Skip to main content

Dua Keajaiban

Saya telah melihat dua keajaiban semasa menghadiri sidang Parlimen pada hari Khamis 26 Mei 2016 yang lalu. Besar kemungkinan dua keajaiban ini mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain. Samada wujudnya hubungan rapat di antara dua keajaiban ini, atau sebaliknya, saya serahkan kepada semua untuk menilai sendiri.

KEAJAIBAN PERTAMA

Keajaiban pertama adalah persetujuan kerajaan UMNO/BN untuk mengangkat usul persendirian YB Marang yang terletak di nombor 15 di dalam senarai peraturan mesyuarat ke kedudukan utama sehingga ianya dapat dibentang untuk dibahas. Ini bererti bahawa usul persendirian YB Marang diutamakan oleh kerajaan UMNO/BN dari segala urusan kerajaan yang disenaraikan sebelumnya. Mengutamakan usul persendirian Ahli Parlimen pembangkang mengatasi urusan kerajaan tidak pernah berlaku di dalam sejarah persidangan Parlimen di Malaysia. Maka ianya dilihat sebagai sesuatu yang ajaib.

Saya telah bangun meminta penjelasan mengenai keajaiban ini. Saya turut menjelaskan bahawa saya setuju dan menyokong usul tersebut dibenarkan untuk dibentang dan dibahaskan, serta telah menyatakan perkara ini dalam perbahasan saya. Tuduhan bahawa saya menentang pembentangan usul tersebut adalah tidak benar dan fitnah yang jahat. Saya turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dalam ucapan saya kerana membenarkan perbahasan usul tersebut diutamakan. Hakikatnya perbentangan usul itu hanya mungkin berlaku dengan izin dan persetujuan kerajaan UMNO/BN.

Saya seterusnya meminta kerajaan menjelaskan atas pertimbangan dan parameter yang bagaimana sesuatu usul persendirian akan diutamakan ke atas urusan kerajaan. Saya meminta penjelasan ini supaya ianya boleh menjadi panduan bagi diri saya pada masa-masa akan datang sekiranya saya juga ingin membawa usul persendirian. Soalan itu dikemukakan kerana sememangnya ianya satu keajaiban yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Turut disoal oleh diri saya adakah pilihan raya kecil salah satu parameter yang diambil kira oleh kerajaan.

Soalan saya tidak dijawab oleh kerajaan atau Speaker Dewan. Ianya kemudiannya diputar belit untuk dituduh saya menolak usul tersebut dibentangkan. Sedangkan sokongan saya telah saya nyatakan secara jelas terlebih dahulu. Namun, apakan daya, fitnah dan maki hamun telah menjadi budaya sebahagian masyarakat kita. Saya nasihatkan semua supaya bertaqwa atau takut kepada Allah dan ‘dosa jariah’ yang mendatang hasil amalan fitnah dan maki hamun ini.

KEAJAIBAN KEDUA

Keajaiban kedua adalah apabila ianya dibenarkan untuk dibentang, YB Marang bangun dan sekadar membaca usul persendirian beliau. Setelah selesai membacanya, maka beliau duduk dan terpaksa Speaker bertanya samada ingin usul beliau dibahas sekarang atau ditangguhkan sehingga sidang akan datang. Saya terperanjat apabila YB Marang menjawab bahawa beliau ingin ditangguhkan kepada sidang akan datang. Saya tersilap pada ketika itu kerana saya tidak bangun minta ianya terus dibahas! Jarang saya tersentak begitu, sehingga terdiam. Begitu terkejutnya saya dengan respon YB Marang!

Ianya amat malang sekali apabila diberi peluang sebegitu rupa, iaitu satu peluang keemasan dengan kebenaran yang disebut sebagai ‘precedent’ atau keputusan baharu yang tidak pernah sebelum ini dibenarkan, tetapi ianya dipersia-siakan begitu sahaja. Maka segala keseronokan melihat ianya dibenarkan untuk dibentang dan segala harapan bahawa satu perbahasan akan diadakan, hilang melalui tindakan YB Marang meminta perbahasan ditangguhkan. Adakah benar ianya akan dibenarkan dibahas pada sesi akan datang? Percaya betul YB Marang kepada keikhlasan UMNO/BN.

