Skip to main content

UMNO/BN Mula Mengganas?

Tempoh seminggu dua kebelakangan ini melihat UMNO/BN mula mengganas dengan penggunaan undang-undang untuk bertindak ke atas pihak PR. Setelah beberapa pimpinan PR dikenakan dakwaan atas kesalahan ‘menghasut’ di bawah Akta Hasutan, muncul pula tindakan baru yang turut mengejutkan semua pihak. Tindakan baru yang dimaksudkan adalah menahan anggota PPS di Penang atas kesalahan pertubuhan haram kerana tidak berdaftar di bawah ROS. Dengan itu dengan spontan anggota PPS dianggap oleh polis sebagai anggota kongsi gelap dan pertubuhan bawah tanah!

PASUKAN PERONDA SUKARELA (PPS)
PPS adalah badan yang dibentuk kerajaan Negeri Pulau Pinang sendiri! Ia bergerak di bawah kuasa exco kerajaan Negeri! Adakah Polis menganggap kerajaan Pulau Pinang sebuah kerajaan haram kongsi gelap? PPS merupakan badan suka-relawan di mana ahlinya memberikan masa dan khidmat mereka untuk rakyat. Ianya ‘community based’ atau dibentuk mengikut kawasan atau perkampungan tertentu dan digerakkan demi melibatkan rakyat dalam kerja kebajikan dan kesukarelawanan.

Tindakan UMNO/BN menahan anggota PPS atas sebab badan itu tidak berdaftar dengan ROS dilihat sebagai satu tindakan yang tidak munasabah. Persoalan pendaftaran dengan ROS merupakan persoalan yang amat mudah sekali diperbetulkan, sekiranya perlu. Hakikatnya hanya yang kurang siuman akan menganggap ianya badan kongsi gelap dan pertubuhan haram yang bercirikan pertubuhan penjenayah sedangkan ianya di bawah naungan sebuah kerajaan yang sah dan disokong rakyat!

Sepatutnya Polis memberi tumpuan kepada persoalan yang lebih mendesak seperti masalah jenayah yang semakin meningkat. Kes ragut, rompak, rogol, samseng yang semakin menjadi-jadi amat memerlukan tumpuan Polis. Kes pembunuhan Altantuya pun hingga hari ini tidak diselesaikan dengan sepenuhnya!

UNIT AMAL
Tidak cukup dengan menahan anggota PPS yang berbilang kaum yang memberi khidmat untuk rakyat, Zahid mula pula meracau dengan mengugut untuk mengambil tindakan terhadap Unit Amal! Bila pula Unit Amal melakukan kesalahan dan jenayah? Unit Amal dikenali semua sebagai unit petugas PAS yang secara suka-rela memberi khidmat pada rakyat. Bukan sekadar semasa demonstrasi tetapi juga dalam suasana bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh, Unit Amal terbukti berjasa pada rakyat.

Saya tidak boleh elak dari memikirkan samada Unit Amal adalah sasaran sebenar kerajaan UMNO/BN. Bahawa mereka sebenarnya sedang mencari helah untuk bertindak terhadap Unit Amal kerana sudah tidak mampu bersaing di gelanggang politik yang sebenar. Dimulakan di Pulau Pinang terhadap PPS tetapi sasaran sebenar adalah Unit Amal dan PAS? Sambil melambai-lambaikan ‘dahan zaitun’ terhadap pimpinan PAS, dalam membela TSKI di Selangor dan JK Perundangan Islam di Kelantan, tindakan politik UMNO/BN untuk melumpuhkan PAS terus berjalan? Sambil melaungkan kesatuan Melayu Islam seperti ISMA dan PERKASA, mereka pada masa sama ingin menentukan PAS tidak akan lagi mempunyai kelebihan dengan menidakkan Unit Amal? Dan selepas ini apa pula? PASTI?

Tiada siapa boleh menafikan bahawa Unit Amal dan juga PASTI telah banyak menyumbang kepada pertambahan sokongan terhadap PAS selama ini. Yang Islam dan bukan Islam semuanya memuji peranan Unit Amal. Unit Amal melindungi yang Islam dan Bukan Islam dan menjadi antara syiar keadilan Islam yag diperjuangkan PAS. Unit Amal telah menjadi simbol dan bukti kebenaran cogan-kata PAS For All.

Tanpa Unit Amal, PAS akan mempunyai masalah, bukan sekadar dari segi gerak-kerja kebajikan dan bantuan kemanusian, tetapi juga dari sudut pilihan-raya. Unit Amal jugalah yang sering turun menjadi benteng antara penyokong PAS/PR dan UMNO/BN. Mereka juga menemani Muslimat yang turun kempen rumah ke rumah. Mereka juga yang membantu dalam penyebaran risalah. Mereka juga yang berkhidmat semasa ceramah.

Maka waspada dengan ‘dahan zaitun’ yang dihulur UMNO/BN. Ia sebenarya merupakan dahan yang berduri dan beracun. Pertahankan PPS, pertahankan Unit Amal dan tolak juga penggunaan Akta Hasutan yang melampau dan tidak kena pada tempatnya. Ini semua adalah bukti akan betapa lemahnya UMNO/BN dewasa ini. Tiada yang boleh menyelamatkan UMNO/BN, kecuali kecuaian kita sendiri.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Unknown said…
Cubaan awal untuk menghalang kaum cina penang dari mempunyai polis persendirian.di mana PPS mungkin akan berdiri seperti anggota keselamatan dan pdrm di penang akan dikurangkan kuasanya secara sambutan. walaupun kes2 melibatkan jenayah akan diserahkan pada pdrm, tetapi pada awalnya PPS akan mendahului.. juga dibimbangi PPS akan mengikuti perkembangan kes yang diuruskan pdrm di mana pada awalnya kes tersebut dilaporkan PPS.
dan salah satu lagi, inilah masa untuk BN menunjukkan kuasa.
Ibarat tiada kuasa selain BN, (iaitu PDRM di bawah kuasa BN)
ibarat syahadah atau rukun negara baru buat rakyat Malysia.

ya.. sepatutnya, kita harus percaya pada PDRM, tetapi kadang, tindakan PDRM mengendalikan kes ikut bulu yang buat rakyat rasa menyampah..

ya .. mungkin :/

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-