Skip to main content

Di Antara Senjata, Gencatan Senjata dan Perjuangan

Sebelum sempat dipertimbangkan secara serius dan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, ‘tawaran Gencatan Senjata’ dari Timbalan Presiden PAS kelihatan sudah seolah-olah ditarik balik. Ianya perkembangan yang mengecewakan. Usaha menyatukan parti pembangkang dalam satu jenis kerjasama telah pada asalnya dimulakan oleh PAS sejak dahulu lagi. Antara yang paling mutakhir adalah dengan Semangat 46 pada 1990 dan Keadilan pada 1999. Pada ketika itu, PAS menganggap menjatuhkan BN dalam PRU merupakan usaha murni dan wajib demi masa depan negara.

Malangnya dewasa ini suara Timbalan Presiden sendiri disanggah dengan begitu sahaja oleh pimpinan PAS yang lain. Setakat ini yang menyatakan sokongan terbuka terhadap cadangan TITM hanya YB Iskandar, Pesuruh Jaya PAS Selangor. Ini semua adalah petanda kepada wujudnya pemikiran baharu di dalam PAS.

PEMIKIRAN BAHARU PAS

Pemikiran baharu PAS meletakkan DAP sebagai musuh utama masyarakat Melayu dan ummat Isam. Ianya pemikiran yang sealiran dengan propoganda BTN yang ditaja UMNO selama ini. Bagi PAS dewasa ini UMNO sebagai pemerintah tidak lagi digeruni dan tiada keperluan untuk ditukar. Ianya kepimpinan Melayu Islam yang boleh berkerjasama dengan PAS.

Oleh itu, bersatu dengan parti-parti pembangkang lain, termasuk DAP tidak lagi konsisten dengan pemikiran baharu ini. Apatah lagi apabila bersama DAP adalah Amanah, nemesis PAS yang baharu. Kerjasama ini tidak mampu dikuasai PAS dan tidak dilihat didominasi samada oleh PKR atau Amanah. Ia kononnya didominasi DAP. Atau paling kurang itulah yang didakwa oleh BN dan diyakini PAS.

TITM DAN PEMIKIRAN BAHARU PAS

Saya melihat TITM dan YB Iskandar serta beberapa pimpinan PAS lain, khususnya di Selangor, berada di dalam keadaan serba salah. Mereka tidak sealiran dengan pemikiran baharu ini dan oleh itu berusaha untuk membawa kembali pemikiran dan pendekatan lama. Mereka cuba suarakan pandangan bahawa UMNO/BN musuh utama yang merosakkan ummat Islam, bangsa Melayu dan merosakkan Negara. Oleh itu diperlukan ‘gencatan senjata’ dan berkerjasama demi menjatuhkan UMNO/BN menerut mereka.

Namun suara-suara mereka kedengaran semakin sumbang setiap hari apabila ianya diutarakan atas wadah PAS. Saya yakin mereka sendiri semakin sedar akan keadaan ini. Saya rasa sudah tiba masanya untuk pimpinan PAS yang melihat UMNO/BN sebagai musuh politik utama ummat Islam dan rakyat jelata untuk mengakui bahawa keadaan PAS tidak lagi seperti dahulu. Telah tiba masanya mereka mengakui bahawa mesej Islam sepertimana yang mereka bawa selama ini dan sepertimana yang ingin mereka terus bawa, iaitu Islam sebagai perjuangan menegakkan keadilan, menentang kezaliman, bebas dari perkauman dan sebagainya, tidak lagi mampu dibawa PAS.

PAS sekarang menganggap menang bersama Pakatan tidak bermakna kerana tidak dapat ‘dilaksanakan hudud’! Kalau tidak boleh laksanakan hudud maka ianya ‘bukan kemenangan Islam’ bagi mereka ini. Kemenangan di Selangor sendiri tidak lagi dihargai mereka kerana tidak dapat laksana hudud maka tiada nilai tambah kepada perjuangan Islam mengikut pandangan mereka lagi. Sambil dengan UMNO/BN ada harapan akan terbuka jalan kepada perlaksanaan hudud kerana UMNO itu Melayu Islam. Begitulah sempitnya pemikiran PAS terhadap apa itu perjuangan Islam dewasa ini.

