Skip to main content

Lain Yang Ditanya Lain Yang Dijawab

Saya membaca respon dari Dato’ Adzib berhubung ‘pertemuan MAIS, JAIS, Wakil Pejabat Peguam Negara dan 45 NGO’ yang disiarkan oleh beberapa laman berita alternatif dengan perasaan penuh minat. Apa yang dipersoalkan ialah tujuan pertemuan itu dan ‘statusnya’, iaitu sama ada ianya pertemuan rasmi atau sebaliknya.

Responsnya ialah, pengerusi pertemuan ialah exco agama, orang keliling MB yang ingin menjatuhkan MB bukan MAIS ataupun JAIS dan akhirnya, beliau meminta peguam-peguamnya untuk mengkaji samada ada ruang untuk saya disaman. Lain yang diminta lain pula yang dijawab!



STATUS PERTEMUAN
Saya tidak tanya siapa yang mempengerusikan pertemuan berkenaan. Saya tanya adakah pertemuan tersebut pertemuan rasmi atau sebaliknya. Sekiranya rasmi, maka di mana surat jemputannya, apa agendanya dan mana minit mesyuaratnya? Sekiranya semua itu tidak ada dan pertemuan diadakan secara jemputan bisik-bisikan, tanpa surat rasmi, maka sudah pasti ianya pertemuan konspirasi gelap! Atau ianya satu kebiasaan untuk MAIS dan JAIS membuat pertemuan ‘konspirasi gelap’ sebegini? Mirip tahap profesionalisma BN kalau begitu!

Saya ingin tahu siapa yang menjemput dan menganjurkan pertemuan, bukan siapa yang jadi pengerusi. Pengerusi kadang-kadang main tangkap muat sahaja, lebih-lebih lagi pertemuan TIDAK rasmi. Ada yang dijemput hadir, bila hadir, dia diketengahkan sebagai pengerusi sebagai tanda ‘hormat’ kononnya. Akhirnya pengerusi tersebut hanya sekadar memberi laluan untuk Pengerusi MAIS dan wakil pejabat Peguam Negara bercakap! Itu merupakan satu kemungkinan, bukan saya menyatakan ianya berjalan begitu.

Berhubung kenyataan Yusri dari PEMBELA yang keluar dalam Sinar Harian, adalah jelas dia bercakap mengenai pertemuan lain. Bukan pertemuan yang saya maksudkan. Namun oleh kerana dia dari PEMBELA, maka mungkin dia merasakan dirinya terpanggil untuk membela Dato Adzib, walaupun dia tidak tahu hujung pangkal. Tidak mengapa, saya maafkan dia.

ORANG KELILING MB YANG INGIN MENJATUHKAN MB!
Amboi-amboi Dato Adzib, bukankah saya sudah kata, kalau teringin sangat main politik, harap terjun masuk gelanggang. Jangan guna jawatan dalam MAIS untuk berpolitik, tidak manis. Yang geli hatinya, Dato Adzib kata kenyataan saya tidak bertanggung-jawab! Yang kenyataan dia yang jelas bertujuan untuk mengadu-domba dan menimbulkan syak wasangka di kalangan MB dan ‘orang kelilingnya’ dia anggap kenyataan bertanggung jawab?

Saya rasa Dato Adzib perlu samada buktikan tuduhan liar beliau dengan mendedahkan siapa yang dia maksudkan atau minta maaf kepada kerajaan dan rakyat Selangor atas kenyataan beliau yang tidak bertanggung-jawab dan celupar itu.

Bagi saya, lagi banyak dia bercakap, lagi nampak jalur biru tua atas dahinya, biru tua UMNO/BN lah apa lagi.

INGIN SAMAN?
Respon ini yang terhebat. Orang-orang macam Dato Adzib anggap mereka ini tidak boleh dipersoal, seolah-olah mereka ini maksum. Kamu soal, saya saman kata mereka!

Hakikatnya saya tidak menuduh apa-apa; saya hanya bertanya melalui pembuka ayat “saya difahamkan..”, betul atau tidak betul tidak tentu lagi. Menunggu jawapan darinya. Yang dia pula tiba-tiba ingin melompat apa hal?

Saya sebagai wakil rakyat Parlimen Shah Alam merasa yakin bahawa warga Shah Alam ingin tahu samada MAIS digunakan sebagai ‘kubu pertahanan terakhir’ orang-orang UMNO dan diperkudakan untuk tujuan politik menjatuhkan MB ataupun sebaliknya. MAIS bukan parti politik dan saya rasa yakin rakyat Selangor, bukan sekadar warga Shah Alam, tidak redha sekiranya MAIS dijadikan alat politik UMNO atau mana-mana parti politik sekali pun.

