Skip to main content

MCA, DAP dan Islam

Semasa menjawab soalan yang dikemukakan berhubung usaha dakwah yang dilakukan, Dr. Mashitah telah menyebut beberapa program yang dijalankan oleh kerajaan BN. Turut disebut ialah peranan IKIM dan untuk mengukuhkan hujjahnya, bagaimana DAP telah berhubung dengan IKIM untuk mendapat penjelasan mengenai Islam.

Mungkin dari satu sudut maklumat ini dikemukakan sebagai bukti betapa gigihnya usaha dakwah yang dijalankan oleh pihak BN. Namun dari sudut yang lain ianya mendedahkan sikap ingin tahu dan keterbukaan DAP yang sering diselar oleh BN sebagai musuh Islam. Saya diberitahu bahawa ada dari kalangan penceramah UMNO yang melampau sehingga sanggup mengisytiharkan DAP sebagai ‘kafir harbi’! Pengistiharan ini sudah pasti dilakukan oleh seorang yang jahil tentang implikasi dari pengisytiharan yang sebegitu!

Apabila saya mendengar Dr. Mashitah mendedahkan bahawa DAP telah berhubung dengan IKIM untuk mendapat penjelasan berhubung Islam, secara spontan saya bertanya, tetapi malangnya tanpa microphone, MCA tidak berhubung untuk tujuan yang sama ke? Soalan saya hanya sempat dijawab oleh Ahli Parlimen PR bahawa MCA tidak minat dan Dr. Mashitah terus duduk, mungkin merasa sedikit kesal bahawa maklumat tersebut telah didedahkan.

Apa pun kita semua memahami bahawa sikap MCA terhadap Islam adalah lebih keras berbanding DAP. Perkara ini semakin ketara hari demi hari. MCA menganggap mereka tidak perlu mempelajari Islam, mereka sudah pakar! Ini terbukti apabila MCA telah menganjurkan Seminar Hudud yang dihadiri ahli UMNO. MCA yang menjelaskan tentang betapa undang-undang hudud tidak boleh digunapakai di Malaysia dan ahli UMNO yang merupakan penasihat agama kepada MB Terengganu mengiayakannya dengan menyatakan bahawa undang-undang hudud yang digembar-gemburkan adalah sebenarnya hudud PAS dan bukan sebahagian dari undang-undang Islam.

Begitu juga baru-baru ini apabila telah diadakan debat di antara CSL dan LGE. Di antara serangan CSL terhadap LGE ialah kononnya bagaimana DAP dikudakan PAS. Dalam ucapan CSL beliau telah menyatakan bagaimana MCA telah berjaya memastikan UMNO tidak membawa isu perundangan Islam dan hudud! Beliau seterusnya mencabar LGE samada DAP sanggup membuat perkara yang sama terhadap PAS! Sekiranya tidak, maka kononnya ianya bukti bahawa DAP tunduk pada PAS.

LGE menjawab bahawa DAP tidak akan mengganggu ummat Islam dan amalan agama mereka sepertimana PAS juga tidak mengganggu orang bukan Islam dan amalan agama mereka.

Sikap menghormati Islam dan ummat Islam telah kerap dizahirkan oleh DAP kebelakangan ini. Ini termasuklah dasar-dasar yang dilaksana di Pulau Pinang di mana bajet untuk pentadbiran agama Islam telah dilonjakkan hampir 5 kali ganda dan bantuan terhadap sekolah agama Islam dan Maahad Tahfiz jauh melebihi apa yang pernah diberikan oleh BN sebelum ini. Fakta sebegini tidak ditonjolkan media perdana yang dikuasai UMNO/BN. Media UMNO/BN ingin terus membohongi rakyat, khususnya orang Islam.

Apabila ditanya oleh pemberita akhbar Cina mengapa LGE memberi sumbangan yang begitu banyak kepada pendidikan agama Islam di Pulau Pinang, termasuk sumbangan wang kepada golongan murid yang berjaya menghafal Al-Quran, LGE menjawab, “Apabila ummat Islam berpegang kepada ajaran agama Islam, mereka tidak akan terlibat dalam rasuah”.