Tersentak saya mendegar permintaannya. Tetapi mungkin, matlamat kedua-dua pihak, iaitu pembawa usul dan yang membenarkan usul itu dibaca, telah pun tercapai.

PERANCANGAN DAN KOMPLOT

Mungkin ianya terlalu mudah untuk mana-mana pihak mendakwa wujudnya satu perancangan dan komplot di sebalik keputusan bersifat precedent ini dan juga kesedian pembawa usul untuk ditangguhkan perbahasan. Sudah pasti akan ada yang mendakwa bahawa pihak kerajaan telah bersetuju untuk usul persendirian itu diangkat untuk dibahas, tetapi dengan syarat ianya sekadar dibaca dan tidak dibahas!

Sudah ada yang mendakwa bahawa skrip yang disediakan kedua-dua pihak, demi menghadapi pilihan raya kecil telah jelas kelihatan.

Saya akui bahawa dakwaan sebegini sememangnya dilihat wajar. Ia menjawab banyak persoalan. Ia memberi ‘rhyme and reason’ atau penjelasan yang boleh diterima akal kepada dua keajaiban yang berlaku berhubung usul yang sama. Dan sekiranya ianya benar, dan saya harap ianya sebaliknya, maka ianya merupakan tindakan memperalatkan sentimen agama demi kepentingan politik oleh dua-dua pihak! Sebagai seorang yang mengambil berat persoalan perjuangan Islam dan Islam itu sendiri sebagai agama yang menegakkan keadilan, saya pasti ramai yang tidak sanggup melihatnya dipergunakan sebegini rupa.

Adakah benar dakwaan sesetengah pihak bahawa usul hudud atau lebih tepat lagi rang undang-undang mahkamah syariyah, sekadar diperalatkan UMNO untuk menentukan isu 1MDB dan RM2.6 Billion DS Najib akan tenggelam dan tidak menjadi isu utama di Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar? Begitu juga persoalan GST dan peningkatan kos hidup rakyat sehingga kesemuanya itu boleh dijadikan isu untuk menolak Najib dan memenangkan calon-calon PH? Dan adakah PAS pula yang secara lurus bendul membenarkan diri mereka diperalatkan sepertimana juga isu Islam dan undang-undangnya, demi mencapai ‘sedikit kejayaan’ yang boleh digembar-gemburkan kepada ahli-ahlinya? Harus diingat, muktamar PAS hanya beberapa hari sahaja lagi.

Pada hakikatnya tiada apa-apa perbezaan antara ‘dibaca’ dan ‘tertera atas kertas peraturan mesyuarat’, sepertimana sekian lama. Bezanya sekadar ianya dibaca dan ditulis dalam Hansard. Tiada apa-apa yang dicapai pada hakikatnya. Dari segi impak kepada proses perundangan mahu pun proses penggubalan undang-undang, tiada apa-apa akan berlaku. Impak hanya tercapai sekiranya ianya dibahas dan diluluskan di dalam Parlimen. Perbahasan membantu memberi penjelasan mengenai sistem perundangan Islam maka boleh juga dikatakan adanya elemen dakwah. Tetapi sekadar membaca usulnya, sepertimana ianya ditulis, tanpa sebarang penjelasan mahupun penerangan yang dilakukan, sama sahaja dengan tertera di atas kertas peraturan mesyuarat dan dibaca sendiri.

