Skip to main content

Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar: Perlunya Diutamakan Pakatan Harapan

MUQADDIMAH

Pilihan Raya Sarawak telah berlalu. Banyak pengajaran yang boleh diperolehi. Namun bagi saya pengajaran yang terpenting adalah ‘ketiadaan’ Pakatan Harapan secara sebenar-benarnya dalam pilihan raya tersebut. Yang bertanding adalah hanya sekadar 3 parti yang bertindak secara bersendirian, masing-masing dengan agenda dan perkiraan masing-masing.

Maka dengan itu berlakulah pertembungan antara anggota Pakatan Harapan, khususnya DAP dan PKR di beberapa kerusi. Ramai kecewa dengan keadaan ini. Di mana, tanya mereka, kesatuan pakatan parti pembangkang yang akan menandingi BN?

Pada masa yang sama, berlaku juga pertindihan antara PAS dengan setiap anggota PH, iaitu PKR, DAP dan juga AMANAH; tetapi ianya tidak begitu menimbulkan kemarahan atau kehairanan di kalanagan masyarakat dan pemerhati politik negara. PAS sudah di luar orbit politik rasional. Sibuk dengan dirinya sendiri dan blok ketiganya sambil semua parti pembangkang lain mengusahakan kesatuan dan kerjasama.

Ramai tidak hairan apabila PAS bertanding secara tiga penjuru dengan parti komponen Pakatan Harapan. Itu sesuatu yang sudah dijangka. Sudah pasti yang mewujudkan blok ketiga sudah merancang untuk mengadakan pertandingan tiga penjuru. Namun, pertandingan antara parti komponen Pakatan Harapan, itu sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

PRK SUNGAI BESAR DAN KUALA KANGSAR

Setelah selesai pilihan raya negeri Sarawak, kita dibentangkan pula dengan dua pilihan raya kecil di Semenanjung. Di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Dikesempatan ini, saya ucapkan takziah kepada dua keluarga yang telah kehilangan anggota keluarga yang dikasihi. Semoga roh mereka dirahmati dan diberkati Allah. Pemergian mereka secara mengejut dan bukan sesuatu yang diingini. Namun, pilihan raya kecil tetap perlu dilakukan.

Semestinya dalam menghadapi pilihan raya kecil ini, masyarakat ingin melihat samada Pakatan Harapan benar-benar merupakan satu ikatan yang kukuh yang mampu menandingi BN. Ianya bagaikan peluang kedua untuk membuktikan kesungguhan untuk mewujudkan satu kerjasama dan gabungan politik yang kukuh untuk menandingi BN. Dan ianya merupakan peluang yang disediakan diambang pilihan raya umum ke 14 yang mana sekiranya gagal sekali lagi, maka PH akan menghadapi PRU ke 14 dalam keadaan keutuhan yang terus dipertikai rakyat.

Dengan bersandarkan peluang terakhir ini, maka perlulah memanfaatkannya untuk menentukan bahawa Pakatan Harapan dilihat sebagai gabungan yang kuat, yang berkerjasama dan bertindak sebagai satu pasukan yang mantap. Bagi yang melihat pada matlamat jangka masa panjang, iaitu PRU ke 14, kedua-dua pilihan raya kecil ini adalah peluang keemasan untuk mengukir dalam minda Negara bahawa Pakatan Harapan mantap dan kukuh serta merupakan satu-satunya entiti yang mampu menandingi BN dan mengalahkannya.

PRU 14 SASARAN SEBENAR

PRU 14 hanya setahun lebih sahaja lagi. Sepatutnya persoalan bagaimana boleh dimanfaatkan 2 PRK ini untuk mengukuhkan kedudukan PH menuju PRU 14 menjadi tumpuan semua. Bukan sekadar “menang pilihan raya kecil dengan apa cara sekalipun” tanpa mengambil kira kesan dan akibat tindakan tersebut terhadap PRU 14. Adalah diinginkan supaya tema PRU ke 14 adalah pilihan hanya antara PH dan BN. Maka, ke arah itu keutuhan PH perlu dizahirkan melalui dua pilihan raya kecil ini.

Terdapat dua masalah utama yang dihadapi dan perlu diselesaikan sebelum PRU ke 14. Yang pertama ialah masalah kesatuan dan keutuhan PH yang masih tidak kelihatan. Ini telah saya dijelaskan di atas.

Masalah kedua adalah persoalan kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai blok ke tiga. Adalah perlu diberikan kesedaran kepada yang tidak bersama PH, samada untuk bersendirian atau untuk mengadakan Blok ke 3, bahawa rakyat akan menolak mereka. Ini adalah supaya usaha penyatuan pembangkang akan dipertimbangkan secara serius setelah tersungkur dalam pilihan raya kecil ini. Jika tidak, sehingga bila-bila mereka akan angkuh dan taasub dengan diri mereka sendiri.

Jika diberikan laluan kepada PAS dalam pilihan raya kecil seperti yan dicadangkan oleh beberapa pihak, demi mengelak pertembungan 3 penjuru dengan PAS, apakah yang akan berlaku semasa PRU 14? Sekiranya PAS menang mereka akan dakwa mereka menang atas kekuatannya sendiri dan mereka bertambah angkuh dan sombong. Mereka terus tidak akan berunding dan masalah 3 penjuru akan terpaksa dihadapi dalam PRU 14.

