Skip to main content

Coretan Terakhir Menjelang Muktamar

Muktamar PAS akan diadakan hanya sehari dua sahaja lagi di Shah Alam dan saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat bermuktamar kepada semua. Semoga usaha-usaha kita diterima sebagai usaha ‘fii sabiliLlah’ insyaAllah.

Pada masa yang sama ada beberapa isu yang timbul kebelakangan ini yang perlu saya berikan komen dan penjelasan.

RESPON CORETAN PERTAMA
Ada yang keliru dengan coretan saya tempoh hari. Saya dituduh memfitnah calon tertentu! Hairan saya. Yang saya tujukan ialah golongan yang membawa cogan kata “selamatkan PAS” dan “pertahankan kepimpinan ulama” bukan mana-mana calon.

Golongan yang membawa cogan-kata ini adalah golongan yang sama yang melancarkan kempen fitnah terhadap beberapa pimpinan PAS dengan gelaran ‘kumpulan Erdogan’, ‘anwarinas’, ‘parasit’, ‘liberal’ dan sebagainya. Golongan pemfitnah ini melaga-lagakan ahli PAS atas dakwaan kononnya pimpinan ini membawa ‘elemen kufur’ ke dalam PAS dan oleh itu PAS perlu ‘diselamatkan’. Mereka turut mendakwa bahawa pimpinan ini juga ‘mencabar kepimpinan ulama’ sedangkan sejarah adalah saksi bahawa di kalangan pimpinan yang ditohmah adalah mereka yang merupakan pembawa dan pembahas usul kepimpinan ulama. Mana mungkin ada ahli PAS yang mencabar konsep kepimpinan ulama? Ianya termaktub dalam perlembagaan PAS dalam bentuk Majlis Syura Ulama!

Golongan pemfitnah yang membawa cogan kata inilah yang menjadi tumpuan saya, bukan mana-mana calon. Dan saya kemukakan bacaan saya bahawa niat mereka dengan melakukan ini semua adalah supaya PAS dibawa keluar dari PR. Ini akan tercapai dengan berlakunya perubahan di peringkat kepimpinan yang mana saff pimpinan baru ini diharapkan mereka, akan bawa PAS keluar dari PR.

Samada ianya akan berlaku atau tidak dan samada harapan mereka berasas atau tidak, itu bukan isunya. Tetapi golongan pemfitnah ini sedar bahawa di bawah saff pimpinan sediada, ianya sukar berlaku. Maka dikenal-pasti pimpinan yang kuat menyokong kerjasama dengan PR dan dituduh mereka sebagai ‘kumpulan Erdogan’, ‘anwarinas’, ‘parasit’, ‘liberal’ dan sebagainya sebagai strategi untuk membawa perubahan.

Saya tidak menolak kemungkinan bahawa golongan pemfitnah ini dibiayai UMNO/BN kerana semua tahu yang akan untung besar sekiranya hubungan PAS dan PR dikaji kembali dan bertambah renggang, yang untung hanyalah UMNO/BN. Kalau tidak dibiayai UMNO/BN sekalipun, mereka paling kurang adalah anak murid dan pengikut setia atau peniru ‘mantan kawan baik saya’.

Perlu jelas, saya tidak menuduh mana-mana pimpinan atau calon terlibat dalam usaha ini. Semua kerja-kerja jahat mereka dilakukan secara ‘anonymous’, iaitu tidak bernama sebenar, seperti El-Haraki dan sebagainya.

Namun, atas sebab kerja jahat memfitnah dijalankan dengan begitu rancak sekali, maka sebagai tanda penolakan kita terhadap budaya kempen fitnah ini, saya syorkan supaya perwakilan terima dasar KEKAL! Lebih-lebih lagi sekiranya perwakilan setuju PAS KEKAL bersama PR. Paling kurang ada kepastian bahawa saff pimpinan yang sediada akan meneruskan dasar Tahaluf Siyasi bersama PR untuk menjatuhkan UMNO/BN pada PRU ke 14.

DIA MUNCUL KEMBALI
Saya amat terkejut apabila dengan secara tiba-tiba ‘Mantan Kawan Baik Saya’ menyatakan kesanggupan beliau untuk kembali menganggotai PAS atas syarat “PAS perjuangkan Islam, Melayu dan Raja”. Siap letak syarat seolah-olah dia yang keluar PAS, bukan dipecat. Dan diminta PAS pula berjalur tiga! Aduhai…

Saya sebenarnya tiada masalah kalau beliau ingin menjadi ahli kembali, namun, sepertinya, saya pun ingin letakkan syarat ia itu dia perlu akui bahawa Islam adalah agama yang sempurna dalam erti-kata tidak perlu ditokok-tambah dengan Melayu dan Raja sebagai asas perjuangan. Islam yang sempurna ini akan mempertahankan hak Melayu dan Raja mengikut ajarannya.

