Skip to main content

Menangani Fahaman Pengganas dan Metodologi Mereka

Kebelakangan ini kita dikejutkan dengan serangan pengganas yang dilakukan atas nama Islam. Di Filipina, Indonesia, Mesir, Pakistan, United Kingdom dan beberapa negara lain, keganasan atas nama Islam menjadi berita utama. Kita dikejutkan lagi apabila didapati bahawa rakyat Malaysia sendiri turut terlibat dalam aktiviti tersebut dan mula tertanya-tanya apa yang telah menyebabkan mereka terpengaruh sehingga begitu sekali.

Hakikatnya golongan pengganas adalah golongan yang kecewa dengan ketidak-keberkesanan usaha perjuangan Islam yang telah sekian lama diusahakan melalui sistem pemerintahan sediada di negara mereka. Mereka tidak nampak bagaimana pendekatan sebegini boleh menghasilkan kemenangan sepertimana yang diinginkan dan mungkin di atas sebab itu mereka mencari pendekatan lain selain yang dibenarkan sistem sediada.

KEMUSNAHAN SEBELUM KEBANGKITAN

Tanpa dibekalkan ilmu yang mantap dan kefahaman yang semasa mengenai perjuangan Islam, mereka merumuskan bahawa Allah memerintahkan perjuangan bersenjata terhadap semua kerajaan yang tidak dibina atas asas Islam. ‘Kerajaan yang dibina atas asas Islam’, bagi mereka, adalah hanya yang bentuk dan perjalanannya adalah sama dengan kerajaan empat khalifah pertama dalam sejarah Islam. Mereka merumuskan bahawa sistem pemerintahan sediada tidak akan memungkinkan kemenangan Islam dalam erti-kata kembalinya sistem khalifah dan oleh itu sistem sediada perlu dimusnahkan supaya memungkinkan sistem Islam kembali terlaksana. Melalui suasana anarki dan huru-hara yang dihasilkan tindakan keganasan sahaja akan membawa kejatuhan sistem sediada. Kononnya, hanya selepas kejatuhan sistem sediada maka akan muncul kembali sistem Islam.

Konsep dan pendekatan sebegini lupa bahawa Rasulullah (SAW) telah sendiri bergerak dalam sistem jahiliah Arab yang dibina atas kepimpinan kabilah dalam membawa kemenangan Islam. Baginda (SAW) tidak bertindak di luar batasan sistem dan perundangan masyarakatnya. Sebaliknya memanfaatkan semua saluran yang ada untuk membawa perubahan yang diingini tanpa mengangkat senjata. Dalam mengharungi perjuangan secara damai ini, Baginda sendiri juga terpaksa melalui suasana seolah-olah tiada harapan untuk kemenangan. Namun Baginda (SAW) terus bersabar dan istiqamah dengan pendekatan yang telah ditetapkan Allah untuknya. Hanya setelah terbentuk kerajaan di Madinah barulah peperangan diwajibkan dan itu pun sebagai tindakan mempertahankan kemerdekaan yang telah tercapai.

PENDEKATAN KEBENCIAN, PERMUSUHAN DAN KETAKUTAN

Pendekatan golongan pengganas ini adalah dengan mewujudkan keadaan dan suasana adu-domba antara ummat Islam dan bukan Islam. Ummat Islam yang berkawan dengan bukan Islam juga dijadikan sasaran mereka. Dengan membawa kefahaman ‘kafir harbi’, ‘musuh Islam’, ‘golongan munafik’, ‘golongan murtad’ dan sebagainya, mereka menyemai kebencian dan permusuhan di dalam masyarakat.

Pada masa sama, mereka menggambarkan Islam sedang diserang dan ingin dihapuskan serta berada di dalam keadaan yang amat berbahaya. Ini bertujuan untuk menghasilkan keadaan ketakutan di kalangan ummat Islam sehingga sanggup melakukan apa sahaja ‘demi memelihara kesucian Islam’. Mereka ingin supaya ummat Islam akan merasakan masa depan agama Islam terancam dan perlu ada tindakan untuk menghalang perancangan jahat ‘musuh Islam’. Tindakan itu semestinya di luar apa yang dibenarkan oleh sistem dan undang-undang kerana sistem dan undang-undang ini, mengikut mereka lagi, adalah ciptaan musuh-musuh islam!

