Skip to main content

Respon Terhadap Ulasan Saya Berhubung Tulisan Fathi Aris Omar

Saya telah menerima beberapa teguran terhadap ulasan saya berhubung tulisan Saudara Fathi Aris Omar. Antaranya ada yang bernas dan memerlukan respon dari saya. Namun terdapat juga yang tidak memerlukan respon serius dari saya.

Yang tidak perlu respon serius adalah berhubung ejaan dan kenapa saya tidak mengenali Fathi Aris Omar, mantan Senior Editor Malaysiakini. Bab ejaan tu mungkin atas sebab masih merasakan dirinya editor. Bab tidak kenal mantan editor, saya mohon maaf kerana ramai juga lagi Senior editor yang masih tidak dikenali, bukan sekadar di Malaysiakini tetapi juga di akhbar media alternatif dan perdana yang lain.

Terdapat juga yang menyebut bahawa mungkin saya masih terperangkap dalam minda tahun 70an dan diungkitkan pembacaan tulisan Maududi dan Suara Al-Islam. Pada saya yang mengungkit itu lebih layak dituduh sebegitu kerana bukan saya yang mengungkitkannya. Kenapa kisah 40 tahun lampau ingin diungkit kembali? Takkanlah tahap pemikiran yang sama sahaja dengan salah seorang menantu? Sidik Fadhil juga turut disebut dan tuduhan saya tidak minat pada gaya tulisannya secara tiba-tiba dikemukakan! Tulisan sebegini sebenarnya yang wajar diedit kerana dibuatnya kesimpulan secara tiba-tiba dan semberono sahaja.

KOMEN YANG MEMERLUKAN RESPON SERIUS

Sebaik sahaja tulisan saya di atas dipos di Blog, saya telah menerima teguran melalui whatsApp dari ‘Abd Razak’ yang menyebut;

“Saya membaca tulisan terbaru YB di blog. Petikan darinya;

Beza ‘Parti Baru’ dengan PAS hanya satu. Aqeedahnya sama, dasar perjuangan sama, kefahaman terhadap Islam sama. Yang beza hanya kejujuran berkerjasama dan kommitment kepada kaedah tahalluf siyaasi dan konsep PR.

Maaf, bagi saya amat mengecewakan apa yang ditulis YB ini.

Pada saya parti baru harus berbeza dengan PAS lebih dari sekadar itu sahaja. Perubahan yang mendasar. Aliran pemikiran, budaya, pendekatan.....”

Saya dapati komen yang seakan sama turut dinyatakan oleh Saudara Wan Saiful Wan Jan sehari dua selepas itu. Wan Saiful juga mengesa supaya perbezaan antara HB dan PAS seharusnya lebih dari itu. Namun Wan Saiful menginginkan sesuatu yang pada saya tidak mungkin dapat dipenuhi oleh mana-mana satu parti. Jawapan saya terhadap dua-dua teguran akan saya perincikan di bawah.

Saya ucapkan terima kasih ke atas dua-dua komen ini dan memahami bagaimana tulisan saya itu boleh menimbulkan kekeliruan. Oleh itu respon amat wajar diberikan.

KONTEKS TULISAN SAYA

Apabila membaca mana-mana tulisan, adalah perlu dirujuk konteksnya. Saya harap semua memahami bahawa tulisan saya yang dirujuk tadi, adalah tulisan ulasan saya terhadap tulisan Fathi Aris Omar. Ianya bukan tulisan mengenai HB dan parti baru yang ingin ditubuhkan. Ia hanya menumpu kepada persoalan khusus yang releven iaitu persoalan kewajaran sebuah parti baru ditubuh dan peranannya yang telah dibangkitkan oleh Saudara Fathi Aris Omar.

Dalam kes petikan di atas, ianya ditulis di bawah tajuk “Added value atau nilai tambah yang dibawa oleh parti baru”. Maka ianya dijawab bahawa nilai tambahnya adalah kewujudan Pakatan 2.0 yang kukuh setelah robohnya PR oleh PAS. Dalam konteks tersebut maka perbezaan yang utama itu diberikan penegasan.

Penegasan terhadap kesamaan dalam persoalan asas antara PAS dan parti baru adalah bertujuan untuk mengelak polemik berhubung “siapa lebih Islam” dan ‘wabak takfiri’ yang terlalu mudah berjangkit. Oleh itu ianya perlu disebut sebegitu. Ini menjadikan perbezaan yang wujud sebagai perbezaan furu’ yang tidak mempersoalkan keIslaman pihak lain. Saya tidak mahu menghasilkan polemik sedemikian rupa dan sebabnya, rasa saya, adalah jelas dan tidak perlu diulas panjang.

