Skip to main content

Kisah Mesyuarat Agung PAS Kawasan Shah Alam

Semenjak berita berhubung mesyuarat agung tahunan PAS Kawasan Shah Alam tersebar di alam maya, ramai telah menghubungi saya untuk mendapatkan penjelasan mengenai proses pemilihan pimpinan pusat yang telah berlaku. Mereka hairan dengan keputusan pencalonan Presiden di mana TGHH telah dipilih tetapi dengan majoriti hanya 6 undi. Mereka yang berhubung dan bertanya boleh dikatakan berakhlak berbanding dengan yang tidak berhubung untuk bertanya tetapi tetap menyerang saya mengenainya!

Bermacam macam andaian telah dikemukakan dalam alam maya mengenainya dan hampir kesemuanya adalah tidak benar. Kadang-kadang saya rasakan mereka yang berani membuat andaian dan menyebar luas andaian-andaian ini, tanpa mengetahui hujung pangkal, bagaikan manusia yang tidak takut pada dosa. Walaupun nama mereka disangkutkan gelaran ‘ustaz’ di depannya. Itulah bezanya di antara orang berilmu dan orang yang menghayati ilmunya. Sekadar tahu dosa memfitnah, tidak bererti tidak menaburkan fitnah. Kerana mereka sekadar tahu, tetapi tidak menghayatinya. Jauh berbeza sifat mereka dengan golongan ustaz tahun 80an yang menyebabkan saya tertarik untuk menyertai PAS.

STATUS SAYA DAN PAS KAWASAN SHAH ALAM

Pada mulanya, perlu saya sebutkan, saya tidak lagi merupakan YDP PAS Kawasan Shah Alam. Pada pemilihan 2013 saya tidak bertanding kerana saya telah menjawat jawatan YDP Shah Alam sejak 1997, iaitu selama 16 tahun! Sudah tiba masa saya beri laluan kepada mereka yang telah saya pimpin selama ini untuk mengambil alih. Pada 2011, jawatan kuasa PAS Kawasan dianggotai 3 mantan Ketua Pemuda Kawasan. Giliran mereka pula untuk menggalas cabaran sebagai YDP PAS Kawasan Shah Alam. Lagi pun saya telah dipilih kembali sebagai AJK PAS Pusat pada tahun 2011 setelah meninggalkan PAS Pusat pada 1993. Saya telah huraikan sebelum ini dengan lanjut di dalam tulisan saya yang bertajuk YDP Shah Alam: Mengapa Tidak Dipertahankan?

Saya pernah mengisi jawatan AJK PAS Pusat pada 1987 hingga 1993. Saya tidak bertanding pada pemilihan 1993 atas sebab ingin memberi tumpuan kepada anak saya yang OKU dan prestasi syarikat kejuruteraan milik saya yang agak merudum kerana tiada tumpuan. Tetapi itu cerita lain yang akan saya ceritakan pada satu masa kelak, bukan sekarang.

Maka sejak 2013, setelah saya tidak lagi memikul amanah sebagai YDP PAS Kawasan Shah Alam, saya hanya hadir mesyuarat bulanan PAS Kawasan atas tiket ex-officio selaku Ahli Parlimen Shah Alam. Ada kalanya saya hadir dan banyak juga ketikanya saya tidak. Oleh itu saya tidak begitu mengambil tahu apa yang berlaku menjelang Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Shah Alam tahun ini.

Semasa Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Shah Alam, saya telah dijemput hadir sebagai salah seorang VIP. Saya hadir untuk program perasmiannya dan telah meninggalkan dewan di IDCC Shah Alam selepas itu. Saya bukan perwakilan. Saya tidak hadir semasa agenda pemilihan/pencalonan pimpinan Pusat diadakan dan keputusannya memeranjatkan saya sepertimana ianya memeranjatkan ramai di seluruh Negara.

SAYA MERANCANG MENJATUHKAN DS PRESIDEN?

Ada yang menuduh saya merancang untuk menjatuhkan DS Presiden dan perancangan saya telah berjaya digagalkan. Kalau saya ingin merancang sesuatu dalam pemilihan AJK PAS Pusat pada muktamar akan datang, tidakkah dilihat pelik bahawa saya melepaskan jawatan sebagai YDP PAS Kawasan? Biasanya yang ingin merancang sesuatu ‘pengambil alihan kuasa’ akan tentukan dirinya berjawatan sepertimana juga rakan-rakan dan penyokong-penyokongnya. Ini kita lihat sedang diusahakan oleh beberapa orang tertentu yang menyusun strategi di peringkat cawangan dan Kawasan.

