Skip to main content

Dongeng Tidak Bertempat

Tempoh hari ada seorang telah menelefon saya dan bertanya beberapa soalan. Oleh kerana soalannya saya fikirkan baik, ‘the right questions’, maka saya nukilkan kembali soalan dan jawapan yang telah saya berikan kepadanya kerana mungkin ada juga yang berfikiran seperti beliau. Beliau sendiri bukanlah wartawan tetapi ahli PAS biasa yang pening dan keliru dengan apa yang sedang berlaku sekarang di dalam PAS.

Soalan 1: “Adakah Benar Perpecahan Dalam PAS Bermula Sejak 1998 Lagi Seperti Yang Didakwa Seorang (Zuhdi)?”

Yang bercakap itu tidak bersama PAS pada ketika itu. Saya tidak pernah nampak pun kelibatnya pada masa itu, maka saya yakin dia hanya mereka-reka cerita.”

Pada 1998 PAS mengalami satu suasana kebangkitan dan sokongan yang begitu hebat. Melalui pendekatan Almarhum Ustaz Fadhil Noor, yang begitu inklusif, kebanyakan Islamis yang asalnya tidak tertarik dengan PAS telah akhirnya menyertainya atau paling kurang menyuarakan sokongan terhadapnya. Hasil dari keterbukaan ini juga terbentuk BA seterusnya PR serta konsep Tahaluf Siyaasi semakin difahami dan diterima semua. Maka tercapai prestasi PAS yang semakin baik tahun demi tahun sehingga berlakunya tsunami politik 2008 dan seterusnya 2013. Semua yang waras melihat ijtihad politik Almarhum Ustaz Fadhil Noor sebagai sesuatu yang bijak dan menepati tuntutan masa dan keadaan.

Namun, manusia tetap manusia. Ada juga yang membutakan mata dan memekakkan telinga kepada segala kebaikan yang terhasil dan terus ingin PAS bersikap tertutup dan berada di alamnya yang tersendiri kononnya ‘seperti dahulu kala’. Sedangkan sebelum itu pun dan semenjak tertubuhnya PAS itu sendiri, PAS bersifat terbuka. Kalau ada bersifat tertutup sekalipun hanya selepas ditendang keluar BN dan itu pun buat seketika, iaitu sehingga munculnya konsep kepimpinan ulama pada 1982.

Soalan 2: “Kalau Begitu, Masalah Perpecahan Ini Bermula Bila Dan Atas Isu Apa?”

Sebenarnya ianya bermula pada tahun 2008 apabila PAS menang banyak kerusi dan formula baru menjadi satu kemungkinan, iaitu bersama UMNO/BN membentuk kerajaan di beberapa Negeri di Semenanjung dan juga di peringkat Pusat.

Walaupun formula baru ini ditolak secara tegas dan muktamad, dan PAS telah bersama membentuk PR, namun ide berhubung formula ini terus terpasak di hati beberapa pimpinan peringkat pertengahan PAS. Oleh itu perjalanan PR sering digugat dengan bermacam-macam tindakan yang bertujuan melaga-lagakan PAS dan PR. Ini lebih menjadi-jadi pada 2013 dan selepasnya. Sedangkan dari 2008 hingga 2012 boleh dikatakan PR berjalan dengan lancar walaupun ada sedikit tersedu pada awal penubuhan PR khususnya melalui usaha Dr. Hassan Ali.

Soalan 3: “Kenapa Pula Ada Yang Dakwa Ianya Bermula Sejak 1998?”

Ianya untuk mencari alasan semata-mata. Supaya apa yang ingin mereka lakukan dilihat berasas dan adanya sebab musababnya.