Dan sekiranya PAS kalah akan mula proses tuduh menuduh antara satu sama lain dengan dakwaan terdapat sabotaj dan sebagainya. Maka pada PRU 14 akan tetap terpaksa menghadapi 3 penjuru dengan PAS.

Oleh itu tidak wajar untuk mana-mana pihak cuba mengelak dari menyelesaikan masalah blok ketiga ini. Ini merupakan peluang terbaik menyelesaikan masalah keangkuhan dan kekarutan konsep blok ke 3 melalui pilihan raya kecil ini sehingga ianya tidak akan disebut lagi menjelang PRU ke 14.

Maka melalui pencapaian kedua-dua matlamat ini, iaitu membuktikan keutuhan PH dan kesongsangan konsep blok ke 3, ianya menyediakan suasana yang lebih baik untuk menghadapi PRU 14. Dan inilah sepatutnya apa yang ditumpukan iaitu memanfaatkan pilihan raya kecil ini demi menyediakan suasana yang lebih baik untuk PH menghadapi PRU 14.

PAKATAN POLITIK DAN ALMARHUM TGNA

Masih saya ingat dengan jelas kata-kata Almarhum TGNA dalam muktamar PAS 2008. Ianya muktamar selepas kemenangan besar PAS, DAP dan PKR dan pembentukan PR. Sebelum sahaja PR dibentukkan, diadakan usaha kerjasama dengan UMNO oleh beberapa pimpinan PAS sehingga menyebabkan Almarhum TGNA marah dan berang. Almarhum menyebut di dalam ucapannya, “letakkan kedua-dua kaki dalam sampan yang sama! Mana mungkin satu di sampan ini dan satu lagi di sampan yang lain? Kalau di dua sampan yang berlainan, maka apabila ianya bergerak, maka kita akan jatuh dalam air”.

Dulu kata-kata Almarhum ditujukan pada PAS. Namun hari ini kata-kata Almarhum tersebut perlu saya tujukan kepada mereka yang masih ingin berpaut kepada PAS sedangkan PAS tidak bersama Pakatan Harapan. Berikan tumpuan dan komitmen kepada PH dalam tempoh setahun dua ini supaya PH dapat mengalahkan BN dalam PRU 14. Jangan diterus perasaan berbelah bahagi kerana dengan itu hanya akan memberikan mesej yang bercelaru kepada rakyat.

KESIMPULAN

Berdasarkan penghujahan seperti di atas, maka adalah disyorkan supaya dibiarkan sahaja berlakunya 3 penjuru antara BN, PH dan PAS sekiranya PAS meletak juga calon mereka. Selain menegaskan PH sebagai pakatan yang utuh, pada masa yang sama juga menunjukkan bahawa sebagai Blok ke 3 atau sebagai parti yang bersendirian, PAS menjadi semakin tidak releven. Supaya dengan itu mereka akan perbetulkan sikap mereka menjelang PRU ke 14.

Sekiranya apa yang dihujahkan di atas diterima, iaitu PH perlu bertanding dan tiga penjuru turut mempunyai manfaatnya, maka parti yang mewakili PH di dua kerusi ini, bagi pandangan saya, semestinya AMANAH. Ini adalah kerana dua kerusi tersebut merupakan kerusi majoriti Melayu Islam melebihi 60%. Dengan bertanding di dua kerusi ini AMANAH akan mengetahui sejauh mana penerimaan masyarakat Melayu Islam terhadapnya. Sekiranya bermasalah maka masih sempat untuk ditangani dan diperbetulkan sebelum PRU ke 14. Kedudukan AMANAH di dalam PH sepatutnya adalah sepertimana PAS dalam PR sebelum ini. Dan sememangnya AMANAH adalah pecahan dari PAS yang terbentuk di atas ketidak sanggupan PAS untuk memenuhi peranannya dalam PR.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

ramboo-t said…
Kpd khalid, tlg pulangkan kerusi parlimen semula kpd pas..Pan perosak undi(beri talian hayat pd bn)..pan hanyalah terompah dap.
Unknown said…
The best for PH would still be to contest in Kuala Kangsar (KK). Nizar is the right person to be Amanah's candidate in KK. Nizar will get the support of Chinese, Indian and also Malay voters. But in the case of Sungai Besar (SB), I feel that PKR should contest this time. With PKR in, PAS may not contest. And this will favour PH against Umno/BN. If Amanah contests in KK and PKR contest in SB, both seats will be won by PH.