Alhamdulillah saya tidak seperti mereka.

Maka selepas selesainya mesyuarat agung tahunan PAS Kawasan Shah Alam dan diketahui keputusan pencalonannya, saya telah bertemu dengan beberapa perwakilan veteran dan bertanya mereka mengenai pilihan yang mereka buat. Apabila diberitahu mereka menyokong pencalonan Ustaz Ahmad Awang dan tidak TGHH, saya bertanya kepada mereka mengapa?

Di sini saya kemukakan jawapan mereka kepada soalan saya dan penghujjahan balas saya. Perbualan saya seperti di bawah adalah secara ringkasan dan bukan secara verbatim.

Tuan-tuan pembaca yang budiman sekalian, nilaikan sendiri.

PERBUALAN ANTARA SAYA DAN SALAH SEORANG VETERAN PAS DI SHAH ALAM

KS: Salaam Tuan Haji. Tuan Haji calonkan siapa? TGHH atau Ahmad Awang?

Tuan Haji: Saya calonkan Ahmad Awang.

KS: Kenapa tidak dicadangkan sahaja TGHH sebagai Presiden? Tidakkah Tuan Haji iktiraf ketokohannya beliau sebagai seorang ulama’ bertaraf dunia?

Tuan Haji: Saya akui ketokohannya sebagai ulama’ bertaraf dunia tetapi jawatan Presiden bukan memerlukan seorang yang fakeh. Fakeh adalah keperluan untuk jawatan MSU khususnya mursyidul ‘am. Jawatan Presiden memerlukan seorang yang pakar dalam bidang strategi dan perlaksanaan, tajam bacaan politik. Oleh itu saya lebih setuju TGHH menjadi Mursyidul ‘Am dan Ust Ahmad Awang sebagai Presiden.

KS: Eh, kenapa pula? TGHH juga mempunyai kepakaran dalam soal strategi dan perlaksanaan. Lagi pun, TGHH lebih berpengalaman berbanding Ust Ahmad Awang. Di mana kegagalan TGHH mengikut pandangan Tuan Haji?

Tuan Haji: Kebelakangan ini saya lihat banyak kelemahan TGHH dari sudut kepimpinannya sebagai seorang Presiden. Ini ingin ditutup oleh golongan asatizah tertentu dengan dijaja konsep wala’. Saya orang lama, YB. Tidak payahlah cuba menipu saya dengan menutup kelemahan melalui pendekatan sebegitu. Dulu tiada pun dijaja konsep wala’ sebegini, tetapi semua ahli bersatu dan berdisiplin menyokong Presiden.

KS: Apa dia sebenarnya kelemahan TGHH yang Tuan Haji maksudkan?

Tuan Haji: Perbalahan dalaman PAS. Perbalahan dalaman PR. Ini semua hasil dari ketidak berkesanan kepimpinan TGHH. YB sendiri tahu kan, PAS bagaikan berpecah dua dengan budaya fitnah memfitnah, label melabel. TGHH tidak dilihat membuat apa-apa. Seolah-olahnya TGHH mahukan perpecahan berlaku. Malang sangatlah kalau TGHH dipengaruhi si Zuhdi tu. Pemimpin mesti mampu menyatukan ahli-ahli di bawah kepimpinannya, bukan redha supaya ahli berpecah macam sikap Zuhdi. Di sini saya berani sebut, kalau zaman Almarhum Ust Fadhil, sudah pasti beliau akan bertindak memintas perpecahan ini dan menyatukan kembali; dan itulah bukti kepimpinan bagi saya.

KS: Ya lah Tuan Haji, tetapi itu bukan mudah. Ahli-ahli PAS pun bukan semua ikut sahaja arahan TGHH. Sudah lama TGHH minta agar diberhentikan kerja fitnah dan melabel ini, tetapi ada ahli yang tidak mahu ikut.

Tuan Haji: Ya ke TGHH suruh berhenti? Tak dengar pun. Yang saya nampak kerja ini dibuat oleh asatizah muda, datang ke Surau pun depa masih tabur fitnah. YB pun kena! Malu saya dengan orang UMNO yang ada di Surau bersama. Tersengih sahaja mereka, mendengar kata-kata para ustaz ini. Sepatutnya TGHH sedar apa yang sedang berlaku di peringkat akar umbi dan menangani masalah ini sebelum menjadi parah seperti sekarang.