SERUAN KEPADA TITM DAN SAHABAT SEPENDIRIAN DENGANNYA

TITM dan mereka yang melihat kepada perlunya UMNO/BN dikalahkan mempunyai sikap yang berbeza dari pimpinan PAS sekarang.

Saya menyeru TITM dan kumpulan ini untuk mengakui, sepertimana telah kami dari Amanah sedar dan mengakui terlebih dahulu, bahawa tanggung-jawab terhadap risalah Islam dan perjuangannya mengatasi tanggung-jawab terhadap mana-mana jemaah atau ‘parti Islam’. Sekiranya PAS tidak lagi sudi atau mampu membawa mesej Islam sebagai ‘rahmatal-lil-’aalamin’ maka sudah tiba masanya untuk TITM dan sahabat beliau, termasuk YB Iskandar, meninggalkan PAS. Pilihlah dari parti-parti yang ada di dalam Pakatan Harapan sebagai wadah baharu tuan-tuan untuk meneruskan perjuangan tuan-tuan selama ini. Yang penting adalah risalah dan perjuangan, bukan jemaah.

Tidak semestinya TITM dan rakan-rakan bersama Amanah. Jika difikirkan bahawa Amanah tidak sesuai dan mempunyai kelemahan-kelemahan tertentu, itu terpulang kepada pernilaian mereka. Kami tidak pernah mendakwa hanya Amanah yang mampu membawa perjuangan Islam atau hanya kami sahaja Islam. Tetapi kami hanya mampu berusaha untuk mengikut dasar Islam dengan setepat mungkin. Dan yang lebih penting, itu jugalah yang perlu tuan-tuan usahakan sedangkan PAS tidak lagi ingin membawanya sepertimana dahulu.

PKR juga mempunyai cendiakawan dan ilmuan Islam bersamanya. Ust Dr Mohd Noor Manuty dan juga Ust Dr Sidek Fadhil bukan calang-calang orang. DSAI sendiri seorang pimpinan gerakan Islam yang dikenali Qaradhawi dan Almarhum Az-Zuhaili. Penyertaan TITM bersama mereka pasti juga menyumbang kepada kekuatan dan pengaruh mereka.

DAP sendiri menunjukkan keterbukaannya terhadapa kefahaman Islam yang lebih mantap. Mereka berusaha ke Tunisia bertemu Ghanousi dan ulama-ulama lain di Timur Tengah. Mereka turut disertai cendiakawan Islam seperti Aziz Bari dan lain-lain.

IMPLIKASI TERUS BERSAMA PAS

TITM dan rakan-rakan perlu faham implikasi terus bersama PAS. Ianya satu tindakan yang akan memberikan harapan kepada sesuatu yang tidak lagi mempunyai harapan. Ianya tindakan hasil ‘denial syndrome’ yang ada ‘maalat afaalnya’ atau kesan dan implikasi dari tindakan tersebut. PAS sudah berubah, semakin mesra dengan UMNO/BN dan semakin ingin mempertahankan pemerintahannya. Hasil dari itu, kebersamaan TITM dan rakan-rakan dengan PAS akan menyebabkan sebahagian ahli dan penyokong PAS yang sudah sedar akan perubahan ini terus kekal bersama PAS. Sedangkan pandangan TITM dan rakan-rakan tidak lagi mewakili pendirian PAS. Implikasinya UMNO/BN mungkin menang besar dalam PRU akan datang kerana PAS akan bertanding 3 penjuru di semua kerusi demi memenangkan UMNO/BN.

Saya melihat tawaran gencatan senjata TITM sebagai satu tawaran yang ikhlas. Ianya bukan kenyataan bersifat politik untuk menggambarkan PAS terbuka. Ianya bukan ‘political posturing’ dengan tujuan mendapatkan sokongan terhadap PAS. Ianya tawaran ikhlas demi menjatuhkan UMNO/BN, demi membebaskan negara dan ummat Islam dan bangsa Melayu dari terus dikongkong dan dirosakkan. Malangnya PAS tidak lagi berminat untuk menjatuhkan UMNO/BN.

KESIMPULAN

Suara menyeru kepada kesatuan pembangkang tidak lagi disambut baik oleh PAS. Dahulu PAS pencetus kesatuan dan persefahaman antara pembangkang demi menghadapi UMNO/BN. Itu dulu, tetapi dulu lain sekarang lain.