Melalui dakwaan ini mereka boleh menuduh adanya kelompok asing dan kumpulan tertentu dalam PAS. Mereka boleh menuduh bahawa adanya golongan yang ingin menolak ulama’, menjatuhkan Presiden dan ingin merampas kuasa dalam PAS. Kelompok dan kumpulan ini ‘asing’ dan bukan PAS tulen. Mereka masuk pada 1998 dan kononnya membawa fahaman Liberal, Anwarisme, Plural dan sebagainya. Sedangkan semua tahu bahawa siapa sahaja menyertai PAS menerima perlembagaannya termasuk dasarnya dan konsep kepimpinan ulama’ yang tertera di dalam perlembagaan tersebut.

Maka bagi saya, ini semua dongeng yang tidak bertempat.

Soalan 4: “Apa Yang Mereka Inginkan?”

Kononnya mereka ingin ‘membersihkan’ PAS dari kumpulan asing yang masuk dari tahun 1998.

Maka digambarkan bahawa dalam PAS ada yang tolak hudud, yang tidak terima konsep kepimpinan ulama’ dan tidak menerima TGHH sebagai Presiden. Maka mereka ini dakwa kononnya Ulama dan DS Presiden telah dimaki, dihina dan dicaci dan ini semua adalah tindakan terancang kumpulan asing tersebut untuk menjatuhkan DS Presiden dan kepimpinan Ulama.

Yang peliknya, yang kita nampak dan lihat secara terus terang adalah tindakan memalukan Mat Sabu, Dr. Hatta dan yang lain-lain dan ianya dilakukan secara terancang dan tersusun. Bermula dengan peristiwa walk-out semasa Muktamar Pemuda pada tahun lepas apabila Mat Sabu datang untuk merasmikan Muktamar tersebut. Ianya begitu terancang, di mana yang terlibat siap memakai vest tertentu dan ianya dilakukan serentak. Begitu juga doa laknat semasa Muktamar PAS terhadap Mat Sabu dan seterusnya demo membantah Dr. Hatta. Semuanya kelihatan terancang dan tersusun rapi.

Sambil yang dikatakan ‘konspirasi’ untuk menjatuhkan DS Presiden, tidak pula nampak apa-apa pun selain adanya cadangan dan pandangan yang berbeza dalam beberapa isu. Perbezaan pendapat perkara biasa dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan usaha untuk menjatuhkan mana-mana pihak. Lebih-lebih lagi apabila ianya dilakukan dengan cara yang penuh hormat tanpa mencaci atau memaki hamun mana-mana pihak.

Pepatah Arab berbunyi “darabbunii wa baka” atau “dia pukul saya dan dia menanggis”. Mereka yang membuat onar tetapi mereka pula berlakon seolah-olah mereka adalah pihak yang dicederakan. Ini semua strategi lama dan lapuk.

Soalan 5: “Tetapi Apa Sebenarnya Yang Mereka Inginkan Dari Ini Semua?”

Mereka ingin PAS berpecah dua, yang sependapat dengan mereka di satu pihak dan yang berbeza pendapat di pihak yang lain, sebaik-baiknya di luar PAS.

Yang sependapat dengan mereka adalah yang sanggup membawa PAS keluar dari PR dan mempertimbangkan samada bersendirian, berkerjasama dengan BN atau juga berkerjasama dengan PR. Tidak kommitted hanya kepada PR. Pilih yang mana yang lebih menguntungkan, kononnya.

Sedangkan adakah akan ada mana-mana pihak menyokong kalau pendirian kamu dan tidak di sana atau tidak di sini? Pemikiran politik kebudak-budakan!

Kehendak supaya PAS berpecah dua telah jelas dinyatakan oleh salah seorang dari mereka yang mungkin merupakan antara perancang utama di sebalik tindakan ini. Beliau secara terus terang menyatakan bahawa beliau ingin melihat PAS berpecah dua dan bahawa ianya sesuatu yang ada kebaikannya.