Tapi inilah masalah orang yang berotak UMNO, dulu, sekarang dan selamanya. Mereka anggap jawatan mereka anugerah UMNO untuk digunakan sesuka hati mereka demi kepentingan UMNO dan tiada yang berhak untuk mempersoalkan tindakan mereka. Sedangkan saya difahamkan MAIS mendapat banyak kelebihan, seperti tanah dengan harga yang ‘istimewa’ atas alasan demi kepentingan ummat Islam Selangor, bukan ianya turun dari langit atau dari kocek bapa mereka! Ianya tetap dari khazanah kekayaan Negeri Selangor! Namun mereka anggap mereka tidak boleh disentuh atau disoal, kononnya.

Saya ingin sampaikan satu berita buruk kepada mereka ini. Pakatan Rakyat merupakan kerajaan yang berpaksikan ketelusan dan pertanggung-jawaban. Budaya mereka yang jelas bertentangan itu perlu ditukar!

Adakah itu sebabnya mengapa mereka dikatakan ingin menjatuhkan MB? Supaya dinaikkan kembali UMNO/BN supaya budaya mereka yang tidak telus dapat diteruskan? Terfikir pula, apa yang ingin mereka sembunyikan?

ORANG POLITIK TIDAK BOLEH BERCAKAP MENGENAI ISLAM
Ada orang yang kata “Tanah Melayu tidak pernah dijajah”. Saya kata bukan sekadar dijajah, malahan sehingga hari ini, masih ada otak yang tidak merdeka. Kata-kata yang ingin memisahkan politik dengan agama sehingga melarang orang politik bercakap menganai Islam, adalah tanda otak seseorang yang masih tidak merdeka. Ianya dijajah British dengan fahaman sekularisma mereka yang ingin memisahkan agama dengan politik!

Saya faham mengapa British ingin memisahkan agama dari politik. Ianya adalah kerana mereka melihat Islam itu sebagai sesuatu yang mengancam kuasa dan kedudukan mereka menjajah Negara ummat Islam. Kerana itulah Islam dilihat sebagai sesuatu yang merbahaya dan oleh itu tidak boleh dibenarkan untuk mewarnai pemikiran politik ummat Islam kembali setelah jatuhnya Khalifah Othmaniyyah. Dengan kerana bahayanya Islam sebagai kuasa politik, maka British mengharamkan peranan agama dalam politik. Orang politik tidak boleh bercakap mengenai agama kerana Islam itu bahaya! Adakah Dato Adzib juga mempunyai I’tiqad sebegini?

Jika diturut pegangan ini, maka Rasulullah (SAW) sendiri tidak akan diberi tauliah kerana Baginda seorang pemimpin politik. Khulafa Ar-Rasyidiin, iaitu Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali (RA) kesemua mereka juga akan bermasalah mendapatkan tauliah di bawah pentadbiran Dato Adzib. Pegangan ini bercanggah dengan apa yang dituntut oleh Islam sendiri dan boleh dianggap sebagai satu pegangan yang salah dan sesat. Ia berpaksikan fahaman bahawa agama tidak ada kena mengena dengan urusan dunia seperti yang terkandung dalam ungkapan “beri kepada Ceaser (pemerintah) hak Ceasar dan beri kepada Tuhan hak Tuhan”. Ianya seolah-olah menyatakan bahawa hak Ceasar tidak terjatuh di bawah kekuasan dan hak Allah. Adakah Dato’ Adzib membawa ajaran songsang ini?

Sepatutnya, sebagai orang Islam, kita perlu mengalu-alukan usaha mencorakkan politik mengikut ajaran-ajaran Islam serta kemampuan ahli politik untuk memahami, membicara dan mengamalkan Islam. Mengapa kita ingin halang berkembang-luasnya pengaruh Islam ke dalam arena kehidupan masyarakat, dalam aspek sosial, ekonomi, perundangan dan juga politik? Kerana UMNO tidak mampu? Dan oleh kerana UMNO tidak ingin dan tidak mampu, maka Dato Adzib ingin jadi penghalang tersebar-luasnya budaya politik Islam di Negeri Selangor? Supaya orang tidak akan dapat melihat ketidak mampuan UMNO kerana melalui undang-undang Adzib ini, yang lain akan turut terhalang?

Amatlah malang bagi ummat Islam di Selangor apabila badan Islam seperti MAIS takut pada Islam dan ingin menghalang berkembang-luasnya kefahaman rakyat Selangor terhadap Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna. Saya doakan DYMM Sultan Selangor tidak terpengaruh dengan pemikiran yang songsang sebegini dan akan menyedari bahawa hanya kebaikan dan kerahmatan akan terhasil apabila semua rakyat Negeri Selangor, bukan sahaja ahli politik bercakap dan beramal mengikut ajaran Islam.

