Monday, December 24, 2012

Kelab Malam Di Setia Alam Beroperasi Guna Lesen Kafeteria

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB (mStar Online)

SHAH ALAM: Kelab malam yang dibuka di Setia Alam di sini sehingga menimbulkan kontroversi sebenarnya beroperasi secara haram menggunakan lesen kafeteria.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, berdasarkan mesyuarat dengan bahagian perlesenan dan penguatkuasaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Khamis, pihaknya mendapati kelab malam berkenaan menyalahgunakan lesen bagi tujuan itu.

Selain itu jelasnya, premis berkenaan turut didapati menjual arak tetapi tidak memohon lesen bagi penjualan minuman keras itu.

"Saya diberitahu oleh MBSA, mereka telah mengeluarkan saman dan mengarahkan pemilik premis menghentikan sebarang aktiviti hiburan dan pertunjukan (floor show) dan diarahkan beroperasi sebagai kafeteria.

“Berikutan itu saya telah meminta MBSA supaya mengarahkan agar premis berkenaan menghentikan operasi mereka (kelab malam) dengan serta-merta," katanya pada sidang media di pejabat beliau di sini, Jumaat.

Beliau mengulas laporan muka hadapan sebuah akhbar baru-baru ini yang mendedahkan sebuah kelab malam telah beroperasi di Shah Alam yang secara tidak langsung menggambarkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor mudah memberi lesen bagi aktiviti yang dilarang.

Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS berkata, ia bukannya kelab malam pertama yang dibenarkan di Shah Alam sebaliknya sebuah pusat hiburan yang beroperasi secara haram sejak 12 Disember lalu.

Jelasnya, MBSA masih belum bertindak untuk menghentikan operasi premis itu kerana bimbang terdapat komplikasi daripada segi undang-undang.

"Saya lihat isu ini sebagai bahan politik. Saya minta MBSA memahami bahawa ia bukan sekadar undang-undang tetapi ada implikasi politik.

"MBSA sepatutnya bertindak tegas supaya tidak jadi bahan fitnah oleh pihak tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan memperjelaskan kenapa kelab malam itu masih beroperasi dan bukannya mengarahkan premis itu ditutup dan disita serta merampas peralatan serta minuman keras mereka.

"Datuk Bandar perlu menzahirkan secara profesional tanpa mencampurkan kepentingan politik," katanya.

Ditanya sama ada Khalid akan mengambil tindakan sekiranya tiada tindakan tegas serta merta, beliau berkata, peluang akan diberikan seluas-luasnya kepada Datuk Bandar dan MBSA tanpa campur tangan pihaknya..

"Saya tidak akan ambil apa-apa tindakan cuma mendesak supaya kelab malam itu dihentikan serta-merta," katanya.

Khalid bagaimanapun mengakui bahawa Setia Alam di sini merupakan kawasan perbandaran yang berbeza dengan Shah Alam di mana hampir 70 peratus penduduknya adalah bukan beragama Islam.

"Kalau mereka ingin membuka satu tempat hiburan, maka sepatutnya MBSA mendapatkan maklum balas awam untuk mendengar pandangan penduduk sama ada operasi kelab malam dibolehkan ataupun tidak," katanya.

Ihsan mStar Online
-Pejabat YB Khalid Samad-

2 comments:

PAS SESAT said...

Khalid...

Kat Syah Alam dah ada kelab Malam...bila nak bukak pusat penyembelihan babi secara bersepadu senang sikit Ronnie Liu buat bisnes daging babi..

Grand Marquis said...

Persoalannya ialah kenapa mereka sudah berani menyalah gunakan lesen untuk buka kelab malam, kalau bukan ada kabel yang dibelakang mereka. Kenapa sewaktu BN dulu mereka tak berani salah guna tapi sekarang sudah berani?

Ini menunjukkan sebenarnya kuasa Pas atau orang Melayu sebenarnya sudah lemah. Dan YB sendiri kata tidak akan mengambil apa-apa tindakan selain dari mendesak. Apakah itu saja kemampuan anda sebagai YB yang mewakili Shah Alam. Bukankah kuasa ditangan anda. Bukankah ia kawasan anda. Kenapa takut implikasi perundangan? Apakah lebih takut undang-undang Lord Reid yang dikatakan kufar selama ini dari undang-undang Allah?

Menghukum orang lain memang senang, tapi bila sendiri sudah diberi amanah, baru tau bebannya.