Skip to main content

Naiknya Ahmad Bashah Selaku Menteri Besar Baharu Negeri Kedah

MUQADDIMAH

Sepanjang sesi Parlimen berlangsung, setakat ini telah memperlihatkan pertukaran Menteri Besar di 3 Negeri. Kesemuanya dengan sebab tertentu dan mengikut kaedah masing-masing.

Yang pertama di Terengganu. Ianya berjalan lancar tanpa apa-apa kekecohan kecuali di dalam kalangan tertentu di Terengganu sahaja.

Yang kedua di Selangor dengan jatuhnya TSKI dan naiknya Azmin. Ini berlaku dengan cukup kecoh sehingga ada yang tidak kenal kawan dari lawan. Suasana menjadi begitu kelam kabut dan yang penting adalah mencapai apa yang diinginkan walaupun terpaksa melanggar segala janji setiakawan terhadap rakan sambil berpelukan dengan lawan. Yang paling kelakar, selepas itu yang melakukan khianat berbicara dan menuntut kesetian.

Dan yang terakhir baru-baru ini pula di Negeri Kedah.

NAIKNYA AHMAD BASHAH

Saya tidak ingin menceritakan apa yang berlaku dan kenapa ianya berlaku. Ramai sudah menceritakan bab itu semua. Yang saya ingin menumpukan ialah persoalan bagaimana Ahmad Bashah boleh menjadi Menteri Besar?

Ianya disebut sebagai satu persoalan kerana setakat yang dimaklumkan beliau menerima hanya 17 undi sokongan dari 36 ADUN Kedah. Kalau tidak silap saya, 17 masih belum lebih dari separuh dan oleh itu tidak mungkin beliau layak untuk diterima sebagai Menteri Besar yang baharu. Tidak mungkin perkiraan saya tersilap!

Untuk menjadi Menteri Besar, beliau memerlukan paling kurang 19 undi sokongan dari ADUN Kedah. Tetapi yang diketahui hanya 17 menyokong beliau. Dikatakkan 16 ADUN lain sokong Mukhriz dan 3 ADUN berkecuali. Kalau begitu, sepatutnya Menteri Besar sediada kekal kerana undi tidak percaya hanya 17 undi, tidak cukup untuk menjatuhkannya. Sekiranya dikaji dengan lebih mendalam, mungkin harus dibubar DUN kerana tiada yang mendapat sokongan lebih dari separuh atau 50% dalam DUN Kedah, samada Bashah atau Mukhriz.

ADANYA PENYOKONG RAHSIA?

Sudah pasti pihak istana memahami ini semua dan telah dimaklumkan oleh pegawai undang-undang mengenainya. Maka persoalannya ialah adakah wujud penyokong Bashah secara rahsia untuk mencukupkan jumlah 19 undi itu? Atau telah diberikan tafsiran baharu terhadap keperluan menjadi Menteri Besar iaitu yang teramai dan bukan majoriti dalam dewan.

Sekiranya tafsiran ini tepat dan Bashah benar-benar mendapat lebih dari 19 undi, persoalannya siapa mereka?

Sudah pasti ianya akan terus dirahsiakan. Saya difahamkan pihak istana telah bertemu satu per satu ADUN Kedah secara tertutup dan bertanya, “Mukhriz atau Bashah?” Dan dalam pertemuan itu sudah pasti ada 19 atau lebih ADUN yang menyebut “Bashah”.

MALAYSIA NEGARA DEMOKRASI BERPAKSIKAN ‘RAHSIA’

Kebelakangan ini banyak sangat rahsia di ‘Negara Demokrasi’ Malaysia ini. Kononnya rakyat berkuasa tetapi rakyat langsung tidak tahu kebanyakkan perkara. Anatara rahsia yang masih tidak dijawab adalah :

1. Bagaimana hutang TSKI yang lebih dari RM 40 juta dengan BIMB telah dilangsaikan di luar mahkamah. Ini dijawab dengan kata-kata bahawa ianya rahsia dan sekiranya diberitahu maka akan runtuh berkecai industri perbankan kerana industri ini berpaksikan kerahsiaan.