KS: Tidak mengapalah Tuan Haji. Jika benar mereka fitnah saya, pahala bagi saya. Maka tidak patut disalahkan TGHH pula.

Tuan Haji: Saya tidak kata TGHH yang buat atau suruh buat. Saya sebut TGHH tidak berkesan dalam menangani masalah ini.

KS: Oklah Haji. Selain tu? Yang Tuan Haji sebut bab PR. Takkan mahu TGHH ikut sahaja kehendak PKR dan DAP?

Tuan Haji: Dalam soal PR, TGHH bagi saya telah tersilap langkah semasa isu MB Selangor. Saya tidak faham mengapa TGHH sanggup pertahankan TSKI habis-habisan. Sehingga sanggup memberi kesempatan untuk UMNO memasuki perbalahan itu dan turut memberi sokongan tanpa syarat kepada TSKI. Dan untuk beberapa hari, PAS dan UMNO bersama dengan TSKI. Mahu jadi seperti senario 1 si Zuhdi kah? Bertegang kita dengan PR kerana TSKI! Apa punya strategi ini? Sepatutnya kukuhkan PR tetapi tidak. TSKI tu pun bukan bagus mana. Dulu pun PAS Selangor pun sudah minta tukar.

TGHH tidak hadir mesyuarat majlis Presiden, tidak dengar penjelasan dari DAP dan PKR, tetapi boleh batalkan keputusan dan persetujuan bersama begitu sahaja. Susah kalau bersikap sebegini. Mahu ikut kehendaknya semata-mata tanpa mendengar penjelasan dari 9 wakil PAS yang hadir apabila keputusan dibuat. Maaf YB, bagi saya, terbayang-bayang cara Dato’ Asri.

Oleh kerana kita sudah dalam satu Pakatan, walau pun kapal asing-asing, perlu koordinasi supaya tidak belaga di tengah laut. Lebih-lebih lagi pada waktu malam dan laut bergelora. Tidak boleh buat ikut suka. Pentingkan syura. Inilah sifat kepimpinan yang baik. Saya tidak nampak TGHH berbuat sedemikian.

Dan malang lagi ianya berakhir dengan TGHH mengkritik secara terbuka DSWA. Orang kritik TGHH kita marah. Tapi TGHH kritik DSWA sebegitu rupa kita boleh terima? Maaflah YB. Sebenarnya ramai sependapat macam saya tetapi apa boleh kata, ‘terpaksa’ wala’? Kalau tidak akan dikutuk.

KS: Alaa Tuan Haji, perkara begitu, biasalah. Dalam perkahwinan pun suami isteri bergaduh. Apa perpatah Melayu...“sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri”.

Tuan Haji: Huh, awak ni asyik bela TGHH sahaja. Tetapi saya tahu, YB pun boleh nampak kelemahan yang sama. YB kena lebih berani bercakap benar. Adakah YB boleh terima ungkapan “barua dan broker” yang dilemparkan kepada ahli dan pimpinan PAS lain? Saya minta maaf lagi, saya hingga hari ini tidak boleh terima. Sudahlah tu, bukti pun tidak ada. Tetapi main tuduh begitu. Terbuka pula. Bila saya balik dari muktamar, kawan saya dari UMNO tanya saya, kamu ni barua ke broker? Geramnya saya. Ni yang membuatkan saya lebih tidak yakin TGHH inginkan masalah dalaman PAS diselesaikan dengan baik. Malahan dia sendiri puncanya dengan kata-kata begitu.

KS: Ok lah Tuan Haji, cukuplah dengan isu TGHH. Yang Ust Ahmad Awang pula bagaimana? Kenapa Tuan Haji anggap beliau mampu membawa kepimpinan yang lebih berkesan?

Tuan Haji: Dia menyelamatkan PAS semasa PRU 2008 dahulu. Kalau tidak kerana ketegasan Ust Ahmad Awang, PAS Perak mungkin sudah bersatu dengan UMNO di Perak untuk membentuk kerajaan. Dia mampu menyatu padukan ahli dan PAS bersama PR. Kita patut berikan dia peluang.

KS: Tapi Tuan Haji, tu cerita lama. Tidak bererti TGHH bersetuju untuk membenarkan PAS bersama UMNO pada ketika itu. Tidak boleh lah Tuan mengandaikan bahawa TGHH bersetuju penyatuan UMNO dan PAS. TGHH dah sebut berkali-kali ianya tidak boleh.

