Skip to main content

YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam, Gesa Dato Adzib Memahami Kenyataannya

Saya pada mulanya mengucapkan terima kasih kepada Dato Adzib, Pengerusi MAIS, kerana sudi menjawab teguran saya tempoh hari berhubung persoalan MAIS ingin digunakan sebagai alat politik golongan tertentu dalam usaha mereka menimbulkan ketegangan kaum dan agama. Saya rasa ianya jelas sebagai teguran dan peringatan, bukan tuduhan.



Sebagai Pengerusi kepada institusi yang menjaga agama Islam di Selangor, Dato Adzib wajar berlapang dada menerima teguran dan peringatan sepertimana yang pernah dizahirkan oleh Rasulullah (SAW) dan para sahabat RadhiAllahu anhum ajma’in. Oleh itu ugutan untuk mengambil tindakan undag-undang atas teguran dan nasihat amat sangatlah dikesali kerana ia mencerminkan sikap tertutup dan sedikit keangkuhan. Perlu diingati bahawa usaha menjaga kesucian Islam perlu dilakukan oleh setiap individu Islam dan bukan oleh MAIS semata-mata.

Saya akui bahawa penggunaan kalimah Allah dalam Bible Al-Kitab adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 9 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di kalangan Orang Islam). Namun Dato Adzib perlu juga akui bahawa enakmen itu adalah berhubung perkembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam dan oleh itu tidak wajar digunakan untuk keadaan-keadaan yang tidak berkenaan. Oleh itu, apabila ianya digunakan dalam keadaan tiadanya usaha mengedar Bible Al-Kitab berkenaan kepada orang Islam, maka ia menimbulkan berbagai tafsiran. Berbagai tafsiran berhubung niat sebenar disebalik tindakan tersebut timbul kerana walaupun tiada angin, pokok bergoyang.

Saya juga tahu semasa membuat kenyataan asal bahawa cop pengesahan Kementerian Dalam Negeri tidak ada pada Bible Al-Kitab yang dirampas. Saya sengaja nyatakan fakta yang silap untuk memberi peluang pada Dato untuk menyatakan yang sebenar semasa menyanggah kenyataan saya. Ini adalah untuk menguji keikhlasan Dato. Malangnya Dato tidak menyatakan keadaan sebenar dan sebaliknya seolah-olah ingin menyembunyikannya dari pengetahuan umum dengan hanya mengatakan “kenyataan tersebut amat tidak bertanggung jawab kerana ianya dibuat tanpa menyemak kesahihan dan kebenaran sesuatu fakta...” Kenapa Dato tidak nyatakan terus fakta sebenar? Adakah Dato ingin bermain-main dengan persepsi masyarakat sehingga diangap bahawa pihak persatuan Bible sengaja melanggar syarat yang telah dipersetujui bersama dengan Kabinet? Saya harap tidak.

Tidakkah benar bahawa Bible Al-Kitab yang dirampas semuanya mempunyai lambang Salib dan tulisan ‘percetakan Kristian’ di kulitnya sepertimana yang disyaratkan mengikut ‘10 points solution’? Adakah juga benar bahawa ianya dirampas dari bilik stor di mana sebahagian sudah pun berada di dalam kotak-kotak yang siap dibungkus untuk dihantar ke Sabah dan Sarawak? Dan adakah juga benar bahawa yang dirampas adalah bukan sahaja Bible Al-Kitab Bahasa Malaysia, tetapi juga Bahasa Indonesia, Iban, dan Lukas? Bagaimana saya hendak yakin bahawa tiada permainan politik sekiranya Dato tidak sanggup bercakap benar sepenuhnya dalam isu ini?

Dan sememangnya Islam melarang kita menceroboh gereja dan tempat ibadat orang bukan Islam walaupun dalam keadaan peperangan sekalipun. Apatah lagi dalam keadaan aman dan mereka hidup senegara dengan kita. Islam mengajar ummatnya untuk menghormati tempat ibadat bukan Islam dan agama mereka termasuk kitab keagamaan mereka.

