Skip to main content

Ulasan Muktamar PAS Ke-60: Bahagian II

Mungkin ada yang bertanya, mengapa saya masih ingin menulis berhubung dengan isu Muktamar PAS ke 60 sedangkan ia sudah lama berlalu. Sebenarnya saya ingin menyatakan kekhuatiran saya berhubung perkembangan baru yang tidak sihat yang sedang berlaku di dalam PAS. Perkembangan tidak sihat ini telah terzahir dengan jelasnya semasa muktamar lepas. Semoga dengan penulisan ini boleh diambil pengajaran dan iktibar dan akan ada usaha dari semua pihak untuk membetulkannya.

Pada masa sama ianya merupakan analisa dan ulasan sambungan dari Ulasan Muktamar PAS Ke-60: Bahagian I yang telah disiarkan beberapa minggu yang lepas. Ini bahagian kedua dan bahagian ketiga akan menyusul dalam masa terdekat.

MUKTAMAR DEWAN PEMUDA
Sebelum saya sentuh Muktamar PAS Pusat sendiri, perlu juga saya tegur secara ringkas apa yang telah berlaku di Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat. Tindakan keluar (Walk out) membantah Timbalan Presiden (TP) seperti yang dilakukan oleh perwakilan Pemuda beberapa Negeri agak mendukacitakan. Ini bukan dari budaya PAS lebih-lebih lagi apabila TP dijemput untuk merasmikan Muktamar berkenaan oleh pimpinan Dewan Pemuda sendiri.

Selama ini, walaupun tidak bersetuju dengan mana-mana TP atas apa-apa isu sekalipun, perwakilan Pemuda akan tetap menunjukkan hormat kepadanya, menyuarakan teguran dan mendengar penjelasan. Kerana, samada kita setuju atau tidak, hakikatnya beliau merupakan pilihan perwakilan dalam muktamar sebelumnya. Lainlah kalau dia merampas kuasa macam Al-Sisi!

Dan sebenarnya, itulah sebabnya diadakan muktamar, supaya boleh diadakan muhasabah dari pihak bawahan terhadap pimpinan atasan. Bukan untuk tunjuk kebiadapan terhadap seseorang. Malangnya,budaya sihat ini, iaitu mendengar, menegur dan membahas apa yang tidak dipersetujui, tidak lagi dianggap suatu yang perlu dipertahankan.

Punca Masalah
Sebaliknya apa yang dihasilkan oleh sebahagian Pemuda sekarang ini adalah sikap berpuak-puak. Satu puak kononnya wala’ pada Presiden dan satu lagi kononnya tidak. Sikap sebegini mewarnai bukan sahaja Muktamar Dewan Pemuda tetapi juga Muktamar PAS Pusat sendiri. Dan atas tanggapan bahawa golongan yang kononnya tidak wala’ pada Presiden ingin menjatuhkan Presiden, maka telah hadir beberapa perwakilan Pemuda memakai vest di mana ditulis “kami sokong Presiden dan Majlis Syura Ulama”.

Sebenarnya sangkaan buruk ini telah lama dimainkan di kalangan golongan muda yang baru bersama PAS yang pernah saya tulis berkenaannya tidak berapa lama dahulu. Apabila dituduh sedemikian rupa, maka perasaan ukhuwwah terjejas. Yang peliknya tuduhan dan sangkaan sedemikian rupa boleh tersebar luas tanpa ditanya kepada pihak tertuduh akan kebenarannya.

Dalam kes TP, punca masalah adalah apabila keputusan mesyuarat PR pada 17 Ogos diumumkan melalui kenyataan bersama bahawa DS Wan Azizah adalah calon Menteri Besar Selangor yang dipersetujui PR. Kenyataan itu dianggap membelakangi Presiden yang bersama AJK PAS Pusat telah memutuskan bahawa DS Wan Azizah dan Azmin Ali adalah calon-calon yang dipersetujui PAS. Maka penggugran nama Azmin Ali dalam kenyataan yang ditandatangani oleh TP bagi pihak PAS dianggap tindakan tidak wala’ pada Presiden.

