Skip to main content

Campur Tangan Eksekutif Dalam Urusan Judisiari

Pembahagian Kuasa atau "Separation of Powers" merupakan komponen penting dalam sistem pemerintahan demokrasi yang membahagikan urusan dalam negara kepada tiga bahagian utama iaitu: Pemerintah (Eksekutif), Perundangan (Legislatif) dan Kehakiman.

Oleh yang demikian, bagi mendokong sistem demokrasi tersebut, kebebasan institusi judisiari (Kehakiman) semestinya satu prinsip yang perlu dipertahankan oleh seluruh rakyat, lebih-lebih lagi pimpinan politik. Malangnya di Malaysia, ianya merupa sesuatu yang apabila seolah-olah dilakukan oleh pihak berkuasa, iaitu kerajaan BN, pimpinan UMNO/BN bersikap berdiam diri. Pada hakikatnya persoalan campur tangan eksekutif dalam urusan kehakiman telah dianggap berlaku beberapa kali dalam sejarah pemerintahan UMNO/BN.

Kali pertama ianya dilihat mungkin telah berlaku adalah pada tahun 1987 iaitu semasa UMNO berbalah sesama sendiri dengan terbentuknya team A dan team B. Hasil perbalahan ini akhirnya Ketua Hakim Negara dipecat bersama dengan Ketua Audit Negara dan UMNO berpecah dua dengan terbentuknya Semangat 46.

Pada ketika itu kebanyakan ahli Parlimen UMNO/BN berdiam diri dan menyokong status quo walaupun mereka menyaksikan apa yang dilihat sebagai campur tangan eksekutif dalam urusan kehakiman secara terang-terangan.

Kali kedua ianya dianggap berlaku adalah pada tahun 1998. Sekali lagi ianya terhasil dari perbalahan dalaman UMNO/BN. Dan sekali lagi pimpinan dan ahli Parlimen UMNO/BN mendiamkan diri dan tidak membantah kerosakan yang dilakukan parti mereka sendiri terhadap kebebasan institusi kehakiman.

Pada kedua-dua ketika itu, pembangkang berada dalam keadaan yang lemah. Namun kedua-dua peristiwa tersebut menyumbang kepada pihak pembangkang menambahkan sokongan dan membina kekuatannya. Akhirnya, apabila ianya dilihat sebagai berlaku sekali lagi buat kali ketiganya pada kali ini, bantahan terhadapnya adalah lebih jelas dan nyata berbanding sebelum itu.

Walaubagaimanapun, pada kali ini ianya dilihat berlaku bukan atas sebab perbalahan dalaman UMNO. Sebaliknya atas usaha untuk mengekang kemaraan pihak pembangkang di Pilihan Raya Kecil Kajang. Ianya dilihat sebagai tindakan yang beragenda tertentu kerana beberapa perkara yang luar biasa telah secara 'kebetulan' berlaku.

Pada awalnya tarikh yang telah dipersetujui bersama untuk diadakan perbicaraan tersebut, iaitu 7 hingga 10 April, telah diubah dengan sewenang-wenangnya dengan dibawa ke hadapan ke 6 dan 7 Mac. Apabila diadakan pertemuan pengurusan kes, turut hadir adalah salah seorang hakim yang menetapkan tarikh baru tanpa diberikan peluang untuk berunding. Apabila disebut bahawa peguam DSAI mempunyai kes lain pada tarikh tersebut, iaitu perbicaraan kes bunuh, dinyatakan oleh Tuan Hakim bahawa tarikh kes bunuh itu akan dipinda! Maka jelas keutamaan diberi untuk perbicaraan DSAI diadakan pada tarikh sebelum PRK Kajang atas sebab-sebab yang boleh dipersoalkan.

Kedua, setelah mendengar kes berkenaan dan didapati bahawa DSAI bersalah dan rayuan pihak pendakwa diterima, maka hukuman ingin terus dijatuhkan pada hari itu juga, iaitu pada hari Jumaat 7 Mac. Walaupun disebut bahawa secara kebiasaannya proses mitigasi memerlukan masa, laporan doktor dan sebagainya, tetapi mahkamah pada hari itu menetapkan semua bukti tidak diperlukan dan mitigasi perlu dibuat dalam tempoh selepas 1 jam! Maka mahkamah diteruskan sehingga jam 7 malam semasa mana hukuman penjara 5 tahun dijatuhkan.

Keputusan menerima rayuan pihak pendakwa pula dilakukan dengan mengenepikan pandangan pakar yang semasa perbicaraan di mahkamah tinggi telah menyatakan bahawa sampel telah tercemar. Kemungkinan berlakunya pencemaran sampel atau bahan bukti menimbulkan keraguan dan dengan itu apa jua keraguan akan menyebabkan tertolaknya hukuman bersalah terhadap tertuduh. Dengan mudah hujjah pakar diketepikan dan kedudukan bahan bukti diterima sebagai masih kredibel dan boleh diguna-pakai.

Ini semua menimbulkan persoalan samada mahkamah benar-benar bebas atau digunakan untuk mencapai matlamat dan agenda politik pihak eksekutif atau kerajaan UMNO/BN. Walau apa sekalipun, kesan dari keputusan yang terhasil dari perbicaraan yang diawalkan dan penghukuman yang disegerakan adalah DSAI tidak boleh bertanding di PRK Kajang. Pada hakikatnya, inilah apa yang diinginkan pihak eksekutif. Dalam keadaan sebegini, prinsip “keadilan mesti bukan sekadar terlaksana tetapi mesti juga dilihat terlaksana” tidak sama sekali diamalkan.