Tuan Haji: Tidak apalah YB, mesyuarat agung tahunan kawasan pun sudah selesai. Pandangan saya begitu. Bagi saya, PAS perlukan Presiden yang lebih bijak merancang dan mengatur strategi, pandai berkawan dan jujur dalam persahabatan.

Tapi yang lebih penting lagi, sebagai ketua eksekutif, seseorang Presiden mesti bersedia untuk dikritik dan ditegur. Tidak dianggap ‘berdosa’ menyanggah pandangannya dan tidak salah membetulkan kesilapannya sekiranya tersilap. Ini bila kita sudah hilang Terengganu dan Kedah, tetapi tiada yang sanggup mengakui kelemahan yang menyebabkan kekalahan itu. Semua mahu disalahkan orang lain. Kalau kata, “oh, kita pun tersilap, sepatutnya Presiden buat ini dan itu”, kita akan diserang bagaikan melakukan dosa besar!

Saya lihat ada para ustaz yang beranggapan kita kena pertahankan Presiden sepertimana para sahabat pertahan Nabi (SAW). Ini tidak betul! Ini seolah sudah seperti mendewa-dewakan pemimpin. Perumpamaan yang digunakan adalah silap dan salah. Kalau ya pun, biarlah kita katakan kita perlu pertahankan Presiden sepertimana para sahabat pertahankan Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali (Radhi Allahu anhum). Itu pun dah lebih dari yang patut. Mereka siapa, kita siapa? YB tahukan, Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali tetap ditegur dan dikritik dan berhujjah untuk pertahankan tindakan mereka. Bukan sekadar dijaja dengan wala’ semata.

Macam seperti perang terhadap golongan murtaddiin, Abu Bakar bukan sekadar kata “perang” dan semua ikut. Tidak. Berhujjah dan berbahas sehingga Abu Bakar bacakan ayat 5 dan 11 surah At-Taubah baru sahabat lain akur. Kerana ada dalil dan nas, bukan sekadar wala’ sahaja. Kes Umar dengan Jubahnya pun begitu masyhur. Kes Uthman dan pengkritiknya yang begitu ramai yang mengkritik perlantikan ahli keluarganya ke jawatan penting. Semua ditanganinya dengan cara sebaik mungkin, berhujjah dan menjelaskan. Termasuk juga kisah Ali dengan Muawiyyah serta golongan Khawarij. Semua terpaksa ditangani dengan berhujjah. Bukan dituduh tidak wala’ dan khianat dan sebagainya.

Dan inilah suasana dan pemikiran yang wujud di kalangan golongan lama di Shah Alam. Yang muda-muda memang mudah untuk menerima konsep wala’ tetapi veteran yang sudah lama dalam PAS tidak begitu. Mereka menganggap ianya hak mereka untuk memilih Presiden dan menukar Presiden sekiranya tidak puas hati dengan prestasinya. Veteran sebegini bukan mudah sesiapa ‘peralatkan’, termasuk saya.

Konsep kepimpinan Ulama’ bagi mereka tercapai dengan pembentukan MSU yang memantau perjalanan PAS supaya tidak menyeleweng dari dasar Islamnya. Presiden tidak semestinya seorang ulama’ tetapi semestinya berilmu dan kommitted dengan perjuangan Islam serta bijak berstrategi dan menyusun gerak kerja politik untuk mencapai matlamat parti. Maka, DS Presiden sebagai seorang ulama tersohor semestinya mempunyai kelebihan dan di atas sebab itulah beliau telah dipilih oleh perwakilan pada setiap muktamar tahun demi tahun. Oleh itu, saya memohon agar mereka yang menuduh saya ingin menjatuhkan DS Presiden agar tidak menuduh sebarangan tetapi membantu saya menjawab golongan seperti Tuan Haji ini dengan hujjah balas dan bukan sekadar meminta beliau agar terus wala’.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

zakwan said…
Habislah Tuan Haji ni

Akan dijebonkan, dimunafik harakikan dan diAnwarinakan hingga akhir hayat
lan said…
Bagus huraian Yb. kalau ada yang buat buta hati tu, kita tak dapat la tolong
Unknown said…
apa yang habis zakwan? cara awak tulis pun menunjukkan watak sendiri
Unknown said…
sorry to say YB khalid. ramai pimpinan PAS skg play safe dan biarkan geng pewalak ni susun org ini menjadi perwakilan muktamar kaw. lihat apa berlaku di kampar tambun dll. penat kami grass root yg tidak berjawatan atau berjawatan kecil ni bertungkus lumus menang kan PAS dan syiar islam esp di selangor. good bye PAS welcome ngo dakwah. ggodbye jkkk ahli majlis and ajk masjid surau selangor next pru.
Izuddin said…
Tunku Rahman warned about madey a dangerous man(Dia ni orang bahaya).