Sedangkan mesyuarat PR yang diadakan pada petang tersebut telah dihadiri bukan oleh TP seorang, tetapi turut dihadiri oleh Naib-naib Presiden, SUA dan beberapa lagi ahli Dewan Harian dan AJK PAS Pusat. Perwakilan PAS dalam mesyuarat PR berkenaan adalah seramai 9 orang! Mengapa hanya TP dipersalahkan? Lagipun, tidakkah sepatutnya ditanya terlebih dahulu sebab mengapa 9 orang perwakilan dari PAS bersetuju untuk digugurkan nama Azmin Ali sebelum menghukum TP tidak wala’?

Walaupun saya bukan salah seorang yang hadir, penjelasan yang diberikan oleh TP jelas menunjukkan ianya bukan kerana tidak wala’ atau ingin membelakangkan DS Presiden. Ianya adalah kerana YB Azmin Ali turut hadir pada petang itu dan beliau telah menyebut bahawa beliau ingin memberikan laluan kepada Presiden partinya iaitu DSWA. Maka sekiranya tuan badan sendiri telah menyebut sedemikian, bagi 9 orang yang mewakili PAS, mereka beranggapan ianya perlu dihormati dan atas perkiraan itu maka nama YB Azmin dipersetujui untuk digugurkan. Itu pun setelah menjelaskan terlebih dahulu, melalui kenyataan yang dibuat, bahawa YB Azmin turut dicalonkan pada asalnya oleh PAS!

Perlu diambil-kira keputusan segera amat sangat diinginkan. Selangor sedang berada di bawah seorang MB bebas dan walaupun 4 exco dari PAS masih memegang jawatan, namun, PKR dan DAP sudah tidak bersama. Maka ianya BUKAN kerajaan PR. Oleh itu keputusan segera amat sangat diperlukan. Sudahlah PAS lewat bertemu untuk membincangnya, sudah pasti TP dan rombongan dari PAS ingin menyumbang kepada satu keputusan dengan seberapa segera.

Maka bagaimana dan mengapa tindakan yang telah diputuskan oleh 9 pimpinan PAS itu, atas sebab-sebab sedemikian rupa boleh ditakrifkan sebagai ‘tidak wala’ dan membelakangi Presiden saya masih tidak faham hingga hari ini. Itu pula tuduhan tidak wala’ terkena hanya terhadap TP? Sekiranya ianya ijtihad yang tersilap sekalipun, adakah wajar TP dilemparkan dengan tuduhan sebegitu rupa? Di mana perginya pula dasar kalau tersilap ijtihad maka satu hasanah dan kalau betul dua hasanah. Adakah ianya hanya diguna-pakai untuk Presiden atau orang tertentu sahaja?

Saya melihat kesan dari ini, semua akan enggan membuat apa-apa keputusan selepas ini. Semua persoalan akan dikembalikan kepada Presiden sendiri dan tanpa menghadiri mesyuarat, Presiden akan membuat keputusan, tanpa mendengar hujjah dan penjelasan seperti yang dikemukakan di dalam mesyuarat berkenaan. Akhirnya ianya akan menjadikan PAS lebih lambat membuat keputusan kerana perlu dirujuk balik ke Presiden atas semua hal dan kedua, keputusan pun dibuat tanpa mendengar penjelasan yang tepat dan menyeluruh. Adakah ini corak pengurusan yang diinginkan PAS? Sedangkan pimpinan PAS selain Presiden juga mempunyai kemampuan dan kepakaran, lebih-lebih lagi sekiranya dilakukan amalan syura.

Doa Laknat
Kepelikan amalan Pemuda telah terbawa-bawa oleh seorang ustaz yang menamakan dirinya sebagai ‘Azhari Ariffin’ yang mewakili PAS Wilayah Persekutuan dalam Muktamar PAS Pusat. Oleh kerana ianya melibatkan TP maka saya sentuhnya di sini walaupun ianya berlaku semasa Muktamar Pusat.

Tanpa walaupun sedikit usaha untuk menyiasat apakah sebab ‘kesalahan’ menggugurkan nama YB Azmin berlaku, Ustaz ini terus mendoakan keburukan terhadap TP. Saya terkejut dengan tindakan beliau. Lebih menyedihkan lagi apabila ada seorang bukan Islam yang melihat gelagat ustaz ini dan terus bertanya saya, “beza pendapat sedikit sudah minta Allah laknat? Adakah itu ajaran Islam?” Saya terdiam sambil menggeleng kepala. “Takut saya untuk ikut PAS”, katanya lagi, “sikit-sikit sahaja mahu panggil tuhan hancurkan sesama kita. Bincang baik-baik sahaja tak boleh ke?”.

