Skip to main content

2 Jamaah: Apa Yang Sebenarnya Haram

Dewasa ini ada kedengaran suara sumbang yang menyatakan bahawa kewujudan dua parti politik Islam pada masa yang sama di sesebuah negara adalah haram. Apabila dijelaskan kepada mereka keadaan sebenarnya, iaitu bahawa hukumnya adalah harus, maka dijawab balik ianya harus hanya sekiranya saling membantu dan tidak berbalah satu sama lain.

Sebenarnya itulah hukumnya yang paling tepat. Kewujudan parti Islam lain selain PAS tidak merupakan masalah pada dasarnya. Yang menjadi masalah ialah apabila berlakunya perbalahan dan saling menyerang antara satu sama lain. Dalam erti-kata lain, yang haram adalah perbalahan dan bukan kewujudan lebih dari satu parti Islam.

SIAPA SEBENARNYA YANG MELAKUKAN PERKARA HARAM?

Kalau premis seperti di atas itu dipersetujui, maka apa yang perlu dilakukan adalah usaha untuk mendamaikan antara parti Islam yang wujud ini. Perlu difahamkan kepada semua pihak bahawa mereka semua berhak wujud dan yang wajib ke atas mereka adalah untuk saling membantu dan bukan saling menyerang. Perbezaan pendapat yang wujud adalah berhubung isu sampingan, termasuk persoalan pendekatan dan oleh itu sambil masing-masing ingin terus berpegang kepada pendirian dan pendekatan masing-masing, ianya perlu dilakukan dalam keadaan saling menghormati satu sama lain.

Dalam keadaan itu maka pihak yang ingin mencetuskan perbalahan dengan mendakwa pihak satu lagi adalah haram, pengkhianat dan ‘perlu dimusnahkan’ adalah pihak yang merupakan pencetus masalah. Pihak ini perlu difahamkan bahawa kewujudan pihak lain adalah dibenarkan dan sikap ‘mengharamkan’ dan ingin ‘memusnahkan’ adalah tindakan haram dan terkutuk di sisi syariat.

HAKIKAT PERBEZAAN PANDANGAN

Pendekatan merupakan persoalan ijtihad dan khilaf berhubungnya adalah perkara biasa. Pendekatan mana yang lebih benar, tepat dan berkesan akan hanya terbukti apabila ianya dilaksana dan diamalkan. Kesan dan natijah pendekatan adalah bukti pendekatan mana satu yang lebih baik.

Sebagai satu contoh mudah, kalau ada yang menyatakan sesuatu jalan adalah lebih cepat berbanding jalan satu lagi, maka cara untuk memuktamadkan persoalan mana yang lebih cepat adalah dengan dibenarkan kedua-dua jalan diikuti dan dilihat siapa yang sampai dahulu. Begitu jugalah dalam berbagai persoalan yang merupakan ijtihad dan pendapat.

Termasuk dalam soal ijtihad ini adalah pendekatan yang terbaik untuk mendapat sokongan dari masyarakat Melayu. Bagi mana-mana parti Islam yang ingin bergerak di Malaysia, persoalan sokongan Melayu adalah penting. Dalam pada itu mereka mungkin mempunyai pendekatan yang berbeza dalam mengusahakannya.

PERSOALAN SOKONGAN MASYARAKAT MELAYU

Antara perbezaan sikap pimpinan PAS dan Amanah dewasa ini ialah persoalan samada hubungan dengan DAP akan menyebabkan larinya undi Melayu. PAS beranggapan Melayu akan lari darinya sekiranya PAS bersama dengan DAP. Oleh itu perbalahan dengan DAP perlu diusahakan demi meyakinkan masyarakat Melayu terhadap PAS. Manakala Amanah beranggapan sebaliknya.

Bagi Amanah, masyarakat Melayu, khususnya golongan muda sudah tolak persoalan perkauman. Mereka ingin melihat wujudnya sebuah parti yang mampu menyatu-padukan rakyat keseluruhannya. Oleh itu parti Islam yang mampu berkerjasama dengan DAP adalah sesuatu yang amat diinginkan.

Dalam soal ini biarlah kedua-dua parti mengamalkan pendekatan masing-masing. Kesan dan natijah pendekatan akan membuktikan ijtihad mana yang lebih tepat dan sesuai dengan waqi’ atau realiti masyarakat.

Pada masa sama, sambil mengamalkan pendekatan masing-masng, hendaklah dielakkan penggadaian prinsip dan pencemaran imej perjuangan Islam oleh kedua-dua parti. Kedua-dua parti perlu kekal dengan pendirian tegas menentang perkauman dan penerimaan setiap aspek ajaran Islam termasuk tuntutan syariat. Penggadaian kesucian mesej Islam, samada melalui laungan semangat perkauman atau pengguguran sebahagian aspek ajaran Islam seperti perlaksanaan syariat, hendaklah ditolak oleh PAS dan juga Amanah.

RUJUKAN AL-QURAN

Dan inilah apa yang dapat dilihat sebagai sebahagian dari pengajaran yang terkandung dalam ayat 9 dan 10 Surah Al-Hujurat yang bermaksud :-
“Dan sekiranya dua kumpulan (Taaifah) orang-orang beriman berbalah, maka damaikanlah mereka. Tetapi sekiranya salah satu dari mereka bertindak zalim terhadap yang satu lagi, maka lawanlah pihak yang yang bertindak zalim sehingga mereka kembali kepada perintah Allah. Dan bila mereka kembali maka damaikanlah mereka secara adil dan saksama. Sesungguhnya Allah kasih pada yang golongan yang bertindak adil dan saksama.”

“Sesungguhnya orang-orang beriman adalah bersaudara maka damaikan dan datangkan kebaikan antara saudara-saudara kamu. Bertaqwalah kepada Allah semoga kamu dirahmatiNya.”

Dari dua ayat ini maka boleh dirumuskan bahawa kewujudan dua kumpulan (Taaifah) jelas sekali tidak dilihat sebagai masalah. Yang menjadi masalah adalah perbalahan. Maka yang menjadi wajib adalah usaha mendamaikan dua kumpulan ini. Sekiranya satu kumpulan tidak mahu berdamai, malahan ingin terus menzalimi kumpulan satu lagi, dengan diserangnya dan diusahakan kemusnahannya, maka yang wajib untuk dilakukan adalah untuk menentang kehendak kumpulan ini. Dan kehendak mereka ini perlu ditentang sehingga mereka kembali kepada perintah atau hukum Allah. Dalam kes ini hukum Allah adalah wujudnya kumpulan satu lagi adalah harus sambil berbalah di antara satu sama lain adalah haram. Dan sekiranya kumpulan yang ingin terus berbalah itu kembali kepada perintah Allah itu, maka hendaklah didamaikan dengan adil dan saksama.

Dilengkapkan perintah ini dengan diingatkan bagaimana orang-orang beriman adalah bersaudara dan perdamaian antara mereka wajib diusahakan sekiranya ingin dirahmati Allah.

KESIMPULAN

Berdasarkan semua yang dikemukakan di atas adalah jelas jalan benar dari jalan yang salah. Semoga kita mempunyai kekuatan keimanan dan akhlak untuk melakukan yang benar dan menjauhkan diri kita dari yang salah.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Izuddin said…
Bagus YB...lagi bagus dari Yusuf Qardawi.

pas ni bahlol betoi tak reti selesai masalahah mereka tapi kena rujuk kpd Qardawi. Ulamak konon !

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.