Skip to main content

Karpal Singh: Perginya Seorang Tokoh Politik Yang Berprinsip [TGNA]

Saya rakamkan takziah kepada keluarga Yang Berhormat Karpal Singh, Ahli Parlimen Jelutong yang telah meninggal dunia akibat kemalangan awal pagi ini. Saya sifatkan pemergian beliau sebagai satu kehilangan kepada dunia politik tanah air kerana beliau amat dikenali sebagai seorang yang berprinsip dan sukar digugat pendiriannya. Beliau juga merupakan pendokong kuat kepada Perlembagaan Malaysia dan amat tegas dengan pendirian bahawa Malaysia merupakan negara sekular. Sudah tentu prinsip ini amat berbeza dengan prinsip perjuangan PAS dan beliau ternyata menghormati perbezaan ini.

Saya masih ingat sewaktu ke rumah beliau awal tahun lepas di mana saya diberikan sambutan yang sangat hangat dari beliau. Bahkan beliau menghantar saya pulang rapat ke pintu kenderaan sekalipun situasi beliau yang terpaksa bergerak dengan kerusi roda. Saya kira, di sebalik perbezaan pandangan antara kami, sambutan yang diberikan oleh beliau kepada saya sangat-sangat mencerminkan kelembutan beliau dan penerimaannya terhadap hubungan PAS dan DAP di dalam Pakatan Rakyat.

Saya kenal Karpal Singh sebagai seorang yang mendokong kuat Perlembagaan Malaysia dan saya yakin beliau akan terus dikenali begitu di dalam sejarah politik tanah air. Di negara ini, jika semua pihak menghormati prinsip yang terkandung di dalam Perlembagaan, Kelantan pastinya tidak akan ditindas dengan pelbagai jenis penindasan. Hak Kelantan termaktub di dalam perlembagaan, tertulis di atas perjanjian, namun ada pihak yang sewenang-wenangnya membelakangi Perlembagaan dan perjanjian bertulis.

Dalam kehangatan dunia politik pada hari ini yang menyaksikan hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk memfailkan bil persendirian di Parlimen bagi membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan, saya sedikit terkilan kerana individu seperti Karpal Singh tidak sempat untuk diberikan pemahaman tentang hudud. Saya amat yakin, individu seperti beliau jika diberikan kefahaman yang sebenarnya tentang undang-undang ini, tidak akan mempunyai sebarang sebab untuk menolak undang-undang hudud.

Di Kelantan, sewaktu kita meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) pada tahun 1993, ada yang menghantar surat kepada saya menghalang enakmen ini dikuatkuasakan dan pihak yang menghantar surat ini namanya bukan Karpal Singh. Saya benar-benar berharap, agar pihak yang bertanggungjawab menghantar surat ini sempat memahami keindahan undang-undang Allah SWT sebelum tibanya masa untuk pergi yang tidak akan kembali.

Sekali lagi saya rakamkan takziah kepada keluarga Karpal Singh dan juga DAP atas kehilangan pemimpin utama mereka.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Bertarikh : 17 Jamadil Akhir 1435H bersamaan 17 April 2014M

Comments

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.