Skip to main content

Bersih 5 dan Perjuangan Politik Melayu


NEGARA digemparkan dengan tindakan samseng 'Geng Baju Merah' dalam usaha mereka menentang kempen seluruh negara anjuran Bersih 5. Gambar si pengecut yang memukul curi dengan menerajang dari belakang 'bikers' Bersih 5 tersebar luas melalui media sosial.

Tindakan 'Geng Baju Merah' ini kononnya mewakili 'kepentingan orang Melayu' dan 'politik Melayu'. Sikap bengis dan angkuh yang ditunjukkan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bukan sahaja memalukan darjat datuk yang entah bagaimana diperolehi beliau, tetapi juga budaya dan warisan politik Melayu.

Politik Melayu selama ini sering digambarkan sebagai politik bertamaddun dan berakhlak tinggi, penuh dengan kebijaksanaan dan keanjalan dan yang mementingkan hasil terbaik demi rakyat jelata. Namun gambaran sedemikian tidak lagi mungkin dipertahankan selepas ini.

Kata-kata mengugut untuk mengulangi peristiwa 13 Mei dan 'parang terbang' menzahirkan ketandusan kebijaksanaan dan betapa terdesaknya Jamal. Adakah ini semua dilakukan di bawah arahan dan perlindungan pimpinan Umno yang semakin merasa tersepit? Teguran seperti yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin tidak mencukupi. Kita tunggukan bersama tindakan yang akan diambil. Itu pun kalau ada.

Peristiwa 'Geng Baju Merah' ini berlaku sebaik sahaja berlakunya peristiwa rampasan wang tunai berjumlah jutaan ringgit oleh SPRM di Sabah. Duit tunai bernilai jutaan ringgit ini diambil dari rumah penjawat jawatan tinggi syarikat utiliti awam kerajaan BN Sabah.

Ianya menggemparkan bukan sahaja atas sebab jumlah yang terlibat tetapi juga atas sebab ianya telah berlaku! Sedangkan umum mengetahui betapa agensi SPRM telah dikongkong dan dihalang dari menjalankan kewajipan mereka oleh pemimpin-pemimpin negara yang bergelumang dalam rasuah. Maka timbul andaian bahawa ianya tanda 'pemberontakan dalaman' pegawai-pegawai Melayu terhadap kerajaan Umno/BN.

BACK-DROP UNTUK PERUBAHAN MELAYU

Mungkin dua peristiwa ini merupakan 'back-drop' yang sesuai untuk membuka bicara berhubung Bersih 5 dan masa depan 'politik Melayu'. Tiada yang boleh menafikan bahawa politik Melayu sedang berada di persimpangan jalan. Ke arah mana ingin ditujuinya? Kekal bersama Umno yang telah jelas korupsinya, busuk sehingga ke ususnya atau berpindah dan beralih kepada yang baharu?

Dan sekiranya beralih, ke mana? Dengan wujudnya parti politik baharu seperti AMANAH dan Bersatu, bangsa Melayu diberi pilihan yang lebih berintegriti.

Bagi mereka yang ingin terus mempertahankan politik Melayu jajaan Umno, maka tindakan Jamal adalah satu-satunya pilihan yang perlu anda pertimbangkan untuk masa depan anda. Gambarkan diri anda sebagai samseng jalanan, 'menjentik' (ala Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Zuhdi Marzuki) mereka yang tidak sehaluan, memukul curi dari belakang mereka yang bersuara.

Kalau anda merasakan itulah bakat terpendam anda yang sebenar, maka daftarkanlah diri anda dengan Jamal untuk berkhidmat dengannya. Mungkin itu sahaja caranya untuk membendung kebangkitan rakyat, Melayu dan bukan Melayu, yang semakin tidak berpuas-hati dengan penipuan, penyelewengan dan penindasan yang sedang berlaku di bawah Umno.

Tidak mungkin lagi kebangkitan ini dibendung dengan hujah ataupun tipu-helah kerana ianya semakin jelas dan nyata. Seperti mana semakin jelas dan nyata juga bahawa kesan penipuan dan penyelewengan itu terpaksa ditanggung rakyat. Dan rakyat terus dimangsakan. Sambil berpuluh, malahan beribu juta disonglap pemimpin, rakyat terus dihimpit oleh kos hidup yang semakin meningkat.

