Skip to main content

Kes Mahkamah TSKI dan Keanehan Politik Malaysia

Baru-baru ini kes saman TSKI terhadap Saifuddin Nasution dan PKR hendak dibicarakan. DSAI disapina sebagai salah seorang saksi pembelaan. Apabila DSAI tiba dia telah berjaya memujuk kedua-dua pihak untuk menyelesaikan kes berkenaan dengan saling bermaafan. Melalui itu, ianya diharap kes berkenaan dapat diselesaikan dengan baik, isu berhubungnya tutup, selesai dan kedua-dua pihak boleh memberikan tumpuan kepada masalah semasa, bukan masalah yang telah berlalu.

Namun, ini Malaysia, di mana segala kemungkinan boleh berlaku. Tindakan bermaaf-maafan yang seharusnya bermakna ‘seri-seri’, diperlihatkan sebagai kemenangan besar bagi pihak TSKI. Seterusnya diketengahkan pula dakwaan betapa ‘ketepatan’ pendirian TGHH terbukti semasa krisis MB berlaku dahulu.

Oleh itu matlamat bermaafan itu tidak tercapai, malahan menjadi lagi parah apabila ianya dijaja dan dipolitikkan sebagai isu untuk kepentingan pihak berkenaan. Inilah dunia politik Malaysia, di mana bermaafan boleh dijadikan peluru perbalahan!

LATAR BELAKANG CADANGAN BERMAAFAN

Ada yang bertanya, jika Saifuddin dan PKR merasakan diri mereka benar, maka mengapa DSAI kemukakan cadangan bermaafan? Jawapannya mudah bagi yang ingin memahami.

Pertama, DSAI melihat isunya sudah tidak lagi releven. Ini adalah kerana laporan yang menjadi perbalahan telah disiapkan Saifuddin sebagai asas untuk menukarkan TSKI sebagai MB Selangor. Pada ketika ini, TSKI tidak lagi MB Selangor! Maka apa relevennya untuk ianya dibahaskan kembali?

Kedua, segala masalah yang didedahkan dalam laporan berkenaan telah dan sedang ditangani kabinet baru. Samada isu Eco-World, Langat II, Kiddex, Penstrukturan Industri Air Selangor dan sebagainya, kesemuanya samada telah atau sedang diuruskan mengikut apa yang dipersetujui parti. Yang tinggal hanya isu peribadi TSKI berhubung hutangnya dengan BIMB yang telah diselesaikan di luar mahkamah. Itu tidak merupakan isu releven bagi PKR, lebih-lebih lagi apabila TSKI sudah bukan lagi MB atau ahli PKR.

Ketiga, perbicaraan ini akan mendedahkan perjalanan dalaman parti PKR dan kelemahan semua pihak pada umum. Ianya akan juga mengambil masa yang lama dan menyibukkan ramai. Sedangkan bagi PKR, matlamat yang utama sudah pun tercapai. Apa yang diinginkan adalah tumpuan kepada isu semasa yang banyak dan mencabar.

Keempat, laporan yang disediakan Saifuddin sebagai SUA PKR hanya menjelaskan persoalan yang menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap tindakan TSKI sebagai MB Selangor. Ianya tidak dijadikan penghakiman muktamad yang semestinya memerlukan proses siasatan dan pendakwaan untuk dimuktamadkan. Pada ketika beberapa isu telah ditimbulkan, TSKI tidak memberi jawapan yang dianggap memuaskan parti dan oleh itu mewajarkan ianya disenaraikan sebagai persoalan yang menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap TSKI. Ianya dilihat sebagai proses biasa untuk menjelaskan sebab ingin TSKI ditukar dan bukan untk ‘menghukumnya’.

DS NAJIB DAN RM 2.6 BILLION

Mungkin ianya boleh dibandingkan dengan kes DS Najib di mana duit RM 2.6 Billion yang masuk ke akaun peribadinya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kelayakan DS Najib terus menjadi Perdana Menteri. Namun tidak ada sesiapa yang boleh mengatakan secara muktamad bahawa DS Najib adalah seorang “perompak dan perasuah”.

