Skip to main content

Mengapa Pengerusi MAIS Bersetuju?


Pendedahan tempoh hari oleh Saudara Rafizi Ramli berhubung konsesi membina dan menyewa asrama KUIS yang diberi kepada Redha Resources Sdn. Bhd (RRSB) yang merupakan sebuah lagi syarikat kroni UMNO, amat mendukacitakan. Jelas terbukti kroni UMNO membina kekayaan atas derita orang Melayu yang kononnya mereka perjuangkan.

Menurut Saudara Rafizi, KUIS telah menyerahkan konsesi pembinaan dan penyewaan asrama ini kepada RRSB pada tahun 2007. Berdasarkan konsesi ini, RRSB akan membina asrama untuk para pelajar KUIS dan menyewakannya kembali kepada KUIS. Konsesi ini adalah bagi tempoh 33 tahun. Kadar sewanya pula adalah RM15.4 Juta setahun. Ini bererti pendapatan RRSB selepas 33 tahun adalah sebanyak RM508.2 Juta.

Setelah menerima konsesi tersebut, pihak RRSB telah melantik rakan kongsi mereka, Bina Puri Holdings Sdn Bhd (BPHSB), untuk membina asrama berkenaan. Harga kontrak pembinaan asrama tersebut adalah hanya sebanyak RM96.1 Juta!

Berdasarkan maklumat dan fakta di atas, adalah jelas bahawa konsesi ini amat menguntungkan RRSB dan membebankan KUIS. Akhirnya beban kos sewaan asrama ini terpaksa KUIS serahkan untuk ditanggung para pelajar melalui yuran yang tinggi. Dalam erti kata lain, UMNO kayakan kroninya dengan menindas orang Melayu, bukan dengan membantu mereka.

Untuk makluman tuan-tuan semua, RRSB adalah milik YB Sulaiman Abdul Razak, ADUN UMNO/BN. Beliau memiliki 51% saham syarikat RRSB dan isterinya pula 6%. Baki 43% adalah milik BPHSB yang telah membina asrama berkenaan. Sekiranya bayaran untuk BPHSB diterima melalui agihan sewa RM15.4 Juta setahun dibuat mengikut peratusan pemilikan sahamnya. Pemilikkan sebanyak 43% saham bererti BPHSB mendapat RM6.622 Juta dari RM 15.4 Juta setahun dan sebanyak RM218.53 Juta selepas 33 tahun. Ini merupakan pulangan yang munasabah bagi BPHSB.

Ini turut bererti bahawa RRSB pula mendapat RM8.778 Juta setahun bersamaan RM289.7 Juta selepas 33 tahun tanpa membuat apa-apa sebenarnya, kecuali menjadi kroni UMNO/BN.

Saudara Rafizi mengecam pentadbiran Khir Toyo atas pengkhianatan ini dan memang sepatutnya beliau bertindak begitu. Tetapi Khir Toyo adalah pemimpin UMNO dan bagi saya ianya tidak begitu menghairankan apabila seorang pemimpin UMNO mengkayakan anak buahnya melalui konsesi yang menzalimi orang Melayu. Itu sudah menjadi kenyataan politik Melayu sejak berzaman. Pemimpin Melayu yang bercakap berkobar-kobar mengenai memperjuangkan Melayu, akhirnya dia kaya sambil Melayu semakin tersepit. Itulah UMNO.

Walaubagaimanapun, yang membuatkan saya lebih hairan ialah mengapa Pengerusi MAIS tidak membantah dan mendiamkan diri?

KUIS adalah milik MAIS 100%! Sebagai Pengerusi MAIS, apabila melihat konsesi berat sebelah sebegini, wajib membantah dan meminta kadar yang lebih munasabah dikenakan. Sebagai seorang yang memikul amanah mentadbir MAIS, beliau wajib mementingkan KUIS dan para pelajar KUIS. Beliau tidak sepatutnya bertindak seperti Khir Toyo dengan bersubahat dalam usaha mengkayakan pemimpin UMNO dengan memerah duit KUIS. Sedangkan ianya amat jelas bahawa perjanjian konsesi ini adalah tidak adil bagi KUIS.

Berdasarkan pendedahan ini, maka sekali lagi kita terpaksa berhadapan dengan persoalan yang sama. Apakah mungkin Pengerusi MAIS juga merupakan orang UMNO? Bertindak melalui jawatannya untuk mempertahankan kepentingan UMNO? Sebelum ini telahpun didedahkan beberapa peristiwa di mana Pengerusi MAIS bertindak bagaikan ‘sehati dan sejiwa’ dengan pihak UMNO dan BN. Pendedahan saudara Rafizi menambahkan keraguan tersebut.