ULASAN LANJUT TERHADAP ‘BEZA HANYA SATU’

Namun demikian, sekiranya ingin dikupas secara panjang lebar maka boleh saya nyatakan bahawa “kejujuran berkerjasama dan kommitmen terhadap kaedah tahalluf siyaasi dan konsep PR” adalah hasil dari kefahaman yang berbeza. Bukan kefahaman terhadap apa itu Islam, yang pada dasarnya adalah sama, tetapi terhadap waqi’ atau realiti masyarakat dewasa ini dan keanjalan serta keluasan ajaran Islam berhubung perjuangan politiknya.

Tidakkah ‘kejujuran’ dan ‘kommitmen’ itu hasil kefahaman terhadap perlunya dan pentingnya berpakat? Dan bukankah ini pula hasil kesedaran betapa berharganya sumbangan parti rakan? Ini bagi mengelakkan sikap hanya aku yang kuat dan hanya aku yang betul. Tidakkah ia menggambarkan penghayatan sikap tawadhu’ secara sebenar dan bukan sekadar di hujung lidah?

Dan ini juga menzahirkan ‘semangat persaudaraan sejagat’ terhadap semua, Islam dan bukan Islam, yang sama-sama inginkan keadilan dan kebenaran, yang seterusnya disatukan dalam usaha untuk menjatuhkan kezaliman. Ia turut menggambarkan kefahaman mengenai adanya persamaan dalam nilai-nilai sejagat yang tersedia ada dalam naluri manusia yang disediakan illahi. Ia menghakis benteng perkauman dan keagamaan yang berasaskan buruk sangka dan ketidak kepercayaan terhadap bangsa lain walaupun sesama rakyat Malaysia.

Sememangnya perbezaan dalam soal “kejujuran berkerjasama dan kommitmen terhadap kaedah tahalluf siyasi dan konsep PR” adalah hasil daripada kefahaman yang berbeza terhadap hubungan gerakan Islam dan masyarakat umum serta cara bergerak di dalamnya. Ianya merupakan perbezaan yang akan menghasilkan budaya berjemaah, aliran pemikiran, pembentukan akhlak yang berbeza dengan PAS. Ianya lebih menepati keperluan sebuah jemaah yang bergerak di dalam masyarakat majmuk melalui proses demokrasi.

PERSOALAN YANG DITIMBULKAN OLEH WAN SAIFUL

Wan Saiful mempunyai pandangan yang lebih khusus dan mencabar terhadap pembentukan parti baru ini. Dia mengharapkan parti ini akan menyatukan keseluruhan golongan ‘progressif’. Sebenarnya harapan sebegini bukan dipegang oleh beliau seorang. Ramai yang mengharapkan sesuatu yang luar biasa.

Di sini saya ambil petikan dari tulisan Wan Saiful yang saya terjemahkan dari penulisan asal beliau yang bertajuk: Is it really a new hope?

“Ianya lebih baik dan lebih sustainable sekiranya Harapan Baru menjadikan diri mereka sebagai parti yang berbeza dari PAS dan semua parti lain di Malaysia. Bukti kejayaan mereka adalah sekiranya mereka boleh menarik bukan sahaja ahli PAS tetapi semua progressif dari UMNO, PKR, DAP, Gerakan, PBB Sarawak dan semua parti lain termasuk mereka yang belum lagi berparti. Barulah mereka akan memberi nilai tambah kepada politik Malaysia”.

Boleh disimpulkan bahawa beliau mengharapkan agar parti baru ini akan menjadi satu-satu parti yang mampu menggembelingkan semua yang berfikiran progressif dan dengan itu menguasai politik Negara sehingga berlakunya perubahan. Idenya agak menarik, sehingga saat kita menyedari bahawa ‘progressif’ ini bukan kesemuanya sama.

Bagi kami pula, kami dilihat sebagai ‘progressif’ tetapi tetap Islamist, namun bukan semua progressif itu islamist. Kedua, pendekatan begitu sedikit sebanyak menafikan keperluan PKR dan DAP sebagai parti komponen yang bersifat progressif juga walaupun atas dasar perjuangan yang lain. PKR mungkin dilihat sebagai golongan progressif yang berunsurkan pendekatan politik Liberal Demokrat dan DAP juga progressif tetapi berpendekatan Sosial Demokrat. ‘Progressif’ dengan sendirinya tidak meliputi kefahaman politik tersendiri dan merupakan sifat yang boleh dimiliki oleh mereka yang berbeza kefahaman politik. Perbezaan pendirian dan kefahaman politik itulah yang menghasilkan parti politik yang berbeza.