Kedua, saya ingin beliau berjanji bahawa dia tidak akan sekali-kali mengamalkan budaya ‘tanaabazu bil alqaab’ atau ‘kamu mencaci dengan gelaran-gelaran menghina’. Istilah ‘parasit’, ‘Erdogan’ dan sebagainya diperkenalkan pada zaman ketika beliau masih bersama PAS dan bagi saya, adalah legasinya. Amat anehlah apabila didapati ada ahli PAS yang terus mengikut budayanya. Ketiga dan terakhir, tarik balik dan mohon maaf atas tuduhan bahawa PAS telah sesat dan kononnya ulama’ tidak lagi berpengaruh dalam PAS.

Mungkin beliau, seperti golongan pemfitnah tidak bernama, meletakkan harapan bahawa perubahan kepimpinan akan mendatangkan perubahan kepada nasib dirinya sendiri. Oleh itu beliau muncul pada saat-saat hampir ‘Muktamar pemilihan’ dengan seruan yang sama dengan golongan pemfitnah. Iaitu dengan kononnya ingin menjatuhkan ‘kumpulan parasit’.

COGAN KATA ‘SELAMATKAN PAS’ DAN ‘PERTAHANKAN KEPIMPINAN ULAMA’
Tidak pelik kalau saya rumuskan bahawa cogan kata ‘selamatkan PAS’ dan ‘pertahankan kepimpinan ulama’ adalah dari kumpulan yang terpengaruh dengan ‘Mantan Kawan Baik Saya’ atau sekadar ingin memanfaatkan hujjah beliau. ini adalah kerana bunyinya sama dan kaedahnya pun sama.

Yang ingin ‘selamatkan PAS’, kononnya, adalah mereka yang terpengaruh atau sekadar menggunakan hujjah beliau bahawa PAS telah atau sedang menyimpang dari dasarnya. PAS tersimpang maka bersama PR. PAS bersama PR kerana golongan ‘parasit’ menguasai PAS. Inilah hujjah beliau selama ini.

Maka untuk ‘selamatkan PAS’, mengikut kumpulan ini, PAS mesti dibawa keluar dari PR. Saff pimpinan yang sediada tidak akan melakukannya. Oleh itu ianya perlu ditukar dengan mereka yang lebih ‘terbuka’ dan sanggup ‘mengkaji balik’ kedudukan PAS di dalam PR.

Cogan kata ‘pertahankan kepimpinan ulama’ juga datangnya dari penghujjahan beliau. inilah dakwaan beliau dan juga dakwaan UMNO bahawa kedudukan Ulama’ dalam PAS semakin terpinggir. Digambarkan seolah-olah ada yang menolak konsep kepimpinan Ulama’ sedangkan tiada dalam PAS yang menolaknya, lebih-lebih lagi di kalangan pimpinan.

Kedudukan Ulama’ adalah yang paling terjamin dalam PAS. Ini adalah kerana golongan Ulama’ mempunyai sebuah Dewan yang tidak boleh dianggotai melainkan oleh mereka. Begitu juga Majlis Syura Ulama adalah khas untuk mereka. Pada masa yang sama ulama boleh juga menjadi anggota Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan AJK Pusat. Sedangkan golongan yang tidak berlatar-belakangkan pendidikan agama secara formal hanya boleh menjadi anggota Dewan Pemuda dan Muslimat serta AJK PAS Pusat.

Adalah amat hairan sekiranya dengan adanya Dewan dan Majlis Syura yang khas bagi golongan ulama’, ada yang menganggap kedudukan ulama’ terpinggir atas sebab AJK PAS Pusat dianggotai oleh beberapa orang yang bukan berlatar-belakangkan pendidikan agama secara formal. Sudah pasti dengan adanya Dewan Ulama dan Majlis Syura Ulama, serta anggota ulama’ di semua peringkat parti, suara Ulama’ adalah amat berpengaruh dalam PAS. Sebenarnya untuk mengatakan bahawa walaupun dengan segala kelebihan yang diberikan kepada Ulama’ mereka masih tidak mampu mengatasi pengaruh golongan lain adalah suatu penghinaan terhadap Ulama’.

Begitu juga dengan dakwaan bahawa ‘kumpulan parasit’ menguasai Presiden dan AJK PAS Pusat. Adakah ini bererti bahawa DS Presiden, Ketua Dewan Ulama’ dan Ulama’ yang menganggotai PAS Pusat tidak mampu menghadapi kumpulan yang digelar ‘parasit’ ini? Tidakkah itu suatu penghinaan terhadap kemampuan mereka?

