Skip to main content

BERSIH 2.0: Pengalaman Saya

Pengalaman saya bersama Perhimpunan BERSIH 2.0 bermula pada jam 11 pagi apabila saya dengan seorang teman dari PAS Shah Alam menuju ke Kuala Lumpur. Pada mulanya kami mencuba Lebuh Raya Persekutuan. Ianya sesak dari sebelum Tol Batu 3. Kami cuba pintas melalui Glenmarie. Trafik sesak di hadapan kilang pengedar kereta BMW. Kami memutuskan untuk berpusing balik dan mencuba pula melalui ELITE/PLUS menuju ke KLIA. Masuk di Batu 3, keluar di Tol USJ. Seterusnya menuju ke arah Puchong. Seterusnya kami menyusuri Jalan Gasing dan melalui kawasan Universiti Malaya sehingga keluar di Jalan Pantai. Dari situ terus menuju ke KL Sentral.

Sekatan jalan oleh polis di merata tempat. BN menyusahkan rakyat semata-mata kerana hendak menghalang program yang menegur mereka. Turut bersimpati dengan pihak polis, berpanas dan mendapat sumpahan rakyat berbakul-bakul semata-mata kerana UMNO/BN. Hanya pencuri dan BN yang bergembira dengan penggunaan polis secara sebegini. Tetapi, kalau difikirkan, memang terdapat persamaan di situ. Pencuri mencuri secara ‘illegal’, BN mencuri harta rakyat melalui cara ‘legal’.

Setibanya kami di jalan Brickfields, saya turun di tepi jalan dan berjalan kaki menuju ke KL Sentral. Terserempak dengan sahabat bermotosikal dan membonceng ke hadapan kawasan KL Sentral. Berjalan kaki pula menuju ke Hotel Hilton yang berada di sebelahnya. Saya berjalan berhampiran beberapa anggota polis tetapi mungkin oleh kerana saya bertegur sapa seorang pelancong dari Australia dan bersembang sambil berjalan dengan beliau, mereka tidak perasan akan saya. Mungkin juga saya dianggap sebagai ‘pemandu pelancong’ ataupun tourist guide.

Saya masuk ke Hotel Hilton dan dari lobi, terus menuju ke atas untuk bersama pimpinan. DSAI telahpun berada di situ bersama Dato Ambiga dan Lim Kit Siang. Beberapa pimpinan PAS juga sudah di situ apabila saya sampai. TG Hj Abdul Hadi sampai pada jam 1 tengah hari. PC dibuat dan mereka menyatakan secara jelas apa itu BERSIH 2.0 dan matlamat yang ingin dicapai. PR juga menyatakan sokongannya terhadap BERSIH 2.0.

Selepas solat Zohor yang diimamkan TG Hj Abdul Hadi kami mula bergerak ke bawah. Sampai sahaja kami ke Lobi, pelanggan di restoran di kawasan Lobi hotel itu tiba-tiba berdiri dan menepuk tangan menunjukkan sokongan. Termasuk pelancong-pelancong yang mengikuti perkembangan Negara, mereka semua faham apa yang kami inginkan akan membawa kebaikan untuk Negara. Hanya UMNO tidak mahu faham kerana mereka lebih pentingkan kebaikan diri mereka sendiri!
Ada dikalangan pelanggan, bangun untuk turut bersama. Sambil menunggu tadi, mereka minum di restoran hotel, membawa business juga pada hotel tersebut nampak gaya!

Kami keluar pintu utama Hotel dan terus tuju ke bangunan KL Sentral. Sambil keluar saya menoleh ke belakang dan mata saya mengesahkan, tiada meja yang diterbalikkan, tiada kerusi yang dicampak dan tiada bahagian yang dibakar di Hotel Hilton! Kami himpunan aman, bukan perusuh.