DIDAKWA JAIS
Saya didakwa JAIS! Bukan kerana khalwat atau meminum arak, tetapi kerana saya bercakap menengai Islam. Dan apa yang saya sampaikan tidak pula dikatakan salah dari sudut maksud dan isi kandungannya, hanya saya tidak dibenarkan bercakap mengenai Islam.

Saya tidak mahu berbicara panjang mengenainya di sini. Saya hanya ingin bertanya, siapakah yang berani mengharamkan sesuatu yang telah diwajibkan Allah dan RasulNya?

Islam bukan milik JAIS sehingga dianggap JAIS berhak memberi kebenaran atau melarang seseorang bercakap mengenai Islam. Sebagai seorang Muslim, saya berhak bercakap mengenai agama saya, iaitu Islam dan memang digalakkan, malahan ada yang menyatakan wajib menyampaikan risalah Islam.

Kalau ada yang disampaikan didapati tidak betul dan bercanggah dengan ajaran Islam, maka dakwa saya atas sebab itu, bukan kerana saya bercakap mengenai Islam! Kerana itu adalah sebahagian dari tugasan saya sebagai seorang Muslim dan pimpinan Parti Islam.

Dan insyaAllah akan saya teruskan, seperti yang pernah disabda oleh Rasulullah (SAW):
“Walaupun diletakkan Matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku untuk ku tinggalkan kerja ini, tidak akan aku lakukan sehingga Allah memberikan kemenangan kepada usaha ini atau membinasakan ku dalam memperjuangkannya” (Au kama Qal).

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

4RAKYAT said…
haha!! yes, go get him yb. dont let go! little napoleons like this should be persecuted till the end.

DO NOT LET HIM SLEEP WELL. HE MUST ANSWER!!!

u can see/feel this adzib fella is twisting and sweating in his sleep.

KEEP UP THE MOMENTUM. WE THE RAKYAT SUPPORT YOU ALL THE WAYYYYYYYYYYYYYYYYYY!

4RAKYAT

4RAKYAT
mut said…
Penang pun sama. Dalam masa 2 minggu lepas GE 2008 je dah dengar puak-puak UMNO dalam JPA sabotaj kerajaan negeri.
Ellese A said…
Salah tetap salah. Peraturan tetap peraturan. Sultan tidak mahu umat islam di pecahbelahkan ketika Di masjid. Sultan mahu umat islam bersatu dalam Ibadahnya. Mengagungkan hanya Allah. Bukan PAS mahupun UMNO. Tiada politik. Semua sama dan bersama. Ini perkara maaruf dan wajib diikut.

Kau pula hanya nak berpolitik: mengadu domba dan memecahbelahkan kita walaupun yang ke masjid hanya untuk bersolat. Niat kau satu: menjatuhkan UMNO. Nawaitu tak betul. Ini perkara mungkar yang perlu di bendung dan dihalang.
4RAKYAT said…
"jatuhkan umno" is "nahi mungkar".

ellese a, which part of this do u not understand????

medan pilihanraya tak adil. spr, yang patutnya bebas dan tak main politik, tidak begitu.

medan arus perdana tak adil. semua suratkhabar, radio dan televisyen dimiliki umno ataupun mca. berat sebelah.

tangan diikat. mata ditutup. humban [akatan rakyat masuk gelenggang. inikah "perkara maaruf" yang engkau maksudkan? sebagai manusia, engkau ada "sense of fairness and justice" atau tidak?

skarang ngkau tahu kenapa pas kena masuk masjid?? ada cara lain? umno engkau orang beri senapang paling canggih, orang pakatan nak pakai senapang, engkau cakap banyak2. is this fair?

i tell u why pas has to go to the mosques. it's because SYAITAN DAH MASUK MASJID DAN SURAU. jadi kena masuk masjid BUNUH SYAITAN.

kalau tidak, SYAITAN (UMNO) akan terus membunuh (memperbodohkan umat islam/melayu) dalam masjid dan lepas tu, SYAITAN (UMNO) akan keluar ikut pintu belakang sambil diperlindungi oleh sekerat dua iblis dari JAIS dan JAKIM dan MAIS dan sbgnya.

faham???!!!

p/s: to all those muslims/malays who are reading this, the non-malays cannot do much to save the country. your own people are 95% of the enforcements. only you can save them/us. save us all.

i dont know much about your religion. i just know that umno has succeeded in distracting u all from the main issue - CORRUPTION. how many of you know anything about pkfz, about those "commissions" in arms deal, about toyol's disneyland rendezvous, about all those direct tenders. THESE ARE THE READL ISSUES. pls focus.

4RAKYAT
Shazlan said…
Ellese A,

First of all, salah tuh undang2 manusia. Rasulullah kata, sampaikan walaupun satu ayat. JAIS kata takleh unless ada tauliah. Kata2 siapa ko nak dgr and pegang, tepuk dada tanya iman sendiri!

