Skip to main content

Status Report – Bencana Yang Melanda Beberapa Kawasan Di Shah Alam

Sambil media disibukkan dengan berita ‘roadshow’ anti PR dan PAS yang dijalankan oleh ‘kontraktor upahan’ UMNO, Shah Alam telah mengalami beberapa peristiwa ‘bencana kecil’ yang perlu ditangani oleh MBSA, ADUN dan Ahli Parlimen. Sambil tohmahan dan fitnah terus dilemparkan, usaha menangani bencana dan memelihara kesejahteraan masyarakat tetap diutamakan.

a) TANAH RUNTUH DI BUKIT BANDARAYA DAN TANAH MENDAP DI SEKSYEN 7
Satu mesyuarat telah diadakan pada 17 Februari yang lepas bagi membincangkan bencana tanah mendap di Seksyen 7 dan tanah runtuh di Bukit Bandaraya. Mesyuarat ini yang dipengerusikan oleh Dato Bandar turut dihadiri oleh IKRAM, JKR, PKNS, PDRM, Pemaju dan wakil penduduk. Mesyuarat ini bertujuan untuk mengenal pasti sebab berlakunya masalah tanah mendap dan tanah runtuh sambil tindakan yang perlu dilakukan sambil siasatan dan kerja pemulihan dilakukan.

Selaku Ahli Parlimen Shah Alam saya turut serta di dalam mesyuarat berkenaan, bukan untuk memberi pandangan teknikal tetapi untuk menentukan penduduk di kedua-dua tempat ini mendapat pembelaan dan tidak dilakukan penyelesaian ‘cin-cai’ atau secara kosmetik tempelan semata-mata. Oleh itu saya merasa teruja apabila melihat kehadiran semua pihak termasuk pihak IKRAM yang bertanggung jawab untuk memberi pandangan teknikal ke arah penyelesaian menyeluruh.

Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pemaju dan PKNS yang telah juga turut serta dalam mesyuarat tersebut. Sikap bertanggung-jawab mereka terhadap projek mereka yang menghadapi masalah setelah hanya 6 tahun amat di alu-alukan. Sikap sebeginilah yang perlu dipupuk demi menjamin hak pembeli sentiasa diutamakan.

Melalui kerjasama yang sebegini saya yakin masalah ini dapat diatasi dengan baik dan pada masa yang sama ianya akan menyediakan pengalaman dan pengajaran kepada semua pihak, termasuk pihak MBSA dan jabatan kejuruteraannya, untuk menjamin ‘kesilapan atau kelemahan’ yang sama tidak akan berulang lagi dalam projek di masa hadapan insyaAllah.

Dua keluarga dipindahkan di kawasan Bukit Bandaraya dan kemungkinan besar, beberapa rumah di Seksyen 7 akan turut dikosongkan untuk memungkinkan siasatan dilakukan secara terperinci.

Pandangan peribadi saya secara umum di peringkat awal ini ialah kedua-dua masalah berpunca dari masalah aliran air yang tidak sempurna. Aliran air telah terpesong pada awalnya hasil mendapan di Seksyen 7 dan ini telah akhirnya menyebabkan hakisan berlaku secara berterusan dengan lebih kencang hingga terhasil keadaan ‘terlopong’ di bawah rumah-rumah berkenaan.

Begitu juga di Bukit Bandaraya di mana peparitan di lereng bukit tidak diselenggara sehingga air tersekat, melimpah dan menembusi ke belakang lapisan konkrit (gunite) sehingga ianya mengembung dan akhirnya pecah.

Saya yakin MBSA akan memantau proses siasatan dan pembaik-pulihan yang sadang dijalankan dengan baik. Saya akan memainkan peranan untuk menentukan ianya berjalan lancar, insyaAllah.

Pada 22 Mac satu lagi mesyuarat diadakan dan di kedua-dua tapak pemaju telah melantik pakar rujuk Geo-Teknik untuk menjalankan kajian atas sebab-sebab dan punca masalah. Kajian awal telah dilakukan dan kajian terperinci akan dilakukan seterusnya.

b) KESAN RIBUT DI TAMAN BUKIT SUBANG
Kerja-kerja pembaik-pulihan sedang dijalankan di Pangsapuri Melur dan ianya hampir siap. Kerja-kerja pembaik-pulihan sudah juga bermula di Pangsapuri Kiambang dan saya difahamkan telah pun mencapai tahap 70% siap.

Bagi Apartment Teratai, bahan yang diperlukan sudah mula tiba dan rangka bumbung telahpun mula dipasang. Kerja-kerja untuk Teratai jauh lebih banyak dan nilainya lebih besar kerana melibatkan seluruh bumbung termasuk siling dan rangka bumbung. Kontraktor telahpun dilantik dan saya diberitahu kerja-kerja ini akan mengambil masa beberapa minggu. Kesemua keluarga terlibat telahpun dipindahkan ke unit yang masih kosong, hasil kerjasama MBSA dan Sime Darby.

Kos pembaik-pulihan akan ditanggung oleh kerajaan Negeri melalui tabung ‘Skim Ceria’ walaupun bantuan kemalangan telah disediakan oleh pihak Jabatan Kebajikan dan Lembaga Zakat Selangor.

Saya ucapkan tahniah atas kesediaan kerajaan Negeri membantu rakyatnya dalam menghadapi keadaan yang agak mencabar ini. Kos keseluruhannya mencecah lebih dari RM250,000. Dalam pada itu Pejabat ADUN dan Ahli Parlimen turut menyumbang untuk menampung kos pembaik-pulihan.

Perlu juga saya ceritakan bahawa semasa hari kejadian, Ketua Bahagian UMNO kawasan Shah Alam telah turun ke Taman Bukit Subang. Lawatan beliau yang selama dua ke tiga jam itu mendapat liputan media, khususnya TV3. Pihak yang telah bertungkus lumus dan yang telah berada di sana sehingga ke larut malam untuk beberapa hari secara berturut-turut, langsung tidak mendapat apa-apa liputan. Begitulah cara mereka menipu rakyat. Itu pun masih ada yang menafikan TV3 adalah TV UMNO!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.