Kemungkinan yang kedua adalah beliau cuai dan akibat dari kecuaian tersebut maka beliau telah merugikan KUIS. Walaupun kecuaian merupakan kesalahan yang tidak seberat ‘bersubahat’, tetapi ianya tetap memalukan dan tidak boleh diterima tanpa sebarang tindakan ke atas kecuaian yang telah dilakukan beliau. Begitu ramai CEO, GM dan Pengurus syarikat dipecat di atas sebab kecuaian yang seperti ini.

Maka, sekiranya pendedahan Saudara Rafizi adalah tepat dan benar; bagi mengelakkan perkara yang sama berulang, tidakkah MAIS sebagai sebuah organisasi ulung yang bertanggungjawab mentadbir dan memegang amanah harta-harta orang Islam sepatutnya mengamalkan dasar pertanggung-jawaban pengurusan yang setegas itu?

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Grand Marquis said…
Saudara Khalid ternyata bersifat simplisitik dengan membuat kesimpulan bahawa RRSB pula mendapat RM8.778 Juta setahun bersamaan RM289.7 Juta selepas 33 tahun tanpa membuat apa-apa sebenarnya, kecuali menjadi kroni UMNO/BN..

Apakah saudara Kahlid tidak fikir bahawa jumlah yang diberikan itu termasuk kos menyelengara asrama KUIS sepanjang tahun? Kosnya termasuk kebersihan, kantin, pentadbiran, membaiki kerosakan, menggantikan perabot, penyediaan Internet dan mungkin lagi bermacam-macam tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh RSSB.

Disini nampaknya Khalid bertindak atas maklumat yang samar-samar dari Rafizi untuk menimbulkan fitnah tak tentu pasal.

Sekiranya RSSB itu untung dalam urusan kontrak pun apa masalahnya. Adat berniaga memang orang nak untung, biar ia orang pas ataupun UMNO. Apakah Khalid merasa hasad dengan melihat saudara seagama membuat untung dalam perniagaan? Kenapa Khalid tidak pula persoalkan para perniaga cina yang kini mengaut keuntungan dari pelbagai kontrak di Selangor dan Pulau Pinang yang sesetengahnya ternyata mempunyai transaksi yang jelas amat meragukan. Begitu juga dengan kes jahit baju di Perak yang mana ternyata ia adalah kronisma dan penyalah gunaan kuasa yang terang dan nyata.

Malangnya bila ada orang Islam yang baru nak buat untung niaga sikit, saudara khalid tiba-tiba mahu menjatuhkan beliau dengan tuduhan-tuduhan yang masih tidak jelas. Inikah Islam ajaran Khalid yang mana Khalid ingin sampaikan dimimbar masjid yang tidak dibenarkan oleh MAIS? Apakah dalam diri anda ni masih ada sifat persaudaraan dan sayang sesama orang Islam?

Kita bukan menyokong rasuah dan kronisma. Sekali pun beliau tu UMNO, sepatutnya saudara Khalid kena siasat dulu apa isi kandungan kontrak dan apa tanggungjawab mereka sebelum membuat tuduhan jahat berdasarkan maklumat yang tidak jelas. Kalau benar ada penyelewengan, dedahkan. Sepatutnya saudara Khalid merasa gembira melihat saudara seagama berjaya, bukannya menhancurkan pintu rezeki saudara seagama.
puspawangi said…
'untung niaga sikit'???siapa pula yg kena dalm proses supaya RSSB dapat 'untung niaga sikit'..???.kalau ulasan Khalid Samad ini terlalu simplistik , mari kita minta dia terangkan dengan panjang lebar dan dalm perkataan2 orang berniaga juta2..
man said…
Grand Marquis awak pun cakap tak serupa bikin dan sama juga menuduh tanpa bukti dimana awak mengatakan para perniaga cina yang kini mengaut keuntungan dari pelbagai kontrak di Selangor dan Pulau Pinang yang sesetengahnya ternyata mempunyai transaksi yang jelas amat meragukan. Tolong sertakan bukti jika cakap awak itu benar. Siapa yg tidak gembira jika saudara seIslam berjaya tapi biarlah kejayaan itu melalui jalan yg betul tiada penipuan. Awak cakap jika ada penyelewengan dedahkan. Inilah sebenarnya pendedahan yg dibuat adakah anda tidak faham atau buat2 tak faham.
Grand Marquis said…
1. Di selangor, skandal pasir yang didedahkan oleh orang tertentu dengan pelbagai dokumen. Kalau rajin google boleh tengok macam-macam dokumen tu.

