Skip to main content

Penyelesaiannya Adalah PAS Pecah Dua?

Ada yang memaklumkan kepada saya bahawa dalam sesi dialog saya dan Zuhdi, dia ada menyebut kononnya saya bersetuju dengan cadangannya supaya PAS berpecah dua. Menurut Zuhdi, inilah apa yang telah disampaikan kepadanya oleh pimpinan PAS Kawasan Parit Sulong, Johor. Mereka bertanya, adakah ini benar? Memandangkan ini merupakan persoalan penting, maka saya diminta untuk menjelaskan pendirian saya terhadap cadangan Zuhdi bahawa PAS perlu pecah dua demi masa depan yang lebih cemerlang.

PENDIRIAN SAYA BERHUBUNG CADANGAN PAS BERPECAH

Sebenarnya saya sudah jawab isu ini pada malam tersebut, tetapi secara indirect. Oleh kerana ada yang tidak faham, maka biarlah saya nyatakan di sini dengan jelas bahawa saya TIDAK bersetuju dengan cadangan ini.

Bagi saya apa yang perlu dilakukan ialah supaya perbezaan pendapat yang wujud dibahas dan dibincang dengan penuh bertanggung-jawab. Perbezaan pendapat yang wujud adalah berhubung kaedah pendekatan yang perlu dilaksanakan PAS dalam suasana politik yang sedia wujud. Persoalan ini boleh dibahas secara ilmiah demi mendapat rumusan yang terbaik. Ianya isu ‘ijtihad siayaasah’ atau pendapat dan pandangan serta bacaan politik dan sudah pasti merupakan ruang di mana perbezaan akan wujud.

Masalahnya sekarang adalah perbezaan sebenar ini tidak dibahas. Sebaliknya dikemuka masalah yang tidak wujud sebagai masalah sebenar. Masalah yang tidak wujud yang sengaja diada-adakan ialah persoalan kononnya adanya golongan yang ingin menjatuhkan DS Presiden, menolak kepimpinan Ulama’ dan menolak syariat. Mana mungkin ada ahli PAS, apatah lagi diperingkat pimpinan Pusat, yang menolak konsep Kepimpinan Ulama’ dan syariat! Kalau benar berpandangan sedemikian, sudah lama bersama UMNO! Dalam soal kedudukan DS Presiden, sepertimana kedudukan semua AJK PAS Pusat, kuasa penentunya adalah di tangan Muktamar. Terpulang pada ahli menilai prestasi semua dan mengundi mengikut pandangan masing-masing.

Saya yakin bahawa sekiranya masalah sebenar dibahas, di mana kedua-dua pandangan berhubung kaedah pendekatan dikaji dan dibedah-siasat dengan menyeluruh dan teliti, satu keputusan yang terbaik akan akhirnya dicapai. Tetapi sekiranya ianya tidak dibincang dan sebaliknya ditonjolkan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas, maka akhirnya perpecahan dan keputusan yang songsang pasti terhasil.

Bagi saya, mereka yang tidak sanggup membahas pandangan berbeza berhubung isu kaedah dan pendekatan sambil menaburkan tuduhan-tuduhan palsu adalah pihak yang inginkan perpecahan ini berlaku. Mereka seolah-olah telah membuat kesimpulan bahawa satu keputusan dan kata-sepakat tidak mungkin tercapai atau sekiranya tercapai sekali pun, ianya keputusan yang tidak seperti yang mereka inginkan. Oleh itu, usaha dilakukan untuk awal-awal membuka jalan ke arah perpecahan.

Dan sebenarnya inilah punca masalahnya. Ada yang tidak mahu menerima keputusan jemaah untuk bersama PR kerana dianggap PR menyebabkan PAS kehilangan punca. Maka walau dengan apa cara sekali pun, mereka berusaha supaya pendekatan yang mereka inginkan terlaksana. Walau pun ianya bererti memfitnah melalui tuduhan ‘Islam tanpa syariat’, ‘menolak kepimpinan Ulama’ dan sebagainya. Akhirnya yang diinginkan adalah kaedah dan pendekatan mereka dilaksanakan. Iaitu PAS bersendirian walau pun terpaksa berpecah.

Perumpamaan yang digunakan Zuhdi, iaitu perceraian dalam kes rumah-tangga yang bermasalah, adalah perumpamaan yang tidak tepat. Keahlian dalam sebuah Jemaah Islam tidak boleh disamakan dengan perkahwinan. Dalam sesebuah jemaah Islam keahliannya beratus ribu. Ruang perbezaan pendapat perlu jauh lagi luas dan sikap saling menghormati perbezaan ini perlu lebih jujur dan kukuh. Kalau perbezaan dalam jemaah pun tidak mampu ditangani tanpa berpecah, bagaimana pula nak ditangani perbezaan dalam masyarakat, yang pastinya lebih banyak dan beraneka ragam, sekiranya dijadikan pemerintah? Tangkap dan penjara? Tembak sebagai rakyat yang ‘bughah’?

