Wednesday, October 22, 2014

PAS dan PasMa: Perlukah Bertindak Melarang?

Saya mengikuti polemik berhubung PasMa yang berlarutan sekian lama dengan penuh hairan dan perasaan pelik. Perasaan hairan saya adalah mungkin kerana saya tidak memahami ‘isu sebenar’ di sebalik reaksi yang begitu negatif terhadap penubuhan PasMa. Mungkin akan ada yang mengatakan saya terlalu ‘naif’ sehingga tidak menyedari ‘bahaya’nya PasMa. Mungkin juga akan ada yang berkata saya tidak marah kerana saya bersama mereka, seperti yang didakwa oleh pihak yang menyebar apa yang didakwa sebagai senarai AJK PasMa apabila ianya baru didaftarkan. Mengikut senarai itu, saya salah seorang Naib Presiden kalau tidak silap saya!

Biarlah mereka katakan apa yang ingin mereka katakan. Hakikatnya walau apa sekalipun, jenis yang ingin mengata akan terus mengata. Mungkin bagi mereka tiada makna hidup kalau tidak mengata!

Bagi saya, PasMa sebuah NGO yang telah mengisytiharkan dirinya bersama PAS dan PR. Mereka ingin menjatuhkan UMNO/BN dan menyumbang kearah memperkukuhkan PR. Kalau dengan pengisytiharan sejelas itu pun kita masih ragu dan tentang, saya tidak mampu mengatakan apa-apa selain, “saya hairan”.

Sebenarnya kalau mengikut perlembagaan PAS, tiada salah sekiranya ahli menjadi anggota mana-mana NGO. Malahan berkerjasama dengan NGO adalah di antara kegiatan yang dinyatakan dalam perlembagaan PAS. Kecuali sekiranya NGO tersebut mempunyai matlamat yang bercanggah dengan PAS. Tetapi sekiranya NGO tersebut mempunyai matlamat yang sama atau tidak bercanggah, maka tiada masalah ianya menerima sokongan dan penyertaan dari ahli PAS.

ADAKAH MATLAMAT PASMA SELARI DENGAN MATLAMAT PAS?
Sekiranya ada pimpinan yang menentang penubuhan PasMa, jangan marah sekiranya rakyat mendakwa bahawa PAS ingin dibawa keluar dari PR oleh pimpinan tertentu.

Ini adalah kerana matlamat utama di sebalik penubuhan PasMa, mengikut kata Presidennya, adalah untuk menentukan PAS kekal bersama PR. Sekiranya matlamat ini selari dengan matlamat pimpinan PAS, mengapa perlu menentang PasMa dan melarang ahli dari bersama PasMa? Rakyat akan membuat kesimpulan bahawa pimpinan PAS melarang ahli menyertai PasMa dan mengikut programnya kerana matlamat PasMa bercanggah dengan matlamat pimpinan PAS! Dan mereka akan simpulkan bahawa matlamat pimpinan PAS adalah untuk membawa PAS keluar dari PR! Itu sahaja rasional yang mampu menjelaskan tindakan pimpinan yang melarang ahli PAS menyertai PasMa atau programnya.

Oleh itu, oleh kerana matlamat PasMa adalah sebenarnya selari dengan matlamat PAS seperti yang diputuskan dalam muktamar, iaitu Istiqamah bersama PR, saya syorkan PAS membantu PasMa dan tidak sebaliknya. Lebih-lebih lagi mereka yang bersama PasMa kesemuanya orang PAS dari dulu lagi.

TUDUHAN INGIN JATUHKAN PRESIDEN
Ada juga yang mengeluarkan pandangan bahawa PasMa ditubuhkan untuk menjatuhkan Presiden PAS! Entah dari mana datangnya andaian sebegitu pun saya tidak faham. Sedangkan Presiden PasMa sendiri menafikannya. Atau ada matlamat lain yang sebenarnya? Teori konspirasi lagi? Ini pun satu perkara yang tidak mampu saya katakan apa-apa kecuali “saya hairan”.

Adakah mungkin sebuah NGO mampu menjatuhkan Presiden PAS? Sedangkan yang memilih Presiden adalah perwakilan parti berkenaan di muktamarnya. NGO tidak hadir dan tidak ada perwakilan NGO yang mengundi. Oleh itu tidak mungkin PasMa mampu menjatuhkan Presiden PAS.