Amat sukar untuk diselamatkan PAS sekiranya ada pihak yang tidak ingin mencari penyelesaian. Mereka memburuk-burukkan pimpinan seperti Mat Sabu dan Dr Hatta semaksima mungkin supaya tidak mungkin dicapai persetujuan dan perdamaian. Mereka menuduh orang dengan gelaran ‘munafik’, ‘pengkhianat’ dan sebagainya dan ditanamkan perasaan benci di kalangan ahli terhadap barisan pimpinan ini.

Soalan 7: “Kenapa Mereka Begitu Berkeras Hendak PAS Berpecah Dua?”

Kerana mengikut firasat mereka itulah yang terbaik bagi PAS. Melaluinya PAS akan diselamatkan dari ‘dipergunakan’ oleh kumpulan asing ini dan ‘PAS asli’ akan dapat dikembalikan. Dengan itu PAS boleh dibawa keluar dari PR dan kembali menjadi bebas dan tidak terikat. Boleh bawa apa jua agenda tanpa perlu memikirkan pandangan mana-mana pihak lain. Lagi pun, mengikut mereka, ianya berlaku di Negara lain maka ianya juga perlu berlaku di Malaysia.

Sedangkan kita sepatutnya berusaha mempertahankan kekuatan yang telah terbina oleh PAS selama ini dan bukan membuangnya begitu sahaja. Sesiapa yang menganggap kekuatan PAS semakin merosot sejak 1998 adalah dari golongan yang buta dan pekak. Dasar terbuka PAS menguntungkan PAS dan tiada penyelewengan dari dasarnya telah berlaku. Kalau ada berlaku penyelewengan sudah pasti Majlis Syura akan bersuara sejak 1998 lagi.

Soalan 8: “Tidakkah PAS Akan Rugi Sekiranya Berpecah?”

Bagi mereka untung rugi politik tidak penting. Yang penting PAS kembali bersendirian dan membawa agendanya semata-mata, iaitu Islam. Fahaman mereka apabila PAS bergabung dengan mana-mana pihak maka agenda PAS akan menjadi kabur. Ini adalah kerana agenda Islam itu adalah hudud dan hanya PAS setuju dengan hudud. Perjuangan Islam telah dirumuskan dan disempitkan oleh mereka kepada hudud. Itu sahaja.

Sedangkan perjuangan Islam adalah lebih dari itu. Ianya aqeedah dan akhlak dan juga perundangan atau syariat. Dan syariat itu mesti tertegak atas aqeedah dan akhlak terlebih dahulu sepertimana bumbung rumah akan hanya terbina setelah asas dan tiang rumah itu didirikan terlebih dahulu.

Maka semestinya PAS akan rugi apabila berpecah dan itulah sebabnya usaha mereka ini perlu ditentang. Sebenarnya sekiranya soal menang kalah tidak penting, saya tidak faham mengapa mereka perlu berada di dalam PAS. Sepatutnya mereka bergiat melalui NGO yang boleh nyatakan apa sahaja yang ingin dinyatakan tanpa mengambil kira implikasi untung-rugi politik dari tindakan mereka. Namun mereka ingin menjadikan PAS sebagai badan NGO tanpa mementingkan siyaasah; di mana siyaasah itu bermaksud politik dan untung rugi politik adalah merupakan sebahagian dari politik itu sendiri. Dengan itu PAS akan dijadikan seperti pasukan tentera yang tidak pentingkan menang kalah di medan perang. Sudah pasti tentera yang tidak pentingkan menang kalah dan tidak berusaha untuk menang akan kalah dengan mudah. Begitu jugalah kesudahannya bagi PAS sekiranya kehendak golongan ini tidak dibendung dan ditolak ahli.

Tindakan ini merupakan tindakan ‘reversionist’ atau berpusing balik dan menolak ijtihad politik yang telah dilakukan bersama oleh Almarhum Ust Fadhil Mohd Noor, Almarhum TG Nik Aziz, Almarhum Ust Hassan Shukri, Almarhum Ust Harun Taib, Almarhum Ust Yahya Othman, TG Haji Abdul Hadi sendiri dan ramai lagi pada tahun 1998.

