Skip to main content

Majlis Pelancaran ‘Expo Home Deco’ IDCC Shah Alam: Kempen Kotor Telah Bermula

Pada hari Khamis 12 Mac saya telah hadir di Parlimen pada jam 10 pagi. Saya telah hadir awal walau pun tiada soalan saya yang ‘naik’ untuk dijawab Menteri pada pagi itu kerana program saya pada hari itu agak penuh dan padat. Jam 12 tengahari hari saya dijemput pihak pengurusan IDCC (Interior Design Convention Center) atau Pusat Persidangan Perhiasan Dalaman untuk bersama dalam program pelancaran ‘Expo Home Deco’ di IDCC Shah Alam. Pada jam 3 petang saya dijadualkan pula untuk hadir di majlis penyerahan cek kepada mangsa kebakaran Uptown Shah Alam di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK, Shah Alam. Pada waktu malam ada pula pertemuan dengan beberapa sahabat untuk berbincang suasana dan situasi dalaman PAS yang kelihatan semakin keliru dan terumbang-ambing.

Maka pada jam 11 pagi, setelah mendengar jawapan Menteri terhadap beberapa soalan dan membuat pencelahan seperti biasa, saya telah bergegas ke Shah Alam untuk bersama dalam program IDCC. Setibanya saya di IDCC pada jam 11.50 pagi, saya dijemput oleh petugas mereka untuk ke dewan pameran yang telah penuh dengan pameran barangan perabut dan perhiasan dalaman rumah. Saya dibawa ke saff terdepan dan di situ bertemu dengan penganjur expo tersebut ia itu seorang pemuda berbangsa Cina bernama Iko In. Dia menyambut saya dengan baik dan mengucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian saya untuk hadir program tersebut. Saya jawab, ianya tugas saya sebagai Ahli Parlimen Shah Alam untuk membantu sebarang program pembangunan ekonomi yang dianjurkan di Shah Alam. Saya mengucapkan terima kasih kembali atas kesudiannya menjemput saya.

Upacara Perasmian Expo Home Deco

Saya diberitahu bahawa saya akan dilibatkan dalam program pelancaran Expo tersebut. Perasmian dilakukan sekadar memotong riben dan menanda-tangani papan tanda backdrop mereka bersama dengan jemputan VIP mereka yang lain. Saya sebut tiada masalah, potong riben dan tanda tangan papan tanda merupakan acara biasa yang sering saya terlibat. Sambil itu saya tanya juga, siapa jemputan VIP yang lain? Beliau sebut Ning Baizura, Amber Chia (seorang model antarabangsa) dan Nancy Yeoh (pakar Feng Shui).

Semestinya untuk melancarkan program mereka maka selibriti di kalangan masyarakat umum, khususnya masyarakat Cina akan dijemput. Bagi saya ianya peluang baik untuk menzahirkan sikap terbuka PAS sebagai parti yang ingin mendapat sokongan masyarakat Islam dan bukan Islam demi dipilih sebagai kerajaan di Malaysia kelak. PAS pro-business dan pro-pembangunan dan memandangkan ianya Expo Perabot dan perhiasan dalaman, maka saya tidak bermasalah untuk terlibat. Lainlah kalau ianya Expo Arak atau Expo Lingerie atau pakaian menjolok mata. Sambil itu sikap hormat terhadap hak bukan Islam dan budaya mereka sambil tiada hajat untuk memaksa mereka mengikut Islam dapat saya zahirkan dengan lebih terbuka.

Namun, seperti biasa, akhlak dan adab pergaulan semestinya dijaga. Tepati janji dan tepati masa serta bertutur dengan bahasa yang lunak dan beradab dalam bermuamalat dengan mereka. Dalam bermuamalat dengan masyarakat bukan Islam, biarlah mereka melihat kita sebagai orang Islam yang walau pun terbuka tetapi tetap dengan prinsip dan akhlak tersendiri.

Selepas itu saya dikenalkan kepada jemputan VIP yang lain dan selepas beberapa minit, selepas ketibaan Ning Baizura, kami dijemput ke atas pentas untuk bersama-sama memotong riben. Di depan pentas terdapat berpuluh pemerhati terdiri dari wartawan, perniaga dan pengunjung Expo tersebut. Di setiap booth di depan dan di tepi pentas terdapat lagi perniaga, petugas dan pengunjung yang sedang melihat upacara perasmian tersebut.

Saya diletakkan di tengah dengan Amber di kiri saya dan Iko In di kanan saya. Selepas memotong riben maka kami diminta pula untuk menanda-tangani papan back-drop ‘Creative Home Magazine’ dan juru-gambar ramai mengambil gambar kami. Sebahagian juru-gambar dari Magazine Creative Home dan sebahagian yang lain dari pihak akhbar. Turut mengambil gambar juga, orang-orang perseorangan yang hadir ke Expo tersebut.