Pada masa yang sama, dalam perkahwinan sekali pun, usaha menyelamatkan rumah-tangga perlu dilakukan dengan bersungguh dan sekiranya telah habis segala usaha barulah keputusan bercerai diambil. Ianya perkara yang diharuskan yang paling dibenci Allah. Maka sekiranya keredhaan Allah adalah matlamat terutama, semestinya ianya pilihan terakhir.

Hakikatnya perpecahan akan hanya menguntungkan UMNO/BN. Hanya yang buta politik tidak akan nampak hakikat ini. Oleh itu saya amat pelik apabila perpecahan dilihat sebagai kaedah penyelesaian terbaik. Terbaik untuk siapa?

STRATEGI DUA ARAS

Ada juga yang bertanyakan persoalan ‘Strategi dua lapis’ atau ‘dua aras’ yang ditimbulkan Zuhdi. Mereka ingin tahu apa yang dimaksudkan dengan strategi dua aras itu dan adakah benar bahawa melalui perpecahan PAS maka akan terlaksana strategi ini yang pernah dicadangkan satu ketika dulu.

Sebenarnya strategi dua aras tidak ada kena mengena dengan berpecahnya PAS kepada dua badan atau parti yang berasingan. Strategi dua aras merupakan strategi yang mengiktiraf perbezaan antara kerajaan Negeri dan kerajaan Pusat dari sudut kekuatan PAS. Diperakui bahawa PAS mampu menang dengan sendirinya di beberapa negeri tetapi tidak mungkin menang secara bersendirian di peringkat Pusat. Diperakui juga bahawa kemenangan di peringkat Negeri sahaja tidak memungkinkan kelebihan pemerintahan PAS terserlah oleh kerana disekat dan difitnah serta ditutup kebaikannya oleh kerajaan Pusat. Oleh itu, di peringkat Pusat apa yang diperlukan adalah sebuah kerajaan yang lebih adil yang tidak memusuhi perjuangan Islam yang dibawa PAS. Walaupun ia tidak bersetuju, tetapi tidak memusuhi sehingga bertindak tidak adil terhadap PAS sepertimana yang dipraktikkan dibawah BN.

Kerajaan Pusat yang tidak memusuhi PAS semestinya mengambil bentuk kerajaan campuran antara komponen parti pembangkang termasuk PAS. Hanya melalui pendekatan begitu sahaja akan BN mampu dikalahkan dalam suasana sekarang. Walaupun kerajaan campuran di peringkat Pusat ini bukan kerajaan PAS semata-mata, namun dengan pembentukkannya, ia akan menguntungkan PAS. Kerajaan PAS di peringkat Negeri tidak akan disekat dan dizalimi dan pada masa sama, mesej PAS tersebar luas melalui semua saluran media termasuk radio dan televisyen.

Maka strategi dua aras atau dua lapis ini mengandaikan pembentukan kerajaan PAS di beberapa Negeri dan ‘kerajaan campuran PAS dan parti-parti lain’ di peingkat Pusat. Apa yang sedang berlaku sekarang melalui PR sudah menghampiri strategi dua aras ini. Pada masa yang sama terbentuk juga kerajaan campuran PAS bersama parti-parti PR di peringkat beberapa Negeri. Aspek kerajaan campuran di Negeri tidak diberikan tumpuan pada ketika strategi dua aras ini diutarakan kerana tumpuan pada masa itu adalah:

i) Kerajaan PAS di Negeri dan kerajaan campuran di Pusat dan

ii) Bagaimana kerajaan campuran di Pusat akan membantu kerajaan PAS di peringkat Negeri.

Matlamat utama strategi dua aras adalah untuk memberi manafaat kepada PAS.

KESIMPULAN

Maka adalah diharapkan bahawa penjelasan tambahan ini akan mengukuhkan keyakinan semua ahli untuk terus bersatu sambil menguruskan perbezaan pendapat dengan cara yang matang dan bukan cara kebudak-budakan. Cara kebudak-budakan adalah melalui melempar tuduhan-tuduhan tidak berasas terhadap pihak yang berbeza pandangan. Inilah apa yang dilakukan sekarang oleh ‘golongan muda yang lebih semangat’. Sudah pasti ianya tidak wajar untuk PAS berpecah setiap kali adanya khilaf atau perbezaan pendapat. Kaedah yang lebih selari dengan Al-Quran adalah “wasyaawirhum fil amr” atau “dan mereka bersyura (berbincang) dalam urusan pemerintahan”.

Pada masa yang sama semoga penjelasan ini mengukuhkan juga keyakinan PAS terhadap pendekatan PR yang terbukti keberkesanannya. Perlu juga diadakan kesediaan untuk menerima keputusan yang diambil secara jamaai berhubung kaedah pendekatan yang perlu dilaksanakan. Jangan ada pihak yang oleh kerana keputusan itu tidak selari dengan pandangan mereka maka diusahakan perpecahan.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

wabwas said…
YB usulkan cadangan kepada lembaga displin pas untuk pecat sahaja zuhdi and the geng seperti yang pernah dibuat ke atas dr hassan ali dan nasaruddin isa kerana merugikan parti.
mohd shahran said…
mana boleh pecat zuhdi.. DIA ORANG PRESIDENG.. BERKEMUNGKINAN BARUA UMNO
Izuddin said…
1.Saya SETUJU Pas pecah dua. Bila PAS dipecah dua, UMNO tidak lagi minat dengan PAS. Kamu ingat Umno nak terima ka PAS lemah pecah dua.