Adalah benar bahawa ketidak mampuan DS Najib memberi jawapan yang memuaskan menambahkan lagi keraguan semua. Akan tetapi, siasatan perlu dilakukan untuk memutuskan persoalan tersebut secara muktamad. Pada masa sama, tidak boleh dinafikan bahawa atas kegagalan menjawab dengan jelas, wujud keraguan munasabah yang mewajarkan DS Najib ditukar sebagai PM.

TINDAKAN BERMAAFAN

Maka akhirnya dipersetujui untuk semua yang terlibat agar saling bermaafan. Oleh kerana laporan itu menjadi isu perbalahan maka pihak Saifuddin dan PKR menyebut dalam kenyataan maaf bahawa mereka kesal laporan tersebut difahami sebagai bukti TSKI seorang yang korup, zalim, tidak amanah dan sebagainya secara sah dan terbukti. Sebenarnya bukan itu dakwaan laporan tersebut. Laporan itu hanya mendedahkan keraguan munasabah terhadap kelayakan TSKI.

Oleh itu dipohon maaf atas kefahaman (atau ketidakfahaman) yang timbul dan berjanji tidak akan mengulangi lagi isu-isu berkenaan. Sudah pasti ianya tidak akan diulangi kerana tujuan laporan itu disediakan tidak lagi releven.

Sefaham saya, permohonan maaf ini tidak merupakan ‘pengakuan memfitnah’ TSKI. Ianya juga tidak merupakan penarikan balik segala keraguan terhadap tindakan TSKI yang telah timbul. Laporan itu tetap releven untuk tujuan ianya dibuat pada ketika itu. Kekesalan dan maaf dinyatakan terhadap pentafsiran ke atas laporan tersebut di mana TSKI dianggap bersalah secara muktamad.

TSKI juga meminta maaf kepada Saifuddin dan ahli PKR. Tetapi ianya dikatakan ‘bermaafan sempena bulan Syawal’ sahaja. Ini kali pertama bagi saya, maaf bulan Syawal dimasukkan sebagai penghakiman mahkamah. Tetapi itulah hujjahnya.

Sepatutnya selepas bermaafan, semua meredakan suasana dengan menyatakan, “isu ini sudah selesai dan kami telah bermaafan. Segala tuduhan telah tidak lagi timbul dan tidak lagi releven, samada untuk disiasat selanjutnya atau diulangi”. Dengan itu matlamat di bermaafan tercapai. Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.

DIKAITKAN PENDIRIAN TGHH MENYOKONG TSKI

Untuk menambahkan lagi rencah perisa kepada isu ini maka ada dari kalangan ahli PAS menyatakan bahawa ‘kemenangan TSKI’ adalah bukti “kebenaran dan ketepatan” pendirian TGHH dalam isu krisis MB Selangor tempoh hari. Berdasarkan segala yang telah dinyatakan di atas, saya hairan bagaiman kesimpulan itu tercapai.

Tidakkah segala keraguaan terhadap tindakan TSKI telah dikemukakan kepadanya secara jelas dan nyata untuk dijawabnya? Tidakkah pada ketika itu TSKI mempunyai segala yang diperlunya untuk memungkinkan dia menjawab segala persoalan yang ditimbulkan? Dan sekiranya ianya tidak dijawab dengan jelas dan nyata, maka tidakkah wujud keraguaan munasabah terhadap kemampuan dirinya diteruskan sebagai MB Selangor? Kalau jawapan semua di atas adalah benar, maka mengapakah tindakan TGHH dilihat sebagai betul dan tepat?

Seperti kes DS Najib, kesangsian munasabah mewajarkan DS Najib diganti sepertimana TSKI juga pada ketika itu.

