Skip to main content

Perbahasan Twitter: COMANGO dan Perlaksanaan Hudud

Ini adalah lanjutan dari tulisan saya semalam yang bertajuk Perbahasan Twitter: Hudud. Pagi ini saya akan cuba mengupas dua lagi isu yang telah dibawa ke alam twitter @KhalidSamad.

ISU COMANGO
Telah ditimbulkan oleh @macfaisal bahawa kononnya PR menyokong LGBT. Ini adalah berhubung isu tuntutan COMANGO, yang dikatakan meliputi soal ‘hak untuk murtad’, ‘kedudukan istimewa Melayu’ selain dari LGBT. Saya tidak tahu dari mana dia mendapat maklumat sedemikian rupa. Tiada rujukan dan tiada bukti. Yang ada hanya tuduhan. Akhirnya bila diasak oleh tweeter lain, dia mengaku tiada bukti.

Sebenarnya, tidak susah sangat untuk hasilkan sikap dan pendirian PR. Apa yang bercanggah dengan perlembagaan Malaysia adalah ditolak. Termasuklah apa-apa usaha untuk menafikan Islam sebagai agama Persekutuan atau membenarkan penyebarkan agama selain Islam kepada orang Islam. Begitu juga berhubung institusi Raja dan kedudukan istimewa orang Melayu. Oleh itu, Perlembagaan Negara boleh diguna-pakai sebagai rujukan untuk menghasilkan pendirian PR.

Dengan sendirinya persoalan pendirian PR terhadap soal murtad dan kedudukan istimewa Melayu adalah dijawab.

Berhubung soal LGBT pula, adalah perlu difahami bahawa ‘pendirian PR’ adalah pendirian yang dipersetujui ketiga-tiga parti komponennya. Semua parti setuju, baru ianya menjadi pendirian PR. Itulah sebabnya ada ‘common policy framework’. Ini dinamakan ‘governing by consensus’ yang mungkin kedengaran agak asing untuk parti komponen di dalam BN. Oleh itu, kalau ada yang tidak setuju maka ianya kekal sebagai pendirian parti atau 2 parti berkenaan tetapi ia tidak menjadi pendirian PR.

Dengan itu amat jelas bahawa apa yang bercanggah dengan Islam tidak boleh menjadi sesuatu yang akan diterima sebagai ‘pendirian PR’. Dalam soal LGBT isunya tidak pernah dibincang di peringkat PR Pusat. Mungkin ia tidak dilihat sebagai satu isu yang begitu berpengaruh di dalam masyarakat. Namun, saya yakin DAP dan PKR juga tidak menerimanya, walaupun mungkin di atas asas dan sebab yang lain. Hanya, mungkin, cara untuk menanganinya berbeza dari pendekatan cyber-troopers UMNO. Mereka lebih utamakan pendekatan di mana yang mempunyai kecenderungan sebegitu diberi kaunseling dan sebagainya dan bukan diherdik atau dicaci.

ISU PAS & PR DAN PERLAKSANAAN HUDUD
Dasar ‘governing by consensus’ ini juga bermakna bahawa apa jua perubahan kearah yang lebih Islamik dari zaman BN tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan ketiga-tiga parti. Yang ingin membawa kearah yang kurang islamik pun, kalau ada, juga tidak boleh kerana akan dibantah PAS. Oleh itu keadaan pengamalan Islam paling kurang status quo atau kalau PAS berjaya mendapat persetujuan dalam beberapa hal, boleh berubah kearah yang lebih islamik tetapi hanya yang sekadar yang dipersetujui rakan-rakan PR. Ini bererti ianya terhad.

Maka timbullah persoalan berhubung perlaksanaan hudud! Kalau begitu kata mereka, maka PAS tidak akan mampu melaksanakannya melalui PR kerana DAP khususnya kan menentang! Ia tidak akan menjadi agenda PR dan oleh itu, tanya mereka, mengapa PAS bersama PR?

Untuk menjawab soalan ini, sama-sama kita fikirkan, kalau PAS keluar PR, bolehkah PAS laksana hudud? Jawapannya pun adalah TIDAK kerana BN juga tolak hudud! PAS pula tidak boleh berkuasa dengan sendiri! Maka ditanya lagi, kalau dalam PR tidak boleh laksana hudud dan dalam BN tidak boleh laksana hudud, sama sahaja, mengapa PAS tidak bersama BN? Paling kurang kata mereka lagi, Melayu bersatu.

Maka saya jawab, beza DAP dengan UMNO ialah DAP tidak bersetuju dengan hudud tetapi DAP tidak menghalang PAS bergerak dalam masyarakat menjelaskan tentang Islam, perjuangannya dan juga pada masa sama, sistem perundangan Islam termasuk hudud. Tetapi BN sebaliknya!

Adalah harapan dan matlamat PAS supaya melalui pemerintahan PR yang memberikan kebebasan untuk PAS bergerak, akhirnya masyarakat umum, khususnya ummat Islam akan faham dan bersetuju untuk sistem perundangan Islam dilaksanakan, paling kurang ke atas ummat Islam. Sekiranya PAS dapat memberikan kefahaman yang tepat kepada ummat Islam berhubung perjuangan Islam itu sendiri, sehingga ummat Islam, secara majoritinya inginkan Islam, tiada siapa yang akan mampu menghalang.

Tidak juga mustahil, suatu hari nanti, PR akan bersetuju setelah mendengar penjelasannya.

Kebebasan bergerak untuk menyampaikan penerangan yang sebegini tidak dibenarkan oleh UMNO! UMNO hanya mahu menggunakan islam sebagai sentimen dan mengalihkan pandangan ummat Islam dari ketidak-taatan mereka sendiri kepada perintah Allah kepada isu perkauman, Syiah dan lain-lain. Sambil itu masyarakat terus dalam suasana yang tidak diredhai Allah. Apa jua usaha untuk menyedarkan ummat Islam bahawa Islam adalah meliputi soal pemerintahan dikelirukan UMNO dengan memanfaatkan barisan ustaz mereka. Sehingga dianggap pemimpin sediada tidak boleh dicabar atau ditentang dan kalau dilakukannya maka kamu adalah khawarij!

Dan inilah sebabnya mengapa ummat Islam perlu dibebaskan dari belenggu UMNO untuk berjaya di dunia dan akhirat.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Grand Marquis said…
Saudara YB Khalid nampaknya bermain wayang disini. Isunya ialah siapakah aktivis-aktivis dibelakang COMANGO? Kebanyakkannya adalah aktivis-aktivis pro PR. PR juga seperti endah tak endah dengan isu tuntutan COMANGO dan hampir tidak kedengaran satu bantahan rasmi pun dari pihak PR tentang COMANGO sedangkan kita semua tahu bahawa tuntutan mereka jelas menyanggahi Islam dan perlembagaan negara.

Jadi apakah indikasinya? YB Khalid sebagai rakan PR, apakah YB tidak bersuara langusng untuk membantahnya? Sebaliknya YB mengambil jalan politik dengan mengaut keuntungan dari aktivis-aktivis ini yang menyemai kebencian terhadap kerajaan dan berpura-pura mengalihkan penolakkan tersebut terhadap isu perlembagaan.

You are just a politician.

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-