Skip to main content

Hentikan Polemik, Dakwa Segera

Setiap hari kita membaca dalam akhbar Melayu berhubung isu DUMC. Gambaran yang diberikan adalah seolah-olahnya ianya sudah terbukti bahawa ada usaha memurtadkan 12 orang Melayu yang hadir pada program anjuran NGO Harapan Kommuniti pada malam tersebut. Segala penafian pihak Gereja dan NGO berkenaan ditolak ke tepi dalam usaha semua akhbar, termasuklah Sinar Harian, untuk mewujudkan satu persepsi bahawa ianya sudah muktamad, tiada keraguan sama sekali, bahawa itulah tujuan disebalik program berkenaan. Mungkin saya tidak perasan, telahkah ianya dibuktikan dimahkamah? Telahkah pihak DUMC dan Harapan Kommuniti didakwa oleh pihak JAIS? Sekiranya belum, maka apakah agenda sebenar akhbar ini?

PERANAN MEDIA
Hakikatnya sebenarnya belum lagi. Yang ada hanyalah mainan berita dan khabar angin yang dilayangkan depan mata rakyat hari demi hari. Video yang dibocorkan sebenarnya tidak membuktikan apa-apa. Pengakuan yang dibuat oleh lelaki berkenaan adalah benar bagi kebanyakan ummat Islam dan tidak merupakan bukti bahawa beliau telah murtad. Jika membaca Al-Quran tanpa memahaminya merupakan bukti murtad, maka sudah pasti ramai dari ummat Islam di Malaysia akan disabitkan kesalahan yang sama. Ketidak ketahuan seorang wanita Cina yang ditanya pegawai JAIS mengenai kehadiran orang Islam juga bukan merupakan bukti yang kukuh. Secara umumnya, dari 100 lebih yang hadir, bukan semua penganjur program. Sudah pasti lebih ramai yang hadir sebagai jemputan dan tidak mustahil seorang jemputan tidak tahu perkara tersebut. Maka tidak mustahil juga wanita tersebut adalah seorang jemputan.

Namun, kesemua kemungkinan ini ditolak sejak dari awal kerana sememangnya ada agenda tertentu yang ingin diusahakan. Kononnya, bawah PR, Melayu diKristiankan! Oleh itu, untuk mengelakkan salah faham dan kekeliruan serta andaian yang bukan-bukan, JAIS perlu mendakwa golongan yang dianggap terlibat dalam usaha memurtadkan orang Islam ini dengan kadar segera dan sekiranya mereka ini didapati bersalah, maka mereka perlu dihukum.

HALAL DARAH?
Ekoran dari pembohongan ini, maka ada yang beranggapan bahawa 12 orang Melayu telah sah murtad dan oleh itu, kononnya, darah mereka sudah halal! Maka inilah akibatnya apabila akhbar sebegini bertindak secara tidak bertanggungjawab dengan bertujuan untuk mengapi-apikan semangat golongan yang jahil.

Pada dasarnya hanya mahkamah Syariyyah sahaja boleh mengistiharkan seseorang itu murtad juga sebaliknya dan menetapkan hukuman yang perlu dilaksanakan ke atasnya. Proses untuk mengistiharkan seseorang murtad juga tidak semudah yang disangka. Ianya perlu bermula dengan adanya satu pertuduhan terhadap orang berkenaan dan pihak yang dituduh juga diberi peluang untuk memberi respon terhadap pertuduhan tersebut. Setakat ini, tiada apa yang dilakukan oleh sesiapa, khususnya oleh pihak JAIS.

Oleh itu adalah diharapkan semua pihak bersabar dan jangan cepat membuat kesimpulan tanpa adanya maklumat yang tepat dan lengkap. Biarlah proses pendakwaan dijalankan sebelum apa-apa kesimpulan dibuat.

UDANG DISEBALIK BATU
Sebernarnya, sejak dari dulu lagi pihak UMNO telah berusaha untuk mengadu-domba rakyat Selangor dengan menjadikan kumpulan agama lain, khususnya Kristian sebagai sasaran mereka. Teresa Kok merupakan mangsa terawal apabila beliau ditahan di bawah ISA atas tuduhan melarang azan dikumandangkan pada waktu Subuh. Beliau ditahan selama 7 hari dan dibebaskan setelah terbukti dirinya difitnah. AJK Masjid berkenaan membuat kenyataan akhbar menjelaskan bahawa sistem PA mereka rosak dan oleh itu azan tidak kedengaran.

Usaha kedua ialah demonstrasi kepala lembu yang menyaksikan betapa tindakan ahli dan penyokong UMNO memalukan ummat Islam. Dengan bahasa kesat dan tindakan biadap mereka yang kononnya dilakukan atas nama Islam mereka memberikan gambaran seolah-olah Islam tidak bertamaddun! Pejuang Islam yang sama inilah yang menghadiahkan mangkuk tandas kepada MB Selangor.

Usaha ketiga ialah apabila ditimbulkan isu penggunaan kalimah Allah oleh pihak Kristian sebagai sesuatu yang berniat jahat. Didakwa bahawa Allah adalah ‘Tuhan orang Islam’ oleh mereka yang jahil sedangkan ummat Islam menyedari bahawa Tuhan itu satu dan Dia adalah Tuhan seluruh manusia, “Malikin Nas, Ilaahin Nas”. Yang bukan Islam menyekutukan Allah dengan yang lain, termasuklah mereka yang beragama Kristian.

Pada ketika itu mereka sibuk dengan usaha mengapi-apikan semangat adu-domba sehingga ke tahap usaha membakar Gereja, tetapi Alhamdulillah PAS dan rakyat Selangor tidak dapat dilagakan. Kejahatan UMNO terserlah pada ketika itu dengan hebatnya.

Kita khuatir ini adalah usaha keempat. Niat yang sama, dalang pun yang sama. Didakwa adanya usaha memurtadkan orang Islam oleh orang Kristian tetapi hingga ke hari ini, tidak disokong oleh bukti yang nyata dan tindakan yang menyakinkan. Hingga hari ini tiada dakwaan untuk memuktamadkan persoalan ini dan laporan pun masih tidak dikeluarkan oleh pihak JAIS.

Selagi mana tindakan pendakwaan tidak dilakukan oleh JAIS, ummat Islam di Selangor khususnya perlu berwaspada kerana ada kemungkinan isu ini adalah mainan politik kotor pihak UMNO. Ianya usaha untuk mengekalkan kedudukan berkuasa mereka tanpa dihiraukan impak politik ke atas masyarakat dan imej buruk yang diberikan kepada Islam. Pemberian kerakyatan kepada warga asing supaya menjadi pengundi mereka, tindakan dan usaha adu-domba, semuanya sanggup dilakukan demi terus berkuasa.

Namun walau apa yang dilakukan, saya yakin insyaAllah, seperti Zainal Abidin dan Mubarak, akan jatuh juga akhirnya Gaddafi. Begitu jugalah akhirnya dengan UMNO/BN.


WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.