Sambil keluar saya melihat hari sedang hujan. Hujan rahmat yang akan mengurangkan kesan keperitan gas pemedih mata, terfikir saya. Bila tiba di salah satu pintu masuk KL Sentral, ada anggota polis yang cuba menghalang kami dari masuk, tetapi tidak berjaya. Kami masuk ke dalam dan tiba-tiba, orang ramai yang berada di dalam bersorak menyambut ketibaan kami. Jumlah yang asalnya hanya berpuluh, tiba-tiba disertai ramai yang telah berada di dalam, menjadi beratus! Kami terus mara dan keluar dari bangunan KL Sentral, dibawa melalui tangga besi ke tingkat bawah.

Yang menyertai kami di KL Sentral terdiri dari rakyat biasa yang menyokong kami. Mereka menunggu kami dan sambil menunggu, mereka membeli minuman dan makanan di kedai-kedai di KL Sentral. Semasa mereka bangun untuk menyertai kami, tiada kedai yang dibakar, kerusi yang dibaling atau meja yang dipecahkan. Kerana kami berhimpunan secara aman yang ingin menuntut pilihan raya yang adil dan bersih, bukan perusuh. Kami ingin lawan melalui pilihan raya, bukan melalui huru hara. Itu sebab pilihan raya perlu adil dan bersih.

Di tingkat bawah, kami berada di kawasan yang bagaikan sebuah terowong, kiri kanan berdinding. Mereka yang di depan membawa kami terus mara lagi menuju ke jalan keluar untuk ke Stadium Merdeka. Bila sampai di pintu ‘terowong’ tiba-tiba kelihatan satu barisan anggota FRU menghalang jalan. Kami berada lebih kurang 20 meter dari mereka. Kami berhenti, pimpinan berada di saf hadapan. Saya di saf yang ketiga. Tiba-tiba berbunyi siren dari belakang. Landrover FRU menuju ke arah kami dari belakang, inginkan laluan untuk ke depan. Kami memberinya laluan tanpa apa-apa tindakan khianat dari pihak kami.

Setelah landrover tersebut berada di hadapan, saya menoleh ke belakang, ingin melihat sekiranya ada pasukan FRU yang sedang mara ke arah kami. Orang sudah ramai, beresak-esak, dalam keadaaan kebimbangan kerana kami terperangkap dalam terowong tanpa adanya jalan keluar. Di depan FRU dan di belakang pun sudah begitu. Kami datang bukan untuk berentap dengan FRU tetapi BN menghantar FRU untuk menyerang kami.

Tiba-tiba saya mendengar bunyi tembakan dan dengan serta-merta, cermin-mata saya terpelanting ke depan. Asap gas pemedih mata mula berkepul-kepul. Tembakan datang dari depan dan belakang. Pada saat itu saya terfikir saya perlu mencari cermin-mata kerana semua menjadi kabur tanpanya. Tetapi suasana kelam kabut menyedarkan saya bahawa itu tidak mungkin saya lakukan. Gas pemedih mata mula terhidu. Saya teringat beg plastik yang berada di dalam kocek seluar saya dan dengan segera membukanya sehingga dipenuhi udara serta bernafas melaluinya dengan menutup hidung dan mulut saya dengannya. Beg plastik itu adalah pembalut baju BERSIH 2.0 yang diberikan kepada saya semasa diatas.

Pada ketika itu saya tidak sedar bahawa kepala saya terkena kelonsong gas pemedih mata dan sudah mula berdarah. Saya bersama rakan saya dari Shah Alam, saudara Zainal, yang ditugaskan untuk menemani saya, bergegas ke belakang dan ternampak ‘lubang’ di tepi dinding di sebelah kanan kami. Kami menuju ke lubang tersebut.

Sambil ke sana saya melihat A. Samad Said terduduk tersandar di tepi dinding. Beliau orang lama, pasti umurnya lebih 70 tahun. Dia tentu tidak mampu untuk beredar dari terowong yang semakin penuh dengan gas pemedih mata. Turut kelihatan beberapa pemuda yang duduk bersama beliau.