2. Dari mana datangnya RM 2.6 Billion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi DS Najib? Diberi bermacam-macam jawapan dan akhirnya disebut ianya derma dan sudah pun dipulangkan kembali hampir kesemuanya. Tetapi jawapan itu bercanggah pula dengan fakta-fakta lain. Maka ianya boleh terus dikategorikan sebagai rahsia.

3. Ke mana perginya duit 1 MDB sebanyak RM 42 Billion? Itu pun masih dirahsiakan dan dikatakan “dilabur” merata. Kerajaan menjadi penjamin atas keseluruhan pinjaman 1 MDB ini tetapi rakyat tidak diberitahu ke mana ianya diguna pakai.

4. Siapa arahkan Sirul dan Azila untuk bunuh Altantuya? Ini pun rahsia yang tidak mahu diketahui apabila diputuskan bahawa ‘motif’ atau sebab serta niat di sebalik pembunuhan Altantuya tidak penting. Yang penting sekadar untuk mengetahui Sirul dan Azila yang membunuh.

5. Serta banyak lagi rahsia yang wujud sebelum ini.

6. Dan rahsia terbaru, undi siapa yang mencukupkan sokongan Bashah untuk menjadi Menteri Besar Kedah?

SIKAP BERKECUALI NAIKKAN BASHAH?

Ada yang cuba menyalahkan AMANAH dengan mengatakan sikap berkecuali menyebabkan Bashah naik dan Mukhriz turun. Sefaham saya sikap berkecuali tidak mampu menaikkan atau menjatuhkan sesiapa. Ianya berkecuali. Walaupun kami mungkin lebih selesa suasana kekal status quo dengan tiadanya pertukaran Menteri Besar dan Exco kerajaan Negeri Kedah, tetapi kami tidak mahu menyatakan sokongan terhadap Mukhriz kerana hakikatnya, kami tidak sokong. Kami tidak sanggup buat macam UMNO di Selangor tempoh hari. Sokong TSKI sedangkan pada hakikatnya tidak sokong. Sokong sekadar untuk melakukan adu domba.

Walaupun PKR dan PAS menyatakan sokongan terhadap Mukhriz, atas sebab masing-masing, itu hak mereka. AMANAH tidak sanggup.

Tetapi sefaham saya, sikap berkecuali kami bukan penyebab Mukhriz jatuh dan Bashah naik. Oleh yang demikian, kemungkinan terdapat paling kurang 2 ADUN yang sokong Bashah dari 16 yang kononnya menyokong Mukhriz tidak dapat disangkal. Adakah mereka dari UMNO, PKR atau PAS? Boleh dirahsiakan sekarang tetapi saya yakin akhirnya akan pecah juga. Sepertimana juga akhirnya akan terdedah segala rahsia yang disenaraikan di atas.

KESIMPULAN

Sekiranya andaian ini benar, ini bererti sekiranya 3 ADUN berkecuali merubah dan menyokong Mukhriz, hakikatnya Bashah telah mendapat 19 undi atau lebih. Maka sokongan 3 ADUN berkecuali tidak akan merubah apa-apa. Namun yang ruginya adalah sikap berkecuali berjaya digunakan pihak tertentu untuk berteka-teki dan melindungi kemungkinan ada yang menyokong Bashah tetapi berpura-pura menyokong Mukhriz. Bagi menjawab teka-teki tersebut, maka bolehlah difikirkan persoalan di antara UMNO, PKR dan PAS; parti manakah yang kerap berpura-pura?

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Izuddin said…
Dijadikan hati itu bersifat bolak balik. ia bolah balik sebab perangai hangpa laaa.

Tapi hangpa kata Allah membolak balik hati. Kesian kat Allah hangpa tuduh macam2 !

