Skip to main content

Pertemuan Dengan Peguam TSKI

Hasil dari surat saya kepada TSKI, satu pertemuan dengan 2 peguam TSKI telah diadakan pada 4 ptg 16 Ogos 2014 di sebuah hotel di Shah Alam. Peguam TSKI adalah Sdr Derek Fernandez dan Sdr Mathew Thomas Philip. Saya hadir ke pertemuan tersebut bersama Sdr Asmuni Awi, Bendahari PAS Pusat, yang juga merupakan seorang peguam. Turut hadir ialah En Yasid, pegawai TSKI.

Pertemuan ini adalah untuk menjawab soalan yang telah saya tujukan kepada TSKI termasuk ‘penyelesaian luar mahkamah’ TSKI dengan BIMB yang keseluruhannya berjumlah lebih kurang RM 70 Juta.

Dalam pertemuan itu, peguam Derek Fernandez telah menjelaskan bahawa dia menguruskan saman TSKI terhadap BIMB dan PNB. Dua kes ini setakat ini masih berjalan dan kes management akan diadakan mengikut Sdr Derek pada bulan Oktober ini.

Peguam Mathew Thomas Philip pula merupakan peguam yang mewakili TSKI dalam saman balasnya terhadap BIMB berhubung hutang TSKI pada BIMB. Beliau mengesahkan bahawa ‘penyelesaian luar mahkamah’ telah pun dilakukan dan ianya dilakukan berdasarkan nasihat peguam, iaitu dirinya sendiri, kepada TSKI. Namun, malangnya, butiran berhubung ‘penyelesaian luar mahkamah’ ini tidak boleh beliau dedahkan kerana tidak mendapat lampu hijau dari TSKI untuk mendedahkannya. Beliau sekadar mengesahkan bahawa ‘ada bayaran’ yang telah dibuat oleh TSKI kepada BIMB sebagai sebahagian dari penyelesaian tersebut tetapi tidak boleh menyatakan jumlahnya. Beliau turut menegaskan bahawa ‘penyelesaian luar mahkamah’ tersebut dilakukan TSKI atas nasihat peguamnya atas sebab “di Malaysia ini, sukar untuk menang bila berlawan bank walaupun kes kita kuat”.

Beliau turut mengesahkan bahawa penjelasan yang diberikan oleh En. Azrul Azwar, pegawai tugas-tugas khas ekonomi dan kewangan Menteri Besar Selangor, seperti yang dilaporkan dalam Selangor Kini adalah tidak benar. Tiada institusi kewangan Timur Tengah yang telah membayarkan jumlah hutang TSKI atas sebab ingin menghalang penghakiman terhadap kaedah Bai’ Bitaman Ajil dikeluarkan oleh mahkamah.

Beliau turut mengesahkan juga bahawa dakwaan bahawa BIMB telah menarik-balik kes tersebut atas sebab TSKI telah berjanji akan membayar BIMB apabila mendapat RM 300 Juta dari PNB selepas memenangi saman TSKI terhadap PNB adalah juga tidak benar. Tiada mana-mana pihak yang boleh menjamin bahawa TSKI akan menang kes berkenaan dan jumlah pampasan juga bukan sesuatu yang boleh diketahui terlebih awal sekiranya menang sekali pun. Sdr Derek Fernandez, sebagai peguam yang mengendalikan saman ini, turut bersetuju.

Sdr Asmuni Awi telah meminta supaya butiran berhubung ‘penyelesaian luar mahkamah’ dijelaskan. Memandangkan jumlah terlibat adalah besar, ianya semestinya merupakan satu perjanjian legal yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak. “Tak mungkin ianya janji mulut sahaja atau pun perjanjian atas kertas tisu”, tambah saya. Begitu juga, Sdr Asmuni telah menegaskan, sekiranya ada pembayaran yang telah dibuat oleh TSKI, maka berapa jumlahnya dan dari mana duitnya diperolehi perlu turut dijelaskan.

Sdr Matthew Thomas sekadar menyatakan ianya semuanya ‘above board’ tetapi tidak “at liberty to provide the details” atau ‘tidak dibenarkan untuk mendedahkan butiran persetujuan’ tersebut kerana masih belum mendapat kelulusan dari TSKI.

