Skip to main content

‘Kafir Harbi’ : Kefahaman Songsang dan Terbantut

MUQADDIMAH

Kenyataan Mufti Pahang berhubung isu ‘Kafir Harbi’ telah banyak menimbulkan reaksi dari pelbagai pihak. Ada yang bersetuju dan ada juga yang menolaknya. Perbahasan berhubung kenyataan tersebut telah mengambil berbagai bentuk dan tidak kurang juga yang mengupasnya secara ilmiah dari sudut perundangan dan sejarah.

Bagi saya, sikap seseorang terhadap kenyataan Mufti Pahang bergantung kepada kefahamannya terhadap Islam itu sendiri.

Secara umum boleh dikatakan bahawa yang bersetuju dengan kenyataan Mufti Pahang mempunyai kefahaman bahawa Islam dan ummat Islam berkewajipan ‘menguasai’ ummat bukan Islam. Yang bukan Islam dikategorikan sebagai samada ‘Kafir Dhimmi’ atau ‘Kafir Harbi’. Ini bererti orang bukan Islam samada tunduk pada ummat Islam atau mereka dianggap sebagai musuh yang wajar diperangi.

FAHAMAN ORIENTALIS

Fahaman sebegini asalnya dibawa oleh golongan Orientalis. Golongan Orientalis ini mencemuh Islam dengan menuduhnya sebagai agama yang disebar melalui pedang. Mengikut mereka, ummat Islam bahagikan dunia kepada dua, ia itu ‘Darul Islam’ dan ‘Darul Harb’ atau ‘Bumi Islam’ dan ‘Bumi Perang’. Darul Islam dikuasai ummat Islam dan selain dari itu, kesemuanya adalah Darul Harb, iaitu negara-negara yang wajib diperangi ummat Islam.

Mengikut golongan Orientalis ini, matlamat ummat Islam adalah untuk menguasai seluruh dunia demi menjadikan kesemuanya Darul Islam. Bukan Islam wajib diperangi sehingga ditundukkan dan kononnya itulah kehendak Islam!

Amat sedih apabila kita lihat fahaman Orientalis diperjuangkan oleh ummat Islam sendiri. Kefahaman sebegini merupakan asas mewajarkan pembentukan ISIS dan IS. Mengikut fahaman mereka Islam bukan agama keadilan dan kedamaian dan tidak boleh hidup dalam dunia berpelbagaian. Ianya agama peperangan dan permusuhan. Dan cara menyebarkan Islam adalah melalui peperangan dan pertumpahan darah.

Fahaman sebegini menghasilkan budaya chauvanisme dan facisme serta suatu wajah Islam yang buruk dan keji. Ianya tidak banyak berbeza dengan fahaman Zionist dan Nazi Jerman. Malangnya, bagi yang berjiwa chauvanist dan facist, wajah yang buruk dan keji dilihat ‘kuat’ dan ‘berkarisma’. Manusia perlu ditundukkan, walaupun secara paksa, kepada kekuasaan Allah. Walaupun tidak memeluk agama Islam sekalipun, mereka perlu akui kekuasaan Islam. Budaya ‘Muslim supremacist’ adalah budaya pilihan golongan ini walaupun ianya tiada tempat dalam ajaran Islam.

Tanpa adanya sesuatu yang mampu ditawarkan kepada masyarakat dan manusia, selain semangat cahuvanist dan fascist mereka, maka yang ditonjolkan adalah perlaksanaan undang-undang Islam. Itu, bagi mereka, tanda ketundukan manusia kepada Allah dan itu sahajalah matlamat perjuangan Islam, perjuangan Nabi (SAW). Betapa songsang, terbantut dan terkongkongnya fahaman mereka terhadap Islam.

KEFAHAMAN ISLAM SEBENAR

Golongan yang menolak kenyataan Mufti Pahang adalah mereka yang memahami Islam sebagai rahmatal-lil-’aalamiin atau rahmat bagi seluruh alam. Islam bukan agama keganasan dan peperangan tetapi perdamaian dan persaudaraan. Golongan ini memahami sejarah dari sudut kontekstual di mana apa yang telah berlaku adalah mengikut keadaan dan suasana pada ketika itu. Dan tidak semua yang dilakukan pada zaman dahulu adalah semestinya tepat dari sudut tuntutan Islam, lebih-lebih lagi pada zaman pemerintahan kerajaan beraja seperti zaman Bani Umayyah, Abasiyyah dan Uthmaniyyah. Banyak juga yang berlaku atas sebab cita-cita perluasan empire dan kawasan penalokan.

Bagi golongan ini, Islam diturunkan dengan tujuan menegakkan keadilan untuk seluruh manusia dan ummat Islam pula sebagai ummat yang berkhidmat untuk manusia, menunjuk jalan kepada kebaikan dan keadilan. Bukan untuk memaksakan dominasi mereka ke atas yang bukan Islam. Kefahaman terhadap mesej Islam hendaklah disampaikan secara berhikmah dan bijaksana, bukan secara paksa dan ugutan.