KESAN SIKAP DAN TINDAKAN PAS DAN TGHH: KERAJAAN SELANGOR PAS/UMNO

Sebenarnya, sikap TGHH telah menjadi salah satu faktor PR berpecah. Sekiranya PAS bersama meminta TSKI meletak jawatan sebagai MB, isu ini tidak akan timbul. Tiada laporan yang perlu disediakan dan tiada perbalahan yang akan terhasil. Sebaliknya sokongan PAS terhadap TSKI menyebabkan ini semua berlaku dan akhirnya yang dikehendaki tetap terlepas! TSKI tetap diturunkan sebagai MB. Maka di mana ‘ketepatan’ tindakan PAS?

PAS mempertahankan TSKI habis-habisan sehingga sanggup bersekongkol dengan UMNO demi mempertahankannya. TSKI mendakwa mempunyai sokongan majoriti yang terdiri dari 15 ADUN PAS, 12 ADUN UMNO, ‘beberapa ADUN PKR yang akan muncul’ dan diri TSKI sendiri. Dalam tempoh kerajaan Selangor PAS/UMNO ini, telah berlaku pemecatan kesemua exco-exco PKR dan DAP. Pada ketika itu kerajaan gabungan PAS & UMNO telah berkuasa di Selangor walaupun untuk hanya beberapa hari!

Kerajaan Selangor PAS/UMNO di bawah kepimpinan TSKI telah hanya dijatuhkan apabila tiada ADUN PKR muncul untuk bersama TSKI dan dua ADUN PAS menarik diri dari menyokong TSKI. Berakhirnya kerajaan Selangor PAS/UMNO melalui tindakan dua ADUN PAS ini telah menyebabkan TGHH begitu marah sehingga mengeluarkan kata-kata “Barua dan Broker” di muktamar PAS 2014. Kemarahan yang begitu memuncak bagi saya, hanya menzahirkan tiadanya alergi atau alahan TGHH terhadap pembentukan kerajaan bersama UMNO di Selangor.

Ada yang mengatakan PAS terpaksa menyokong TSKI pada ketika itu kalau tidak “Sultan akan melantik UMNO/BN sebagai kerajaan di Selangor”! Maka untuk menghalang ini dari berlaku, PAS terpaksa memintasnya dengan segera. Alasan ini jelas terbukti satu pembohongan kerana apabila dua ADUN PAS menarik sokongan mereka terhadap TSKI, tiada pula Sultan melakukan seperti yang didakwa. Saya khuatir nama Sultan sering disalah-gunakan untuk menyelesaikan sesuatu persoalan supaya mengikut kehendak orang tertentu. Saya yakin Sultan Selangor menghormati perlembagaan Negeri dan tidak akan melanggarinya sepertimana yang telah cuba dilakukan oleh beberapa pihak.

ALASAN SYARII UNTUK MENUKAR TSKI

Ada yang bertanya, apa alasan syarii untuk menukar TSKI? Saya ingin tanya kembali apa alasan syarii memecat kesemua exco PKR dan DAP? Tidakkah mereka dipecat sekadar kerana tidak menyokong TSKI dan oleh itu tidak akan mengikut arahannya? Sekiranya itu merupakan alasan dan dianggap memadai, maka tidakkah ianya alasan sama yang digunakan PKR untuk menukar TSKI, iaitu dia tidak mendengar dan mematuhi arahan partinya?

Begitu juga boleh ditanya, apa alasan syarii menukar Dr. Rani sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor? Apa alasan syarii PAS ingin menukar Dato Nasir sebagai MB Kelantan pada zaman PAS bersama BN pada tahun 70an? Dan beratus lagi kes yang sama yang boleh dipersoalkan sedemikian rupa.

Hanya beberapa bulan sebelum itu, MB Terengganu, Ahmad Said, telah ditukar UMNO/BN tanpa masalah atau alasan syarii yang diminta ADUN Terengganu. Kelicinan proses penukaran MB Terengganu sepatutnya menjadi iktibar bagi PAS.

