Skip to main content

Apa Lagi Yang Melayu Mahu?

KEPIMPINAN POLITIK MELAYU

Kepimpinan politik Melayu telah berada di tangan UMNO sekian lama. Walaupun UMNO telah dilanda berbagai skandal dan masalah, namun secara umumnya, masyarakat Melayu masih menerima kepimpinan UMNO. Kedudukan UMNO sebagai parti bangsa Melayu telah pada waktu tertentu tercabar, itu pun hasil dari perpecahan yang telah berlaku dalam UMNO. Parti serpihan UMNO, bermulanya dengan PAS, kemudian Semangat 46 dan Keadilan telah menghakis sokongan Melayu terhadap UMNO, tetapi hanya untuk seketika. Kemudiannya sokongan tersebut telah kembali pada UMNO walaupun UMNO terus dikaitkan dengan corak kepimpinan yang korup dan rasuah.

PAS yang telah wujud sejak tahun 50an dilihat secara tradisinya sebagi saingan pada UMNO. Namun setelah 60 tahun telah tetap tidak berjaya mencabar kedudukan UMNO sebagai parti politik utama orang Melayu. Kecuali hanya di daerah dan Negeri tertentu. Secara umumnya dianggarkan tidak sampai 30% masyarakat Melayu bersama PAS. Itu pun sokongan tersebut tercapai hanya sejak tahun 1998 sedangkan sebelum itu sokongan PAS hanya terdapat di negeri Kelantan dan Terengganu serta Kedah dan Perlis.

PAS MENGAKU TIDAK MAMPU?

Keadaan ini mungkin antara sebab mengapa PAS sudah berubah pendekatan, kecewa dengan kegagalan mendapatkan sokongan majoriti Melayu, maka mula bermesra dengan UMNO. Sepertimana yang dikatakan Presiden PAS Hj Hadi, “Nakkan undi UMNO, perlu berbaik dengan UMNO”. Kata-kata itu dengan sendirinya menzahirkan kesimpulan bahawa cara selama ini yang diikuti PAS tidak boleh diguna-pakai. Sokongan Melayu terhadap UMNO begitu kental dan tidak boleh berubah dengan PAS melawan UMNO. PAS mesti berkawan dengan UMNO.

Malangnya tindakan sebegitu menyebabkan PAS berpecah. Ingin tambah undi melalui pendekatan baharu tetapi akhirnya hilang sokongan sebahagian ahli dan pimpinan sendiri! Sedangkan yang dengan UMNO tetap dengan UMNO. Dengan berpecahnya PAS sehingga tertubuhnya AMANAH, kemungkinan sokongan 30% tersebut telah menjadi tidak lebih dari 20%. ini yang dikatakan pepatah Melayu, “yang dikendung tercicir, yang dikejar terlepas”.

WUJUDNYA KEADILAN

Dengan wujudnya Keadilan pada tahun 1998, maka sokongan Melayu terhadap UMNO turut terhakis lagi. Pada awalnya, sebaik sahaja DSAI dipecat dan muncul dengan mata lebamnya, hampir 30% masyarakat Melayu bersama Keadilan. Ini menyebabkan pada tahun 1999, lebih 50% undi Melayu telah bersama gabungan BA apabila dicampurkan sokongan Melayu pada PAS dan Keadilan. Namun undi bukan Melayu pula tidak bersama BA pada ketika itu. Maka, undi bukan Melayu menyelamatkan UMNO/BN dalam pilihan raya tersebut.

Dalam keadaan sekarang Melayu yang bersama Keadilan mungkin tidak lebih dari 20%. Itulah sebabnya apabila dicampurkan sokongan Melayu terhadap PAS dan Keadilan, ianya sekadar lebih kurang 40 - 45% sahaja sepertimana undi yang diperolehi pada pilihan raya 2008 dan 2013.

MELAYU TETAP BERSAMA UMNO?

Keadaan di mana sokongan majoriti Melayu tidak berganjak dari UMNO terus menjadi sesuatu yang menghairankan ramai. Apa yang perlu dilakukan sehingga Melayu boleh dibawa berhijrah dari UMNO?

Kalau ingin terlebih dahulu melihat pemimpin UMNO melakukan rasuah dan penyelewengan, baru mahu tinggalkan UMNO, ini sudah pun berlaku secara MEGAnya. Kalau ada rekod dunia untuk rasuah dan penyelewengan, saya yakin Malaysia akan mendapat emas.

Kerajaan tidak akan berjaya ditukarkan tanpa berlakunya anjakan sokongan Melayu dari UMNO kepada pihak yang lain. Sedangkan Melayu tetap bersama UMNO/BN!

SOAL KEYAKINAN?

Tetapi ada juga yang mengatakan ianya soal ‘keyakinan’. Keyakinan terhadap kemampuan pemimpin ‘Melayu pembangkang’ berbanding pemimpin Melayu UMNO. Khususnya ketidakyakinan rakyat Melayu terhadap kemampuan kepimpinan Melayu pembangkang menangani kepimpinan bukan Melayu pembangkang! Mengikut pandangan mereka, teruk macam mana sekalipun UMNO, UMNO tetap menguasai BN. Melayu UMNO mendominasi bukan Melayu dalam BN. Adakah Melayu pembangkang dapat mempertahankan kepentingan dan hak Melayu dalam gabungan pembangkang? Ini yang dikatakan sebagai kekhuatiran utama.