Saya sebenarnya tidak menolak kemungkinan pemikiran ‘reversionist’ ini dicetuskan oleh pihak lawan dan kumpulan yang membawa pemikiran ini disokong dan dibantu mereka. Segala tuduhan tidak hormat Ulama’, tolak hudud, ingin jatuhkan DS Presiden adalah tidak lain dan tidak bukan kecuali ‘camouflage’ atau pembohongan untuk melemahkan dan merosakkan PAS.

Dan sekiranya pengakuan mereka bahawa mereka inginkan PAS berpecah dua masih tidak mampu mengejutkan ahli PAS, termasuk ulama PAS dari terus tertipu, saya rasa amat gelaplah masa depan PAS di negara kita ini.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Khalid Samad said…
Sdr Mohd Shahran komen tuan tidak dapat disiarkan kerana menggunakan bahasa yang kurang sesuai. Harap maklum.

-Pejabat YB Khalid Samad-
sp4n4r said…
Antara PAS dan Presiden, Mana Lebih diutamakan ?

JIka ambe tanya soalan ini kepada pro hadi awang, antara Parti pas dan Presiden PAS, yang mana lebih diutamakan ? Jawapan, pro hadi awang, sudah tentu mengutamakan kedua duanya. tetapi, mereka lupa untuk melebihkan keutamaan pada satu perkara sahaja.

Jawapan yang mampu kalian berikan, mengambarkan mentaliti kalian, rela mengadaikan parti demi seorang manusia. JIka tidak, apa rasionalnya ?

Sekiranya PAS berkubur, maka akan hilanglah identiti. Maka hilanglah perjuangan.. maka hilanglah harapan....Maka hilanglah Kemuliaan dan kesyumulan Islam yang diperjuangkan selama ini..... JIka Presiden PAS berundur, PAS tetap disitu, identiti masih disitu, perjuang tetapi diteruskan, harapan tidak pernah pudar, malah presiden PAS akan berganti. Tetapi tidak dengan PAS. Ya atau tidak ? Sila jawab jika kalian benar-benar pejuang islam sejati yang boleh jawab punya...

PAS...tidak pandai penipu, pas tidak pandai berbohong, PAS tidak pandai ujub, PAS tidak pandai taksub, PAS tidak pandai jumud, PAS tidak pandai bermuka-muka, PAS tidak pandai memintak itu ini dari musuhnya, pas tidak pandai dalam apa jua bentuk yang bersifat negatif merosakkan manusia didalamnya. PAS hanya ikut, dan faham, dan mengerti DASAR DASAR yang diletakkan pada nya. PAS hanya mengerti, perjuang yang akan diteruskan...sehingga dasar dasar didalam nya dapat dicapai...

Tetapi, manusia, yang berada didalam PAS, bergelar sebagai pemimpin, bergelar pengikut, berpeluang menjadi penipu, berpeluang bercakap bohong, berpeluang menjadi ujub, berpeluang menjadi taksub, berpeluang menjadi jumud, berpeluang untuk bermuka muka, pandai memint aitu ini dari musuhnya dan berpeluang untuk membuat pelbagai perkara yang bersifat negatif yang merosakkan Parti.

Sekiranya, jika itu yang tergambar dan terfikir dibenak-benak kalian dan mengakuinya, sanggupkah kalian menrobek-robekkan PAS demi maruah seorang presiden ?

Menjawablah dengan akal yang rasional... bukan menjawab dengan perasaan yang meronta-ronta...