Hakikatnya tiada ‘alasan syarii’ yang diperlukan kerana MB adalah jawatan yang dilantik. Dia dipilih untuk dilantik atas sebab tertentu. Dan apabila yang melantik ingin menukarnya, atas sebab yang lain, maka itu adalah hak mereka. Dalam kes TSKI, PKR dan DAP ingin beliau ditukarkan. Sebahagian pimpinan PAS Selangor juga inginkan beliau ditukar. Pada asalnya majoriti dari pimpinan PAS Selangor, tetapi kemudiannya, selepas mengetahui pendirian TGHH, tinggal kurang dari separuh.

KESIMPULAN

Saya sebenarnya sudah tidak berminat untuk menulis panjang lebar mengenai persoalan ini. Bagi yang ingin menegakkan benang basah, mereka akan terus melakukannya walau apa sekalipun yang dinyatakan. Hanya kesimpulan saya begini;

Sekiranya PAS menganggap PKR sebagai parti pemfitnah dan melakukan kezaliman, maka mengapakah PAS terus bersama PKR? Putuskan sahaja hubungan dengan PKR sepertimana PAS telah putuskan hubungannya dengan DAP. Baru PAS akan dilihat sebagai parti yang tegas dan berprinsip, tidak bersekongkol dengan parti ‘kaki-fitnah’ dan zalim. Tindakan ini juga adalah bersesuaian dan selari dengan usul Multaqa Ulama pertama pada 2013.

Ia akan memudahkan semua pihak dan melaluinya akan jelas pada semua siapa kawan dan siapa lawan. Yang sering menjadi masalah adalah apabila yang dianggap kawan bertindak sebagai lawan. Soal pilihan raya dan pendekatan satu lawan satu boleh diuruskan kembali pada tahun PRU. Tetapi sekarang biar semua menzahirkan warna sebenar untuk rakyat melihatnya. Khususnya PAS. Ini adalah kerana PAS perlu menjelaskan samada ingin bersama PKR & DAP, bersendirian atau bersama UMNO/BN.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Izuddin said…
Helah yang bijak adalah Sunna. Helah yang merosakan adalah Satanic
bat8 said…
Satu hujah general yg tidak membantu. Elok sekiranya diulas apa yang di katakan helah bijak adalah sunna, apa yg satanic dalam isu ini. Kefahaman pembaca akan lebih jelas.
Izuddin said…
Retreat and fight another day. This is helah. The Hudaibah Treaty is an example. Except that when the Muslims returned to Makkah the next year, they didnt have to fight the Makkah Mursriks.

But why no fightings ? Because the Makkah Musyrik had lost hope on their gods....

If the Makkah Musriks had hold onto their hopes and gods, there will surely be fights between the Muslims and Musyriks
Unknown said…
apabila baca beberapa tulisannya, kita tahu yg dendamnya yb khalid samad ni begitu kuat terhadap tghh, bagaimana dikatakan tghh yg pempertahankan mb masa tu yg buat pr pecah, disini sy nak katakan pr yg rapuh ini hancur oleh
kerana mula dr langkah kajang yg tidak jelas diantara parti kompenan sebab berlakunya prk, oleh kerana kegelojohan sesaorg dgn buat keputusan sendirian.
kpd yb khalid samad nampaknya masih terus menyerang pas dan tghh, seolah olah tiada maaf bagi mu, syawal yg baru berlalu nampak tiada makna baginya.
kepada yb khalid sy ingatkan bersabar lah dan belajar lah menerima hujah org lain, dan kurangkan lah egonya. mengkritik seolah ideanya lah yg terbaik dan betul.
Izuddin said…
deiii...masa kajang move tski dah tau tujuan dan bersedia letak jawatan mb. ko baca balik news sebelum dan selepas kajang move.

Dan umno selangor panic sehingga berurusan dgn tski dgn habuan2 utk tski tidak lepas jawatan mb.tski join pkr pun sebab dia berhutang duit.

Saya tak rasa itu dendam terhadap tghh. tapi geram terhadap kebodohan tghh .

yb kalid samad ni BIJAK daa...dan idea2 dia terbaik dan betul sofar, unless you can beat him to it...haha

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-