2. Isu sampah. Macam mana kontrak boleh dibagi pada mereka yang tak de kompaktor sampah sampai last-last kerajaan selangor yang kena belikan kompaktor. Itu baru kira untung atas angin sebab dia jadi kontraktor sampah tapi tak payah ada kompaktor. Last-last tukang bagi tender tu pulak yang belikan. Bestnya.

3. Di penang. Skandal tanah di bayan mutiara yang sampai hari ini disenyapkan, padahal pelbagai dokumen dan pendedahkan telah di kemukakan.

4. Di penang, tanah bayan mutiara dibolot taikun cina. Untung bukan berjuta, tapi berbilion. Tak kisah. Janji bukan orang Islam untung. Kalau orang Islam untung, baru kita cuba jatuhkan dia. Itulah prinsip korang.
Rasa-rasa semua kerja-kerja guaman di selangor sekarang pakai tender terbuka atau bagi kat kroni???

Ini YB tak nak bangkit kan ke??

Dan mana ada perniagaan didunia nak rugi.

satu lagi kalau YB ada perniagaan jual nasi lemak dan adik YB adalah seorang supplier santan,YB ambil santan dengan dia ke atau dengan orang lain??

Sama saja YB ,org UMNO akan bagi kpd org UMNO, org PAS akan bagi kpd org PAS,org DAP kpd org DAP,org PKR lagi la jgn harap nak dapat kat org lain..

Nabi pun tak suruh kita terima sedekah kalau mampu berusaha..sama juga dgn PTPTN sebelum PTPTN berapa ramai anak-anak melayu dapat masuk universiti awam atau swasta??

dan satu lagi SEKOLAH PONDOK pun bukan diberi percuma kerana anak-anak murid semua sama-sama buat kerja rumah atau tolong Tok Guru..

Jangan kita mengajar anak-anak kita menjadi ORANG YG MALAS dan jangan kita kerana bencikan kerajaan,kita mencari dan menuduh semua yang kerajaan buat tidak betul.

Satu lagi YB dulu punya la PEMIMPIN PAS bantai Tun MAhathir bila TUn cakap Malaysia belum bersedia utk HUDUD,sekarang Tok Guru Awang Hadi punya kenyataan pun sama dgn Tun Mahathir,macam mana? Jatuh KAFIR ke Tok Guru seperti mana orang PAS jatuh KAFIR kan Tun MAhathir??
seman said…
Sdr GM;

Saya selalu perhatikan tulisan tuan, tetapi kerap kali saya lihat tuan ubah tajuk perbincangan. Saya akan cuba untuk menerangkan kepada tuan dan sahabat handai yang seangkatan dengan tuan.

Sekarang isu yang hendak dibincang ialah "Mengapa Pengerusi MAIS Bersetuju". Untuk berbicang mengenai isu tersebut maka kita akan terbahagi kepada 2 kelompok:

1. Bersetuju dengan tindakan Pengerusi MAIS
2. Tidak bersetuju dengan pengeruis MAIS.

OK sekarang YB Khalid telah memberikan fakta berhubung kos perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh MAIS yang dianggap sebagai keterlaluan. Jika tuan rasa ia berpatutan maka berikalah sebab mengapa.

Saya berikan contoh. Jika kita beli rumah sekarang melalui bank untuk tempoh pembiayaan selama 30 tahun secara kasarnya, jumlah yang perlu dibayar balik ialah lebih kurang 2 kali ganda. Kalau pinjam 1 juta, lepas 30 tahun bayar balik around 2 Juta. Setuju?

OK sekarang cost pembinaan BPHSB lebih kurang 100 juta termasuk keuntungan (mengapa RRSB tak bina sendiri utk jimat kos kita tak perlu bincang disini). So selepas 30 tahun bayar balik lebih kurang 200 jutakan? Kos penyelengaraan katakanlah 100K setahun walaupun agak tinggi. Maka setahun 1.2 juta dan 30 tahun 36 juta. Kita bagi lebih la utk senang kira, 50 juta utk tampung perbelanjaan luar jangka, cat, maintenance dll. So kos tambahan dlm 250 juta.

Persoalan disini, berapa permberian konsensi?? 508.2 juta!! Ya lebih 2 kali ganda. Tuan rasa jumlah ini patut? Tidak perlu cerita pasir, sampah, penang dan sebagainya. Itu kita boleh cerita lain kali. Sekarang, patut atau atau tak patut?? Kalau rasa patut, sila berikan hujah tuan, kami ingin tahu.