Tepuk dada tanya iman. -
Monday, June 29, 2009
Dalam satu Forum Pra Muktamar pada 7 november 2013 Peguam Hanipa Maidin ada mengatakan falsafah dalam pelaksaan hukuman adalah matlamat dan beliau merumuskan bahawa undang-undang sivil setaraf dengan hukum Diyat bagi pesalah jalanraya yang dikemukakan oleh Dr Zaharuddin. Tidakkah ini dinamakan menolak hudud? bolehkah hukum Islam diganti dengan undang2 sivil?
opisboi said…
salam tn,
satu ulasan yg baik, apa yg saya berharap puak yg menyerang bukan ulama agar menyahut debat supaya ahli dapat pencerahan tapi kalau mengikut pandangan saya kemungkinan besar mereka tidak akan berdebat kerana mereka lebih selesa cara pukul dan lari. saya harap tn dapat teruskan hujjah2 bernas..amin
Izuddin said…
Hadi ni susah lah. Dia dah biul. Tak boleh jadi President lagi..macam najib tak boleh jadi PM sebab dia dah biul(gelap)

Musuh dalam selimut ni ingat ada usaha oleh mat sabut and the gend utk jatuhkan hadi. Malah, usaha2 mereka atas anggapan mereka ini lah yang membuat hadi jatuh...haha

Mmg lah saya nak hadi resign, tapi saya tak buat apa2 pun. Tapi musuh2 dalam selimut ni dah bertindak...haha. Depa ni mesti bodoh tak reti baca strategi saya.

Ramai orang ingat sebegini : Kita rancang dan Allah putuskan(We plan, Allah decides).

Its the opposite really.

It is Allah who Plans and Schedules(Qoda & Qodar), and therein are the good, the bad and the ugly and we decide...to choose the good, the bad or the ugly.
D'Shahrul said…
Aneh bilamana parti politik tidak mementingkan penguasaan Putrajaya. Ulama, terutamanya ulama yg turun dalam dunia siasah partisan, perlu juga belajar strategi politik.

Rasulullah sendiri tenang mngenepikan syariat dan syiar dalam perjanjian Hudaibiyah, kerana strateginya pada masa itu adalah mendapat pengiktirafan untuk Negara Madina dahulu.

Mungkinkah Datuk Nik Amar tak setuju bilamana Rasulullah menerima klausa2 berat sebelah (spt klausa extradisi mekah-madinah) serta pemadaman kalimah Bismillahirrahmanirraim pada kepala perjanjian itu, dengan alasan 'kita mementingkan redha Allah, takpa lah tak bina kerajaan Islam Madinah pun'?

Saya bukan ahli Pas. tapi harapnya perwakilan nampak dan faham situasi ini.
Di suatu ketika dulu, ketika British, Jepun dan Portugis menjajah Tanah Melayu, mereka datang dengan pistol, senapang, bom dan meriam. Kita pulak melawan hanya berbekalkan keris, parang dan pisau (selain semangat juang).

Di zaman ini, ketika negara Barat (atau kafir pada pandangan ulama) telah menakluki segenap penjuru dunia, termasuklah bulan, bintang dan isi bumi dengan pelbagai inovasi dan teknologi, kita masih di sini bertekak dan berteriak sesama sendiri mempersoalkan ketuanan melayu, hudud, liwat dan kalimah Allah. Termasuklah label-melabel aku islam, engkau kafir, aku masuk syurga, engkau masuk neraka.

Pernah tak kita (terutamanya para2 ulama) terfikir kenapa islam sentiasa ditindas dan dipandang rendah? Bagi saya, bukan sebab kita lemah iman, bukan sebab kita tidak menyokong kepimpinan ulama, tetapi sebab kita sangat lemah dalam bidang ekonomi, sains dan teknologi.

Pernah tak kita (terutamanya para2 ulama) terfikir, kalaulah Microsoft Windows, Apple dan Google (sebagai contoh) diilham dan dihasilkan oleh seorang beragama islam, bayangkan betapa banyak amal jariah yang diperolehi kerana manafaat yang diberikan kepada berbilion manusia di muka bumi ini? Atau, para ulama berpendapat bahawa amal jariah itu hanya terhad kepada sedekah duit ke surau, masjid, rumah anak yatim dan sebagainya?

