Skip to main content

YDP Shah Alam: Mengapa Tidak Dipertahankan?

Pada 8 September telah diadakan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Shah Alam yang ke 26. PAS Kawasan Shah Alam telah berusia 26 tahun. Dari 26 tahun itu, 16 tahun darinya saya adalah YDPnya. Ada pula yang berkata PAS Shah Alam sudah sinonim dengan Khalid Samad dan ini adalah masalahnya.

Sejak 1997 saya telah berusaha memimpin PAS Shah Alam dengan sebaik yang saya mampu. Dari sebuah parti politik yang tidak begitu dihiraukan pada tahun 1997, ke era Reformasi 1998/99 dan seterusnya ke era kemenangan pada tahun 2008 dan sekarang 2013. Saya telah bertanding di DUN Kota Raja semasa era Shah Alam dan Kota Raja merupakan satu kawasan Parlimen, dan bertanding pula di Parlimen Shah Alam selepas persempadanan baru di mana Shah Alam dan Kota Raja dipisahkan menjadi dua kawasan Parlimen berasingan. Dari zaman kekalahan pada 1999 dan 2004, ke zaman kemenangan 2008 dan 2013. Sepanjang tempoh masa ini, PAS Shah Alam telah disertai ramai ahli baru yang berkeupayaan dan berpotensi.

Pengalaman sedih kali pertama saya lalui dalam tempoh tersebut adalah apabila persempadanan baru yang dilakukan pada 2003. Ia memaksa saya untuk memilih di antara Shah Alam dan Kota Raja. Saya melihat bahawa kekuatan asas yang ada banyak terdapat di Kota Raja. Cawangan yang kuat seperti Jalan Kebun, Bukit Naga, Kampung Jawa, Johan Setia, Teluk Menegun dan lain-lain terdapat di kawasan Parlimen baru iaitu Kota Raja. Saya lihat juga bahawa ada pada Kota Raja itu saff pimpinan pelapis yang boleh saya yakini akan membawa Kota Raja kearah kejayaan. Orang-orang seperti Ust Omar Hashim, Ust Ghazali, Norhalim, Muliani, Mat Diah, Kadir Mayan, Cikgu Jaafar dan ramai lagi di Kota Raja.

Sambil itu Shah Alam tinggal dengan kawasan yang sedia dibangun dengan taman dan seksyen tertentu. Kawasan kekampungan hanya di Batu tiga, Padang Jawa, Kampung Kuantan dan Bukit Kuda. Pimpinan pelapis pula pada ketika itu tidak begitu menyerlah. Yang ada pun ramai sudah berusia dan tidak mungkin memberi kepimpinan kepada kawasan Shah Alam untuk tempoh yang lama. Atas dasar itu saya memilih untuk bersama Shah Alam, yakin bahawa Kota Raja akan mampu dibangunkan oleh sahabat yang terpaksa saya tinggalkan di atas sebab garis sempadan baru yang telah diukirkan. Maka dengan terukirnya sempadan itu, saya terpaksa berpisah dengan cawangan di Kota Raja setelah 6 tahun membinanya bersama.

Saya tinggalkan Kota Raja walaupun saya telah bertanding di DUN Kota Raja pada 1999 dan kalah dengan majoriti BN hanya 2,000 lebih. Ketika itu juga saya lebih dikenali di Kota Raja oleh kerana pernah bertanding di situ namun Shah Alam menjadi pilihan saya kerana cabaran yang lebih besar perlu digalas di sini.

Maka pada 2004 saya membantu Kota Raja untuk mencari calon yang berimej nasional untuk bertanding di situ. Alhamdulillah, Dr. Mariah Mahmood bersetuju untuk tampil sebagai calon untuk pilihan raya ke 11 di situ. Walaupun kalah pada 2004, beliau, sepertimana juga saya, telah menang pada 2008 dan 2013 dengan majoriti yang agak besar. Sekarang beliau merupakan pimpinan kanan di kawasan Kota Raja. Tanggung-jawab saya pada Kota Raja dan rakan lama saya di situ telah saya tunaikan dengan sebaik mungkin.