Just heed my advice and we shall see PH succeed in both these elections.
Terjah said…
Sdr Khalid,

Saya mengikuti kemelut yang dihadapi oleh PH dan parti-parti dalam PH iaitu PKR, DAP dan Amanah. Sementara pendirian DAP adalah jelas, tetapi PKR masih kelabu. Ini jelas dengan sikap Azmin yang beria-ia memujuk PAS supaya kembali dalam PH, semuanya atas alasan kedua-kedua PRK (sg Besar dan KK) supaya satu lawan satu. Kononnya untuk menjamin kemenangan dan BN dikalahkan. Tapi PAS seperti biasa sombong dan angkuh. PAS lupa bahawa PAS mula bernyawa di Selangor atau di negeri-negeri lain kecuali Kelantan, kerana ia adalah bersama DAP, PKR dalam PR. tetapi itu cerita dulu. Sebagaiman kata banyak orang situasi politik berubah. PAS kata dia boleh bersendirian, maknanya tidak perlu sojkongan PKR apalagi DAP.
Amanah sebagai ahli PH mahu bertanding di kedua-dua kawasan, kerana dipersetujui bahawa Amanah mengambil-alih tempat PAS. Memang sepatutnya begitu, di mana kawasan yang dulu `milik' PAS kini adalah `hak' Amanah.

Saya tidak mahu berhujah panjang. Cuba Sdr bertanya kepada PKR khususnya kepada Azmin Ali selaku Tuimbalan Presiden PKR aka MB Selangor. Dalam Kerajaan Selangor sekarang, pelik tetapi benar, ia diddokong bersama PAS dan DAP. Ini memberi nyawa kepada PAS, selaku anggota dalam Kerajaan Selangor dari segi sumber kewangan serta projek pembangunan rakyat Selangor. PAS boleh saja memberitahu kepada ahli serta penyokongnya projek pembangunan adalah daripada PAS.

Soalan yang perlu dtanya kepada Azmin dan kroni PKRnya ialah: Kalau Amanah bertanding, lawan PAS dan BN, Azmin nak tolong siapa? PAS atau Amanah? Atau adakah dia bersikap berkecuali.

Inilah yang dikatakan `pemimpin jadian-jadian. Terima kasih.


IbnuTamizi said…
Salam, Jika PAS masih juga ingin meletakkan calon. Ada baiknya PH (PAN, DAP, PKR) bersama2 berkempen dan membantu PAS untuk menang. Inilah yang diinginkan oleh rakyat. jadilah jaguh penyatuan dan perpaduan. jangan biarkan jalan cerita kita ditentukan oleh lawan. malah jika ianya berlaku inilah yang ditakuti pemerintah.

jika PH boleh duduk bersama2 Dr M dalam deklarasi rakyat, mengapa tidak duduk bersama PAS dalam menentang menjatuhkan BN. Sedangkan Dr M itu adalah pemerintah yang zalim, yang terkenal dengan rasuah, seleweng dan salahgunakuasa, yang tidak menghormati perlembagaan dan perosak kedaulatan undang-undang negara.

jika PAN, DAP dan PKR mampu membuang semua perbezaan dan sejarah hitam bagi memudahkan rakyat membuat pilihan, ia akan menjadi satu tanda aras baru bagi politik pembangkang di malaysia. sifat keterbukaan ini akan menjadi mimpi ngeri penentang2 rakyat. berhentikan memaksa rakyat memilih dan berpecah dalam usaha mendapatkan keadilan dan kebebasan.
myDesignWorld said…
Kpd YB YB PAST, tlg serah kan kerusi anda semula Kpd Pakatan Rakyat. Kami dulu mengundi kamu atas tiket Pakatan Rakyat.
....absolutely right...101% personally I'll support ur advice & 1001% your opinion...hope PH kena pikiaq baik2...
pandanganku said…
Pada hemat saya, perlu diakui bahawa kini politik malaysia lebih besar. Kita kini memiliki 3 blok utama dalam pentas politik.

PH perlu menguatkan jati diri seperti PAS dan BN. Hari ini orang ramai melihat BN (bukan lagi umno) dan PAS parti yang kuat dan tegas. Mungkin ramai yang berkata PAS angkuh dan sombong. Sebaliknya apa yang berlaku ialah PAS terus mara kehadapan dengan nakhoda dan kelasi2 baru mereka. Manakala PH kelihatan seperti suami yang ditinggalkan isteri, masih memujuk walaupun si isteri makin menjauh dan makin meletakkan syarat. Masih terawang2 kemanjaan isteri yang hakikatnya dia sudah pergi membawa diri.

PH perlu solid sebagaimana penggal2 yang lalu. Menerima PAS dan BN sebagai pesaing adalah jalan terbaik. Tidak perlu fikir samada PAS bergabung dengan BN ataupun tidak. Fikir apa ada dalam kendungan. Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Amanah perlu berhenti melihat PAS. Ini kerana rakyat melihat Amanah ialah parti lawan PAS, bukan BN.

PH perlu perkukuhkan imej sebagai satu alternatif rakyat. PR dulu hebat bukan atas dasar PKR,PAS atau DAP. Tetapi hebat kerana manifestonya. Hebat kerana kesatuannya. Hebat kerana turun padang dan sifat tidak ekslusifnya. Hebat kerana rakyat merasakan PR adalah rakyat, rakyat adalah PR.

Harapan rakyat agar lahir kembali pemimpin suara rakyat. Bukan pemimpin parti masing2. Rakyat tidak keliru, tetapi rakyat sudah meluat. Selamatkan Malaysia sebelum rakyat membawa diri.

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.