Adunan kebencian dan ketakutan ini adalah satu adunan yang cukup berbahaya. Ia mampu menyebabkan seseorang bertindak liar dan ganas demi menyelamatkan masa depan agamanya. Yang terpengaruh di kalangan ummat Islam dengan kebencian dan permusuhan serta ketakutan ini dan menganggap sememangnya Islam terancam akan menyertai dan mengikuti mereka.

Pada masa yang sama, mereka mengharapkan tindakan keganasan dengan membunuh secara rambang tanpa belas kasihan akan menyebabkan masyarakat bukan Islam bertindak balas dengan cara yang sama. Ini akan menyukarkan usaha perdamaian oleh golongan Islam yang menolak keganasan. Masyarakat bukan Islam diharapkan akan bertindak balas dengan cara keganasan juga supaya akhirnya matlamat mereka, iaitu pertembungan antara Islam dan bukan Islam akan tetap tercapai.

MENANGANI ANCAMAN DAN FAHAMAN PENGGANAS

Berdasarkan latar belakang ringkas sebegini, maka antara cara yang paling berkesan untuk menangani bertambahnya pengaruh fahaman keganasan ini adalah usaha perdamaian dan perpaduan antara kaum serta penganut agama. Salah satu usaha yang perlu diberi pujian adalah program seperti yang dihadiri Mufti Wilayah anjuran NGO ‘Unity’ atau perpaduan yang telah diadakan baru-baru ini di sebuah hotel di Shah Alam. Ianya merupakan majlis berbuka puasa bersama ahli agamawan Islam dan Kristian. Program sebegini menyebabkan propoganda golongan pengganas terhalang dan mendedahkan ketidak-benarannya. Ia menghilangkan suasana adu-domba dan permusuhan yang ingin disemaikan oleh golongan yang membawa fahaman keganasan dan dengan itu hilang daya penariknya.

Golongan ‘cenderung keganasan’ ini akan menggunakan setiap peluang yang diberikan untuk menyemaikan suasana permusuhan dan ketakutan ini. Peristiwa yang tiada kena-mengena dengan ‘ancaman terhadap Islam’ akan diputar-belit sehingga ianya dilihat sebagi ancaman. Silap langkah dan silap tutur, kalau berlaku, akan dikupas sebagai usaha menghina agama Islam. Malahan tindakan perdamaian dan persahabatan sekali pun, seperti majlis berbuka puasa yang disertai bukan Islam di Surau atau di Masjid, akan diserang sebagai tindakan menghina Islam! Ucapan bukan Islam yang memetik ayat Al-Quran turut dijadikan bahan untuk memaki dan mencaci mereka.

Dalam suasana sebegini dan dengan kita memahami pendekatan yang ingin dibawa golongan pro-keganasan ini, maka adalah diharapkan suasana perdamaian dan persaudaraan dapat dipertahankan. Majlis berbuka puasa bersama bukan Islam, khususnya pemimpin masyarakat, perlu digalakkan dan diperbanyakkan. Segala tembuk prejudis dan pra-sangka yang ingin dibina hendaklah dirobohkan.

Sekiranya program sebegini dapat terus dilakukan dan dizahirkan, maka kepalsuan propoganda mereka akan jelas kelihatan. Dengan itu ianya amat sukar untuk mereka meraih sokongan. Mereka akan dapat kita perlihatkan sebagai golongan kecewa yang tidak mampu menghadapi cabaran dunia moden, dunia ilmu dan hujah. Dan oleh itu mereka ingin membawa ummat Islam kembali kepada zaman peperangan dan permusuhan yang sepertimana wujud satu ketika dahulu.

KESIMPULAN

Islam bukan agama permusuhan dan perbalahan tetapi sebaliknya perpaduan dan kasih-sayang. Islam rahmat untuk seluruh alam. Golongan pengganas dan ‘cenderung keganasan’ ini lupa sifat utama agama Islam. Mereka menutup kekecewaan mereka terhadap kegagalan dan ketidak-mampuan diri mereka sendiri dalam usaha membawa risalah islam dengan bertindak gopoh dan gelojoh. Mereka menyalahkan pihak lain atas kegagalan mereka dan berputus asa terhadap usaha membawa perubahan secara damai. Mereka bertindak tanpa hikmah mahupun perasaan kasih sayang dan niat untuk menyelamatkan manusia. Mereka melihat perjuangan Islam sebagai perjuangan untuk merebut kuasa tanpa had mahupun batas.

Mereka sebenarnya telah merosakkan imej dan nama Islam melalui tindakan mereka dan dengan itu perlu dihalang dari tersebar-luas kefahaman sebegini demi keberlangsungan dakwah Islam pada masa akan datang.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-