Yang ingin didominasikan adalah ajaran dan prinsip-prinsip keadilan Islam, bukan ummat Islam itu sendiri. Namun sememangnya sebagai pembawa ajaran dan prinsip Islam, ummat Islam akan berada di saff yang paling ke depan selagimana mereka sendiri mengamalkan ajaran dan prinsip tersebut. Keberadaan ummat Islam di saff terdepan adalah atas sebab ajaran dan prinsip yang diperjuangkan dan bukan atas semangat chauvanisme atau facisme yang dibawa.

Hasil ajaran dan prinsip ini maka akhlak ummat Islam menjadi akhlak yang termulia dan pemerintahan mereka pemerintahan yang terbaik. Apa yang diistilahkan sebagai ‘good governance’ dewasa ini, ia itu pemerintahan yang amanah, berkebajikan, tidak boros, adil dan sebagainya adalah hasil dari akhlak mulia yang ditanamkan oleh Islam. Selagimana ajaran dan prinsip Islam mencorakkan kepimpinan dan pemerintahan ummat Islam maka ianya akan maju dan membangun.

Dan inilah apa yang telah berlaku pada zaman lampau. Selagimana ummat Islam menghayati ajaran dan prinsip-prinsip Islam, ia itu bersifat adil, berkebajikan, peduli, amanah dan sebagainya, maka ummat Islam berada di saff yang paling kehadapan. Tetapi apabila pemerintahan dan kepimpinan ummat Islam dirasuki fahaman chauvanist dan fascist, dianggap mulia walaupun tidak lagi berlaku adil dan amanah, maka ummat Islam dipinggirkan dan ketinggalan. Akhirnya ditumpaskan.

MEMILIH DI ANTARA DUA JALAN

Dan inilah cabaran yang dihadapi ummat Islam dewasa ini. Ia itu samada untuk memilih jalan ‘mudah’ yang disediakan fahaman chauvanis dan fascis atau jalan susah dan penuh cabaran yang disediakan golongan ‘rahmatal-lil-’aalamiin’.

Jalan yang disediakan fahaman chauvanis dan fascis ini dianggap mudah kerana kedudukan sebagai pemimpin adalah sesuatu yang dituntut sebagai sesuatu hak mutlak, ‘a birth right’ semata-mata kerana saya seorang Muslim maka saya layak dihormati dan disegani! Mengikut mereka, itu adalah jaminan Allah dalam Al-Quran. Semua yang beragama Islam, samada yang baik dan yang tidak, yang pencuri dan perompak akan bersama mereka. Termasuk para Mufti yang membisu terhadap kezaliman dan penyelewengan pemerintah. Dan apabila ada yang tidak menghormati mereka maka digelar ‘kafir Harbi’!

Namun jalan mudah tidak semestinya membawa ke destinasi yang diingini. Malahan mungkin juga membawa ke arah kemusnahan dan kerosakan. Islam yang merupakan rahmat dari Allah akan terpalit imejnya dan rosak risalah atau mesejnya. Dari menjadi golongan yang menyeru ke arah Islam, mereka ini menjadi sebagai manusia yang menghalang manusia lain dari mengenali kebenaran Islam.

“....Dan kamu akan merasa kehinaan kerana menjadi penghalang (kepada manusia lain) dari jalan Allah...”

(An-Nahl 94)

Jalan susah dan sukar ‘rahmatal-lil-’aalamiin’ dikatakan susah dan sukar kerana kepimpinan perlu dicapai dan dimenangi melalui penghayatan ajaran dan prinsip-prinsip Islam bukan dituntut begitu sahaja. Dengan dihayatinya ajaran dan prinsip-prinsip Islam itu maka kepimpinan diperolehi. Dalam erti-kata lain, ‘melayakkan diri menjadi pemimpin’ bukan dituntut semata-mata kerana dilahirkan sebagai orang Islam.

Walaupun ianya jalan yang susah dan sukar, namun kesannya lebih mendalam dan kejayaannya apabila tercapai lebih bermakna. Kebenaran dan keadilan Islam akan terserlah dan kepimpinan tersebut mampu menghasilkan keadaan di mana manusia berduyun-duyun memasuki Islam bukan lari daripadanya.

KESIMPULAN

Ummat Islam di Malaysia sekian berada di persimpangan jalan. Ingin memilih jalan mudah seperti yang ditunjukkan Mufti Pahang atau jalan sukar seperti yang ingin diterokai oleh AMANAH?

Jalan susah dan sukar ini pilihan Amanah kerana itulah jalan yang dilalui Rasulullah (SAW) dan ianya jelas memberikan hasil yang mendatangkan manfaat kepada manusia keseluruhannya untuk tempoh yang begitu lama. Ianya jalan yang mengutamakan akhlak mulia di kalangan manusia beriman. Akhlak yang berpaksikan keinginan mencari keredaan Allah Taala. Bukan secara dipaksa, tetapi atas sebab penghayatan dan penjiwaan ajaran dan prinsip-prinsip Islam.

Sedangkan jalan mudah hanya menjanjikan kebinasaan terhadap ummat Islam dan seluruh rakyat Malaysia. Kerana ianya berpaksikan pemaksaan dan penjiwaan nilai-nilai chauvanis dan fascis.

*Artikel in telah diterbitkan di dalam akhbar AMANAH sebelum ini.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-