Sikap ingin ummat Islam menghayati Islam dengan sepenuhnya sehingga mencorakkan tindak-tanduk mereka dalam semua urusan, termasuk politik, jauh berbeza dengan sikap yang ditunjukkan seorang MP UMNO baru-baru ini. MP UMNO ini menyatakan bahawa janji Syurga adalah rasuah politik yang terbesar! Kenyataan sebegini mungkin adalah hasil dari UMNO berguru dengan MCA dalam soal agama sehingga ganjaran dan hadiah yang Allah sediakan bagi orang-orang yang beriman yang patuh dan taat pada perintahNya boleh disifatkannya sebagai rasuah terbesar! Maka adakah ini dengan sendirinya bermakna bahawa Allah adalah perasuah terbesar dan Rasulullah (SAW) adalah agen perasuah terbesar!? Astaghfirullah Al-‘Azeem!!

Bagi PAS, orang Islam perlu diingatkan akan janji Allah dan dididik sehingga menerima janji ini sebagai perkara yang terpenting dalam hidup mereka. Semua amalan mereka adalah bertujuan untuk mencapai kereDhaan Allah, samada ianya ‘amalan dunia’ ataupun ‘amalan akhirat’. Pada hakikatnya semua akan mempunyai kesan kepada kedudukan kita di akhirat kelak.

Sedih apabila difikirkan, aneh tetapi benar. MP UMNO yang tidak mahu Syurga (ataupun kereDhaan Allah) dijadikan sebagai matlamat amalan ummat Islam dalam berpolitik sehingga digelar ‘janji syurga’ sebagai rasuah sambil UMNO dianggap parti yang memperjuangkan kepentingan Islam. DAP yang ingin ummat Islam berpegang kepada Islam sehingga memberikan galakan dan sokongan tetapi DAP pula digelar musuh Islam!
Hakikatnya, yang merosakkan ummat Islam bukan semestinya orang bukan Islam. Kebiasaannya, ianya adalah bermula dari para pemimpin yang beragama Islam tetapi ingin ummat Islam menjauhi ajaran Islam, khususnya dalam soal berpolitik. Mereka lakukan ini kerana mereka ingin memanfaatkan kekuasaan mereka tanpa dibataskan oleh syara’. Rasuah, penyelewengan, maksiat dan kerosakan menjadi amalan biasa disambil Masjid-masjid besar dibina disetiap pelusuk. Projek pembinaan Masjid-masjid indah mendatangkan ‘komisyen’ dan pada masa yang sama rakyat serta ummat Islam boleh ditipu dengan projek keagamaan seperti ini. Sambil itu, kekayaan Negara terus dirompak.

Semoga ummat Islam di Malaysia dapat memahami hakikat yang sebenar dan menyedari penipuan yang dilakukan oleh UMNO dan BN. Semoga dengan itu akan Malaysia dibebaskan dari kongkongan jahat para pemimpin yang beragama Islam tetapi menghalang penghayatannya.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

lan said…
Kasihan dengan puak2 yg sama mengaku Islam tapi jauh dari pegangan Islam.. dan pada masa yang sama, ada ramai non Muslim lebih menterjemah kan nilai2 islam dalam kehidupan mereka
lillahitaala said…
Saya setuju dgn pendapat YB. Jazakallah
kadiak said…
Yb bercakap sebelah pihak spt gabungan yg ideal dap pkr dan pas. Ape yg sy lihat spt gabungan org yg bersalah yg terlajak perahu kembali ke pangkal jalan tetapi hakikat masing tujuan perahu masing masing tujuan lain misi lain visi lain dan matlamat lain. Berbeza dgn hala tuju bn, mca dan dap peranan nye same perjuangan wakil kaum cina, harap maklum tidak bisa dgn islam, pkr adalah parti 2 alam keadilan diutamakan, pas cenderung kpd islam tetapi kemana arah tuju? Berkebajikan? Baiklah sy rungkai berkebajikan, dlm islam ade kebajikan, dalam pas ade kebajikan, dalam dap tiada kebajikan hanye hipokrit, kenape? Kenape hukum hudud tidak dilaksanakan? Jwapan belum lg fasa kedua buat? Kalau fasa kedua tak buat juga? Boleh tolenransi ker? Mca dah tentu kita paham kenape dia tolak. Umno tolak kenape? Belum waktunye kurang ilmu, tiada kkesungguhan? Betul tak? Tetapi lebih tehruk lg pas dah cakap nak buat skang ni tukar strategi dahwah nak dakwah dap plak? Kenape tak dakwah umno terang lg org islam? Sekira gabungan dap pkr dan pas berjaya menakluk malaysia acuan apakah yg hendak diberikan? Negara islam atau negra berkebajikan?kami memilih negara islam lebih baik dari segi branding sebab boleh menjadi negra contoh negara islam lain dan juga bukan islam. Rakyat sudah busan dgn menuding jari bn penyebabnye, bg sy, fomula utk bergabung memartabat negara islam di malaysia tidak laintidak bukan ialah berdakwah cintakan islam disetiap hati rakyat malaysia khusus kpd org melayu iaitu islam. Gabungan umno dgn pas merupakan jln penyelesaian yg sebenar pecayala yb. Tukar name parti terus satukan saya cadangkan parti islam bersatu
Reza Pahlavi said…
Apakah ancaman terbesar sekarang?

