimpinan gerakan Islam oleh pemerintah yang beragama Islam!

Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak mahukan persetujuan masyarakat Melayu Islam yang merupakan majoriti di Negara ini supaya Dr Zakir Naik dikenakan tindakan dan dihalang masuk Malaysia, atau diekstradisi ke India sekiranya beliau di Malaysia, mereka mesti membuktikan keterlibatan Dr Zakir Naik dalam menyokong atau mendorong keganasan terlebih dahulu. Setakat ini bukti dan hujah yang dikemukakan jauh dari meyakinkan.

BUKTIKAN DR ZAKIR NAIK MENYOKONG PENGGANAS

Hujah bahawa yang ditahan di India atas tuduhan melakukan tindakan keganasan di Bombay merupakan ‘peminat’ Zakir Naik adalah hujah yang tidak wajar diterima sebagai bukti Dr Zakir Naik mendorong ke arah keganasan. Mereka yang ditahan ini mungkin juga peminat Star Wars dan WWE. Adakah dengan itu pengarah filem Star Wars dan pengurusan WWE juga patut dituduh menyokong pengganas?

Hakikatnya dari jutaan penonton video-video Zakir Naik, termasuk yang di Malaysia, hanya segelintir sahaja, mungkin tak sampai 0.001% yang mungkin terlibat dalam kegiatan keganasan. Sekiranya Dr Zakir Naik sememangnya menganjur keganasan, tidakkah sepatutnya paling kurang 20% atau 30% pendengar dan peminatnya turut terlibat dalam kegiatan keganasan?

PERSEPSI TERHADAP KERAJAAN MODI

Mereka yang menuntut tindakan terhadap Dr Zakir Naik harus juga memahami bahawa kerajaan Modi turut disangsi masyarakat Melayu Islam di Malaysia. Modi dilihat sebagai seorang yang telah memenangi pilihan raya India atas semangat ‘nasionalis Hindu’ dan oleh itu dakwaan kerajaan Modi terhadap Dr Zakir Naik dianggap mempunyai agenda politik. Ianya dilihat sebagai tindakan yang bertujuan mengukuhkan sokongan terhadap Modi atas semangat ‘nasionalis Hindu’ apabila seorang pendakwah Muslim yang terkenal dengan usaha membuktikan kebenaran Islam ke atas agama lain, termasuk agama Hindu, berjaya ditahan oleh kerajaan Modi.

Dengan adanya persepsi sedemikian maka usaha menuntut tindakan terhadap Dr Zakir Naik perlu diambil hanya setelah terbukti beliau sememangnya terlibat menganjurkan keganasan. Kalau tidak maka ianya akan dilihat sebagai tindakan yang bertujuan untuk memenangkan ‘Hindu ke atas Muslim’ dan ini sudah pasti akan menimbulkan bantahan dari masyarakat Melayu Islam.

PEMBUKTIAN DI MAHKAMAH MALAYSIA

Adalah lebih wajar dalam keadaan sedemikian rupa, segala bukti keterlibatan Dr Zakir Naik dikemukakan secara terbuka sepertimana dilakukan DOJ terhadap MO1. Bukti ini perlu didedahkan secara terperinci semasa kerajaan India mengemukakan tuntutan ekstradisi terhadap Dr Zakir Naik. Ia perlu dikemukakan di mahkamah Malaysia secara terbuka dan melalui proses yang boleh diikuti ramai.

Sekiranya Dr Zakir Naik terbukti terlibat dalam kegiatan menganjurkan keganasan di mahkamah terbuka dan melalui proses perbicaraan yang adil, saya rasa tiada yang akan membelanya. Akan tetapi, sehingga ianya dibuktikan maka adalah lebih wajar persoalan ini tidak dibangkitkan oleh mana-mana pihak.

Sekiranya kerajaan India serius mereka akan kemukakan tuntutan ekstradisi dan bukti-bukti ke mahkamah bersama tuntutan ekstradisi tersebut. Selagimana ini tidak dilakukan, ramai akan melihatnya sebagai gimik Modi yang beragenda politik dan oleh itu tidak perlu diberikan pertimbangan secara serius. Sekiranya kerajaan India sendiri tidak bawa bukti kukuh bersama tuntutan ekstradisi, maka apa perlunya mana-mana pihak menjuarai isu ini? Ianya boleh disaah-tafsirkan sebagai sikap anti-Islam oleh golongan yang melampau dan juga beragenda politik.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-