Skip to main content

ISMA lebih perkauman daripada PERKASA

Ahli Parlimen Parit Buntar dari PAS, Datuk Dr Mujahid Yusof yang menganggotai Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) berpandangan NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) bersifat perkauman melampaui NGO PERKASA dan menurutnya lebih merbahaya.

Menurutnya, PERKASA sekurang-kurangnya berterus terang dengan agenda perkauman mereka namun ISMA, bersifat perkauman tetapi cuba bersembunyi di sebalik pengaruh agama.

Tindakan ini kata Mujahid, memberikan gambaran buruk kepada agama Islam yang sentiasa menyeru kepada keharmonian.

"Bagi saya ISMA ini lebih perkauman daripada PERKASA, sekurang-kurangnya PERKASA beritahu orang ramai yang mereka ini perkauman.

"Perkara yang bagus tentang PERKASA ini mereka berterus terang tentangnya.

"Saya katakan orang yang menggunakan agama untuk menyembunyikan dogma perkauman mereka ini lebih merbahaya," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini.

Beliau yang juga merupakan pengerusi biro perpaduan nasional PAS berkata demikian sewaktu diminta mengulas pendirian pro-Melayu Islam yang dianuti ISMA.

Pertubuhan itu sebelum ini menggelarkan warganegara Malaysia berketurunan Cina sebagai 'pendatang' dan kemudiannya mempertahankan kenyataan itu sebagai satu fakta sejarah.

Terkini, presiden ISMA, Abdullah Zaik Abdul Rahman dituduh menghasut di bawah Akta Hasutan 1948 pada 19 Jun lalu.

Beliau tidak mengaku bersalah dan akan dibicarakan pada 19 Julai ini.

Mengulas perkara ini, Mujahid menegaskan sekali lagi akan pendiriannya yang tidak bersetuju Abdullah Zaik dibicarakan kerana menghasut.

"Saya akan berhadapan dengan beliau dengan cara yang lebih beradab, berdialog dengannya dan bertanyakan apa sebenarnya yang beliau mahukan," kata Mujahid.

Beliau turut menolak konsep mengutamakan orang Melayu bagi memimpin Muslim di Malaysia seperti digagaskan Abdullah Zaik dalam bukunya "30 Soal Jawab Melayu Sepakat Islam Berdaulat".

"Adakah anda mengatakan di Malaysia, Islam hanya untuk orang Melayu? Tidak, itu sudah satu kesalahan.

"Islam itu untuk semua - bukan semua perlu jadi Islam tetapi kebaikan Islam itu untuk semua.

"Inilah yang saya katakan Malaysia memerlukan Islam yang rahmat untuk semua.

"Kalau saya orang Melayu, maruah diri saya adalah apabila saya membela hak yang ditetapkan ke atas kaum lain," katanya.

Menurutnya, rakyat Malaysia kini perlu membuat pilihan sama ada untuk terus kekal takut dengan momokan perkauman atau mendakap sebuah Malaysia yang harmoni.

"Rakyat Malaysia tidak mahu negara ini ada orang yang prejudis, benci atas nama kaum - negara ini tidak perlu kepada golongan ekstrem yang berwajahkan agama.

"Keputusan ini penting dan semua pihak kena jujur menyokong harapan bahawa inilah Malaysia yang aku idam-idamkan - Malaysia tanpa ekstremis, Malaysia tanpa rasis, Malaysia tanpa prejudis," katanya mengakhiri wawancara.

Jawatankuasa Undang-undang dan Dasar yang dipengerusikan Mujahid di bawah MKPN baru selesai merangka draf tiga rang undang-undang yang akan menjadi sebahagian daripada pelan induk perpaduan negara.

Tiga draf itu adalah Rang Undang-undang Suruhanjaya Harmoni dan Rekonsiliasi, Rang Undang-undang Kebencian Kaum dan Agama serta Rang Undang-undang Suruhanjaya Harmoni dan Rekonsiliasi.

Ketiga-tiganya kini dibuka untuk maklum balas orang ramai.

