Skip to main content

Rampas Bible: Khalid Persoal Motif Pengerusi Mais

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad mempersoalkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang merampas Bible bahasa Melayu dari pejabat Persatuan Bible Malaysia (BSM) atas alasan menyekat agama Kristian daripada disebarkan kepada orang Islam.

Ini kerana katanya, Bible dengan cop Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu dirampas ketika dalam simpanan BSM di pejabat persatuan itu dan bukannya dirampas ketika cuba diedarkan kepada orang Melayu Islam.

Beliau turut mempersoalkan sama ada tindakan Jais itu sebahagian daripada strategi pihak tertentu bagi mewujudkan ketegangan antara penganut Islam dan bukan Islam di negeri ini.

"Saya ingin bertanya kepada Pengerusi Mais (Majlis Agama Islam Selangor), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa yang membuat kenyataan tindakan merampas Bible itu tidak perlu mendapat kelulusan atau dimaklumkan kepada Menteri Besar dan Exco Hal Ehwal Islam," katanya.

Khalid turut mempersoalkan motif Pengerusi Mais (gambar, kiri) ketika mengeluarkan kenyataan tersebut yang seolah-olah “melaksanakan strategi politik Umno” sehingga sanggup mengetepikan Menteri Besar dan Exco Hal Ehwal Islam negeri.

"Saya minta Mais menghormati pilihan rakyat dan exco Agama Islam yang kita lantik iaitu Ustaz Sallehen Mokhyi yang berkelulusan sarjana dalam bidang syariah Islam," katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam itu juga menggesa Adzib mengambil pengajaran daripada insiden serbuan gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) Petaling Jaya yang tidak menguntungkan mana-mana pihak dan dakwaan kononnya wujud usaha menyebarkan agama Kristian kepada beberapa individu muslim gagal dibuktikan.

Beliau turut menyentuh isu penyelesaian 10 perkara yang memberi kebenaran kepada penganut Kristian mengimport dan mencetak Bible dalam bahasa Melayu ke Semenanjung.

"Ini merupakan strategi politik Umno untuk mendapatkan sokongan daripada orang bukan Islam dan hendak tunjuk Umno parti yang baik dan menghormati agama lain," tegasnya.

Bagaimanapun kata beliau, selepas pilihan raya umum (PRU) 2013, Umno kembali kepada pendekatan melaga-lagakan orang Islam dan orang bukan Islam selepas mendapati sokongan daripada kalangan bukan Melayu kepada Umno-BN merosot teruk.

Berita ihsan HarakahDaily
-Pejabat YB Khalid Samad-

Comments

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan...

Surat Terbuka Untuk Penduduk Seksyen 23

2hb September 2009 M 13 Ramadan 1430 H السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Kehadapan penduduk Seksyen 23 yang dihormati, Semoga surat ini menemui tuan-tuan dalam keadaan sihat wal afiat serta keimanan yang teguh dan jitu berkat bulan Ramadhan ini. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan diri saya serta tuan-tuan akan Firman Allah, Surah Al Maaidah ayat 8 yang bermaksud; “Bertindak adil! Ianya lebih rapat dengan keTaqwaan.” Semoga dalam usaha kita membina keTaqwaan dalam bulan Ramadhan ini, kita mengingati hakikat bahawa ‘keTaqwaan’ yang diusahakan itu mempunyai hubungan rapat dengan keadilan. Keadilan ini pula perlu dilaksanakan terhadap semua, walaupun terhadap yang tidak disenangi. Ini ditegaskan di dalam ayat yang sama yang bermaksud, “dan jangan oleh kerana kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil…” Kalau terhadap kaum yang dibenci sekalipun dituntut keadilan, apatah lagi terhadap jiran sekampung dan warga sekota? Walaupun mereka tidak sebangsa...

Tapak Kuil Seksyen 23 Shah Alam

Baru-baru ini, banyak betul yang kita dengar berhubung isu tapak kuil yang dicadangkan di Seksyen 23, Shah Alam. Yang tahu, yang tak tahu dan yang buat-buat tahu, semuanya turut sama mengemukakan pandangan masing-masing. Di antaranya, pandangan Noh Omar yang menyatakan bagaimana kerajaan PR tidak peka terhadap sensitiviti umat Islam. Oleh itu, bagi mereka yang ingin tahu, izinkan saya menceritakan serba sedikit perkara sebenar berkenaan isu ini. Tapak Kuil yang dicadangkan adalah di kawasan Industri, lebih 200 meter dari kawasan perumahan. Sebuah Kuil yang sekarang ini berada di Seksyen 19 akan dipindahkan ke tapak baru yang dicadangkan ini. Di Seksyen 19, kuil berkenaan hanya berjarak 20 kaki dari kawasan perumahan! Buka pintu rumah, seberang jalan terdapat kuil. Sebenarnya, kuil Seksyen 19 telah berada di situ sejak zaman sebelum wujudnya Shah Alam lagi. Pada masa itu kawasan di mana kuil tersebut dibina dinamakan Ladang Sungai Renggam. Apabila PKNS ambil-alih, maka dijadikan kawas...