KESIMPULAN

Maka apa yang boleh disimpulkan di sini adalah dua keajaiban ini tidak berlaku tanpa sebab. Yang percaya kepada kebaikan UMNO/BN akan mendakwa mereka ikhlas dan Azalina sebagai Menteri berkenaan, membenarkannya kerana beliau seorang yang berjiwa Islamik dan ingin Malaysia ditadbir mengikut syariat Islam. PAS akan mendakwa mereka telah berjaya berdakwah dengan UMNO dan menceritakan kisah usul ini sebagai bukti kejayaan mereka. Sehingga dilihat Hj. Hadi sendiri membela MCA dan MIC. Tidak pernah termimpi.

Bagi sebahagian ramai yang lain, ianya bukti sekali lagi bagaimana PAS termakan umpan UMNO. Untung secupak, jika ada untung sekali pun, ruginya segantang. Ianya akan digunakan UMNO untuk melepaskan diri dari dihakimi rakyat atas segala rasuah dan penyelewengan yang dilakukan DS Najib pada pilihan raya kecil ini. Maka UMNO yang akan mendapat keuntungan terbesar dari ini semua sekiranya rakyat berjaya dikaburi dengan isu ini. Mungkin itukah yang dihajati semua sejak dari awal lagi?

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

tobeks said…
Walaupun ada teori perancangan dan komplot, ianya masih kekal sebagai teori, dan walaupun sekiranya ianya benar, ianya langkah tersusun daripada MARANG untuk agenda PAS, dan langkah baik dari UBN untuk lemahkan PH. Tuan tahu perkara ini dan tersepit antara kerjasama mana yang perlu didahulukan.
Dan said…
Tunggulah azab dari ALLAH jika Pas mempermainkan hukumNYA. Saya dh meluat dengan Pas.
Mat Safian said…
Ada satu lg keajaiban...seluruh pimpinan PH terpaksa tunggu keputusan Azmin memujuk PAS. Padahal di peringkat akar umbi dan rakyat bawahan sejak penubuhan AMANAH, orang2 Azmin dh mula berkempen menyatakan DSAI tidak akan jd PM. DSAI sudah tua dan DSAI sudah serah kpd PKR agar melantik Azmin jd PM bila PH menang kelak.

Orang2 Azmin jg menyebarkan kpd penyokong2 PAS bhw DAP berjaya pecahkan orang Islam dgn mewujudkan AMANAH. Jd mereka menyebarkan AMANAH adlh parti tajaan DAP.
Unknown said…
kesian yb,terkejutnya sampai terdiam, dalam isu ini bg saya apa pun alasannya ianya adalah satu kemenangan bg pas itu sendiri kerana usul persendirian yg dibawa oleh yb marang itu bukan nya baru dan itu lah yg di perjuangkan pas selama ni,soal kejujuran umno ni sy rasa yb marang terlebih masak dan knl sngt dah pasal umno, yb marang lawan umno ni sebelum yb KS mumayyiz lg,jadi tak usah lah yb KS berasa bangga diri yg yb soranglah yg knal hati umno

dan yb tanya apa apa parameter yg satu2 private member bill itu akan diterima, itu semua soalan sindiran politik yb shj, kerana alasan pun memg semua dah tahu umno ingim mengambil laba dalam 2 prk tentunya, pun begitu alasannya bg sy peluang mana pun kita harus ambil dan gunakannya . sekiranya nak menugggu keikhlasan hati umno seperti yb katakan itu bila?? politik biasalah. kalau bendul manakan boleh boleh jd yb.

tak berpuas hati kerana yb marang tak terus bahas pada hari tu. saya nak katakan yg kalau bahas pun yb KS akan ad jg yg x puas hatinya, eloklah lah tu akan dibahas pd sesi akn dtg, sekurang2 nya dpt semua yb2 yg menyokong dan tak sokong akn bersedia dan akan buat reseach.

soal nak tutup isu 1mdb,2.6bilion dan isu2 besar negara ya saya setuju dan umno kalau boleh semuanya nak di tutupnya. bg sy kita semua rakyat sedar dan MP2 harus terus bangkitkan soal itu.