Pilihan untuk 'bermuka selamba' sambil terus berbohong dan memperbodohkan rakyat dengan mendakwa 'derma dari Tok Arab' sudah tamat tempoh sah-lakunya. Ianya tidak mungkin berkesan lagi. Pilihan yang tinggal hanya untuk menjadikan Melayu samseng jalanan demi mempertahankan perompak di Putrajaya.

MELAYU SEDIA BERUBAH?

Kalau diinginkan yang sebaliknya untuk bangsa Melayu maka perlu ditanya, adakah bangsa Melayu akhirnya sudah sanggup menyatakan apa yang sebenarnya tersimpan dalam hati mereka? Bahawa mereka juga, seperti mana bangsa lain yang bermaruah, telah lama bencikan rasuah dan penyelewengan! Hanya ianya terpaksa disimpan dan ditelan, atas sebab ditakut-takutkan dengan ugutan "bukan Melayu akan memerintah"!

Yang menghairankan adalah apabila politik Melayu berada di persimpangan, mendambakan perubahan, tiba-tiba kelihatan Presiden Pas mula terperangkap dalam aliran pemikiran lama. Lirik lagu lama ketinggalan zaman berbunyi "Melayu jangan berlawan sesama Melayu, nanti bukan Melayu berkuasa!"

Amat sedih melihat beliau mendendangkan lagu lapuk ini. Mungkin sudah tiba masanya untuk dua parti politik Melayu ini menjadi bahan sejarah, membuka jalan kepada AMANAH dan Bersatu.

Sampai bila perlu kita benarkan diri kita hidup dalam ketakutan sehingga menggadaikan prinsip dan pegangan kita? Adakah wajar negara ini yang dahulunya dibina atas penat jerih moyang kita yang terpaksa melalui penjajahan Feringgi, Belanda, British, Jepun dan sebagainya hanya untuk dirompak oleh bangsanya sendiri setelah merdeka?

Sudah pasti ianya sesuatu yang tidak boleh diterima. Biarlah kita maju ke depan, meneruskan pembinaan negara kita ini atas prinsip-prinsip yang diyakini bersama dan disingkirkan untuk selama-lamanya pimpinan yang memaksakan wajah hodoh ke atas bangsa Melayu ini.

WAJAH HODOH YANG UMNO PAKSAKAN ATAS MELAYU

Wajah hodoh yang dipaksakan ke atas bangsa Melayu oleh Umno selama ini adalah wajah bangsa yang bodoh sehingga redha ditipu, redha dengan rasuah dan sanggup bersatu menyokong kezaliman. Dan itulah wajah yang semakin dilihat dunia luar. Dan itulah juga wajah yang mula dilihat masyarakat bukan Melayu negara ini. Mereka telah merelakan negara ini dipimpin oleh bangsa Melayu sebagai bangsa majoritinya, akan tetapi apa yang sedang kita lakukan dengan mandat ini?

Dan sekiranya hati kita naik menyampah melihat pemuda-pemuda Melayu bertindak liar, dipimpin Melayu yang tidak bermaruah seperti Jamal, maka peluang keemasan kita untuk menzahirkan meluatnya kita dengan keadaan ini adalah semasa himpunan Bersih 5 pada 19 November kelak.

Saya ingin menyeru, rakyat berbangsa Melayu khususnya untuk turun bersama kali ini sebagai tanda meluatnya terhadap tindakan Jamal. Beritahu kepadanya, melalui kehadiran tuan-tuan, bahawa kami tidak terima tindakan kamu dan kami tidak redha bangsa kami dijadikan sebagai samseng jalanan oleh kamu.

Dan sekiranya begitu juga perasaan kita terhadap amalan rasuah yang jelas berlaku, seperti terbukti melalui rampasan jutaan ringgit di Sabah, maka ini juga peluang keemasan bagi kita. Betapa rakyat dibebankan dasar-dasar yang ditetapkan kerajaan BN, sambil itu pimpinan BN bersenang-lenang hidup kaya dengan duit rakyat.

AMANAH WAJIB TURUN KE BERSIH 5

Bagi AMANAH, wajah hodoh bangsa Melayu seperti mana yang dihasilkan kepimpinan Umno, turut merosakkan bersamanya imej Islam dan prinsip-prinsip politik Islam. Apabila Pas pula turut terpengaruh dan terseret dalam kancah politik kebodohan dan tidak menyokong usaha Bersih 5, maka menjadi wajib untuk AMANAH mengerahkan ahli dan penyokongnya untuk bersama Bersih 5. Supaya imej Islam yang menolak dan menentang perkauman, rasuah dan kezaliman akan dapat dizahirkan.