Semasa sidang akhbar sebentar tadi A. Samad Said turut bercakap. Beliau berkata, telah tiba masanya untuk sasterawan terlibat dalam pencorakan Negara kerana kerosakan yang semakin melanda. Saya kagum dengan beliau. Kebiasaannya, orang seperti dia akan berehat di rumah, bermain dengan anak cucu. Malangnya kebobrokan pemerintah memaksa beliau ke jalan raya, walaupun sudah cukup berusia. Mengapa? Kerana dia tidak ingin mewariskan kepada yang muda suatu negara yang hancur dan budaya politik yang muflis dari segi akhlak dan amanah! Celaka BN kerana merampas ketenangan zaman usia emas darinya!

Kelihatan juga beberapa wanita yang terduduk di atas jalan, tercungap-cungap kepedihan, hadiah dari BN yang ingin terus mempertahankan proses pilihan raya yang kotor. Mereka sedar akan risikonya tetapi mereka ingin juga melihat perubahan dan keadilan. Apa akan mereka warisi sekiranya kepincangan diteruskan dan kekayaan negara terus disalah-gunakan? Oleh itu mereka datang walaupun tahu kemungkinan mereka akan dilayani sebegitu rupa oleh BN.

Pada ketika itu saya tersedar bahawa beg plaktik yang saya bernafas melaluinya sudah mula basah, berisi dengan sesuatu cecair yang berwarna gelap. Sahabat saya lantas memberitahu saya bahawa saya telah terluka di bahagian kepala. Beg plastik dipenuhi darah!

Saudara Zainal membawa saya terus menuju ke lubang yang kelihatan tadi. Terpaksa kami melalui di bawah dua batang paip air untuk sampai ke lubang tersebut. Sebaik sahaja melalui lubang itu, kami dapati kami memasuki kawasan pembinaan. Ada beberapa pekerja di situ. Kami bertanya jalan keluar dan dengan segera mereka menunjukkan kami jalan untuk melepas diri.

Zainal meminta saya berhenti dan baju Bersih 2.0 yang saya pakai di atas baju T-shirt saya digunakan untuk membalut kepala saya untuk mengurangkan pendarahan. Pada masa itu kelihatan baju saya penuh dengan kesan darah. Saya duduk sambil dia dan beberapa lagi rakan seperjuangan membalut kepala saya. Ada bersama pemuda dari kawasan Selayang. Ada juga pemuda dari Sarawak! Pemuda dari selayang memberikan saya tuala kecil yang sudah dibasahkan untuk membersihkan muka dari kesan darah.

Sambil itu semua dilakukan, dua orang lagi pemuda keluar dari kawasan pembinaan tersebut untuk mendapatkan teksi untuk saya. Bila ada teksi ditahan, maka mereka memanggil saya untuk menaiki teksi tersebut. Zainal menutup kepala saya dengan beg plastic kuning yang dia bawa bersama. Takut luka dibasahi hujan. Pemuda Sarawak memberi pula jaket hitamnya untuk menutup kepala saya juga, takut air hujan akan membasahi luka saya.

Saya dan Zainal menaiki teksi dan meminta pemandu membawa kami ke Hospital. Pemandu itu melihat pada saya dan terus menyedari saya salah seorang yang menyertai perhimpunan BERSIH. Dia nampak saya sedang cedera dan dengan segera dia membawa kami pergi. Sambil dalam perjalanan dia cukup berhati-hati, mengelak kawasan yang dijaga polis.

Setibanya kami di Hospital, di bahagian kecemasan, saya dibawa untuk bertemu doktor yang bertugas. Pembantu Hospital (HA) ramai bertanya akan keadaan di Kuala Lumpur sambil menunjukkan sokongan mereka terhadap apa yang diusahakan. Sambil berbincang saya dicucuk dengan cucukan anti-tetanus, tekanan darah dibaca dan keadaan jantung diperiksa melalui ECG. Orang biasa yang berada di hospital turut bertanya apa yang sedang berlaku. Sambil menunggu keluarga mereka yang dirawat, sokongan mereka terhadap apa yang dituntut oleh BERSIH jelas disuarakan.

Ada seorang peserta himpunan aman BERSIH yang cedera telah tiba di Hospital sebelum saya. Beliau lagi parah. Kelongsong gas pemedih mata terkena di dadanya dan melantun ke atas melanggar dagunya. Tulang dagunya patah menyebabkan dia tidak boleh bercakap dengan jelas.