kesimpulannya yb cukuplah terus menerus memperlekehkan,mengeji mngutuk pas, pembangkang perlu bersatu dan harus tunjuk pd rakyat kesaksamaan untuk tumbangkan umno BN, yb KS salah sorang pendongkong deklarasi rakyat untuk tumbangkan kerajaan tp tiba2 masa dan peluang seperti 2 PRK sg besar dan k.kangsar ini yb terus berebut untuk jd jaguh dan dan nak tunjuk hebat.. sedang kan semua itu adalah x lain hanya akan beri kemenangan pd umno BN, cukuplah yb . sampai bila kita harus berpecah. terima lah pandangan org lain jg. dan sy setuju sangt dengan tansri muhamad taib bks MB selangor katanya berundur selangkah kebelakang x semestinya kita mengaku kalah, apa salahnya guna peluang ini untuk sama2 berkempen dan menangkan calon pas.

org buat baik kita balas baik itu biasa , kita buat baik dengan org yg x baik itu luar biasa.

ok yb bye


Ziah's Blog said…
Apalah nasib Shah Alam dapat YB bodoh ini . Nak laksana syariat dlm negara demokrasi , mestilah di dorong oleh political will . Dulu dlm parlimen ada jual arak , tapi sebab political will PAS - PERIKATAN , maka arak mula diharamkan dijual di parlimen . Dulu tak ada Bank Syariah , tapi sebab political will PAS dlm peta perpolitikan maka Bank itu wujud . Begitu juga syariat . Tak berkurang kejahatan Najib pun kalau menang di dua pilihan raya kecil ni . Jadi momentum political will ini lah dimanfaat kan sebaiknya dengan pendekatan muwajahah silmiah , mengangkat peraturan terbaik manusia iaitu Syariah sebagai pagar kebangkitan tamadun bangsa . Itu YB
Unknown said…
Maaf, org macam YB KS terus terang ambo kata...Jenis Makhluk Yg Tak Boleh Dijadikan Contoh atapun Dipercayai. Dasar PANgkhianat pada Perjuangan...serta kenyataannya boleh dikategorikan meludah kelangit. wallahualam...
Unknown said…
Sebelum kita belajar atau menyokong seseorang itu kita kena lihat peribadi orang itu dulu.

Pada saya banyak pemimpin PAS ini tidak mencerminkan peribadi yang jujur. Kenapa memusuhi mereka yang keluar dari PAS? Berbeda pendapat atau cara berjuang tidak salah. Semua pun berjuang untuk memperbaiki islam dan memajukan Malaysia dan semua ahli politik pun ada jasa kepada rakyat dan negara.

Sepatutnya jika mereka berjiwa besar mereka harus meraikan rakan perjuangan walaupun sekarang di parti lain.

Orang yang Alim dan berpelajaran pun Allah uji cuma kadang kadang mereka tidak perasan kerana sibuk dengan hal dan ganjaran dunia.
Anonymous said…
Amanah mau dilihat MAKSUM sedangkan parti lain banyak melakukan dosa. matlamat tidak menghalalkan cara. apa yg baik kita sokong walaupun kita x suka org tu, barulah betul namanya amal maaruf nahi mungkar YB. contoh kalau anak atau orang tua kita ada buat salah dan sukar dimaafkan,adakah kita akan trus buang orang tua kita atau buang anak kita dan gantikan dengan anak/orang tua yang baru yb? mustahil kan YB. sejahat2 najib pon dia tetap seorang islam dan kita tak tahu Allah nak bagi hidayah tu pada siapa sbb itu milik Allah sahaja. saya dan YB sendiri pon belum tahu pengakhiran kita dimana. baik ke atau sebaliknya. saya lihat PH membawa politik kebencian dan bangkangan semata. masih berada dalam mimpi kerana mengharapkan AI 100%. kita patut melihat kehadapan dan kalau bukan rezeki AI utk jadi PM,kita cari yang lain yang layak atau memang tiada dalam PH yang layak. Allah jua yang mengetahui isi hati masing2

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-