Dan inilah di antara sebabnya mengapa AMANAH telah diwujudkan. Ia itu supaya sikap Islam yang tidak berkompromi terhadap kezaliman sambil terbuka untuk berkerjasama dengan semua dalam usaha menentangnya dapat terus diperlihatkan.

Kalau AMANAH tidak turun bersama, kelak akan dikatakan Islam redha dengan pemerintahan yang rasuah, budaya politik samseng dan penyelewengan yang disuburkan Umno. Sudahlah Umno juga terdiri dari ahli yang Melayu Islam, Pas yang mendakwa diri parti Islam turut membisu seribu bahasa.

IANYA SEMUA BERMULA DENGAN BERSIH 5

Mari beramai-ramai kita jadikan Bersih 5 sebagai simbol perubahan politik Melayu kepada politik yang berhemah tinggi dan bertamadun. Biar Bersih 5 menjadi bagaikan pengisytiharan perang terhadap 'politik samseng' tajaan Umno yang mebodohkan Melayu dan terhadap amalan rasuah yang sedang berkembang subur di bawah kepimpinan Umno/BN.

Biar kita jadikan Bersih 5 ini sebagai permulaan ke arah politik Melayu yang ingin dikembalikan kebijaksanaan dan akhlak tingginya. Supaya melaluinya akan dipulih kembali wajah bangsa Melayu yang telah teruk dinodai Umno.

Turunnya pimpinan, ahli dan penyokong AMANAH ke himpunan Bersih 5 pada 19 November ini bersama pimpinan, ahli dan penyokong Keadilan dan Bersatu, akan merupakan permulaan kesedaran politik Melayu yang baharu. Sekiranya gandingan tiga parti ini berjaya menggerakkan sokongan Melayu ke arah pembangkang, berpindah jauh dari Umno/BN, maka segala tipu-helah dan pembohongan yang Umno ingin capai, melalui persempadanan baharu, akan dapat digagalkan.

Apabila Melayu juga turut bersama Bersih 5, dan dengan itu bersama AMANAH, Keadilan dan Bersatu, maka tiada lagi harapan untuk Umno/BN.

Sambil itu, pimpinan, ahli dan penyokong DAP telah menyatakan kebersamaan mereka dengan perhimpunan Bersih 5. Maka ia menjanjikan satu gabungan parti politik pembangkang yang mampu menggantikan Umno/BN sebagai kerajaan. Gabungan berbagai kaum, majoritinya Melayu, atas dasar keadilan dan berkebajikan, demi berkhidmat untuk rakyat supaya Malaysia dapat diselamatkan.

Dan inilah potensi yang ada pada Bersih 5. Potensi menyelamatkan negara melalui peralihan sokongan Melayu dari Umno/BN. Sama ada untuk bersama AMANAH, Keadilan atau pun Bersatu, ataupun yang ingin terus tidak berparti, ianya mampu memulakan proses kejatuhan kerajaan Umno/BN.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

errol said…
You have my respect and support, good to see some changes for a country which has achieved independence for nearly 60 years. Buang yang keruh, ambil yang cerah.
Mohamad said…
Tak laku dah Kalid samad..
Unknown said…
Salam..teruskan yb dgn apa yg telah dimulakan..saya akui bukan dari golongan pro atau yg berpendidikan tinggi..bukan dari yg berpangkat tinggi..tapi saya faham apa yg berlaku..siapa betul dan siapa salah..cuma saya bersyukur tidak dianugerah ijazah..phd atau jawatan tinggi dlm kerajaan...kalau lebih bodoh dari saya yg hanya pemegang srp dan sap..harapan kami golongan bawahan agar yb teruskan perjuangan..kalau si tajudin bodoh boleh hantar anak serang yb diparlimen..kami pun boleh..yb..cuma bodoh2 kami pun kami masih berakal dan boleh berfikir utk buat perkara yg paling bodoh utk zaman ini..tapi jika sekali lagi yb atau mana2 yb diperlakukan sebegitu maka kami akan bertindak bukan kerana yb atau parti tapi kerana parlimen yg berada di tempat tertinggi dlm negara ini boleh dihina oleh tajudin anjing apa beza dia dgn kami..kenapa saya gelar tajuddin anjing ??? Sebab dia hanya tahu menyalak tanpa fakta dlm sidang parlimen..sesuailah dia pun mp dari pasir SALAK

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.