Skip to main content

Banjir di Padang Jawa Klang

Kami sekeluarga kembali ke rumah selepas makan tengah hari di rumah bapa saudara saya, Dato Zaidan pada petang hari raya kedua. Tiba di rumah jam sudah pukul 3 lebih. Bergegas menunaikan solat dan saya pun mengambil peluang untuk berehat seketika. Tiba-tiba pada jam 5 petang saya menerima sms dari ketua kampung Padang Jawa Klang. Beliau mengucapkan Selamat Hari Raya dan memaklumkan bahawa “Kawasan Sungai Rasa, Taman Keris dan Karupiah banjir kilat serius”.

Setelah meminta PA saya yang sedang bercuti di Perak untuk menghubungi bilik gerakan MBSA, saya pun bertolak ke Padang Jawa. Saya difahamkan bahawa MBSA telahpun sedia maklum tetapi banjir berlaku di banyak tempat. Pada masa yang sama kakitangan hanya ada 10 orang. Yang lain bercuti. Saya berhubung dengan bilik gerakan dan diberitahu hanya 2 orang sahaja yang berada di kawasan Padang Jawa Klang.

Saya singgah di Taman Keris dan melihat bagaimana paras air telahpun melimpahi tebing Sungai. Beberapa rumah dimasuki air dan penduduk sibuk menimba air. Mereka menegur saya, sempat mengucapkan Selamat Hari Raya lagi sambil berusaha membersihkan kawasan rumah mereka. Ada yang memberitahu bahawa ada ular yang telah hampir masuk ke rumah mereka apabila mula banjir!



Seterusnya saya telah ke Taman Karupiah dan di situ hampir semua rumah dimasuki air. Penduduk sibuk menimba air keluar rumah. Ada yang mengadu peti ais rosak, permaidani rosak dan barang makanan pun turut rosak kerana ditenggelami air banjir. Setelah melihat keadaan di beberapa lorong, saya bersama seorang penduduk pergi ke sebuah restoran dan membeli makanan untuk mangsa banjir. Ada yang tidak sempat untuk memasak makan malam. Sambil menunggu makanan disediakan, saya ke Masjid Padang Jawa untuk solat Maghrib. Di Masjid saya bertemu dengan beberapa orang yang sedang mencuci kawasan anjung Masjid yang telah juga ditenggelami air!

Sekembali saya ke restoran saya bertemu dengan Ketua Kampung dan pegawai ADUN Batu Tiga. YB Rodziah sendiri berada di Temerloh, balik kampung, maklumlah baru hari raya kedua. Mereka memaklumkan bahawa Taman Manimaran dan Kg. Air kuning juga memerlukan bantuan makanan. Saya terus memesannya dari pihak restoran dan akhirnya 110 nasi bungkus berlaukkan ayam dan sayur untuk mangsa banjir telah dapat disediakan.

Seterusnya saya ke Kampung Air Kuning dan di situ juga hampir semua rumah dimasuki air. Pihak MBSA menyediakan khemah dan menguruskan lagi makanan tambahan untuk mereka dan juga untuk penduduk di Taman Manimaran yang diuruskan oleh pegawai YB Rodziah. Jam 12 saya pun sudah agak keletihan dan oleh kerana mereka tiba lewat sedikit berbanding saya, maka mereka menyatakan bahawa mereka akan uruskan selebihnya tanpa saya.

Sebenarnya pihak kerajaan Negeri telahpun meluluskan bajet sebanyak RM 20 Juta untuk mengatasi masalah banjir di Sungai Rasau. Ini termasuklah pemasangan kunci air dan pembinaan rumah pam serta pembinaan kolam takungan baru. Saya difahamkan dahulu kolam takungan semula jadi terletak di kawasan di belakang I-City tetapi malangnya ianya telah dibangunkan dan ini di antara sebab berlakunya banjir. Malangnya, projek RM20 Juta yang telah diluluskan belum lagi dijalankan sepenuhnya.

