Skip to main content

Isu KD: Dua Kawasan Contoh Yang Patut Dibanggakan

Sambil kita mangambil pengajaran dari kisah sedih seperti Kota Damansara dan Sungai Aceh yang telah saya kupas dari sudut strategi dan akhlak berjamaah, terdapat juga kawasan yang saya sebagai pimpinan PAS Selangor, amat banggakan. Di kawasan ini mereka menzahirkan kesabaran dan kesetiakawanan yang harus dicontohi oleh PAS sebagai sebuah Jamaah Islam.

Salah satu kawasan tersebut adalah Parlimen Petaling Jaya Selatan (PJS), DUN Taman Medan.

Keinginan PAS PJS yang tiada walaupun satu kerusi untuk ditandingi dalam kawasan PJS diketahui umum. PAS Subang sekurang-kurangnya ada juga Paya Jaras. Keinginan mereka untuk bertanding disuarakan berkali-kali dalam mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor (BPPNS). Keinginan mereka untuk bertanding DUN Taman Medan begitu kuat sehinggakan berlinangan air mata mereka apabila menceritakan hasrat ikhlas mereka itu kepada saya selaku TPJ3 Selangor. Saya telah usahakan dan ketidak-berhasilannya telah pun saya laporkan di dalam mesyuarat BPPNS.

Saya telah berusaha menawarkan pertukaran kerusi untuk mendapatkan Taman Medan. PKR sanggup tukar tetapi atas syarat ‘kerusi menang’ diganti dengan ‘kerusi menang’. Dahulu PAS menang hanya 8 kerusi DUN dan tidak mungkin PAS tukarkan mana-mana kerusi yang telah kita menangi untuk mendapat Taman Medan. Maka saya tidak berjaya. Dalam keadaan begitu sekali pun, pada tahun 2013 mereka tidak turun bertanding samada sebagai bebas atau calon PAS. Hasil dari tindakan mereka maka calon PKR menang sekali lagi di Taman Medan. Calon PKR adalah calon PR dan PAS bersama PR. Maka dengan itu satu lagi calon UMNO telah tersungkur.

Tahniah kepada PAS PJS kerana bersabar sekian lama. Semoga Allah memberikan balasan atas kesabaran tuan-tuan dunia dan akhirat. Jawatan ADUN bukan yang menjadi matlamat tetapi sebaliknya keredhaan Allah dengan memenangkan PR melalui PAS. Kemenangan PR akan membuka ruang untuk PAS bergerak mendampingi masyarakat, Islam dan bukan Islam.

Pada masa yang sama, ada juga kerusi DUN yang ditandingi PAS di mana cabang PKR tidak bersetuju dengan calon PAS. Dikatakan macam-macam perkara terhadap calon tersebut dan telah dihantar memorandum yang ditanda-tangani semua ketua Ranting PKR di Cabang berkenaan untuk menyatakan penolakan mereka terhadap calon tersebut!

Namun apabila PAS tetap menurunkan calon berkenaan, tiada timbul calon bebas atau calon PKR yang menentangnya. Syabas dan terima kasih PKR cabang berkenaan. Cukuplah dengan mereka mengetahui siapa mereka. Dan saya yakin PAS Kawasan berkenaan juga tahu kawasan dan DUN mana yang saya maksudkan. Saya harap tuan-tuan semua dapat rapatkan saf dan bagi PAS Kawasan, buktikan melalui amalan dan tindakan tuan-tuan bahawa sangkaan terhadap calon pilihan tuan-tuan tidak tepat dan beliau mampu menjadi ADUN yang baik sebagai ADUN PR dari PAS.

Seronok kita melihat, dalam keadaan berebut untuk menjadi calon di tempat-tempat tertentu, masih ada lebih ramai yang sanggup membelakangkan kepentingan peribadi mereka dan meletakkan kepentingan jamaah dan PR sebagai yang lebih utama. Alhamdulillah.

Tindakan ‘mengalah’ ahli-ahli PAS dan PKR di dua kawasan yang saya sebutkan adalah kerana mereka memahami konsep disebalik pembentukan PR. Dalam usaha mengalahkan UMNO/BN, PAS tidak boleh lakukan bersendirian, sepertimana juga PKR ataupun DAP. Untuk mengalahkan UMNO/BN PAS perlu tentukan adanya pertandingan satu lawan satu di semua kerusi DUN dan Parlimen. Tanpa adanya PR, maka PAS akan bertanding di kerusi sama dengan PKR dan PKR juga di kerusi yang ditandingi DAP. Dalam keadaan itu, maka UMNO/BN akan menang dan Malaysia akan terus di bawah kongkongan UMNO/BN.

Itulah sebabnya kerusi diagih di antara PAS dan PKR serta PKR dan DAP! Dasar tidak akan diadakan pertandingan di kerusi yang sama sudah menjadi satu prinsip yang dipersetujui dan diterima bersama. Begitu juga untuk saling membantu di kerusi yang ditandingi rakan PR. Di mana PAS bertanding, PKR dan DAP bantu dan di mana PKR bertanding PAS dan DAP bantu dan di mana DAP bertanding, PAS dan PKR bantu. Dan inilah ‘rahsia’ kejayaan di Negeri Selangor yang cemerlang dalam PRU ke-13. Tiadanya perbalahan dalaman bagi PAS dan tiada juga perbalahan dalaman PR. Kecuali di Kota Damansara.