Mungkin yang dimaksudkan ialah PasMa akan menyediakan saluran supaya Presiden PAS dikritik dan ditegur sehingga ahli PAS akan menolak kepimpinan beliau. Kalau itulah yang dimaksudkan, maka apa yang perlu dikhuatiri? Semestinya apa jua hujjah yang dikemukakan boleh dipatahkan oleh pimpinan PAS. Perlukah takut kepada usaha yang dilakukan secara terbuka? Lebih lebih lagi apabila pimpinan PAS turut dijemput hadir bersama dalam program PasMa.

Walaubagaimanapun, yang saya lebih takut dan khuatir ialah usaha secara diam-diam yang berjalan tanpa pengetahuan mereka yang dikritik dan diserang.

Kalau sekiranya PasMa ingin menyediakan platform supaya Presiden dan pimpinan PAS yang lain dikritik dan ditegur secara terbuka, saya syorkan supaya semua pimpinan melibatkan diri dalam program PasMa apabila dijemput. Pada ketika itu boleh diberikan penjelasan dan mempertahankan Presiden dan tindakan yang telah diambil. Sekiranya kritikan dan teguran itu bernas, maka diterima dan bawa ke perhatian pimpinan untuk memperbaiki dan perbetulkan bersama. Bagi saya, teguran dan kritikan terbuka tidak perlu ditakuti. Yang perlu ditakuti adalah pujian yang melampau-lampau yang menjadikan diri leka dan tidak sedar apabila melakukan kesilapan.

Begitu juga dengan kritikan dan teguran yang dilakukan secara senyap dan tanpa peluang membela diri. Ini akan menyebabkan amalan fitnah memfitnah, penanaman sikap benci-membenci, label-melabel dan berpuak-puak berlaku. Orang yang diserang dan dikritik pula tidak diberi peluang membela diri atau memberi penjelasan sebaliknya.

MENCABAR PRESIDEN
Ada yang kata akhirnya hasil usaha PasMa, kemungkinan akan ada yang mencabar Presiden di muktamar akan datang. Apa masalahnya? Terpulanglah pada ahli sekiranya ada yang ingin melakukannya. Ianya tidak salah dari segi perlembagaan dan adat berorganisasi. Kalau tiada PasMa sekalipun tidak mustahil ianya boleh berlaku.

Saya yakin Presiden boleh menghadapi siapa jua pencabarnya. Ada yang anggap sebaliknya? Ada yang anggap perwakilan akan sokong pihak yang mencabar? Mengapa?

KETERBUKAAN PAS TERHADAP KRITIKAN
Setahu saya selama ini PAS mempunyai dasar terbuka berhubung kritikan dan teguran. Kritikan dianggap sebagai salah satu sumber maklumat untuk PAS memperbaiki diri. Dan sememangnya PAS mengakui banyak lagi yang perlu diperbaiki. Maka kalau ada usaha untuk membuka ruang seluas mungkin untuk menyalurkan kritikan ahli dan rakyat terhadap PAS, maka PAS akan sambut usaha itu dengan baik. Ini sikap PAS yang saya kenali selama ini. Tidak tahulah kalau sudah berubah.

Sikap PAS sebegini jauh berbeza dengan sikap UMNO/BN yang sememangnya diketahui umum tidak suka pada kritikan dan akan berusaha menutup segala ruang kritikan daripada didengari rakyat. Itulah sebabnya digunakan media dan segala cara yang mampu bagi menutup semua ruang kritikan. Pada masa yang sama, digunakan juga Akta Rahsia Rasmi. ISA pada dahulunya dan Akta Hasutan masa ini. Jelas bahawa UMNO/BN hanya ingin mendengar puji-pujian.

Tetapi kebelakangan ini UMNO/BN mula bersikap lebih terbuka. Tetapi mungkin keterbukaan mereka adalah atas sebab terpaksa. Maka dimansuhkan ISA walaupun diguna pula Akta Hasutan. Dibenarkan pula majlis ceramah dan perhimpunan aman. FRU jarang pula kelihatan. Mungkin juga terpaksa menzahirkan sikap terbuka atas sebab kesedaran rakyat.

Dalam keadaan UMNO/BN berubah menjadi lebih ke hadapan, janganlah pula PAS berubah ke belakang. Dari terbuka ‘dipaksa’ bersikap tertutup, bagaikan takut pada bayangan sendiri. Jangan pula yang akan beranggap PAS tidak menghormati hak kebebasan bersuara. Mengharamkan itu dan ini sedangkan segala hujjah yang dikemukakan oleh yang hadir di program PasMa boleh dipatahkan dengan hujjah juga. Ruangnya diberi. Bukan ‘dipatahkan’ dengan pendekatan kuku besi melalui pengharaman!