Para doktor dan jururawat yang merawat saya begitu bersimpati dengan usaha kami. Sambil menjahit luka saya setelah kepala di x-ray, ada yang bertanya kehairanan terhadap cara perhimpunan itu ditangani. “Apa salahnya? Kenapa tidak dibenarkan sahaja? Apa yang diminta sememangnya patut” kata salah seorang doktor sambil menjahit 6 jahitan dikepala saya. “Kami sokong, tapi terpaksa menikus” katanya lagi.

Itulah Malaysia, negara kesayangan kita semua. Bumi di mana golongan bijak pandai ditakut-takutkan. “Kalau bersama himpunan BERSIH, tindakan akan diambil! Semua pegawai kerajaan diharamkan untuk berserta! Mahasiswa, mahasiswi, pensyarah, cikgu-cikgu, kalau terlibat, nahas kamu!” kata-kata perangsang pemerintah yang memerintah melalui penindasan dan ugutan. Ya Malaysia, bukannya Myanmar ataupun Kampuchea di bawah Pol Pot. Kehebatan negara ini dan segala kelebihannya hancur di tangan pemerintah yang mementingkan diri.

Itulah sebabnya perubahan itu perlu. Perubahan demi membebaskan Malaysia dari barisan pemimpin yang sudah lupa diri, tenggelam dalam harta dan kemewahan yang dicuri dari rakyat. Ianya hanya dapat dilakukan sekiranya pilihan raya itu adil dan bersih. Itulah sebabnya mengapa usaha BERSIH perlu diteruskan.

Pada masa itu waktu sudah pukul empat petang. Saya menerima sms bahawa TG Hj. Abd Hadi telah ditahan. DSAI dihantar ke hospital kerana turut cedera. Lebih kurang 1,400 orang ditahan polis. Tetapi, LKS tidak mampu ditahan polis walaupun beliau ‘separuh rabun’ kerana baru sahaja menjalani pembedahan mata! Sedangkan beliau bersama di saf hadapan. Adakah ini merupakan sebahagian dari tipu muslihat mereka? Ingin ditonjolkan kononnya bahawa hanya Melayu sahaja yang terlibat sambil mengelakkan kemarahan masyarakat Cina?

Namun demikian, maklumat seterusnya yang saya terima melalui SMS menyatakan, himpunan BERSIH 2.0 berjaya dihadiri berpuluh ribu rakyat berbilang kaum di beberapa tempat termasuk di Stadium Merdeka dan Pudu Raya! Sambil itu, perhimpunan turut diadakan di beberapa bandar utama di serata dunia!

Saya kembali ke rumah selepas itu, walaupun perit gas pemedih mata masih terasa dan luka di kepala masih menyengit, tetapi hati tetap gembira dengan kejayaan perhimpunan tersebut. Saya kemudiannya dikunjungi beberapa sahabat yang kembali dari Kuala Lumpur. Mereka menceritakan pengalaman mereka sambil ingin tahu keadaan saya. Semua merasa bangga dengan kejayaan perhimpunan tersebut dan tiada sesiapa, termasuk saya, merasa kesal kerana telah bersama. Ini adalah kerana, kami telah turut menyertai suatu perhimpunan yang telah melakar sejarah dalam mencorak masa depan tahah air. InsyaAllah, angin perubahan kencang akan terus kekal bertiup di bumi Malaysia ini!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

oranges21 said…
salam YB...