Kalau tanya UMNO, jawapannya ialah KRISTIANISASI.

Kalau tanya MCA, jawapannya ialah ISLAMIZATION.

Jawapan berbeza 180 darjah walaupun kedua-duanya dari Barisan Nasional!
Larasepi said…
WADUH2kalo tgok bahasanya YB..nmpak ada cai2 indon s pendntang haram projek ic pree n bgikn kusrus keusahawan ni..nak heran pe da sama2 mentekedarah rasuah ( len bentuk la) n masyukkkk..wei si kitul keparat..blik Indon la..usah bikin onar kat negeri orang..p duk negeri batak n papua sana..
Grand Marquis said…
Lebih baik berkawan dengan orang yang jelas pendiriannya daripada berkawan dengan musuh dalam selimut.

Selama ini MCA jelas memperjuangkan hak kaum cina dan mereka tidak bersifat apologetik terhadap tindakan mereka. Bezanya ialah DAP selama ni melaung-laung malaysian malaysia, tapi hakikatnya sebuah parti kauvanistik cina. Lihatlah baru-baru ni DAP bagi sokongan pada Dong Jiong. Macam mana orang yang mendakwa Malaysian Malaysia tapi tak sokong pendidikan kebangsaan? Macam mana orang yang sokong Malaysian Malaysia tapi tak nak bagi cikgu Melayu dan India mengajar di sekolah cina?

Sikap ni sebenarnya sudah cukup untuk kita menilai kedudukan DAP. Bila kehulu dan kehilir tanya pasal Islam, dan berusaha untuk tonjolkan diri sebagai pembela Islam, lagilah kita perlu berhati-hati.

Cara berpolitik Lee Kuan Yew pun sama. Hanya dengan satu sokongkok aje, habis orang Melayu terpesona. Akhirnya kedudukan orang Melayu tergadai lantara songkok Lee Kuan Yew. Tidakkah kita lihat pattern yang sama. Kalau mereka begitu minat pada Islam, diam-diam pi belajar. Lepas tu masuk Islam. Bukannya pergi kehulu dan kehilir tunjuk bertapa Islamiknya mereka.
Ada jenis manusia yang tak mahu terima hakikat ada pihak yang berusaha untuk mengetahui Islam..jenis manusia yang tak puas hati walaupun ada sedikit kebenaran dihadapan mata akan tetap dispinkan isu ini seperti kafir Quraisy yang dibuktikan dihadapan mereka mukjizat tetapi akan tetap menuduh Nabi membuat sihir dan bla2..

Ada tuduhan mengatakan pemimpin sebuah negara bersongkok untuk menarik perhatian pihak lain.. tapi tak sedar ke kita di Malaysia ada pemimpin besar negara sanggup memakai kalong bunga menyambut perayaan dan upacara kaum lain untuk tujuan 'memancing' sokongan..

Apa besar pemimpin besar di Malaysia dengan pemimpin besar di negara Jiran..Itulah berhujah tak mahu guna akal.. tapi dengan nafsu tanpa melihat masalah itu juga terpalit kepada pemimpin kesayangan mereka.

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.