Oleh itu perlu saya tegaskan di sini, parti baru yang ingin kita asaskan adalah sebuah parti Islam yang berpegang kepada Islam sebagai wawasan perjuangan dan bersifat progressif. Ia akan berkerjasama dengan PKR dan DAP serta NGO yang turut bersifat progressif demi mewujudkan gelombang kebangkitan rakyat ke arah pembentukan Malaysia yang progressif.

Maka kalau gabungan seluruh tenaga progressif adalah yang diharapkan, maka insyaAllah ianya akan terdapat pada PR 2.0. Bukan dalam mana-mana satu parti.

Parti baru yang ingin dibentuk ini tidak mungkin memenuhi cita-rasa semua pihak, termasuk di kalangan ‘progressif’ itu sendiri dan tidak mungkin mana-mana satu parti mempunyai kemampuan sedemikian. Itulah sebabnya perlunya diadakan gabungan dan pakatan di antara parti progressif yang wujud dan yang akan wujud. Sedangkan kita bermula atas kesedaran serta kefahaman wujudnya kepelbagaian dan perbezaan adalah satu kemestian di dalam masyarakat. Kesedian menggembelingkan kepelbagaian dan perbezaan inilah antara sifat progressif yang sebenarnya.

PENUTUP

Semoga penjelasan di atas memadai untuk menjelaskan kekeliruan yang telah timbul hasil dari ulasan saya. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada yang telah memberi pandangan dan minta maaf kerana tidak sempat respon kepada semua pandangan yang telah dikemukakan. Sekadar menyatakan bahawa semua pandangan dan teguran, samada di Blog atau Facebook dan Twitter telah dibaca dan amat dihargai.

InsaAllah artikel saya selepas ini akan menjawab beberapa persoalan yang telah diajukan kepada saya berhubung Harapan Baru dan parti baru yang ingin diasaskan. Ia akan diikuti pula oleh penjelasan kronologi perpecahan di dalam PAS dan samada DAP atau UMNO menjadi punca kepada perpecahan ini.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Izuddin said…
Politically, the setting up of GBH is right, the timing is right. It coincides with the 1MDB scandals which invites the inevitable downfall of UMNO and BN. Majority of the PEOPLE do not accept UMNo and BN anymore. GBH is seen as the alternative to PAS.

GBH and PAS is neither similar nor same. Both their school of thought about aqida are different. GBH is not religious even, but PAS is religious bigots. Religious bigots are like keepers of paradise that determines who enters or do not enter paradise.

Even Prophet Muhammad pbuh did not decide who enters the gate of Janna.

Did PAS think Prophet Muhammad pbuh decides Bilal enters Janna? Nay ! All Prophet Muhamamd said was he heard Bilal's footsteps in Janna.
Dania said…
Salam YB, bila rasanya nk serah Parlimen Shah Alam pada yg hak aka pengundi2?
Lg lama di simpan title MP lg punah kepercayaan pengundi.
Btw dr halimah kem salam byk2 kt YB....
Dania said…
Dulu suka baca zul4kulim tp apa dh jadi dgn dia skrg...
Pastu suka baca khalidsamad.com, apa jadi kt YB pasni
Wallahu 'alam...
Ami Adam said…
Dania ...kalau nak tulih lagu tu kat Khalid samad baik simpan her personal an DLM kepala
SuJeng said…
Dania..... Ko sorang jer ker pengundi kt shah alam tu..... Meroyan Ko ni
Izuddin said…
macam mana YB nak letak jawatan? Bukan 100% melayu PAS undi YB. Cina DAP dan MCA dan Gerakan dan Melayu UMNO pun undi YB juga...YB tak perlu lagi berkhidmat kpd melayu PAS yang sombong dan bongkak tak guna akal tapi guna siku dan lutut, tapi YB kena terus berkhidmat kpd Cina DAP yang undi YB...haha
Izuddin said…
Akal ko singkat suruh yb letak jawatan...haha
Izuddin said…
Haron ni dah fanatic ugama. Selagi dia tak condemn najib, aqida dia TIDAK selari dengan akhlak dia ...haha
Izuddin said…
hadi akan marah haron kerana buat statement pas dah bersedia walk alone...haha

agaknya semasa nik aziz hidup, haron tak sebulu nik aziz bersama progressives pas.

haron ni, saya rasa buat statements berdasarkan rujukan yang dia pluck from 'thin air'
Izuddin said…
I dont care if you want to call yourself Muslim or not...but here in Malaysia you follow ISLAM ! Dont follow PAS, they are religious fanatics. Some of them are religious zealots. Follow GBH. They can show you the moderation and progressives in ISLAM

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.