Selepas itu saya dijemput turun sambil acara perasmian diteruskan lagi. Pihak Creative Home Magazine memberitahu mengenai usaha mengubah suai dan reka-bentuk rumah Ning Baizura dan kami dijemput ke bahagian pameran yang mempamerkan usaha mereka ini. Rumah Ning Baizura digunakan sebagai contoh daya kreatif mereka dan kita diminta bergambar di depan papan iklan mereka.

Selepas itu saya meminta diri kerana ingin bersolat Zohor serta makan tengah hari sebelum ke SUK untuk program seterusnya.

Kempen Kotor dan Tidak Berakhlak

Malangnya usaha saya untuk mendekatkan PAS dengan masyarakat umum dan masyarakat perniaga telah ingin disalah-ertikan oleh pihak-pihak tertentu. Ada yang bertanya, sambil mengedarkan ‘gambar edit’ saya dengan Amber Chia, “adakah Khalid Samad telah menjadi ‘model’ berposing bergambar bersama Amber Chia?” Perlu saya jelaskan, walaupun mungkin mereka menganggap saya berbakat sebagai model, saya sedang menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen merasmikan Expo tersebut. Dan sebenarnya, saya bukan berdua-duaan dengan Amber, kerana ramai lagi di atas pentas bersama saya. Bersama ini saya sertakan gambar semasa di Expo tersebut dengan caption masing-masing untuk dinilai oleh semua, khususnya ahli PAS.

Berbual bersama pengurusan IDCC dan En Iko In, penganjur Expo Home Deco

Dijemput merasmikan pelancaran Expo dengan memotong riben bersama jemputan VIP

Diminta menampal stiker Expo ke atas backdrop

Menandatangani backdrop sebagai sebahagian pelancaran bersama jemputan VIP

Bergambar bersama di hadapan papan tanda rumah Ning Baizura sebagai 'showcase'

Gambar edit berniat jahat demi menjatuhkan saya? Bandingkan dengan gambar asal dan penjelasan yang dikemukakan

Satu lagi poster kempen jahat yang bertujuan untuk menjatuhkan saya. Kaedah kempen pasti Islam? PAS dirosakkan oleh budaya kempen jahat sebegini.

Ada juga yang mengatakan ianya ‘program lagha’ atau buang masa. Saya perlu jelaskan juga, ianya bukan program berdansa atau bersuka-ria, ianya program ekonomi yang banyak manfaatnya kepada usaha mencari rezeki oleh ramai. Jangan kita perlekehkan usaha-usaha sebegini. Kalau tidak PAS akan dilihat anti pembangunan dan anti-perniagaan.

Saya faham usaha ‘memburukkan’ saya dilakukan golongan yang ingin ‘menjatuhkan’ saya dalam Muktamar Jun ini. Mengikut fahaman mereka PAS tidak boleh keluar dari suasana Masjid dan Surau serta persekitaran ‘Islamik’. Mungkin mereka akan pengsang melihat kehadiran saya di Majlis Tahun Baru Cina yang dihadiri masyarakat berbilang kaum dan berbagai pakaian. Ada pemudi Cina berseluar pendek dan berbaju tanpa lengan, ada Muslimat yang bertudung dan berabayyah lengkap. Sudah pasti suasana sebegini akan mencelarukan pemikiran mereka, tidak mampu difahami otak-otak sempit mereka. Bagi golongan ini, Islam itu hanya dalam suasana terpelihara, berjubah berserban. Masyarakat berbilang agama dan kaum bagaikan tidak wujud dan sekiranya wujud sekali pun, ianya bukan medan unuk PAS. Mungkin ini yang dimaksudkan YB Hanipa Maidin sebagai golongan yang tidak memahami waqi’ atau realiti masyarakat Malaysia dan cabaran perjuangan Islam bergerak di dalamnya. Mereka bagaikan ‘golongan suci’ yang takut terkena debu masyarakat yang tidak Islamik dan oleh itu menyibukkan diri dengan program ‘syok sendiri’ dalam suasana kebiasaan mereka. Kalau itulah kaedahnya maka PAS akan menghadkan diri kepada masyarakat Melayu kampung dan suasana Surau dan Masjid sahaja, tidak berani keluar dari kepompongnya untuk menggalas cabaran dakwah dalam masyarakat majmuk berbilang kaum, agama dan budaya.

Lainlah kalau di dalam gambar tersebut saya bersentuh-sentuhan atau berpeluk-pelukan atau bercumbu-cumbuan dengan selibriti berkenaan. Atau bergurau senda dan berkelakuan tidak senonoh. Tetapi tidak! Dan bila ditanya apa kesalahan saya, seperti biasa - mereka membisu.