Di Semenyih bukan perbalahan di antara komponen PR. Ianya di antara PR dan PSM. Dalam keadaan sebegitu sekalipun 3 penjuru terbukti menguntungkan BN. Apatah lagi kalau parti komponen PR saling berentap di antara satu sama lain?

Untuk mengikat Pakatan supaya parti komponen tidak melakukan sesuka hati samada sebelum atau selepas menang, maka diadakan pengisytiharan manifesto bersama. Semua telah disusun dengan baik hasil dari kerja yang teliti pimpinan parti di peringkat Pusat hingga ke Negeri dan hampir semua kawasan serta DUN sejak bertahun lamanya. Kecuali Kota Damansara.

Saya sebagai TPJ3 PAS Selangor bersyukur penyakit Kota Damansara terhad hanya di Kota Damansara. Ini adalah hasil dari tindakan Dato Mustapha Ali mengisytiharkan calon PKR sebagai calon rasmi PR di KD dan pimpinan Negeri mengulanginya sebaik sahaja Dato Mustapha Ali mengeluarkan kenyataan tersebut. Kalau tidak, walLahu ‘alam, tidak mustahil ada tindak balas ahli PKR di DUN-DUN yang PAS tandingi. Dan selepas itu apa?

Saya menuntut pendirian tegas dari PAS dan PKR serta DAP kerana PRU ke 14 akan tiba dalam masa beberapa tahun. Pada masa itu orang akan bertanya, “Apa pendirian PAS berhubung Kota Damansara?” Kalau tidak jelas, apa halangan untuk PAS di kawasan dan DUN lain untuk bertindak sedemikian dan PKR di cabang dan DUN lain turut sama berbuat perkara yang sama?

Saya cukup khuatir dengan sikap ‘PAS lebih risau PKR menang lebih kerusi dari PAS’ dan ‘PKR pula risau PAS menang lebih kerusi dari PKR’ menular di kalangan pimpinan dan ahli. Dalam keadaan itu budaya ‘sabotaj mensabotaj’ boleh berlaku. Keikhlasan dalam persepakatan hilang dan sikap berpura-pura menjadi-jadi. Oleh itu amat sangat diperlukan satu pendirian tegas dari pimpinan ketiga-tiga parti PR untuk membuktikan bahawa musuh utama adalah UMNO/BN dengan mengambil tindakan terhadap ahli yang telah ‘break ranks’ atau ‘keluar dari saf’, untuk menikam parti rakan dari belakang dan lebih-lebih lagi dari depan. Kalau tidak, apa sahaja boleh berlaku selepas ini.

Saksikan ya Allah bahawa saya telah memberi nasihat dan teguran ikhlas kepada pimpinan saya!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

lokmanmustafa said…
ada satu lagi kerusi yang saudara khalid tak sebut.

P108 Shah Alam, yg dimenangi calon PAS menewaskan calon BN yg tahap confidence-nya 101%.

masih belum terlambat buat saya mengucapkan tahniah.
Unknown said…
Beberapa analisa kebelakangan ini mantap dan berpandangan jauh. Kita harus menolak politik sempit jika mahu tumbangkan umno/bn. Dan harus berani bongkar jika ada pihak yang nak sabotaj. Syabas KS yang iklas.
YB, saya bangga bermukim di Shah Alam berpemimpinkan YB yang bersikap matang dalam politik. Tahniah juga atas keberanian YB menegur pimpinan. Semoga semangat Khalid Al-Walid sentiasa bersama di jiwa YB Khalid Samad.
Yong said…
Salam semua

Kita tahu Parlimen Shah Alam dulu ditandingi katak Ezam (Keadilan) dan kalah. Tapi kawasan diserahkan pada PAS kerana PKR tak yakin menang.

Namun yang berlaku sebaliknya. DUN ditandingi PKR juga menang kerana muafakat yang baik, walaupun ada GAPS, Gerak, geng kepala lembu dsb. Tahniah PR Shah Alam!
Mat keluang said…
Saudara Khalid.

Kepimpinan saudara di Selangor amat saya banggakan.Kejayaan PAS memenangi lebeh kerusi di Selanor dan kesediaan PAS menyerahkan kerusi MB kapada PKR amat saya banggaka.

Bukan senang hendak menggalahkan BN dan Najib di Selangor.Mereka membelanjakan hampir 1 billion ringgit demi untok menawan Selangor tapi gagal.

Ada dua sebab yang Najib amat susah hati sekarang,Kekurangan pencapaian dalam Pilehan Raya 13 dan kekalahan Selangor.

Saya ingat mungkin Najib pun akan di gulingkan oleh ali ali UMNO yang marah dengan dia.
rick said…
You Sir are a good leader for PAS
Keep up the good work !
Lend your leadership skills and guidance to rural areas where PAS lost to UMNO
UMMATAUNWASOTO said…
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10200528300384142&set=a.4281978241815.2157091.1057092151&type=1&theater

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-