Ada yang memahami tindakan PAS keluar dari Pakatan Rakyat dari sudut ini. Ada yang melihatnya sebagai pengakuan ketidak-mampuan pimpinan utama PAS khususnya Presidennya untuk berhadapan dengan pemimpin-pemimpin DAP. Dalam keadaan takut PR akan dikuasai yang bukan Islam dan bukan Melayu, maka PAS mencari alasan untuk keluar dari PR dan dimulakan penubuhan Blok ke-3 yang dapat dikuasai PAS. Pendekatan ini digabungkan pula dengan pendekatan mesra UMNO.

Namun demikian, kurang keyakinan diri yang menghasilkan tindakan sebegini, tetap tidak mampu melepaskan Melayu dari genggaman kepimpinan UMNO. Sebaliknya ianya mengukuhkan kedudukan UMNO apabila imej UMNO telah sedikit sebanyak ‘dibersihkan’ oleh pimpinan PAS. Sememangnya imej UMNO amat sangat perlu dibersihkan. Dan apabila ianya sudah dibersihkan, maka genggaman UMNO ke atas Melayu akan bertambah kukuh. Pada ketika itu UMNO tidak perlu lagi kepada PAS dan apakah yang akan terjadi kepada PAS ketika itu?

PERUBAHAN MELANDA POLITIK MELAYU

Tetapi yang lebih penting dari melihat kepada tindakan kecewa dan hilang keyakinan diri PAS adalah melihat pada apa yang telah berlaku dalam arena politik Melayu sejak itu. Tanpa diketahui atau dirancang, perubahan senario politik Melayu bergolak lagi. Selain penubuhan AMANAH, telah turut muncul juga BERSATU. Maka perjuangan untuk membebaskan Melayu dari genggaman UMNO mampu diteruskan lagi walaupun PAS masih belum lagi bersama. Malahan tanpa PAS, mungkin ianya bergerak dengan lebih cergas lagi.

Kalau dilihat sekarang ini, kepimpinan Melayu pembangkang terdiri dari satu senarai nama yang mengkagumkan. Ianya mengandungi nama-nama seperti DSAI, bekas Timbalan Perdana Menteri (1993 - 1998), Tun Mahathir, bekas Perdana Menteri (1982 -2004) dan TS Mahyuddin Yassin, bekas Timbalan Perdana Menteri (2014- 2016). Begitu juga turut disenaraikan nama pemimpin-pemimpin yang tidak kurang hebatnya berbanding senarai pimpinan UMNO. Orang-orang seperti Saudara Mohd Sabu, seorang yang terbukti istiqamahnya memperjuangkan kepentingan rakyat, Azmin Ali, Salahuddin Ayub, Wan Azizah, Nurul Izzah, Dr Siti Mariah, Dr Dzulkifli Ahmad, Dr Mujahid Yusof Rawa, Dr Hatta Ramli dan sebagainya turut tersenarai. Kesemuanya pemimpin Melayu yang berkaliber.

Turut juga bersama adalah dua bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia ia itu Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin. Begitu juga cendiakawan dan ilmuan Islam seperti Dr. Siddiq Fadhil dan Dr. Mohd Nor Manuti serta ramai lagi.

KEPIMPINAN SUDAH ADA, MAHU APA LAGI?

Berdasarkan senarai nama yang sebegini rupa, apa lagi yang diinginkan Melayu sebelum sanggup memberanikan diri ke arah perubahan? Dalam bahasa mudah, “Apa lagi Melayu mahu?” sebelum berani bertukar?

Suasana kebobrokan begitu mendesak supaya perubahan berlaku. Apa alasan yang munasabah untuk Melayu terus ketakutan? Sedangkan keperluan untuk perubahan telah Allah sediakan!

Kita semua tahu bahawa sekiranya sokongan Melayu terhadap UMNO tidak berpindah, maka perubahan tidak akan berlaku. UMNO/BN akan terus memerintah sambil pemimpin negara akan terus merompak harta rakyat. Keadaan akan menjadi semakin sukar dan Negara akan hanya bertambah dalam hutangnya. Pendapatan akan semakin mengecil serta akhirnya rakyat akan semakin terbeban dan kebanyakan rakyat yang terbeban itu adalah rakyat Melayu.

Oleh itu adalah amat sangat diharapkan bahawa bangsa utama negara kita ini, iaitu bangsa Melayu akan berani berubah. Semoga mereka akan yakin dengan kemampuan bangsa sendiri dan kepimpinan Melayu pembangkang yang telah dikurniakan Allah sekarang. Oleh itu, dengan apa yang telah Allah sediakan maka tiada lagi sebarang alasan Melayu untuk terus mengekalkan UMNO/BN.

Artikel ini telah diterbitkan di dalam akhbar Amanah Bil. 22 (23-29 Oktober) yang sedang berada di pasaran.

WaLlahu 'Alam

KHALID SAMAD

Comments

Majalah tuan Suara Islam masa studi kat UK dulu ada lagi dlm simpanan? Wassalaam.
Unknown said…
Salam..tolonglah tuan..kami org muda cukup tertekan utk teruskan kehidupan yg terlalu berat dibebani dgn serangan pelbagai arah serangan...dihadapan kami bebanan utk bayar hutang yg dibuat oleh sibabi najib..kami cuba ke arah kiri...aduhhh segalanya mahal...kami u turn dan mengintai kearah kanan kami..nampak tenang..aman dan ceria..terdetik mungkin ini arah tuju yg mungkin boleh berikan sedikit ruang utk kami bernafas dan menumpang utk teruskan hidup...dlm kelegaan itu terpandang di kiri jalan terpampang papan tanda arah(signboard)...

««KG.GST 5km
»»KEDAI BRG MAHAL 6km

^ Jpj/Polis/Sosma 8km

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.