KESIMPULAN
Kalau PAS bertindak secara melarang ahli menyertai dan hadir program PasMa, maka akan dikatakan mengenai PAS, “sama sahaja PAS dan UMNO, bila berkuasa akan diharamkan rakyat mendengar pandangan yang berbeza yang mengkritik kepimpinan mereka”. Biar rakyat bebas mendengar serta bersuara dan pada masa yang sama PAS perlu yakin dengan kekuatan hujjah yang ada. Kalau tersilap, bersedia pula untuk membetulkan diri.

Tidakkah Umar semasa menjadi khalifah memuji pemuda yang berjanji akan membetulkannya dengan pedang sekiranya dia terseleweng? Ingatlah, jawatan pemimpin bukan untuk dipuji. Ianya amanah yang berat yang menyebabkan penyandangnya berterima kasih kepada yang sanggup membantunya. Samada dengan menjalankan tugas di bawah arahannya atau menegurnya apabila dilihat tersilap. Sedangkan Rasulullah (SAW) sendiri bersedia menerima teguran dan pandangan, inikan pula ummat Baginda.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

6 comments:

Amiruddin Abdul Halim said...

Salam YB,
Mohon pencerahan : matlamat penubuhan PasMa selari dgn matlamat PAS utk terus bersama PR, kalau dah sama kenapa sampai perlu menubuhkan satu NGO khusus utk memastikan matlamat ini terus berlangsung ? Kenapa tak diperkuatkan sahaja organisasi PAS yg sedia ada di setiap peringkat bermula dari cawangan hingga ke Pusat ? Bukan ke dgn penambahan lagi satu organisasi ni akan lagi menambahkan beban dari segi pengurusan dan pembahagian kualiti masa antara dua badan ? Minta pencerahan. Wasalam

grandmarquis said...

Ayat ini sahaja dah cukup untuk dibuktikan bahawa PasMa dan juga Pas adalah parti politik semata-mata.

Bagi saya, PasMa sebuah NGO yang telah mengisytiharkan dirinya bersama PAS dan PR. Mereka ingin menjatuhkan UMNO/BN dan menyumbang kearah memperkukuhkan PR. Kalau dengan pengisytiharan sejelas itu pun kita masih ragu dan tentang, saya tidak mampu mengatakan apa-apa selain, “saya hairan”.

Adakah matlamat PasMa (dan Pas menurut dakwaan YB) adalah untuk menjatuhkan UMNO dan memperkukuhkan PR? Kalau begitu, saya seru semua orang yang ingin berjuang untuk tegakan Islam meninggalkan puak-puak ini sebab matlamat mereka bukan untuk tegakkan Islam, tetapi menjatuhkan UMNO/BN dan memperkukuhkan PR.

Jadi bagi YB khalid, tak kira PR ni karut, sesatkan umat Islam, cuba runtuhkan institusi Islam, membantah hudud, menyokong LGBT, murtad, menyokong puak-puak sesat, memperkenalkan human right yang bercanggah dengan Islam dan memecat pemimpin politik tanpa sebab musabab, menzalimi ahli sendiri, dll.

Itu semua tidak penting. Tak kira PR tu lebih teruk dari UMNO, yang penting matlamat PasMa (dan mungkin PAS sebagaimana dakwaan YB) adalah untuk jatuhkan UMNO/BN dan kukuhkan PR.

Abul fadhl said...

Saya pun hairan dengan yb..yb ni sayang bangat dgn org DAP.

Ibnu mariah said...

Sblum ni tulisn yb ks mnarik minat saya utk mmbaca dgn hujjah2 yg rasional & kemas wlpun tdk smuanye sya stuju, ttapi tulisan kali ini agk mngejutkn saya krana amat kurang kualitinye & brhujah scara keanak2an yg mna hujah2 tu tkde kkuatan & sya rasa ramai bleh mmatahkannye scara spontan. Trhakis dlm hati saya trhdp kmatangan yb ks. Kena kawal emosi

Kassim Selamat said...

Dah ada "guru" dlm kandang yg ajar ilmu cakap putar belit. YB ikut sajalah.

SAM72 said...

Sudahlah Khalid. Kamu ingat cara ini kamu boleh tutup cerita pasal PASMA ke? Cakap saja terus terang kenapa ada wujud PASMA sebenarnya. Ingat rakyat buta ke melihat apa yang berlaku sebenarnya. Ini nak cover line tapi tak berhasil le YB. Sori to say. Nice try but still cannot cover the reality.