Atas sebab membantah kemungkinan telah berlaku, sekali lagi, campur tangan eksekutif dalam urusan kehakiman, maka Ahli Parlimen PR telah tidak hadir ke Parlimen pada Selasa 11 Mac yang lepas. Mereka sebaliknya telah hadirkan diri mereka samada di penamaan calon di Kajang atau perbicaraan YB Karpal Singh di Kuala Lumpur. Tidak seperti Ahli Parlimen BN yang lebih mementingkan kerusi mereka dan keberlangsungan kerajaan UMNO/BN, Ahli Parlimen PR menzahirkan bantahan mereka. Kami yakin rakyat memahami keperluan bagi kami bertindak sedemikian rupa kerana sepertimana yang disebut awal-awal lagi, kebebasan institusi kehakiman adalah satu prinsip yang perlu dipertahankan secara bersungguh-sungguh. Ianya merupakan di antara tunggak terpenting untuk menjamin keadilan dan dengan itu keberlangsungan keamanan dan kesejahteraan masyarakat di negara kita ini.

Bagi Ahli Parlimen UMNO/BN, kita sememangnya tidak boleh mengharapkan banyak sangat dari mereka selain dari memenuhkan kerusi Parlimen. Semasa sebahagian pimpinan mereka sendiri dizalimi oleh sebahagian yang lain, mereka telah turut mendiamkan diri. Sekiranya apabila pimpinan sendiri pun dizalimi mereka berdiam diri, sudah pasti apabila ianya dilakukan terhadap pimpinan lawan mereka, mereka akan diam dan tidak sama sekali mengambil tahu. Maka cuba bayangkan sekiranya kezaliman itu berlaku kepada rakyat biasa?

Namun, penodaan kebebasan institusi kehakiman akan mendatangkan kesan buruk ke atas diri mereka juga. Kalau tidak mereka, mungkin anak cucu mereka. Dan kerosakan ke atas masyarakat akan berterusan. Sehingga tertegaknya kerajaan yang adil lagi saksama di bawah PR insyaAllah.

Secara umumnya inilah apa yang telah saya bahaskan semasa Perbahasan Titah Diraja berhubung persoalan ketidak hadiran ahli parlimen PR pada 11 Mac yang telah ditimbulkan. Saya berharap bahawa ianya telah saya jawab dengan jelas dan nyata agar segenap lapisan masyarakat dapat memahaminya. Bersama kita menentang kezaliman.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Izuddin said…
Yes, yes...you need rich people so these people are taxed to provide money to the government in return. And these rich people are your cronies...haha

It is BCM (bantu crony Madey). And it is now BRM to poor people. Cronies gets hundreds of millions each per project, and poor people gets RM1.78 per day for 1 year...hehe



Popular posts from this blog

Lawatan Kerja ke Kilang Carlsberg

Tajuk posting saya kali ini barangkali akan memeranjatkan sesetengah pihak. Lanjutan daripada perbincangan berhubung Terminal Bas Shah Alam, saya bersama beberapa Ahli Majlis MBSA telah melawat kilang Carlsberg pada hari Khamis 5 Ogos, jam 3 petang. Kami disambut oleh Dato’ Chin Voon Loong, Timbalan Pengarah Urusan Syarikat berkenaan. Beliau memberikan penjelasan dan latar belakang syarikat serta prestasi perniagaannya semenjak ianya mula beroperasi. Untuk makluman semua, kilang Carlsberg Shah Alam telah mula beroperasi pada tahun 1972, iaitu 38 tahun dahulu. Ia merupakan di antara kilang yang terawal di kawasan tersebut dan semasa ianya dibina, hanya hutan dan belukar di kelilingnya.

100 Hari Malaysia Baharu (Astro Awani)

Wawancara bersama Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dalam program khas '100 Hari Malaysia Baharu'.

Video ihsan Astro Awani
-Pejabat YB Khalid Samad-

Tapak Kuil Seksyen 23 Shah Alam

Baru-baru ini, banyak betul yang kita dengar berhubung isu tapak kuil yang dicadangkan di Seksyen 23, Shah Alam. Yang tahu, yang tak tahu dan yang buat-buat tahu, semuanya turut sama mengemukakan pandangan masing-masing. Di antaranya, pandangan Noh Omar yang menyatakan bagaimana kerajaan PR tidak peka terhadap sensitiviti umat Islam.

Oleh itu, bagi mereka yang ingin tahu, izinkan saya menceritakan serba sedikit perkara sebenar berkenaan isu ini. Tapak Kuil yang dicadangkan adalah di kawasan Industri, lebih 200 meter dari kawasan perumahan. Sebuah Kuil yang sekarang ini berada di Seksyen 19 akan dipindahkan ke tapak baru yang dicadangkan ini. Di Seksyen 19, kuil berkenaan hanya berjarak 20 kaki dari kawasan perumahan! Buka pintu rumah, seberang jalan terdapat kuil.

Sebenarnya, kuil Seksyen 19 telah berada di situ sejak zaman sebelum wujudnya Shah Alam lagi. Pada masa itu kawasan di mana kuil tersebut dibina dinamakan Ladang Sungai Renggam. Apabila PKNS ambil-alih, maka dijadikan kawasan…