Rasanya, telah tiba masanya kita orang islam untuk benar2 melakukan anjakan paradigma. Lupakan perkara remeh temeh, karut marut. Perkasakan sains dan teknologi, kerana sains dan teknologi itulah penyumbang besar kepada ekonomi.

Ingatan untuk saya juga.

Bilakah rakyat Malaysia akan melakukan anjakan paradigma?
Unknown said…
Salam YB khalid. selama ini sy hanya menjadi silent reader sahaja. Tetapi dgn posting yg yg bertajuk " Dongeng Tidak Bertempat " membuat kan sy membuak2 ingin mencoretkan sesuatu.

Saya salah seorg golongan profesional menetap dan bekerja di dubai, kalau ikutkan Alhamdulillah makan pakai pendidikan bagi saya tiada masalah buat saya. walau siapa pun yg memerintah baik BN atau PR saya tetap di sini.

cuma mukhtahir ini saya umpamakan seperti sebuah perlawanan bola sepak antara BN dan PR yg mana kedudukan terikat 0-0 dan masa hampir masuk minit ke 90, bola sudah ada dalam kotak panelti BN hanya tunggu masa sahaja dr pihak PR untuk membenam pasukan BN, malangnya ketika saat cemas ini disia2 kan peluang oleh rakan sesama sendiri yg leka berbalah sesama sendiri, leka untuk berteam up dgn BN. kami sebagai penonton yg rela di siram hujan asid, di pukul oleh fru semata2
untuk memberi sokongan kepada pasukan PR merasakan sungguh tak berbaloi pengorbanan kami,

Kami sebagai penonton boleh kenal yg mana tak pakai serban tapi setiap protest dijalanan mereka turut serta terlibat aktif, mereka yg tak pakai serban inilah yg berskru dilutut, yg di kasari fru, yg berairmatakan gas, yg tidur di lokap, yang selalu turun naik mahkamah dan yang mudah di dampingin, tapi puak yg berserban berkupioh putih ni , puak yang ber tanda 2 hitam di dahi dan puak yg melabelkan org barua ni langsung tak pernah nampak kelibat mereka harungi pahit getir golongan yang saya nyatakan sebelumnya tadi.

akhir sekali sebelum penutup saya meramalkan bahawa PAS sudah tidak relevan lagi di pru akan datang selagi puak2 ULARMAK masih ada, manakala PASMA pula lebih relevan dgn golongan ulama dan profesional
Izuddin said…
madey boleh pi raaaaa. Dia ni pandai capitalise on situation like rally Kita lawan. Cadangan madey ketua umum oleh segolongan melayu hanya lah tipuhelah menunjuk-nunjuk si madey ni tidak bersalah, malah tak terbabit dalam usaha memenjara anwar.

Sehingga depa kata dalam politik. dulu musuh , sekarang boleh kawan...haha.

madey dah LAPOK laaaaa. Dia nak singkir najib pun sebab najib dah tak bagi duit lagi utk project2 2020...haha.

Kira madey ni baguih lah mahu NAJIB resign...boleh blah laaaa ko madey...keh keh.
makaroni said…
Kesalahan jalanraya tak termasuk dalam hudud. Tepatlah hujah ustaz zaharuddin tu.. Langsung tak wujud unsur menolak hudud...
Anonymous said…
Says pernah bertanya pd TGNA pada tahun 1998 di program Hizbi di UK . Boleh ke Islam ni? Beliau kata Islam boleh kerana Nabi telah tunjuk contoh melalui perjanjian hudaibiah.
Izuddin said…
Tit for Tat. Anwar goes, Najib goes too.

Both Anwar and najib gone is good for madey. he can then scheme to regain umno prowess...so it seems.

Remember. The Lord had already laid down Plans and Schedules, which are made up of the good, the bad and the ugly. It is up to us to decide and choose ONLY the BEST from The plans and Schedules.

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.