Saya akan mendesak JPS untuk menyegerakan projek ini. Pada masa yang sama saya akan juga berusaha untuk mendapatkan sedikit pampasan untuk penduduk yang terlibat, insyaAllah.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Salak said…
Dengan Selat Melaka di sebelah kiri, tangki air semula jadi di banjaran gunung di sebelah kanan [ http://goo.gl/maps/EufM0 Google map] mukjizad besarlah Syabas kehausan selama ini! Dan rugi !

Tapi seriusnya, tak ada sebab rakyat Selangor menganggur dengan berbagai cabaran ini. Nescaya Selangor ada rancangan pengurusan risiko besar bagi menangani semua cabaran ini, selain memberi perlindungan kepada rakyat dan ekonomi yang rancak dengan pengurusan yang tercabar.
jelah said…
isu peraparitan susah nk selesai...
saya ada aduan psl infrastruktur stesen bas ekspress seksyen 17..trok sgt pemandangan...negeri lain punyer stesen bas lawa lgi...portfolio infra kn MB pegang..xkn la xde peruntukan..
umno_baru said…
dugaan di aidilfitri...semoga semua yg terlibat bersabar.
Salak said…
jelah,

Perkara bas -

Cantik satu pasal. Perjalanan bas macam mana?

Bukan perhatian MB soal begini, tapi ini tanggung jawab dia, cara umum!

Soal besar adalah "pergerakan" /mobility. Berapa perkara kita dapat selesaikan dalam masa yang bersabitan melalui bas?

Macam mana soal jadual lagi? lewat? tepat? Dan utama juga keselamatan!

Kalau Selangor tak cekap mesti kena kritikan, untuk baiki lagi !

Soal lain adalah pengurusan - dan tatacara pentadbiran Majlis!

Kena pikir "pilihanraya kecil" bagi Kerajaan Tempatan lagi! Buat apa undi orang yg tak minat berkhidmat?

Sori ...kita bincang-bincangkan lah! ;-))

Popular posts from this blog

Oktoberfest dan Pendirian Saya

Temuramah saya yang dibuat oleh ISMA berhubung isu Oktoberfest telah banyak menimbulkan kontroversi. Mungkin kerana ramai hanya membaca tajuk. Sepertimana biasa. Malas untuk membaca dan faham tetapi teringin sangat mengutuk. Lebih-lebih lagi bila yang memberi komen itu adalah diri saya. Malang sungguh nasib mereka ini. Tidak faham dan terus menceritakan mengikut selera mereka. Sampai ada yang mengatakan saya ‘sokong’ dan ucapkan tahniah. Biasalah. Kalau semua sudah faham, kurang pulalah kerja untuk saya!

Lawatan Kerja ke Kilang Carlsberg

Tajuk posting saya kali ini barangkali akan memeranjatkan sesetengah pihak. Lanjutan daripada perbincangan berhubung Terminal Bas Shah Alam, saya bersama beberapa Ahli Majlis MBSA telah melawat kilang Carlsberg pada hari Khamis 5 Ogos, jam 3 petang. Kami disambut oleh Dato’ Chin Voon Loong, Timbalan Pengarah Urusan Syarikat berkenaan. Beliau memberikan penjelasan dan latar belakang syarikat serta prestasi perniagaannya semenjak ianya mula beroperasi. Untuk makluman semua, kilang Carlsberg Shah Alam telah mula beroperasi pada tahun 1972, iaitu 38 tahun dahulu. Ia merupakan di antara kilang yang terawal di kawasan tersebut dan semasa ianya dibina, hanya hutan dan belukar di kelilingnya.

My Meeting with Dr M

Telah lama saya tidak berkesempatan menulis. Dengan apa yang sedang berlaku dan dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasa, maka inilah masanya untuk saya hidupkan semula Blog saya yang sudah lama tidak dikemaskini.

Saya mulakan dulu dengan tulisan mengenai pertemuaan saya dengan Tun M beberapa minggu yang lalu.

Tulisan ini, dalam Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris telah pun disiarkan oleh Malaysiakini - My Meeting with Dr M beberapa hari yang lepas.