I think Tunku was referring to madey as 'conniving'.

I now believe madey is still conniving.

The Catholic Church is not on the offensive yet but fighting against Jewish interventions in Malaysia politics.
Anonymous said…
"PUKUL ANAK SINDIR MENANTU"
Sudahlah YB, nampak kununnya mcm YB nak pertahankan TGHH,tapi sebenarnya nak bagi point kat publik utk hentam TGHH
cikmatgelap said…
fatwa ugama suku politik suku hj hadi dah kuborkan,ni yg hj hadi ni mesra umno najib,dulu2 aku tampal amanah hj hadi kat dinding serambi rumah aku,hari2 aku renung dan aku tatap,aku berazam takkan jadi kapir mcm fatwa hj hadi tu...tapi sekarang apa sudah jadi,dah boleh politik suku ugama suku dah boleh ke nidunia sekarang akhir nya tonggang terbalik,dulu keluar fatwa sekarang dah tarik balik,sama mcm fatwa coklat yg sikit hari dulu heboh haramnya,tap[i tiba2 dah halal pulak....klu mcm tu mcm fatwa macai le namanya....wakakakah
veteranMAYC said…
Agree sokmo... Allah Hu Akhbar
Unknown said…
Dah sampai masa dah, kena tukar TGHH. Beliau tidak lagi berfungsi sebagai presiden tapi banyak buka telinga kepada kepentingan anak menantu.
Dalam PRU 13, siapa yang tandatangan watikah perlantikan atas nasihat anak menantu sedang pilihan calun dalam pakatan telah pun dibuat. YB Khalild Samad lup ko yang komen menyatakan ada tangan ghaib. Tangan Mustafa ke? Mustafa pun pelik ada tangan ghaib.
PAS bukan syarikat milik peribadi presiden. Kalau tidak betul atau dah mula lali, kena lah ganti. PAS bukan kekurangan tokoh yang berkaliber.
Zippo.Riders said…
Nampak Tuan mempertahankan Presiden tp dlm masa yg sama tuan berikan jawapan Kenapa xpatut pilih Presiden skrg ini. Licik bukan?
Kami dpt baca apa yg ingin Tuan ingin sampaikan. ;)
Klulah dgr ckp Presiden, xada Langkah Kajang... DSAI xakan kePenjara, TSKI masih dlm PKR dan PAS tidak terpecah dua.
Wallahualam
irfan said…
Agree sangat. Very well explained dan hujah nya membuka mata saya sebagai ahli PAS di bawah. Secara jujur saya rasa kita perlukan pemimpin seperti almarhum Ustaz Fadzil Noor.
Izuddin said…
The Attributes of The Rab bul Alamin is known as Allah.
Izuddin said…
Sifat2 Rab bul Alamin dikenali sebagai Allah
anom k said…
Dah namapun parti politik. Dibungkus hijau tiada memberi sebarang makna. Mesti ada yang kena sepak, terajang dan dipijak hanya kerana jawatan
Pakanjang said…
Jangan berkalau2. Anyway. Saya masih sokong PAS selagi ada pemimpin2 seperti KS, ustaz Ahmad dll. Jika ditakdirkan semua pemimpin ini tidak terpilih dalam muktamar nnt, boleh difikir dan dirancang penubuhan parti politik baru. Bukan hanya PAS sahaja yg berjuang kerana agama. Ada baiknya tubuhkan parti politik baru yang mana kepimpinannya bukan sahaja berilmu agama malah progresif dalam zaman sekarang.
Unknown said…
Alhamdulillah..thanks YB..baru jelas dn mdh utk difahami olh ahli2 veteran pas spt datuk sy bila baca posting yg ada dialog spt ni.
Unknown said…
Tuan haji ni wujud atau dialog ni dalam kepala tuan aje
Perak said…
Betui ka khalid... ingat betul kau sebiji2 prbualan tu.. pertahankan tghh konon... silap2 tuan haji tu sebenarnya kamu... KS tu jembalang tanah mana ntah
Fauzi said…
Pandai la hang KS buka cerita.. hang tu kot Tuan Haji tu... akai sangat aih.

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.