Saya mungkin boleh terima tindakan Ustaz tersebut sekiranya dia telah berhubung dengan TP terlebih dahulu untuk mendapat penjelasan dari beliau mengenai peristiwa di mana TP dianggap melakukan kesalahan besar sehingga layak untuk didoakan sedemikian rupa. Dan sekiranya diherdik, atau dibaling dengan batu oleh TP apabila berjumpa untuk bertanya latar belakang peristiwa tersebut, mungkin wajar tindakan doa berkenaan. Tapi, tidak! Tanpa usul periksa, tanpa bertanya, terus mendoakan sebegitu rupa. Amat murah, bagi saya, nilai doanya.

Yang lebih parah adalah imej yang begitu buruk yang ditunjukkan kepada semua yang sedang mengikuti. Di mana ukhuwwah, di mana kasih-sayang? Atau adakah itu juga hanya untuk Presiden dan orang tertentu sahaja?

Begitu juga doa laknat terhadap dua ADUN tidak sewajarnya dilakukan. Lebih-lebih lagi apabila usaha menyiasat peristiwa berkenaan masih belum dilakukan pada ketika itu. Hakikatnya, kedua-dua ADUN berkenaan tidak keluar PAS. Mereka memberi sokongan terhadap DSWA sekadar untuk membuktikan TSKI tidak mempunyai sokongan majoriti. Sebaliknya ianya telah berpindah kepada orang lain. Tindakan mereka bertujuan menentukan TSKI ditamatkan sebagai MB dan DUN tidak dibubarkan.

Ya, mereka telah mendahalui parti dan mungkin tersilap langkah dari segi itu, tetapi hakikatnya niat mereka adalah baik. Mereka tidak ‘dibeli’ dan tidak bertujuan untuk ‘khianat’. Masalahnya, tanpa soal siasat, mereka terus dihukum dengan doa laknat. Sepatutnya memadai untuk mendesak PAS Pusat menyiasat dan selepas itu menghukum mereka mengikut kadar yang setimpal dengan kesalahan mereka. Doa laknat pada saya adalah melampau.

Pertikai Perwakilan Muktamar Dewan Pemuda 2013
Ada juga berlaku gelagat seorang Pemuda, katanya dari Shah Alam, yang membantah kesahihan mesyuarat Dewan Pemuda yang sedang berjalan sehingga tergendala muktamar Pemuda seketika. Dan tindakan Pemuda tersebut begitu biadap sehingga ke tahap menyebabkan Pengerusi Tetap Dewan Pemuda, iaitu Ustaz Kamal As-Shaari, mengalami kesesakan nafas dan terpaksa dibawa ke Hospital.

Namun, walaupun telah menyebabkan kesakitan tertimpa ke atas Ust Kamal, pemuda tersebut tetap tidak serik atau insaf. Tindakan samsengnya terus dilakukan dan mendapat pula sokongan dan bantuan dari golongan Pemuda tertentu. Bagi saya pemuda ini buta kebenaran kerana walaupun Allah telah tunjuk keburukan terhasil dari tindakannya, dia masih meneruskannya.

Yang ingin dilakukan adalah untuk menunjukkan ‘ketidak cekapan’ dan ‘penipuan’ barisan pimpinan pemuda baru yang dipilih pada tahun 2013. Ini adalah kerana kononnya ada di kalangan perwakilan yang datang ke muktamar lepas tidak layak untuk mengundi. Namun senarai perwakilan dan pengurusan muktamar Dewan Pemuda tahun 2013 bukan dikendalikan oleh barisan pimpinan baru! Ia dikendalikan oleh barisan pimpinan lama. Maka tindakannya hanya sekadar mendedahkan kelemahan dan kesilapan barisan pimpinan sebelumnya, sekiranya ada dan bukan yang sediada!

Maka bukan sekadar mendatangkan musibah kepada sahabat, pemuda ini telah dalam usahanya itu memburukan pihak yang kononnya ingin dibela! Kebodohan berganda.

MUKTAMAR PUSAT
Dengan berkembangnya budaya samseng di kalangan Pemuda, dan budaya saling melaknat di kalangan asatizah PAS, maka tidak pelik apa yang telah berlaku di dalam Muktamar PAS ke 60. Sepertimana yang telah saya sebut di dalam bahagian pertama, Muktamar Dewan Ulama’ telah pun meletakkan asas permusuhan dan adu-domba di kalangan ahli. Semangat Ukhuwwah dan Mahabbah yang telah menjadi suasana PAS di dalam mana saya membesar sudah mula berubah. Golongan baru bersama budaya barunya telah mula bertapak.