Artikel ihsan Malaysiakini
Berkaitan: Kemunculan ‘Golongan Kanan’ Melayu Islam


-Pejabat YB Khalid Samad-

Comments

Sabina45 said…
Pada NGO-ngo yang berjuang dengan berteraskan agama islam dalam otak hanya ada satu ia itu melayu itu islam dan islam itu mesti melayu itulah sebabnya bagi mereka membela hak mesti hak melayu walhal apabila seorang bayi yang lahir dalam negara malaysia tidak pula disuruh tulis melayu jika bangsa cina dari keturunan islam seperti Dr.Redhwan Tee itu, lagi pula surat beranak tidak pula ditulis warga negara melayu tapi warga negara malaysia,salahkah sesaorang rakyat melaysia yang bukan melayu tapi warganegara menikmati hasil negara yang datok nenek mereka adalah rakyat melaysia.tidak seperti melayu mamak yang pendatang tapi islam mengaku melau, dimana lojiknya.wahai NGO yang berjuang untuk kepentingan diri dan nama.renunglah sebelum rankyat hina diri kita.
Anonymous said…
Sabina sepatutnya buka mata dan fikir secara waras. Jangan termakan dakyah puak kafir dan liberal tentang ISMA. Mereka memang benci melihat ada umat Islam yang menentang agenda mereka.

Ambil saja NegaraKu yang cuba dibuat oleh puak-puak ini yang ditentang oleh ISMA. Senaraikan aje satu persatu pemukanya dan anda akan tau puak-puak ni yang dok promote LBGT, IFC, dll.

Adakah membantah LBGT ni juga salah? Apakah membantah LBGT tu juga kira Melayu? Kalau macam tu, biarlah saya jadi Melayu.

Popular posts from this blog

Surat Terbuka Untuk Penduduk Seksyen 23

2hb September 2009 M 13 Ramadan 1430 H السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Kehadapan penduduk Seksyen 23 yang dihormati, Semoga surat ini menemui tuan-tuan dalam keadaan sihat wal afiat serta keimanan yang teguh dan jitu berkat bulan Ramadhan ini. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan diri saya serta tuan-tuan akan Firman Allah, Surah Al Maaidah ayat 8 yang bermaksud; “Bertindak adil! Ianya lebih rapat dengan keTaqwaan.” Semoga dalam usaha kita membina keTaqwaan dalam bulan Ramadhan ini, kita mengingati hakikat bahawa ‘keTaqwaan’ yang diusahakan itu mempunyai hubungan rapat dengan keadilan. Keadilan ini pula perlu dilaksanakan terhadap semua, walaupun terhadap yang tidak disenangi. Ini ditegaskan di dalam ayat yang sama yang bermaksud, “dan jangan oleh kerana kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil…” Kalau terhadap kaum yang dibenci sekalipun dituntut keadilan, apatah lagi terhadap jiran sekampung dan warga sekota? Walaupun mereka tidak seba

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadan

Tapak Kuil Seksyen 23 Shah Alam

Baru-baru ini, banyak betul yang kita dengar berhubung isu tapak kuil yang dicadangkan di Seksyen 23, Shah Alam. Yang tahu, yang tak tahu dan yang buat-buat tahu, semuanya turut sama mengemukakan pandangan masing-masing. Di antaranya, pandangan Noh Omar yang menyatakan bagaimana kerajaan PR tidak peka terhadap sensitiviti umat Islam. Oleh itu, bagi mereka yang ingin tahu, izinkan saya menceritakan serba sedikit perkara sebenar berkenaan isu ini. Tapak Kuil yang dicadangkan adalah di kawasan Industri, lebih 200 meter dari kawasan perumahan. Sebuah Kuil yang sekarang ini berada di Seksyen 19 akan dipindahkan ke tapak baru yang dicadangkan ini. Di Seksyen 19, kuil berkenaan hanya berjarak 20 kaki dari kawasan perumahan! Buka pintu rumah, seberang jalan terdapat kuil. Sebenarnya, kuil Seksyen 19 telah berada di situ sejak zaman sebelum wujudnya Shah Alam lagi. Pada masa itu kawasan di mana kuil tersebut dibina dinamakan Ladang Sungai Renggam. Apabila PKNS ambil-alih, maka dijadikan kaw