Pertemuan kami berakhir begitu dalam keadaan soalan utama tidak dijawab walaupun dijanjikan bahawa ianya adalah pertemuan yang bertujuan untuk menjelaskan segala-galanya. Sdr Mathew Thomas telah berusaha menghubungi TSKI pada petang itu juga untuk mendapatkan kebenaran dari TSKI tetapi gagal berhubung. Hingga hari ini, peguam Matthew Thomas terus menyatakan beliau masih belum mendapat kelulusan untuk mendedahkannya dan ditambah pula bahwa persetujuan dari BIMB juga turut perlu diperolehi.

Saya ingin menyatakan kekecewaan saya atas kegagalan pihak TSKI mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan persoalan ini dengan tepat dan tuntas. Persoalan ini merupakan persoalan utama untuk membersihkan nama beliau dari terus disyaki sebagai seorang MB yang telah ‘dicompromise’ atau ‘hilang kebebasan kerana dibeli’ mengikut andaian rakan-rakannya dari PKR. Saya dan Sdr Asmuni sanggup menanda-tangani perjanjian kerahsiaan sekiranya dianggap perlu, untuk supaya dapat melihat dan mengesahkan wujudnya perjanjian ‘penyelesaian luar mahkamah’ yang ‘above board’ atau tiada yang mencurigakan. Sekiranya disahkan sebegitu, kami akan sekadar menyatakan ‘tiada kes’ dan menasihati rakan-rakan dari PKR untuk menghentikan serangan mereka terhadap TSKI. Malangnya, peluang ini telah pergi dengan begitu sahaja.

Selain dari soal ‘penyelesaian luar mahkamah’ kes TSKI dengan BIMB, turut dipersoalkan kes Dijaya (Tropicana) dan Ecoworld. Hingga ke hari ini TSKI masih belum memberi apa-apa respon berhubung penjualan tanah kepada Dijaya yang telah dilakukan semasa Parlimen dan DUN dibubarkan dan kerajaan negeri pada ketika itu merupakan kerajaan ‘care-taker’. Walaupun difahami bahawa penjualan itu telah dilakukan oleh PNSB, tidakkah semestinya ianya diluluskan oleh kerajaan Negeri atau TSKI sendiri? Tiada walaupun seorang exco telah ke depan untuk memberi penjelasan berhubung isu ini dan gambarannya adalah seolah-olah ianya sesuatu yang diluluskan oleh TSKI tanpa pengetahuan Exco.

Saya harap pihak media boleh turut bertanya Exco dan bekas Exco yang terlibat pada ketika itu untuk mendapatkan penjelasan.

Pertuduhan terhadap TSKI seperti yang terkandung di dalam dosier PKR adalah jelas dan spesifik. Walaupun ada beberapa isu lain yang ditimbulkan, kesemuanya kembali kepada persoalan samada TSKI telah hilang kebebasannya setelah ‘dibeli’ melalui kes BIMB. Kegagalan TSKI untuk memberikan jawapan yang tepat dan jelas telah mengakibatkan berlakunya kemelut politik Negeri Selangor yang kita lihat pada hari ini. Pemecatan TSKI dari PKR, pemecatan Exco PKR dan DAP, kewujudan ‘kerajaan bebas’ pimpinan TSKI dengan 4 Exco PAS yang terpaksa kekal dalam jawatan Exco demi menghalang kemasukan UMNO, pergeseran PAS dengan PKR dan DAP dan sebagainya, semuanya adalah atas keenganan TSKI menjawab secara tepat berhubung ‘penyelesaian luar mahkamah’ beliau dengan BIMB. Sekiranya ianya dijawab dan tiada yang ‘tak betul’, semua ini pasti dapat dielakkan.