Hakikatnya ini semua kerja adu-domba pihak musuh. Untuk menggagalkan perancangan mereka, sekali lagi saya seru kepada semua perwakilan, KEKALkan yang ada; KEKALkan hubungan dengan PR; KEKALkan musuh di dalam ketakutan dan kerisauan serta dukacitaan insyaAllah.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Dan said…
Ya khalid samad, saya percaya anda berada didalam pihak yang benar! Teruskan perjuangan! Jgn mengalah!!
Izuddin said…
Takan Melayu hilang di dunia. Itu kata2 Hang Tu Ah.

Hang Tu Ah tu Laksamana Cina yang telah bantu Melayu Melaka dengan menentang Potugis di zaman Kerajaan Melaka dan kekal kembang kuasa sehingga kini.

Melayu bodoh takpa lah kalau hilang pun.Tak guna melayu2 bodo ni kalau mereka anuti Islam kalau mereka jadikan Islam sebagai ugama dogma dan doktrin !
http://mediaharia.blogspot.com/2013/11/awas-tanpa-sedar-kita-adalah-peminum.html dah dua musim jadi wakil rakyat bila nak tutup kilang arak clasberg tu.....dulu PAS janji kalau menang hari ni esok tutup kilang clasberg......hampeh.....janji tak ditepati.....mengapa orang PKR jadi Menteri Besar padahal PAS menang lebih banyak kerusi dari PKR....menyesal undi PAS....nampaknya PAS hanya menjadi kaldai tunggangan DAP dan PKR..
amirul said…
Islam yang sempurna akan menjaga hak Melayu dan Raja mengikut ajarannya...

Sempoilah YB!!!
Cetusan Mukara said…
Assalamualaikum wbt,
YB..

Segala parasit yg berada dlm Pas dgn tujuan melaga-lagakan sesama ahli itu boleh dipastikan sebagai double-agent (mungkin sb) yg berperanan utk memecahkan Pas dr dalam...

mohon berhati-hati....

Popular posts from this blog

Berakhirnya Drama RUU 355?

Drama perlaksanaan sistem perundangan Islam yang mengambil bentuk usul persendirian YB Marang berhubung Akta 355 kelihatan menghampiri adegan penamatnya. Pada peringkat kesudahannya UMNO/BN kelihatan sebagai pihak yang meraih keuntungan terbesar dengan pembangkang berada dalam keadaan berpecah dan tidak bersepakat. Keutuhan Pakatan Rakyat yang telah mewarnai pilihan raya ke 13 pada 2013 sudah jelas hilang. Yang sepatutnya mengambil tempatnya, iaitu Pakatan Harapan, masih dalam keadaan sedikit terumbang-ambing, khususnya berhubung hubungan dengan PAS.

Tindakan UMNO/BN untuk mensasarkan PAS melalui isu perundangan Islam adalah satu ‘master-stroke’ yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak. Melaluinya bukan sahaja PR berpecah, namun ketidak-tentuan sikap terhadap PAS menyebabkan apa-apa tindakbalas untuk menyelamatkan keadaan menjadi tidak padu dan kurang bersungguh-sungguh. Kebergantungan terhadap PAS oleh pihak tertentu menyebabkan mereka tidak sanggup memutuskan hubungan dengan PAS s…

Kenyataan Berhubung Usul Persendirian Marang: Cadangan Pindaan ke Atas Akta 355

MUQADDIMAH

1. AMANAH ingin menegaskan bahawa Mahkamah Syariah adalah institusi keadilan Islam dan oleh itu apa jua usaha ke arah menperkasakannya adalah disokong. Bidang kuasanya berhubung kesalahan jenayah syariah dijelaskan dalam Akta 355 sediada. Akta 355 ini perlu dijaga dengan baik dan apa jua usaha pembaik-pulihan serta pindaan terhadapnya perlu diperhalusi secara teliti supaya tidak menjejas kedudukan mahkamah syariah.

2. Akta 355 sediada telah digubal mengambil kira kedudukan dan peranan Mahkamah Syariah di dalam kerangka struktur kenegaraan Malaysia yang di dalamnya wujud Mahkamah Sivil dan juga Mahkamah Syariah. Sepertimana diketahui umum, bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah terhad kepada orang Islam dan kesalahan-kesalahan tertentu seperti terkandung dalam Senarai II Senarai Negeri Jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Selainnya adalah di bawah Mahkamah Sivil.

3. Apa jua pindaan yang ingin dibawa semestinya selari dengan kedudukan dan peranan ini supaya tidak berlaku…

Video Parlimen: DOJ Go Fly Kite, our Country is Clean!

Video ihsan MP Amanah Tv.
Berkaitan, Mengapa Kita Tubuhkan 1MDB?

-Pejabat YB Khalid Samad-