Bukanlah seorang pemimpin yang meninggalkan kawasannya dalam keadaan lemah, bercelaru dan huru-hara.

Saya tinggalkan Kota Raja dengan pimpinan pelapis yang mantap dan bersatu kukuh. Kemampuan mereka terbukti melalui kemenangan calon PAS pada 2008 dan 2013.

Walaubagaimanapun, kali pertama saya bertanding di Shah Alam pada 2004, saya telah kalah dengan majoriti sebanyak 13,000 lebih. Yang mengalahkan saya adalah Dato Aziz Shamsuddin. Kekalahan tidak melunturkan semangat saya dan ahli PAS serta PR di kawasan Shah Alam. Walaupun pada malam kekalahan pada tahun 2004 kedengaran yang menangis dan ramai juga yang sebak, kita terus memasyarakatkan PAS dan PR. Pada 2008, hasil penat lelah sahabat seperjuangan dari PAS dan PR, saya menang pula dengan majoriti hampir 10,000. Calon yang saya kalahkan adalah calon sama, dalam kawasan sama, iaitu Dato Aziz Shamsuddin. Saya yakin, kemenangan yang dikurniakan Allah tersebut di atas istiqamahnya, padunya saff dan mantapnya kerjasama di antara semua yang terlibat. Pada masa yang sama bercelarunya UMNO dan BN pada ketika itu! Rakyat inginkan perubahan. Mereka harapkan Pak Lah tetapi Pak Lah tidak kesampaian.

Kemenangan memberikan peluang kepada PAS dan PR untuk memantapkan kedudukan. Lebih-lebih lagi apabila kemenangan itu tidak terhad hanya kepada beberapa kawasan tetapi meliputi kemenangan di peringkat kerajaan Negeri Selangor. Hasil dari kemenangan dimanfaatkan, maka pada 2013, PR menang dengan lebih besar lagi. Dari 36 kerusi DUN dimenangi PR pada 2008, pada 2013 ianya bertambah menjadi 44. Dari 8 kerusi yang ditambah, 7 adalah oleh PAS. PKR berkurangan 1 dan DAP bertambah 2.

Dalam suasana kemenangan ini, saya melihat kepada kawasan Shah Alam. Sudah 16 tahun saya menjadi YDPnya. Ketua Pemudanya telah bertukar lebih 3 kali sepanjang tempoh itu. Ketua urusan ulama’ dan ketua Muslimatnya pun begitu. Hanya YDPnya tetap sama!

Tiada yang akan bertanding jawatan YDP selagi saya mempertahankannya. Saya kenal anak-anak buah saya. Walaupun bukan semua yang bersetuju dengan saya atas semua hal, namun mereka tetap tidak akan mencabar saya. Dan saya bertanya pada diri saya, “apa lagi yang saya tunggukan?”

Pelapisnya sudah ramai. Saudara Azli, Zul Nani, Jamil, Sayuti, Ust Nik Bakri, Ust Zawawi, Ust Husni, Helmi dan ramai lagi. Orang-orang yang berkemampuan, rajin berkerja dan committed kepada parti. Tidak akan mereka berpeluang membuktikan kemampuan mereka sepenuhnya selagi saya sebagai YDP.

Keadaannya sekarang adalah cukup sesuai untuk saya menyerahkan PAS kawasan Shah Alam kepada ‘pelapis’. Saya akan tetap sebagai Ahli Parlimennya mungkin untuk 3 atau 4 tahun lagi dan atas kapasiti itu akan saya masih lagi berpeluang untuk memantau perjalanan PAS kawasan Shah Alam dari dekat. Sepertimana saya pantau Kota Raja setelah meninggalkannya.

Tugas saya sebagai pemimpin bukan sekadar memimpin semasa saya berada ditampuk kepimpinan, tetapi juga untuk menentukan transisi peralihan kepimpinan yang baik dan teratur. Atas soal ini telah saya berusaha untuk lakukannya, insyaAllah dengan cara yang terbaik dan bertanggung-jawab.