Dengan segala implikasinya, seperti yang disebutkan tadi, TSKI tidak boleh marah sekiranya ada yang membuat kesimpulan bahawa ada yang tak betul dalam penyelesaian luar mahkamah tersebut. Oleh kerana itu, demi menutup yang tak betul, beliau sanggup melihat segala permasalahan ini timbul dan berlaku, walau pun ke tahap jatuhnya kerajaan PR Selangor dan pecahnya PR, namun mendedahkan butiran penyelesaian luar mahkamah, tidak sama sekali!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Unknown said…
Dengan Nama Allah SWT
Moga moga peguam peguam TSKI boleh dakwat YB Khalid Samad di mahkamah . Lagak kesombongan YB Khalid kekadang , maaf bukan kekadang memang kerap membelakangi Parti PAS terutama Unit tata tertib seolah olah YB Khalid ini tidak terikat dengan Unit tata tertib atau memang tak reti nak hormat ahli ahli tertinggi unit tata tertib . Kecelupar mulut YB Khalid baik di Parlimen atau di blog nya atau di depan mikrofon ( pantang lihat) lagak macam ayam kampung. Kalau Parti Pas biarkan YB Khalid Samad tanpa di sekat akan kecelupar kekatanya . Di kuwatir akan lebih ramai lagi Ahli Parlimen dan Adun Pas menjadi biadap dan tak akan hormat unit tata tertib selamamnya.
simon said…
YB Khalid Samad ni pun satu, nak cungkil rahsia pitih orang, hatta kalau TSKhalid pecah tabong gajah atau sorok dlm tanah sekali pun,itu kan pitih dia..nak menyebok buat apa, dia tak minta dgn che' mu...
Nyokomeng said…
Yang kamu dok menyibuk tu apasal..?

Banyak lagi kerja lain untuk kekuatan & pengukuhan PAS.
Izuddin said…
Dia tidak akan dedah apa2 pun walaupun Sultan pecat dia. Kalau dah keluar dari mulut harimau takan nak masuk mulut buaya...hha

Dia tau sapa pun tak boleh bukti kes dia dgn bimb ada prima facie utk court kes.

Lagu ni lah....lanyak dia cukup2 sehingga dia tinggal keseorangan ke tahap lawyer dia dan sultan pun shun dia. Dalam keadaan dia begitu, dia terpaksa minta tolong, tolong(help, help)...haha. Time tu lah kita bawa dia ke pangkal jalan. If there are abuses in the settlment on the part of bimb, then extend help to him. I believe he is an innocent victim in the political pursue by people who wish to see pr break up.

Sorry you didnt get anything out of the meeting. Next time, pls consult people who think above politics when you want to be involved in political maneuvers.
Bila seseorang yang kelihatn berimej bersih maka sukar untuk menerima hakikat jika seseorang (yang berimej bersih itu) melakukan perkara yang bercanggah dengan moral dan intergriti.

Apabila ada bukti dituduhnya pemecahbelah.. Inilah yang dihadapi oleh PR dan PKR khususnya.. Seperti Mahathir.. beliau telah menyumbang kepada kemajuan negara dan kroni, nepotisme dan korupsi beliau tidak dipandang pun oleh pendokong beliau walaupun ianya bercanggah dengan intergriti sebagai pemimpin negara.. ini berlaku kepada TSKI dan penyokong mereka akhirnya...
Qays said…
Keputusan yang dibuat oleh TSKI adalah keputusan yang wajar dan bijak. Adalah lebih baik kesemua maklumat dan bukti yang berkaitan dibentang dan diadili oleh mahkamah atau pihak berkuasa. PAS tidak seharusnya menjerumuskan diri kedalam sesuatu yang tidak membawa apa-apa faedah kepada PAS mashupun TSKI. Malah mendedahkan maklumat berkaitan kepada PAS mungkin boleh memburukkan lagi keadaan.
Izuddin said…
PAs Terengganu mau Saari Sungib di pecat dari PAS...haha. Saya rasa best if hadi dipecat.

Tindak tanduk dan keputusan hadi lemah sehingga 2 org wakil rakyat pas mcm Saari boleh buat PAS u-turn...haha

Hadi baca Quran tapi tak dengar apa Quran kata, atau dia baca Quran tp dengar apa nafsu dia kata?

Agaknya madey ajak anwar masuk umno kerana takut anwar boleh tukar PAS jadi melayu moderate seperti yang diajar dalam Islam.

Madey suka bila PAS bodoh taklid buta tuli eksrimis ugama(dogma dan doctrine)
azmanum said…
Out-of-court settlement bukanlah satu hal yg salah, perjanjian antara 2 pihak di depan hakim, dan biasanya syarat2nya tidak didedahkan bukan dgn niat tak elok. YB seolah2 menghasut orang lain untuk mencurigai TSKI atas sebab yg tak jelas. Kalau jelas salah, sepatutnya buat laporan polis supaya SPRM boleh siasat.

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.