Tujuan Islam melarang tindakan tidak menghormati tempat ibadat agama lain dan ajaran serta kitab mereka ialah supaya keadilan Islam akan jelas dizahirkan! Dengan itu manusia akan tertarik kepada Islam. Maka jagalah imej Islam dan biarlah kita menjadi faktor penarik dan bukan penolak terhadap agama Islam. Itu kewajipan kita bersama! Tindakan menjatuhkan imej Islam sehingga dilihat tidak menghormati agama bukan Islam adalah jenayah yang perlu dicegah!

Saya juga tidak menafikan bahawa MAIS mempunyai kuasa mentadbir agama Islam bagi pihak DYMM Sultan Selangor. Namun nasihat saya pada Dato yang saya sampaikan melalui kenyataan saya tempoh hari ialah supaya menghormati juga kerajaan pilihan rakyat. Kita inginkan suasana di mana institusi agama dan Raja dilihat bersama rakyat dan tidak sebaliknya. Kebijaksanaan sebegini juga pernah ditunjukkan Rasulullah (SAW) seperti semasa peristiwa peperangan Uhud. Ini adalah sedikit dari sifat fataanah yang boleh kita ceduk dari Rasulullah (SAW).

Oleh itu kenyataan bahawa JAIS tidak perlu rujuk pada Exco Agama atau kerajaan Negeri merupakan kenyataan yang tidak bijak dari sudut politik, yang Dato mengakui diri saya sebagai veteran politik. Nasihat saya ialah supaya dasar syura diamalkan bukan kerana undang-undang mewajibkannya tetapi ianya merupakan pendekatan yang terbaik seperti disarankan Allah di dalam Al-Quran. Tindakan berbincang dan bersyura merupakan tindakan yang menjamin matlamat kerajaan pilihan rakyat serta institusi agama dan Raja diselaraskan dan dijayakan bersama. Ini akan menghasilkan perpaduan dan kesatuan dan semestinya itulah yang diinginkan dan bukan sebaliknya. Mungkin kerana Dato tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama maka Dato tidak tahu mengenai pendekatan syura yang Allah sarankan. Kalau Dato tahu maka lagilah amat malang! Apa makna mempertahankan kalimah Allah sedangkan saranan Allah diabaikan?

Semestinya sebagai sebuah badan yang menjaga agama Islam, prinsip-prinsip Islam perlu diutamakan dan bukan sebaliknya. Amat malang sekiranya badan yang menjaga Islam itu sendiri tidak memahami dan menghayati prinsip-prinsip Islam kerana sekiranya begitu bagaimana kehebatan Islam akan dapat dizahirkan?

Begitu juga dengan kenyataan Dato berhubung ‘10 points solution’ yang dikeluarkan Kabinet. Janganlah Islam dilihat sebagai tidak mempunyai keanjalan dalam soal ijtihad sehingga perjanjian yang siap ditandatangani PM tidak dihormati dan boleh dilanggar sewenang-wenangnya.

Bagi saya sebagai Ahli Parlimen Parti Islam SeMalaysia, saya ingin sangat Islam dilihat sebagai rahmat untuk semua. Dalam soal rahmat ini, ia termasuk sekali rahmat bagi orang bukan Islam. Di sini bolehlah kita rujuk kepada Ayat 8 Surah Al-Mumtahanah yang bermaksud :

“Allah tidak menghalang kamu berhubung mereka (bukan Islam) yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak menghalau kamu dari rumah-rumah kamu bahawa kamu menghormati dan berbuat baik terhadap mereka dan bertindak adil terhadap mereka; Sesungguhnya Allah mengasihi mereka yang bertindak adil”.

Kalau Dato tidak yakin dengan apa yang saya sebut berhubung prinsip dan ajaran Islam seperti di atas, Dato boleh rujuk pada Exco Agama kerajaan Negeri ia itu YB Ustaz Sallehen Mokhyi. Dia lebih arif dalam persoalan ini. Biarlah kita dibimbing orang berilmu dan jangan kita yang ingin membimbingnya.

Jangan sekali-kali dijadikan Islam sebagai agama perbalahan dan adu-domba. Usaha sebegitu merupakan jenayah besar terhadap agama Islam yang Allah wahyukan sebagai rahmat untuk semua.

Sekian,

Terima kasih,


KHALID ABD SAMAD,
AHLI PARLIMEN SHAH ALAM.

Comments

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.