Skip to main content

Siapa Ketua Pakatan Harapan?

Sebaik sahaja diumumkan struktur kepimpinan Pakatan Harapan, maka ianya terus diserang oleh media UMNO/BN. Kenyataan bahawa wujudnya jawatan Ketua Umum, Pengerusi dan Presiden ingin dijadikan polemik dengan ditanya, “siapa sebenarnya ketua Pakatan Harapan?”. Ada juga yang memberi teguran, “sebuah kapal yang mempunyai tiga nakhoda pasti akan karam!”. Komen dan teguran yang sebegini sebenarnya hanya mendedahkan betapa mereka terlalu biasa dengan budaya politik ‘dengar dan patuh’ di mana hala-tuju dan dasar ditentukan oleh hanya seorang.

KETUA PAKATAN HARAPAN

Badan tertinggi dalam Pakatan Harapan adalah Majlis Presidennya. Segala dasar dan keputusan yang dibuat adalah diputuskan di sini. Ianya terdiri daripada pimpinan tertinggi setiap parti anggota. Mereka mewakili parti masing-masing. Mesyuarat Majlis Presiden adalah medan perbahasan dan penghujahan demi menentukan setiap keputusan yang dibuat adalah yang terbaik yang mungkin. Keputusan terbaik adalah hasil perbahasan yang mendalam dan terperinci, bukan kepatuhan yang membabi buta atas sebab taasub atau takut kepada kemurkaan pemimpin!

Memang benar adanya Ketua umum dan adanya Pengerusi. Begitu juga adanya Pengerusi dan adanya juga Presiden. Jawatan-jawatan bukan menandakan kecelaruan dalam kepimpinan tetapi sebaliknya menzahirkan kejelasan matlamat dalam menentukan struktur organisasi PH. Jawatan ini bertujuan untuk menonjolkan peribadi penting yang memainkan peranan utama mengemudikan perjuangan PH. Dengan ditonjolkan mereka ini sebagai yang berkedudukan utama dalam kepimpinan PH maka diharap sebahagian besar masyarakat akan bersama PH. Ini adalah kerana mereka mempunyai daya penarik yang tertentu, yang mampu melonjakkan sokongan terhadap PH ke tahap yang menjaminkan kemenangan. Namun demikian, walaupun kemampuan mereka itu diakui dan dihargai, bukan mereka sahaja yang menentukan arah tuju dan dasar-dasar PH.

Ini adalah oleh kerana budaya politik PH selama ini adalah bersifat syura dan persetujuan bersama, ataupun ‘konsensus’, maka jawatan-jawatan tersebut, walaupun sangat penting, tidak dimandatkan untuk menentukan sesuatu secara bersendirian. Budaya politik autokratik dan teokratik bukan budaya politik yang ingin disuburkan PH. Itu kita serahkan pada pihak yang lain.

Itulah sebabnya persoalan struktur dan logo PH tidak ditentukan semudah itu. Sebaliknya terpaksa dibahas dan dihujahkan selama 4 jam pada Khamis malam Jumaat 13 Julai yang lepas. Dari jam 8.30 sehingga 12.30 mlm ianya dibahas sehingga akhirnya kata sepakat tercapai. Sedangkan sekiranya semua ditetapkan oleh Ketua Umum, atau Pengerusi atau Presiden, sudah pasti ianya selesai jauh lebih awal!

Maka jawapan tepat kepada soalan, “siapa ketua PH?” maka jawapannya adalah Majlis Presidennya! Adalah diharap semua, termasuk dari kalangan pimpinan PH akan memberikan jawapan ini sekiranya ditanya soalan yang sama. Setiap kali dan pada bila saja masanya mereka ditanya.

KAPAL DENGAN TIGA NAKHODA

Ada juga yang timbulkan persoalan tiga Nakhoda. Hakikatnya, ianya bukan semestinya satu masalah. Kalau mereka boleh berkerjasama dan sering berbincang, pengalaman dan pegetahuan tiga Nakhoda pasti lebih luas dan mendalam berbanding dengan satu. Diandaikan kononnya seorang akan ingin ke kanan dan seorang lagi ke kiri, maka akhirnya kapal tersebut karam. Namun, bagaimana pula sekiranya semua bersetuju ke kanan, atau ke kiri? Tidakkah dalam keadaan itu mereka mampu saling membantu untuk menentukan kapal tersebut tidak karam mahupun terdampar di perairan yang cetek.

Ianya sesuatu yang jelas bahawa dalam kes PH, tiga Nakhoda ini ingin ke arah yang sama. Iaitu ke Putrajaya dengan dijatuhkan UMNO/BN.

Sambil itu, kapal dengan seorang Nakhoda pula tidak dijamin semestinya selamat. Lebih-lebih lagi apabila Nakhodanya mabuk kuasa dan ingin merompak dan mencuri harta sehingga membawa kapal memasuki kawasan larangan yang merbahaya. Dengan itu maka kapal itu akan karam atau terdampar di kawasan air yang cetek atas sebab kemabukan si Nakhoda, walaupun dipandu oleh dirinya seorang.

Ya, kita faham, ianya jauh lebih senang untuk keputusan dibuat oleh hanya seorang. Tetapi adakah keputusan seorang itu yang terbaik? Keadaan ekonomi dan politik negara dewasa ini jelas membuktikan bahawa keputusan oleh hanya seorang membawa negara ke arah kehancuran. Lebih-lebih lagi sekiranya seorang itu dikuasai pula isterinya dan isteri itu pula ‘bernafsu besar’ terhadap kekayaan dan kemewahan. Habis harta negara akan dirompaknya dan diserahkan kepada isterinya sebagai hadiah. Kononya hadiah darinya tetapi pada hakikatnya dari perit jerih rakyat yang terpaksa menanggung cukai tambahan kerananya.

Atas sebab itulah PH tidak dikuasai seorang. Malahan tidak juga oleh tiga Nakhoda. PH dikuasai majlis Presidennya yang bertindak mengawal dan menguasai serta membantu tiga Nakhoda tersebut supaya terus fokus terhadap usaha memenangi PRU ke 14. Dengan itu segala kebijaksanaan dan pengalaman ketiga-tiga Nakhoda tersebut dimanfaatkan oleh Majlis Presiden ke arah menempah kemenangan.

KESIMPULAN

Sememangnya ada yang gentar dengan pencapaian PH minggu lepas dan memang sepatutnya mereka gentar. Struktur kepimpinan PH telah selesai diputuskan sepertimana juga logonya dan program 100 harinya. PH yang mengadunkan kekuatan 4 parti ini apabila dapat disatukan dengan berkesan akan pasti menyebabkan UMNO/BN kecundang dalam PRU ke 14 insyaAllah. Maka diusahakan supaya akan timbul berbagai persepsi. Namun gagal atas sebab hujah yang teramat lemah dan agak dangkal.

Langkah PH seterusnya akan mampu memusnahkan secara berkesan dan total, sokongan terhadap UMNO/BN. Potensi kemenangan untuk PH jelas kelihatan. Malahan boleh dikatakan “kemenangan sudah dalam tangan”. Yang perlu adalah untuk menentukan tangan menggenggamnya dengan kuat dan kemenangan tersebut tidak terlepas dari celah-celah jari. Hasil perbalahan atau tersilap kata-kata atau langkah.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments


Syabas Pakatan Harapan!!!

Yang paling penting, keputusan parti jangan di ganggu dan dkuasai oleh isteri-isteri dan anak menantu individu yang menjadi ketua parti.

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-