2.Perbezaan pendapat sepatutnya bawa rahmah. Namun, PAS tidak boleh bersatu lagi. Lebih baik PECAH DUA dan kita tengok rahmah turun di belah yang mana.

3.Beri ruang dan masa utk bincang perbezaan pendapat??? NO WAY ! That will only give more time for UMNO to foolw PAS.

4.Perbezaan pendapat BUKAN masalah. Ianya RAHMAH. Namum, perbezaan pendapat ini TIDAK ujud dulu-dulu tapi ujud LAAAA NI !Dan ia ujud kerana terdapat pemimpin2 PAS tidak RETI hadapi racun2 rasisma MELAYU yang ditabur UMNO.

5.Hang ingat boleh bahas ka perbezaan pendapat ini sedangkan sebelah nak umno, sebelah lagi tak nak umno?

6.Bodoh betul la kau Khalid. Memang takda sapa2 pun "menolak konsep Kepimpinan Ulama’ dan syariat! ". tapi yang ada ialah penolakan pemimpin2 pas bersekongkol dengan umno durjana. Memang ada bukti2 pas sekongkol dengan umno. TGNA caci dan maki mereka2 ini dan halau suruh mereka BERAMBUS dari PAS.

7.Bodoh, bodoh, bodoh!. Muktamar hanya platform utk 'MENGUNDI'.

8. Hoi Khalid, mmg depa TAK MAU bahas. Mereka nak PAS terajang UMNO. Hang paham dak ?

9. Apsal pedulik dgn Zuhdi? Dia tu musuh dalam selimut. Dia nak PAS belah dua untuk hancurkan PAS. Saya nak PAS pecah dua supaya UMNO jadi LEMAH tanpa sokongan keseluruhan PAS. Umno takan teguh dgn HANYA sebelah PAS saja.

10.Pelik betul kau Khalid mengharap "semua ahli untuk terus bersatu sambil menguruskan perbezaan pendapat dengan cara yang matang dan bukan cara kebudak-budakan". Buka cermin mata tu dan lihat dengan mata original. Hadi dan pemimpin2 PAS dah FANATIK. Mereka ingat ini lah PELUANG MALAYSIA AKAN JADI NEGARA ISLAM melalui pertolongan UMNO bedebah...haha

Khalid, YOU WILL LOSE SHAH ALAM ! And HUDUD GONE IN THE BIN.

YOU ARE THE POLITICIAN. NOT ME.
TtG said…
Izuddin...kata2mu sungguh kurang sopan..takyah la nak kata org tu bodoh ke apa..kalau pandai sangat join la politik..

Pas kena berpecah dua..jadikan pasma parti politik...biarkan pas dgn ulama...sbb pas punya direction bukan nak menang putrajaya..tapi mendapat keredhaan Allah...

Pas professional mcm YB...buat parti lain xyah menempek kekuatan Pas..bina kekuatan pasma...sbb lama2 geng professional akan pilih pasma..sbb nk menang putrajaya...
Geng2 ustaz biarkan mereka dgn Pas..
Pasma maybe amik masa untuk berjaya...tapi kena mula dari sekarang...kalau plg koman pun kuatkan pkr...
Izuddin said…
saya tak kata saya pandai!yang saya kata dia bodoh. Bila saya kata dia bodoh, tak semestinya saya pandai !

Dia yang masuk politik., bukan saya.

Abu Bkr yang jadi kalifah. Dan orang tu beri amaran dia akan guna pedang kalau Abu Bkr silap dan salah. Saya hanya guna pen beri amaran kpd dia.

Saya ada sorang kawan, dia ni pas sejak dari universiti lagi. Saya tanya pasaipa hadi terumbang ambing dalam kes MB selangor menolak calon pkr dan mahu oreng pas jadi mb? kawan saya tu jawap...mesti pandai politik.

Pandai politik konon. Kebijaksanaan politik hadi tu mudah dipatah-patah oleh saari dan husni? ...haha.

Bijak politik ka men’table’ hudud KERANA disebalik sokongan ADUN UMNO ada SOTONG? Belum tentu pengundi2 adun2 umno ni setuju dgn tindakan mereka menyokong PAS table hudud !



Asrul Sani said…
Sdr Izudin,

Belajarlah berbudi bahasa dan menghormati rakan, terutama orang yang lebih tua . Merperbodohkan YB Khalid hanya menyerlahkan pekerti kamu yang hina.

Saudara sebenarnya tidak sehebat mana pun....jadi tak perlu berlaku kurang ajar sesama Islam...

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.