Sebenarnya niatnya adalah untuk menjatuhkan saya dalam pemilihan akan datang. Itulah sebabnya gambar itu disebarkan melalui FB dan WhatsApp di kalangan ahli tanpa disertakan penjelasan yang tepat berhubung gambar tersebut. Kalau mereka ikhlas, sudah pasti mereka menghubungi saya dan bertanya mengenai gambar itu. Atau membuat aduan kepada pimpinan mengenai tingkah laku saya. Tetapi tidak. Sebaliknya disebar-luaskan gambar tersebut tanpa apa-apa penjelasan. Begitulah tindakan golongan yang busuk hati, menjadikan corak kempen dalam PAS lebih buruk dan dahsyat dari barisan parti lain yang terdapat di negara kita ini! Semoga Allah selamatkan PAS dari golongan berbudaya jelek ini.

Saya serahkan persoalan ini kepada Allah. Semoga kebenaran terserlah dan kemenangan tercapai bagi pihak yang difitnah dan dizalimi.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Dan said…
I support khalid samad! Dont worry sir, truth is with you!
aku said…
Teruskan dakwah ke atas orang2 bukan Islam kerana itu anjuran Nabi. Bukan sekadar dakwah di masjid dan surau serta hanya terbatas kepada orang Islam sahaja.
lan said…
rilex Yb, majoriti kami bersama anda dan tak termakan fitnah murahan puak2 terdesak ni
Istiqomah said…
Hidup tidak ada contoh ugama. Itu sebab non-muslim rasa macam kalangan mereka saja.
Anonymous said…
diakhir zaman ini, puak2 kopiah putih pulak yang buat onar. suka betul memfitnah.

YB dan ahli yang benar dalam perjuangan tidak lagi boleh berdiam diri dan complacent. setiap fitnah mesti ditepis habis2an. biar puak2 ini kepanasan.

seperti paparan blog, harong ding adalah sleeper agent yang berjaya dilantik ke jawatan yang tinggi. laporan ini mungkin ada kebenaran bila dilihat dari kenyataan sulung dia.

ucapan sulung harong ding dalam media bukanlah pujian kepada Allah keranan bersyukur atas lantikan; bukan juga ikrar untuk memantapkan Jemaah; bukan juga laungan dakwah untuk semua;

TETAPI: ucapan sulung beliau adalah MENIPU AHLI PAS DENGAN KENYATAAN SEOLAH2 PERLEMBAGAAN PAS MELARANG BUKAN ULAMA JADI PRESIDEN!

perhatikan, kalau berserban dan berjanggut itu sunnah, lihatlah rupa harong ding.
Izuddin said…
Khalid, not enough time to include amendments proposed by dap and pkr? why the hurry, khalid, to table hudud in paliament? umno isnt in a hurry. umno can wait all it wants.

PKR and DAP are not agaisnt ISLAM or hudud in particular, but they are CONCERN abotu the CONTENTS of KELANTAN PAS HUDUD which might not be in accordance to The COMMANDMENT therein The Quran.

oh you need badly umno's majority seats for hudud to be tabled successfully as the reason there is no time to wait to include new proposed amendents???

Like i said very much earlier, DO NOT IMPLEMENT HUDUD under the auspice of umno. They know nothing about hudud, neither did they questioned on pas hudud proposals. they dont really know what it is that PAS kelantan really want out of hudud. if they have the majority seat to table hudud successfully, umno has the majority seat to UNSEAT HUDUD if you stupid PAS fellas do not want to be cowed into UMNO's REBAN LEMBU !

harapkan pagar, pagar makan padi.

umno, mca, mic, etc are in ONE CAMP. DAP , PKR are in another CAMP. You PAS fellas can rot on the pagar makan padi...haha
Izuddin said…
Hudud issue has nothing to do with pakatan splitting. But PAS must not give face to umno. if PAS wishes to to implement hudud, it must be via PAKATAN and not seeking umno participation.

When Karpal Singh kata 'over my dead body', he didnt mean he opposed Islam.

Hudud is actually ARAB SYARIA(ARAB LAW OF THE LAND OR DESERT). Its penal code therein suits the arabs who are 'in heat' due to the desert heat.

Beheading and cutting off the limbs HAD BEEN there long before ISLAM arrived to the arabs. Just that these arabs carried out such punishments which are non-pursuant to Jurisprodence accoding to Islam(QURAN AND SUNNA) but in accordance to their Jahiliya ways.

The arabs can have their own Syariah, and Malays can have our own Syaria. And both syaria can be similar but not the same. UK too can have their own British Syaria.

Arab criminals commit crimes. Malay criminals commit crime too. But their crimes are based on their separate commitments which differs from one another.

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.