Maka saya serahkan PAS Kawasan Shah Alam ini kepada saff pimpinan yang baru dalam keadaan ianya kuat, mantap dan kukuh. Menang di Parlimen buat kali keduanya secara berturut-turut. Terpulanglah kepada ahlinya samada selepas ini mereka ingin terus memantapkan lagi dengan membina ukhuwwah sesama ahli dengan sikap berlapang-dada terhadap perbezaan pendapat sesama sendiri atau ingin, naudzubillah, mengikuti pula jalan perpecahan dan perbalahan seperti yang cuba disuntik pimpinan UMNO/BN dengan memfitnah dan melabel-label sesama sendiri. Tetapi, saya yakin tidak.

Ada yang bertanya, “apa muslihat Khalid Samad dengan tidak mempertahankan jawatan YDPnya sedangkan sudah pasti dia mampu mempertahankannya?” Soalan ini ditanya oleh mereka yang sentiasa syu’udzu dzan terhadap diri saya. Saya hanya mampu ketawa. Tiada muslihat. Hanya ingin memberikan kepimpinan melalui tauladan.

Bina kekuatan jemaah dan bukan kekuatan diri. Jawatan itu amanah bukan penghormatan. Kalau setelah 16 tahun tiadanya pelapis yang mampu menggantikan kamu, maka sebagai pemimpin, kamu telah gagal!

Setelah adanya pelapis maka kenali waktu untuk menyerahkan amanah pada pelapis yang telah kamu bina bersama. Mereka boleh disediakan untuk berperanan sebagai pengganti di setiap peringkat apabila PAS kuat. Jawatan itu tidak perlu dibolot. Lepaskan sahaja. Kekuatan dan kehebatan diri seseorang bukan kerana jawatan yang ada pada dirinya.

Lainlah kalau kita ini seorang yang luar biasa kemampuan dan kehebatannya seperti TGNA dan TGHH. Mereka ini perlu berperanan selagi mana mereka mampu. Mereka inspirasi dan tunjak yang ramai berpaut padanya. Yang lain, seperti saya, jangan perasan, kita tidak begitu. Jauh panggang dari api.

Selepas itu, boleh membantu membuka dan membina kekuatan di kawasan baru. Seperti panglima yang menerjah ke kawasan lain setelah kawasannya selamat. Mencari medan baru yang mampu dibebaskannya.

Ada yang kata pada saya, “hutannya masih tebal di Johor. Apa kata YB bantu pula Sallahuddin di sana?” Ya, mungkin. Tetapi hanya selepas tugasan ku selesai dengan sepenuhnya di Shah Alam. Lebih-lebih lagi ada kemungkinan persempadanan baru menghasilkan kawasan Parlimen baru antara Shah Alam, Kota Raja dan Klang. Kita lihat dulu. Yang penting setiap langkah mampu menguntungkan PAS dan PR.

Atau mungkin juga sekadar menumpukan usaha dan peranan diperingkat kepimpinan yang lain. Wallahu ‘alam kita lihat dan tunggu.

Namun apa yang lebih penting, Kota Raja dan Shah Alam sudah selamat insyaAllah. Kubu PAS dan PR yang tidak akan kembali kepada UMNO/BN. Kecuali di atas sebab kebodohan dan kealpaan diri sendiri.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD






Comments

pasjbsnapshot said…
Kalau Yb bersedia ke Johor, PAS Johor Bahru bersedia menjadi platform untuk YB....
Anonymous said…
Syabas kerana mampu menjadi pejuang yg tidak mementingkan diri sendiri.Teruskan perjuangan tuan demi Islam
cikmatgelap said…
semoga akan lahir lagi beberapa kepimpinan yg mcm yb khalid samad ni,insyaallah ALLAHUAKBAR
Terbaek YB. Moga sentiasa dipermudahakan urusan jemaah Islam YB. Sukar dicari ganti lagi di Shah Alam.
dryodi said…
Tahniah YB kerana berjaya memimpin PAS Shah Alam....... PAS memerlukan lebih ramai pemimpin seperti YB yang berjuang tak kenal erti kecewa walaupun banyak kali tewas.........

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.