Pasukan Tukang Boo
Kepelikan pertama adalah kewujudan ‘pasukan tukang boo’. Mereka terdiri dari golongan yang kurang memahami akhlak bermesyuarat dan bermuktamar. Namun atas nama ingin pertahankan Presiden dan Majlis Syura Ulama maka mereka bertindak secara ‘liar’. Ekoran dari amalan ‘walk-out’, maka amalan ‘boo’ pula dibawa ke Muktamar Pusat. Mungkin ini di antara apa yang dimaksudkan dengan ungkapan ‘matlamat menghalalkan cara’.

Mereka bersuara apabila ada yang tidak dipersetujui mereka, mengganggu perjalanan muktamar yang ingin dijalankan dengan baik dan teratur oleh sebahagian besar perwakilan. Namun pada hari kedua dan berikutannya, pihak Unit Amal telah berjaya mengawal pasukan ‘tukang boo’ ini dengan baik sehingga mereka gagal mengganggu perjalanan Muktamar.

Sebagai menegur kumpulan ini dan yang terlibat membawa mereka, maka seorang perwakilan dari Kuala Kerai telah bangun semasa membahas Laporan Tahunan dan bertanya, “Siapa yang ingin jatuhkan Presiden, angkat tangan!” Apabila tiada yang mengangkat tangan, maka dikatakan lagi, “Tiada yang ingin jatuhkan Presiden! Yang kamu semua kalut sangat nak pertahankan Presiden kenapa?” dan kata-katanya telah menyebabkan ramai bertakbir menanda sokongan.

Dakwaan Adanya Usaha Ingin Jatuhkan Presiden
Dakwaan adanya usaha ingin jatuhkan Presiden agak pelik leih-lebih lagi tahun ini bukan tahun pemilihan. Namun begitu ianya tetap mempengaruhi sebahagian perwakilan dan pemerhati.

Ada perwakilan yang semasa membahas ucapan dasar menyebut bahawa isu ‘UG’ adalah ‘hantu’ rekaan yang disebut-sebut sebahagian bapa untuk menakutkan anak-anak. Begitu juga dengan dakwaan adanya usaha jatuhkan Presiden! Dengan adanya dakwaan sebegitu maka ada yang bertindak secara tidak rasional. Mungkin ini adalah di antara sebab musabab mengapa berlakunya budaya pelik semasa Muktamar yang lepas.

Namun tindakan keterlaluan atas alasan ingin mempertahankan Presiden memberi gambaran seolah-olah Presiden tidak lagi mempunyai sokongan kukuh di kalangan perwakilan. Sekiranya sokongannya padu, tiada sebab perlu panik dan bertindak secara pelik.

Oleh itu adalah lebih baik sekiranya persoalan ini ditangani dengan jauh lebih bijaksana. Jangan tindakan yang bertujuan menyokong dan membantu Presiden akhirnya memberikan gambaran yang sebaliknya.

Bahagian ketiga akan menyentuh isu:
Soal Perlembagaan - Kuasa Veto Presiden.
MSU berkuasa untuk membatalkan Tahaluf Siyaasi.
Kekhuatiran bahawa Parti Islam menjadi parti Sekular.
Soal Barua dan Broker.
Ucapan Penangguhan menengelami Ucapan Dasar Presiden.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Salam yb, satu saje,komen sy, analisis, bukan analisa , peace!
Izuddin said…
Perkatan ANALYSIS ialah perkataan English. Perkataan analisa adalah perkata melayu.

Tidak boleh eja sebutan(pronounciation) analysis sebagai analisis utk cipta analisis sebagai satu perkataan melayu baru.

Maka, analisa adalah betul.

Sebutan perkataan english DEFINITION di eja sebagai DEFINISI dalam ejaan melayu dan dijadikan ia satu perkataan melayu baru.

Kalau sesuatu perkataan baru di reka dengan pengunaan ejaan sebutan sesuatu perkataan, maka perkatan melayu baru utk DEFINITION sepatutnya ialah DEFINISYEN.

Maka, YB betul dalam pengunaan perkataan ANALISA

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.