TITM dan sahabat lain tahu bahawa Allah menguji manusia dengan berbagai ujian. Tidak perlu saya ceritakan padanya dengan lebih lanjut. Kadang kala manusia diuji dengan kemenangan dan kesenangan. Kadang kala kita diuji pula dengan kesusahan dan kekalahan. Ada juga kalanya kita diuji dengan perkara yang paling dikasihi, yang telah dibina dan dicorak selama berpuluh tahun, tetapi akhirnya yang dikasihi itu tetap terpaksa ditinggalkan. Kerana ia telah berubah dan tidak lagi menjadi medan di mana keredhaan Allah boleh lagi diusahakan.

Gencatan senjata yang dihajatkan mungkin tidak tercapai kerana senjata yang diasah sejak sekian lama untuk menjatuhkan UMNO/BN demi membebaskan rakyat dari belenggu perkauman, rasuah dan kezaliman serta kefahaman Islam yang songsang sekarang sudah berada di bawah penguasaan lawan. Oleh itu, campakkan sahaja senjata tersebut walaupun ianya paling serasi dengan genggaman kita satu ketika dahulu. Imbangannya, beratnya, tajamnya, kilauan besinya dan cantik hulunya semua seperti yang diinginkan. Namun harus dicampakkannya dan hadapilah kenyatan ini.

Genggamlah pula senjata baharu dengan genggaman yang lebih kuat. Asahkannya sepertimana diasahnya senjata lama dan teruskan perjuangan menentang pemerintah yang zalim. Percayalah, yang penting perjuangannya dan bukan senjatanya. Jangan sekali-kali tersimpang dan jangan sekali-kali kita tertipu.

Rakyat mengharapkan pembebasan. Rakyat berhak dibebaskan.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

AIMAN said…
Yb khalid, kalau nak jatuhkan bn sangat, yb dan geng18, x perlu tubuh pan. Masuk je pkr atau dap. Sebetulnya pan le pemecah belah pakatan. Kalau dap pun, x mungkin org keluar dap, tubuh parti baru, kemudian tubuh pakatan baru, dan kemudian dap akan terima pakatan tu. Rakyat pun bukanlah bodoh sgt yb. Saya org yang nak sgt bn kalah. Tapi saya juga rasa yb juga merupakan salah seorang yang menyebabkan org2 mcm saya lari daripada pakatan. Lontaran idea titm yang baik, belum apa2 sudah disanggah oleh yb. Tidak boleh bersangka baik ke? Yb dok menyalahkan orang lain je, yb dan geng18 pun sama. Dulu satu jemaah, sekarang bermusuh lagi teruk dari umno-bn. Ukhwah apa ni, buat malu je. Cakap tak serupa bikin. Mcm mana orang nak percaya.
mamsukey said…
Tuan saorang yang hebat...mengapa titm sampai hati menyuruh tuan tutup mulut walhal tuanlah jurucakap parti amanah....
Tuan...tahniah..saya senang dengan tulisan tuan

Peduli..progresif
Unknown said…
Tetapi UmNo juga ada menyatakan hudud tidak dapat dilaksanakan di Malaysia kerana rakyatnya berbilang kaum..Pas kah yg menyetujui Umno atau PH?
Unknown said…
PAS akan Lwn sape saje samada...UmNo/dap/pan/PKR/apa2...demi Islam Dan hukum Allah.
Bang Aji said…
Tahniah YB Khalid...

Amanah telah berjaya turut sama memainkan peranan dalam menyatukan parti parti pembangkang dan rakyat umumnya untuk menjatuhkan Umno/BN...Idea yang bernas insya Allah akan diterima pakai oleh manusia yang berakal waras... Teruskan perjuangan dengan peduli rakyat!!
unkwon said…
aiman... betui apa yg sedara ckp.. tapi tuan tahu kah cmana golongan ulamak dlm PAS yg mengaku ulamak layan org seperti Yb Khalid, nizar...dan yg lain2.. yg tebaru husam... yg telah lama membangunkan kelantan besama arwah tok guru... kalau wang yg menjadi pilihan dan sasaran mereka semua.. mustahil mereka msk PAS dr dulu2 lagi...

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-