Sdr ZM,

Ini bukan masalah santan 2-3 ringgit. Kalau harga dan kualiti santannya sama bolehlah kita berikan kepada orang yang kita kenal. Ini tidak, sudahlah mahal, santan pulak dah basi! Apa punya adik macam tu? Kalau tuan sayangkan perniagaan nasi lemak tuan, dah tentu tidak akan buat macam tu, lainlah kalau dapat pula komisen sebab beli santan dari adik sendiri, maka lingkup nasi lemak pun tak mengapa.

Lagipun, kalau adik tuan jual santan sampai 2 kali ganda harga pasaran, adakah masih mahu beli dengan dia?

Pasal kenyataan TGHH dan TDM ianya berbeza sbb TGHH tidak menolak hudud dengan mengatakan bahawa ianya tidak sesuai. Cuba pastikan betul-betul.
Grand Marquis said…
Seman,

anda membuat anggaran kos 100k atas dasar apa? Kalau saya nak buat anggaran, saya akan kata 10 juta.

Itu bukan isunya. Isunya ialah kita semua tak tau apa kos disebaliknya. Apa perjanjian mereka. Apa tanggung jawab mereka. Itu belum kira nilai inflasi selama 30 tahun.

Masalahnya ialah tanpa informasi sedemikian, saudara kita YB Khalid Samad memetik dari Rafizi untuk menimbulkan fitnah. Adakah ini satu bentuk ajaran Islam yang mana kita mengambil satu perkara yang samar-samar untuk ditimbulkan fitnah dan kebencian sesama umat, apatah terhadap usaha perniagaan saudara seagama kita? Itu isu asasnya. Bukan kita sokong rasuah atau apa. Kalau betul perjanjian itu meragukan macam dalam kes pasir, maka masa tu baru boleh dipersoalkan.
seman said…
Sdr GM,

Saya buat andaian atas dasar tingginya jumlah tersebut untuk perbelanjaan penyelenggaraan asrama. Pada saya 100K sebulan untuk kos penyelenggaraan adalah tinggi. Mungkin bagi tuan tidak, 10 juta sebulan baru tinggi. Pada saya kalau dapat projek untung 1-2 juta sudah cukup tinggi, mungkin pada tuan tidak. Ini bergantung kepada persepsi masing-masing.

Tetapi apa yang perlu kita semua ingat ialah ini bukan projek perumahan swasta atau kerajaan negeri yang mengeluarkan duit dari peruntukan mereka sendiri, ini adalah projek MAIS yang sebahagian besar dari pendapatannya datang dari wang zakat.

Maka untuk berlaku adil kita berharap agar pihak YB Khalid dan Rafizi akan dapat keluarkan perjanjian tersebut secara terperinci. Saya yakin ada sahabat-sahabat kita di MAIS yang sedia membantu.

Walaubagaimanapun,saya gembira kerana tuan tidak menyokong usaha rasuah dan salah guna kuasa. Bersamalah kita mengutuk perkara tersebut sekiranya ia benar berlaku walau siapa sahaja yang melakukannya.
tuan seman,

TDM pun tak tolak hudud..cuba baca surat dia pada TGNA..baca betul2...
saya setuju dgn tuan GM, sekarang ni pemimpin PAS lebih gemar terus sokong kenyataan pemimpin PKR tanpa usul periksa dan bukti..

maksud bukti adalah dgn dokumen,gambar atau video.

cakap,andaian atau khabar angin bukanlah bukti..
saya pernah cadangkan kepada YB Dzul supaya Kerajaan Negeri beli flat di area rawang utk diberi kepada ibu tunggal,fakir miskin dan anak yatim,tetapi jawapana diberi adalah susah nak buat pasal bukan semua kerja di area rawang, flat tu walaupun murah RM15000 pun org tak nak,masalah transportation. jawaban apa ni?? dah jadi kerajaan usaha la..buat la perancangan dan program utk membantu mereka..dah ada sumber kewangan buat la.. ada PKNS dan Yayasan buat la, guna duit Pusat Zakat Selangor (rasa-rasa Tuanku Sultan takde halangan)..

ini aku tgk lebih banyak mencari kesalahan org,memfitnah tanpa bukti. kenapa tak habiskan masa yg diamanahkan utk berfikir kebajikan rakyat??

jgn banding atau salahkan org BN..

org tua-tua ckp kalau 1 jari menunding kearah org jgn lupa yg 4 jari lagi menghala kepada diri sendiri..

pinda la undang-undang utk selesaikan masalah rakyat..
Saido San said…
Betul tu 4 jari menuding pada awak Zulkarnain Mahmud
HbO said…
Zulkarnain2, betapa dhaif nya kau, tdm tak tolak hudud, tapi boleh kata hudud tu datang drp ahli fekah, nak makan sup tangan pergi ke kelantan dan macam2 lagi penghinaan pada hukum Allah.

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.