Popular posts from this blog

Kerana Tidak Istiqamah Maka Akhirnya Terpinggir

Keputusan PRU14 sekarang telah diketahui umum. Pakatan Harapan (PH) berjaya mengambil alih Putrajaya dan negeri-negeri di seluruh Negara kecuali Perlis, Pahang dan Sarawak yang kekal bawah BN sambil Kelantan dan Terengganu jatuh pada PAS.

Walaupun akan ada yang berkata bahawa PAS telah berjaya dengan keputusan anatara yang paling cemerlang dalam sejarahnya, hakikatnya ianya sebenarnya boleh jauh lebih baik dari itu. Malangnya, sifat gopoh dan kurang yakin kepada pendekatan yang diikutinya sejak zaman reformasi telah menyebabkan PAS semakin terpinggir dari arus perdana politik negara. Ia kembali sebagai parti pantai timur dan kawasan kampung Melayu setelah beraksi cergas di pantai barat dan kawasan bandar pada tahun-tahun pasca reformasi. Cogan kata “PAS for all” kian tidak kedengaran dan PAS kembali sebagai parti bersifat eksklusif memperjuangkan agenda khas bagi masyarakat Muslim dan Melayu.

Dakwaan Kosong Hj Hadi: Antara Kebenaran dan Khayalan

Pada 14hb April Hj. Hadi membuat satu 'pendedahan' mengenai sebab sebenar AMANAH ditolak. Kononnya ianya adalah kerana pimpinan AMANAH semasa menjawat jawatan dalam PAS ingin meminda perlembagaan PAS sehingga dikurangkan kuasa Majlis Syura Ulama. Tuduhan tersebut merupakan satu pembohongan yang nyata yang dibuat dengan penuh kesedaran bahawa ianya satu pembohongan! Saya tidak tahu mengapa Hj Hadi kebelakangan ini kerap berbohong.

Sekiranya ianya dianggap bukan satu pembohongan oleh beliau dan beliau benar yakin akan kebenarannya maka ahli-ahli PAS haruslah berwaspada. Kerana ini bermakna bahawa beliau sudah mula mengalami satu keadaan yang tidak dapat membezakan di antara kebenaran dari khayalan. Situasi 'delusional' ini menyebabkan beliau sentiasa dalam keadaan cemas dan menganggap dirinya dan Islam dimusuhi oleh semua, kecuali oleh PAS dan UMNO.

Tuduhan ini sebenarnya bukanlah baharu maka yang dikatakan sebagai 'pendedahan' selepas 3 tahun ini adalah dakwaan …

Kapal Perang Tariq Ibn Ziyad dan Isu Bai’ah Taklik – Kata Penutup

Pada 8 Ramadhan tahun ke-92 Hijrah, tentera-tentera Islam di bawah pimpinan Tariq Ibn Ziyad telah mendarat di bumi Sepanyol selepas merentasi lautan Mediterranean. Sebaik sahaja mendarat, Tariq mengarahkan supaya kapal-kapal tentera Islam ini dibakar. Beliau melakukan ini dengan tujuan supaya tentera-tenteranya menyedari bahawa mereka tiada pilihan lain selain dari meneruskan perjuangan, samada gugur atau mencapai kemenangan.

Bagi yang tidak faham, tindakan Tariq Ibn Ziyad merupakan tindakan yang tidak bertanggung jawab, mencampakkan nyawa tentera-tenteranya dalam bahaya, kejam dan zalim! Bagi yang tidak berilmu, mereka akan pantas menyatakan tindakan itu adalah haram kerana cuba membunuh diri!

Dari sudut strategi peperangan ianya menzahirkan satu tekad yang teramat tinggi agar berjuang berhabis-habisan agar mencapai kemenangan. Tindakan membakar kapal-kapal ini adalah bertujuan untuk menghalang tentera Islam dari memikirkan pilihan untuk berpatah balik, berundur dan lari dari pertempur…