Plus, to my knowledge, YB Khalid takde citer pasal politik sgt pun masa dia bagi ucapan. Kalau ada skit2 pun, bukankah politik itu sebahagian dari Islam???

Wassalam
kekura said…
kepada shazlan,
rasulullah kata sampaikan walau satu ayat, tp adakah nak menyampaikan itu hanya boleh melalui ceramah? bukankah kita boleh menyampaikan kepada kawan2 kita yg lagha, kaum kerabat kita dll kat meja makan, kat shopping complex dll?
politik itu bukan sebahagian dari islam sebaliknya, politik hendaklah cara islam. jauh bezanya tu.

kepada ellese a.,
masjid bukan tempat solat sahaja tp masjid juga merupakan tempat menuntut ilmu.

kepada khalid samad, dan politicians baik umno, pas, pkr, kita dll.
nak bagi ceramah ke masjid hendaklah mempunyai ilmu yg tinggi, kalau setakat baca buku agama ketika masa lapang tidaklah layak utk berceramah di masjid. jd untuk kita yg kurang ilmu ini, kita dengarlah apa yg guru2 yg alim2 tu cakap lepas tu kita sampaikan kepada orang yg tidak hadir, itu lah yg lebih tepat dengan hadis sampaikanlah biar pun satu ayat.

kepada 4rakyat,
we always blame the government for corruption, but the private sector is also to blame for this virus. who "rasuah" the government if not the private sector? i dont think that jabatan kerja raya will rasuah jabatan pengairan dan saliran?
the private sector is the "api dalam sekam". they shout of corruption when they didn't get the project but very generous to hand luxurious gift to officials when they get one. corporate world is equal to politics, they are full of scums and greedy bastards.
so every body should muhasabah diri.

Popular posts from this blog

Berakhirnya Drama RUU 355?

Drama perlaksanaan sistem perundangan Islam yang mengambil bentuk usul persendirian YB Marang berhubung Akta 355 kelihatan menghampiri adegan penamatnya. Pada peringkat kesudahannya UMNO/BN kelihatan sebagai pihak yang meraih keuntungan terbesar dengan pembangkang berada dalam keadaan berpecah dan tidak bersepakat. Keutuhan Pakatan Rakyat yang telah mewarnai pilihan raya ke 13 pada 2013 sudah jelas hilang. Yang sepatutnya mengambil tempatnya, iaitu Pakatan Harapan, masih dalam keadaan sedikit terumbang-ambing, khususnya berhubung hubungan dengan PAS.

Tindakan UMNO/BN untuk mensasarkan PAS melalui isu perundangan Islam adalah satu ‘master-stroke’ yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak. Melaluinya bukan sahaja PR berpecah, namun ketidak-tentuan sikap terhadap PAS menyebabkan apa-apa tindakbalas untuk menyelamatkan keadaan menjadi tidak padu dan kurang bersungguh-sungguh. Kebergantungan terhadap PAS oleh pihak tertentu menyebabkan mereka tidak sanggup memutuskan hubungan dengan PAS s…

Kenyataan Media Amanah Mengenai RUU 355

Muqaddimah

Amanah menganggap mahkamah syariah sebagai institusi penting dalam usaha menzahirkan kebenaran dan keadilan Islam. Oleh itu imejnya sebagai institusi yang cekap dan berwibawa perlu sentiasa dijaga. Amanah bersetuju bahawa segala usaha ke arah memperkasakan mahkamah syariah, dari segi kecekapan perlaksanaan undang-undang Islam, perlu disokong dan dibantu.

Kenyataan Berhubung Usul Persendirian Marang: Cadangan Pindaan ke Atas Akta 355

MUQADDIMAH

1. AMANAH ingin menegaskan bahawa Mahkamah Syariah adalah institusi keadilan Islam dan oleh itu apa jua usaha ke arah menperkasakannya adalah disokong. Bidang kuasanya berhubung kesalahan jenayah syariah dijelaskan dalam Akta 355 sediada. Akta 355 ini perlu dijaga dengan baik dan apa jua usaha pembaik-pulihan serta pindaan terhadapnya perlu diperhalusi secara teliti supaya tidak menjejas kedudukan mahkamah syariah.

2. Akta 355 sediada telah digubal mengambil kira kedudukan dan peranan Mahkamah Syariah di dalam kerangka struktur kenegaraan Malaysia yang di dalamnya wujud Mahkamah Sivil dan juga Mahkamah Syariah. Sepertimana diketahui umum, bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah terhad kepada orang Islam dan kesalahan-kesalahan tertentu seperti terkandung dalam Senarai II Senarai Negeri Jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Selainnya adalah di bawah Mahkamah Sivil.

3. Apa jua pindaan yang ingin dibawa semestinya selari dengan kedudukan dan peranan ini supaya tidak berlaku…