Tahniah YB...teruskan usha dan perjuangan kami rakyat sentiasa menyokong pihak yg benar!

salam adios
mahaza said…
Apabila membaca #bersihstories di twitter seperti ada agenda tersembunyi kerana memang hanya melayu menjadi sasaran dan dicederakan. Ada melayu dan cina jalan seiringan tapi yg cina tak disentuh, melayu dikeronyok. Mungkinkah atau kebetulan?
Anonymous said…
Dear YB,
Thank you for fighting for a better Malaysia! I am a Malaysian Chinese residing in Shah Alam and you will definitely get my vote cum the next GE if u're contesting! In fact, send any contestants from PAS/PKR/DAP and they will get my vote, my family's and also my friends'. You and PAS have earned our respect! PAS untuk semua!
mohd said…
taniah YB,u r my hero
Anonymous said…
wahh.terer yb menipu sunat jadi pemandu plancong ye dak. kalau yb nak tau yg ramai2 tepuk tangan tu semua mmg disuruh.kehkehkeh.
Anonymous said…
Tahniah YB. Didoakan semoga cepat sembuh. Semoga Allah mmeberi kekuatan kepada YB untuk meneruskan perjuangan suci ini. InsyaAllah.
...amer Kedah
Anonymous said…
yb cedera ke..kesiannnye...buat lagi ye..kakakakaka
Anonymous said…
kpd Anon 11:48 pm, aku copy balik ayat YB..

"Mungkin juga saya dianggap sebagai 'pemandu pelancong' ataupun tourist guide"

tu anggapan YB terhadap polis. mana tipu sunatnya?

tu la akibatnya kalau perut dan darah daging tu penuh dgn duit haram. jadi benak dan lembam x memasal.

henti2kan la jd hamba syaitan. kembalilah kpd Islam ;-)
Anonymous said…
huh! kalau komen tak sebulu khalid samad di katakan hamba syaitan.

ini lah umat islam akhir zaman. anut pas itu islam. tak anut kata suruh kembali kepada islam.

abis tu sapa yg ajar aku solat, puasa, quran, hadith, tauhid etc? org pas ke? kalau ustaz yg ajar aku tu org umno, kau kata dia pun hamba syaitan ke?
tokgaru said…
Ulamak islam Nik Aziz dan Hadi Awang dah tunduk kepada perintah si kafir Ambiga dalam Bersih 2.0.

Masih ada maruah lagi kah islam ?
Geng Putrajaya said…
YB,

SEmoga Allah permudahkan urusan kita semua. Malaysia akan membuka matanya dan InsyaAllah satu hari nanti kebenaran akan membenam kebatilan.

Allahuakhbar!!
tokgaru said…
Katanya Bersih berarak nak serah memorendum kpd YDP Agong. Dah berjaya serah ker tidak pada 9 Julai tu ?

Ramai yang pelik dengan Ambiga. Dia dah dapat jumpa YDP secara bersemuka dalam istana negara. So kenapa tak serah saja pada masa tu.

Yang orang melayu ramai tak sokong adalah kerana takut jadi bergaduh melayu lawan melayu.

Ramai orang melayu nampak Ambiga ni lebih cerdik daripada pemimpin melayu baik dalam Pas mahu pun dalam PKR. Kalau tak cerdik tak kan lah Nik Aziz dan Hadi Awang boleh ikut arahan Ambiga.
Anonymous said…
terharu dgor kisah yb. melayu kuat bila agamanya kuat. skrg agama tidak dititik beratkan oleh pemimpin2 skrg. malahan mnjadikan barat sbgai sumber role model. inilah bukti kebodohan pemimpin2 skrg yg mesti di tumbangkan utk mengembalikan ajaran islam yg betul dikalangan melayu.. semoga smgat yb tidak luntur dek tekanan dr pihak2 yg hanya menagung2kan bangsa itu.. :)
Anonymous said…
Terima kasih YB atas pengkorbanan kamu. Saya bersama kawan berdiri ditepi FRU dekat Tong Shin Hospital. Kami permehati. Ternampak asap permedih mata keluar dari carpark dan polis menyerang masuk ke kawasan hospital untuk menangkap rakyat. Memang terlampau lah. Apa salahnya? Supporter MU, Arsenal boleh berkumpul di stadium tapi rakyat dinafikan. Polis/FRU diguna sebagai jentera mempertahankan kuasa sesetengah pihak. Kuasa merasuah, merompak dan membasir duit rakyat. Dah terlampau.


Eugene
jo said…
kalu hang buat demo bersih kat london..anjing polis gigit hang..bangang..Polis malaysia baik sangat...patut hempoh saja...

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-